BELIAU menempatkan diri dalam dunia perniagaan berbekalkan tekad menjadi usahawan berjaya, namun cabaran dan saingan sengit yang perlu dilaluinya tidak seperti disangka.
Penat lelah Prof Dr Ahmmad Sabri Zonkaply, 44, selama 10 tahun lebur begitu saja apabila perniagaan sebagai pembekal pelbagai jenis keropok ikan dan pasar tani yang diusahakannya selama dua tahun sekitar 2005 hingga 2007 mengalami kerugian mencecah RM300,000.
Bukan saja terpaksa menanggung kerugian, malah Prof Dr Ahmmad kehilangan sebahagian harta benda miliknya seperti kereta mewah dan hak perkongsian sebuah kilang yang beroperasi sebagai stor bekalan dan mengilang keropok di Klang, Selangor.
Lebih mengecewakan, beliau terpaksa menanggung beban pinjaman bank sebanyak RM80,000 sejak menjalankan perniagaan milik keluarga itu bermula 1997.
Kegagalan itu mengundang rasa kesal yang mendalam kerana sebelum itu beliau mengabaikan klinik rawatan alternatif, terapi holistik, yang diusahakannya sejak 1994 kerana terlalu menumpukan perhatian kepada perniagaan.
Namun, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini memiliki semangat kental dan tidak mengenal erti kalah. Kegagalan kali pertama dalam perniagaan tidak melemahkan semangat beliau untuk bangkit semula.
Satu pengajaran yang beliau pelajari daripada kegagalan itu ialah, menempuhi dunia perniagaan bukan hanya perlu bijak dalam pengurusan, malah pengalaman serta pengetahuan menjadi aset berguna yang menentukan kejayaan.
Sukar membayangkan, ketika menjalankan perniagaan itu, beliau pernah meraih pendapatan RM60,000 sebulan. Malah, beliau pernah menerima anugerah Usahawan Berjaya daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) kerana pencapaiannya ketika itu.
“Dalam sekelip mata segala-galanya berubah. Saya menanggung kerugian hampir RM150,000 setahun. Atas sebab itu saya mula berfikir apa kelemahan dan punca yang menyebabkan saya ‘jatuh’ begitu teruk,” katanya.
Prof Dr Ahmmad sedar, ‘kepakaran’ yang dimilikinya bukan dalam perniagaan berkenaan. Ini kerana, beliau menceburinya tanpa mengetahui selok-belok urusan perniagaan membabitkan pembekalan makanan.
Beliau juga gagal menyaingi pesaing daripada kalangan pembekal keropok yang tumbuh bagai cendawan ketika itu sehingga menyebabkan beliau kehilangan ramai pelanggan tetap.
Prof Dr Ahmmad juga tidak dapat menangani persaingan harga dengan pembekal lain yang menawarkan harga jauh lebih murah, selain dibebani peningkatan kos bahan mentah dan masalah pekerja.
“Saya mempunyai latar belakang dan kemahiran dalam bidang lain, iaitu rawatan terapi holistik atau kaedah rawatan kesihatan dan pemakanan.
“Saya terfikir semula, jika ingin kembali menerjah dunia perniagaan, saya perlu bermula dengan minat dan kepakaran yang ada pada saya,” katanya.
Lantaran itu, Prof Dr Ahmmad terus melupakan perniagaan sebagai pembekal keropok ikan dan pasar tani, sebaliknya kembali membuka klinik rawatan alternatif pada Ogos lalu, selain turut membuka syarikat Sabjack Resources Sdn Bhd yang memainkan fungsi menghasilkan produk kesihatan berasaskan herba berjenama SabJack.
Memandangkan bidang itu ada potensi besar untuk dimajukan sebagai perniagaan, beliau mengorak langkah awal melakukan kajian untuk menghasilkan pengeluaran produk seperti pil, minuman dan pelbagai ubatan kesihatan.
“Saya percaya bidang holistik, terutama pengambilan pemakanan berasaskan herba untuk kesihatan, ada potensi untuk dikembangkan.
“Bukan semua orang memilih rawatan moden dalam soal pemakanan dan kesihatan seperti pengambilan vitamin serta ubat-ubatan, ada yang memilih sebaliknya iaitu rawatan alternatif berasaskan herba yang juga gabungan antara perubatan moden dan tradisional,” katanya.
Selain menguruskan klinik yang mulanya beroperasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, beliau menghasilkan produk pertama, CBS (Cell Booster Spray) iaitu sejenis cecair daripada pelbagai herba dan garam kristal untuk rawatan tirod, lebihan asid dalam badan dan masalah penghadaman.
Produk berkenaan hanya dijual kepada pesakit dan jualan melalui Internet serta laman web, http://www.sabjack.com. Ia terjual 4,000 botol ketika itu.
Dalam masa sama, beliau menghasilkan produk herba dan kesihatan lain seperti D’Tox, E’Raq, O’Vari dan H’elin yang ada pelbagai khasiat untuk mengatasi masalah kesihatan membabitkan lelaki, perempuan mahupun untuk kegunaan keluarga.
“Jualan produk ini mulanya hanya tersebar di kalangan pesakit yang saya rawat serta kenalan mereka. Namun tanpa saya duga, ia banyak membantu mempromosi produk berkenaan,” katanya.
Bagi mengembangkan operasi syarikat, beliau membuka klinik baru di Taman Putra, Ampang, Selangor dan mempelbagaikan produk kesihatan rawatan terapi holistik.
Dalam tempoh enam bulan, beliau menghasilkan 13 jenis produk kesihatan, sama ada berbentuk pil, cecair, minuman dan krim. Antara produk yang mendapat sambutan ialah Sabjack Gamat Mas, kopi pracampuran Perkasa dan Air Sinar.
Prof Dr Ahmmad berkata, produk Sabjak Gamat Mas, iaitu ubat jenis cecair bagi rawatan kulit, penghadaman, sistem peranakan, masalah keletihan, penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung antara produk paling laris.
“Sejak dipasarkan, kira-kira RM300,000 diperoleh. Malah, ramai pembeli kata produk berkenaan memberi kesan ‘menakjubkan’. Ini kerana kesan penggunaan gamat dan campuran herba yang baik untuk kesihatan,” katanya.
Prof Dr Ahmmad berkata, sokongan keluarga dan rakan terdekat dalam memajukan perniagaan turut memainkan fungsi untuk beliau menjadi lebih yakin dan sedia berdepan turun naik dunia perniagaan.
“Pernah saya kekurangan modal, tetapi keluarga dan rakan segera memberi bantuan. Dari situ saya melihat perniagaan sebenarnya tidak boleh bergantung pada diri sendiri saja, tetapi membabitkan semua orang di sekeliling kita.
“Syukur isteri, Lily Md Saleh, banyak memberi dorongan. Begitu juga rakan yang menjadi tulang belakang saya dalam perniagaan ini, iaitu Jasmin Mohd Zain dan Rusli Leman,” katanya.
Mengenai pengalaman selama terbabit dalam rawatan alternatif, beliau berkata, ia bermula kerana minat yang terpendam sejak kecil.
Ia bermula apabila beliau mengalami masalah kesihatan pada zaman remaja. Beliau menghadapi masalah penghadaman dan sukar mengunyah makanan sehingga hancur.
“Saya hanya boleh makan sayuran. Bukan itu saja, saya terpaksa makan perlahan-lahan dan mengunyah makanan berhati-hati.
“Selain itu, ketika berusia 11 tahun, saya tidak boleh memakai pakaian berwarna terlalu terang dan melihat serta-merta warna gelap atau terang. Saya juga tidak boleh marah atau terlalu banyak berfikir kerana ia mengganggu sistem badan saya,” katanya.
Hikmah daripada penderitaan itu menyebabkan beliau mencari kaedah rawatan, terutama berkaitan pemakanan dan kesihatan. Dari situ, minat melanjutkan pelajaran dan menimba ilmu mengenainya mulai timbul.
Beliau melanjutkan pengajian di International University Complimentary, Calcutta, India, bermula daripada peringkat diploma pada 1994 seterusnya menerima sarjana pada 2002 dan doktor falsafah (Phd) pada 2004.
“Saya tidak akan pandang ke belakang lagi, saya percaya bidang ini jalan sebenar untuk saya meneroka dunia perniagaan.
“Saya bersyukur, kegagalan dan pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk tabah dan lebih bersedia dalam dunia yang penuh cabaran ini,” katanya.
>Profil
NAMA: Prof Dr Ahmmad Sabri Zonkaply
UMUR: 44 tahun
JAWATAN: Pengasas Sabjack Resources Sdn Bhd
ASAL: Kuala Kangsar, Perak
PENDIDIKAN: Diploma, Sarjana dan Doktor Falsafah Sains Perubatan Alternatif, International University For
Complimentary, Calcutta, India
ISTERI: Lily Md Saleh
ANAK: Atiqah (17), Aqilah (15), Athirah (8) dan Alesya (6)
ANUGERAH: Usahawan Berjaya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)