Berhenti kerja, usahakan cendawan tiram kelabu

Nor Ariff Mat Nasid menunjukkan benih cendawan tiram kelabu di Tunas Alam Agrotech, Titi Gantung, Bota Kiri, Perak, semalam.
– Gambar HANAFI KHAMIS


BOTA 7 Nov. – Menyedari bidang pertanian mendatangkan pulangan yang lumayan, seorang pemuda, Nor Ariff Mat Nasid, 28, nekad berhenti kerja di sebuah kilang kereta kerana mahu menceburi tanaman cendawan tiram kelabu di Parit 11, Titi Gantung, dekat sini.

Beliau yang menceburi perusahaan itu bersama-sama dengan abangnya, Nor Azman telah memajukan perusahaan tersebut sejak dua tahun lalu.

“Saya sanggup berhenti kerja di kilang membuat kereta di Rawang kerana mendapati tanaman cendawan yang diusahakan di rumah mempunyai potensi di pasaran.

“Saya dan abang memajukan tanaman cendawan ini kerana tidak ada pengusaha lain yang memajukan perusahaan ini di sini secara besar-besaran,” katanya ketika ditemui pada pameran sempena Hari Ladang anjuran Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah di Titi Gantung dekat sini hari ini.

Beliau yang mendapat bimbingan daripada usahawan yang berjaya mengenai tanaman cendawan ini mengusahakan tanaman itu walaupun tidak mempunyai sebarang peralatan moden dan canggih.

”Saya dan abang melaburkan modal permulaan sebanyak RM10,000 untuk membina sebuah rumah bagi menempatkan tanaman yang semakin digemari ramai itu.

“Tanaman ini menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh seperti kulit gandum, dedak padi, kapur dan habuk kayu untuk dijadikan tempat pembiakan cendawan ini,” katanya.

Hasilnya, kata Nor Ariff, perusahaannya kini mempunyai 40,000 beg cendawan yang sedia untuk dituai pada bila-bila masa.

“Walaupun perusahaan ini dibuat di kawasan rumah tetapi saya berpuas hati kerana kualiti cendawan yang dihasilkan setanding dengan cendawan yang diusahakan oleh pengusaha lain,” katanya.

Nor Ariff berkata, cendawan tiram kelabu ini mempunyai rasa yang enak apabila di makan kerana penanamannya tidak menggunakan bahan-bahan kimia.

Menurut beliau, penanaman cendawan ini mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh dua bulan.

Katanya, hasil cendawan ini boleh dituai dalam tempoh di antara tujuh hingga sembilan bulan bagi setiap beg plastik yang diusahakan itu.

”Setiap cendawan yang dikutip itu dipasarkan di sekitar Titi Gantung dan Seri Iskandar dengan harga di antara RM8 hingga RM10 bagi setiap sekilogram,” katanya.

Nor Ariff bercadang untuk membesarkan perusahaannya pada masa depan dengan harapan tanaman ini boleh dipasarkan di beberapa kawasan lain kerana permintaan yang meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, sesiapa yang berminat mengikuti kursus mengenai penanaman cendawan boleh menghubungi beliau di Lot 262, Parit 11, Titi Gantung, Bota Kiri, Perak.

Kulit kambing Jamnapari jadi tarikan baru

CANTIK… Kamaruddin Rahmat menunjukkan kusyen kereta diperbuat daripada kulit kambing Jamnapari di Shah Alam, baru-baru ini.


SHAH ALAM 9 Nov. – Kalau anda berasa sudah bosan dengan kusyen kenderaan yang diperbuat daripada kulit lembu dan inginkan kelainan, kenapa tidak mencuba kulit kambing jenis Jamnapari pula.

Permintaan kusyen kenderaan diperbuat daripada kulit kambing itu kini didakwa semakin mendapat sambutan. Kamaruddin Rahmat Motor Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera yang bergiat dalam industri pemotoran sejak 13 tahun lalu, bercadang untuk memperkenalkannya secara agresif pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Kamaruddin Rahmat berkata, langkah itu diambil selepas sambutan yang amat menggalakkan diterima ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 baru-baru ini.

Kata beliau, pada pameran berkenaan, syarikatnya menerima kira-kira 400 tempahan daripada orang ramai yang mahu menggantikan kusyen kerusi kenderaan masing-masing dengan kulit haiwan itu.

“MAHA 2008 merupakan platform kepada kami untuk menguji pasaran dan mengumpul maklum balas daripada orang ramai.

“Melihat kepada permintaan cukup tinggi, kami mengambil keputusan untuk menceburi perniagaan ini bermula awal tahun 2009,” ujar beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, keistimewaan kulit kambing berbanding haiwan lain seperti lembu adalah ia lebih lembut dan berkualiti.

Jelasnya, kusyen itu juga memberi lebih keselesaan dan suasana nyaman kepada pemandu serta penumpang kerana ia menyerap udara sejuk yang dikeluarkan melalui penghawa dingin kenderaan.

“Ia juga senang dijaga kerana mudah dicuci jika terdapat kekotoran seperti air atau makanan tertumpah,” kata beliau yang menyasarkan 1,000 tempahan untuk tahun depan.

Kamaruddin berkata, pihaknya akan melantik wakil pemasaran bagi membolehkan perkhidmatan tersebut ditawarkan kepada orang ramai di seluruh negara.

“Sesiapa saja yang berminat boleh menjadi ejen asalkan mereka mempunyai bengkel atau premis yang sesuai.

Jelasnya, kos untuk pemasangan kusyen kerusi kulit adalah dari serendah RM3,000, mengikut jenis kenderaan dan memakan masa sehari.

Beliau menambah, pelanggan juga mempunyai pelbagai pilihan warna seperti hitam, coklat, kelabu dan hijau.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan atau menjadi wakil pemasaran boleh menghubungi beliau di talian 03-55427373 atau 019-3977188.

FAMA galak petani tingkat pengeluaran pisang

LANGKAWI 9 Nov. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menggalakkan petani seluruh negara meningkatkan pengeluaran pisang berikutan permintaannya yang semakin meningkat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Nordin Ahmat berkata, pengeluaran pisang perlu berterusan dan stabil bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.

“Projek tanaman pisang secara ladang kontrak amat digalakkan bagi menjamin bekalan sentiasa berterusan dari petani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis menandatangani perjanjian ladang kontrak pisang berangan antara FAMA dengan peserta koperasi peneroka rancangan Felcra Langkawi Berhad, di pusat pengumpulan hasil Teluk Yu di sini hari ini.

Katanya, ladang kontrak merupakan program yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana serta meningkatkan pendapatan golongan sasar kepada RM2,000 sebulan menjelang tahun 2010.

“Permintaan pisang agak tinggi untuk pasaran tempatan seperti di Pulau Pinang, Perak, Kelantan serta Lembah Klang dan ada juga permintaan daripada Singapura dan Hong Kong.

“Di Kedah, kita ada 1,777 hektar ladang kontrak membabitkan 1,277 peserta,” katanya.

Nordin berkata, setakat ini pelaksanaan program itu melibatkan peningkatan keluasan kawasan ladang kontrak daripada 1,963 hektar kepada hampir 36,000 hektar membabitkan lebih 22,000 peserta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

– Bernama