PRINSIP ‘yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek’ menjadi iltizam yang menguatkan keinginan Safinah Yaakob meneruskan impian untuk berjaya dalam perniagaan, sekalipun pernah kerugian RM1 juta ketika menjalankan perniagaan pengiklanan selama 11 tahun sejak 1991 hingga 2002.
Malah, ketika jatuh teruk dalam menjalankan perniagaan pengiklanan melalui Sofina PR and Advertising Agency, yang dijalankannya, Safinah terpaksa turun naik mahkamah selama dua tahun dari 2002 hingga 2004 akibat ‘perbalahan’ dengan pelanggan.
Beliau bukan saja kehilangan modal pusingan perniagaan, bahkan terpaksa menanggung kos guaman dan pembiayaan mahkamah yang membebankan, sehingga hidup Safinah dan keluarga ketika itu ‘sesak’ dan hanya bergantung pada pendapatan suami, Dr Muhammad Hakim Abdullah, untuk menyara hidup keluarga.
Kerana itu Syafinah terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dan perniagaan untuk membantu suami menyara hidup dan empat cahaya matanya.
Bagi wanita berasal dari Tanjung Malim, Perak ini, kegagalan dalam perniagaan adalah pengajaran dan ilmu yang sangat berguna sebelum beroleh kejayaan walaupun pengalaman itu sangat menyeksakan, apatah lagi mengharungi dunia perniagaan yang penuh dengan onak dan cabaran.
Sebagai permulaan untuk kembali ‘bernafas’ dalam perniagaan, Safinah menjalankan perniagaan menjual tudung, termasuk pakaian tradisional seperti baju kurung. Dalam masa sama, sekitar 2002, beliau turut mengendalikan taman asuhan kanak-kanak (Taska) miliknya di Jalan Ulu Klang, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Safinah menyedari perniagaan itu sukar dikembangkan memandangkan tidak berpengalaman luas dan persaingan dalam perniagaan berkenaan, tambah pula Taska dikendalikannya kurang mendapat sambutan berikutan lokasi kurang sesuai.
Lantaran itu, Safinah memilih jalan alternatif untuk mencari perniagaan lebih kukuh untuk dimajukan, dan ketika itu beliau hanya memikir untuk menjalankan perusahaan berasaskan herba kerana ia ada pasaran dan potensi besar.
Selain itu, dengan minat mendalam dalam bidang pengiklanan dan pengurusan pameran serta pertunjukan, beliau menubuhkan Gitex (M) Sdn Bhd (Gitex) pada 2002, yang membawa erti ‘Global International Trade Exhibition’ bertujuan membawa dunia kepada perniagaan, daripada pengusaha kecil kepada antarabangsa.
Dalam masa sama, melihat pelbagai perniagaan yang tumbuh bagai cendawan, terutama perniagaan kopitiam dan aneka produk berasaskan kopi, beliau mula terfikir untuk memajukan produk berasaskan teh herba.
Beliau juga berazam menjayakan sebuah restoran kafe minuman teh dan dalam masa sama ingin menghasilkan produk sendiri berasaskan teh herba. Bagi memenuhi impiannya, beliau menubuhkan syarikat, Warisan Asal Sdn Bhd.
Menurut Safinah, idea itu timbul ketika mengikuti rombongan bersama suami melawat perkampungan Orang Asli di Selangor. Beliau dapati, kebanyakan mereka masih bergantung hidup dengan pelbagai jenis herba untuk keperluan harian, termasuk perubatan.
Katanya, beliau dan suami ketika itu memikirkan herba Melayu sangat berpotensi dimajukan, malah secara tradisi ia juga digunakan sejak turun temurun, cuma kurang dikomersialkan ketika itu.
“Lagi pula, bahan mentah iaitu herba yang diperlukan mudah didapati. Malah, ia boleh ditanam sendiri tanpa memerlukan bahan yang diimport,” katanya.
Bagaimanapun, kata Safinah, usaha yang ingin dilaksanakannya bukan mudah kerana ia memerlukan pengetahuan dan penyelidikan untuk mengenal pasti herba yang sesuai dijadikan ramuan teh berkhasiat.
Dengan bantuan suami dan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Safinah menjalankan penyelidikan terhadap herba yang berpotensi dijadikan minuman, selain mengenal pasti khasiat dalam herba berkenaan.
“Saya tangguhkan dulu niat membuka restoran kerana ingin menumpukan perhatian dalam penyelidikan herba yang sesuai dijadikan teh. Saya benar-benar bermula dari bawah memandangkan saya tiada asas mengenainya,” katanya.
Hampir dua tahun menggerakkan penyelidikan, beliau menghasilkan tiga jenis teh herba iaitu berasaskan limau purut, serai dan misai kucing.
Dalam pada itu, beliau terlebih dulu mengetengahkan produk kesihatan iaitu ‘Neem Capsule’, iaitu produk berasakan kelapa muda dara.
Kini, syarikat miliknya menghasilkan 22 jenis teh herba, daripada ulam raja, asam gelugor, daun limau purut, daun pegaga, daun kesum, emas cotek, hempedu bumi, daun selom, daun asam paya dan misai kucing.
Katanya, teh herba ini ini berfungsi menjaga kesihatan dan setiap teh herba yang dihasilkan masing-masing ada kelebihan sendiri.
“Saya hasilkan juga pelbagai produk berasaskan kelapa ketika itu, namun fokus tetap pada penghasilan produk teh herba. Ia lambat dipasarkan kerana saya mementingkan penjenamaan dan aspek pembungkusan yang sesuai kerana mahu produk ini ‘kekal’ lama di pasaran,” katanya.
Bagi menguatkan promosi produk, beliau menjalin kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan dalam masa sama memperkenalkan produk itu melalui restoran Malay Tea House yang beliau buka awal tahun ini.
Pada masa sama satu lagi syarikatnya, Gitex menganjurkan program mengenai pasaran herba, antaranya Herbal Asia 2004 dan berlanjutan hingga Herbal Asia ke Lima pada Mei lalu.
Selain itu, melalui kerjasama melalui Fama dan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), produk keluaran syarikat milik Safinah mula menjangkau pasaran antarabangsa iaitu ke China dan Afrika Selatan.
PROFIL
NAMA: Safinah Yaakob
USIA: 37 tahun
LAHIR: Tanjung Malim, Perak
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif, Herba Asia dan Pengurus Besar Warisan Asal Sdn Bhd
SYARIKAT: Warisan Asal Sdn Bhd dan Gitex Sdn Bhd
SUAMI: Dr Muhammad Hakim Abdullah
ANAK: Muhammad Hadi Daniel (14), Syahirah (13), Muhammad Hail Harris (11) dan Muhammad Hazim Shaqir (4)
PENDIDIKAN: Diploma Lukisan dan Grafik, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
ANUGERAH: Anugerah Khas Generasi Peneroka Felda Cemerlang kategori Tokoh Usahawan (2005)