Penangan lintah Asmadi

USIANYA genap 28 tahun 14 Mei lalu, namun pemilik nama Asmadi Awang ini memiliki segala-galanya — keluarga bahagia dengan isteri dan seorang anak perempuan comel, rumah teres dua tingkat, kereta mewah Volvo jenis S60 bernilai hampir RM200,000 serta syarikat sendiri.

Dalam usia semuda itu, anak kelahiran Manir, Terengganu ini yang kini berjawatan Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech Sdn Bhd, memiliki 70 kakitangan untuk menguruskan syarikat miliknya.

Kejayaan yang boleh disifatkan berlaku sekelip mata itu semuanya hasil `penangan’ lintah, cacing dan belut. Daripada satu syarikat induk, Art Soulist Holdings Sdn Bhd yang ditubuhkan 1999, ia kini ‘beranak’ kepada lima anak syarikat.

Antaranya, Art Soulist Commercial Sdn Bhd; Art Soulist Marketing Sdn Bhd; Art Soulist Plantation Sdn Bhd dan Art Soulist Factory Sdn Bhd.

Melalui syarikat berkenaan, tiga haiwan itu bukan saja diternak, tetapi turut diproses sehingga menjadi bahan separuh siap dan siap, antaranya Minyak Lintah Tapa Plus, Absolut, DD Slim, Tapa Cafe, Tapa Pam Vacum dan Tapa Teruna Jus.

Produk dihasilkan itu merangkumi kesihatan lelaki, wanita, kosmetik, pertanian dan ekstrak. Pengedarannya tidak terhad di negara ini, malah sampai ke Dubai, Korea Selatan, China, Vietnam, Thailand, Singapura dan bakal ke Eropah.

Art Agrotech Sdn Bhd turut mempunyai ribuan vendor atau usahawan dengan bilangan menternak lintah seramai 1,000 vendor; cacing (500) dan belut (300) di seluruh negara.

“Saya terkejut dan tak percaya dengan apa yang diperoleh. Semua ini rezeki kurniaan Allah SWT. Begitupun, sebelum sampai ke tahap ini, pelbagai cabaran dan dugaan dilalui, malah ada yang kata saya gila buat kerja ini (ternak lintah),” katanya.

Usia muda terbukti bukan halangan untuk Asmadi berjaya kerana baginya jika ada kemahuan, di situ ada laluan untuk melakar kejayaan.

Sebenarnya, Asmadi tiada latar-belakang berniaga, jauh sekali dilahirkan dalam keluarga perniagaan, tetapi semuanya kerana minat, kesungguhan dan keyakinan.

“Ayah mahu saya jadi ustaz, sebab itu saya dimasukkan ke sekolah menengah agama, namun selepas saya diterima ke UPM dalam bidang perikanan, dia beri sokongan,” katanya.

Ketika kecil, anak keempat daripada sembilan beradik itu didedah kepada dunia perniagaan apabila menjual nasi lemak ibunya, Kelethum Abdul Rahman di sekolah.

“Adik-beradik saya ramai dan kami hidup susah sehingga pernah berkongsi makanan. Justeru, saya tak malu jual nasi lemak di sekolah bermula dari darjah tiga hingga enam kerana mahu bantu emak,” katanya.

Selepas berjaya menggenggam Diploma Perikanan daripada UPM, Asmadi mengikuti pengajian di Kustem (Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia) dalam bidang agro teknologi.

Ketika rakan lain sibuk mengulang kaji pelajaran, Asmadi sibuk menguruskan kolam ikan peliharaannya seluas 0.16 hektar di Padang Midin, Kuala Terengganu pada 2000.

“Kolam itu bisnes pertama saya dan ia wujud hasil cabaran pensyarah yang mahu saya praktikkan ilmu dipelajari. Sebelumnya, kolam itu diternak udang dan kami mengumpul modal hampir RM30,000 untuk mengambil alih dan mengusahakannya dengan ternakan ikan talapia, keli, baung dan patin.

“Pada masa itu keyakinan saya hanya 50 peratus kerana tidak pernah terbabit dalam apa-apa perniagaan dan hanya berdasarkan ilmu dipelajari,” katanya yang menubuhkan syarikat Nabil Aqua Gold ketika itu.

Begitupun, katanya, perniagaan itu hanya bertahan tiga tahun apabila satu pagi ketika dia bersemangat untuk mengutip hasil ternakan, semua ikan mati, dipercayai terkena racun.

Asmadi menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit, termasuk menggaji tiga kakitangan selain menerima deposit daripada pemborong.

Selepas kejadian itu Asmadi ‘menyembunyikan’ diri akibat kekecewaan dengan bekerja kilang. Mungkin tertulis rezekinya pada lintah, pada 2005, dia bertemu rakan sekampung yang ketika itu mengusahakan produk lintah dengan jenama Minyak Lintah Tapa sejak 1990-an.

Hasil pertemuan itu, rakannya memerlukan lintah dalam kuantiti banyak dan mereka turut berbincang mempelbagaikan produk lintah. Yang menjadi masalah, kata Asmadi, lintah sukar dicari kerana tiada sesiapa mengusahakannya secara komersial.

Berikutan itu, dia menjelajah ke seluruh negara untuk mencari lintah, termasuk meminta bantuan daripada Orang Asli dengan bayaran RM30 sekilogram.

“Apabila masuk ke kampung dan memberitahu saya nak beli lintah, ada yang terkejut dan kata saya gila. Ada juga berkata kenapa cari lintah, sedangkan banyak benda lain boleh dibuat.

“Setiap hari saya cari di merata tempat dan dalam sebulan saya hanya dapat 100 kilogram. Disebabkan tiada orang ternak lintah, saya bersama rakan melakukannya dengan permulaan 10 kolam di Kuala Berang,” katanya.

Lebih mengharukan, kata Asmadi, pihak yang dulunya memperlekeh bidang berkenaan kini antara usahawan lintah berjaya.

Sejak menternak lintah, dia bersama dua sahabat yang juga rakan kongsi, iaitu Zamri Ibrahim (Pengarah Urusan Art Soulist) dan Syed Osman Ismail (Pengerusi Art Soulist) berusaha gigih mempelbagaikan produk dan kajian.

“Mereka berdua juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai dunia perniagaan. Tanpa mereka, saya tidak akan ada di tahap ini,” katanya.

Asmadi yang ada ilmu agro teknologi mempraktikkannya melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D); mewujudkan teknologi sendiri dan menghasilkan produk hasil gabungan pengalaman dan idea bersama rakan kongsi.

Kini, dengan kilang sendiri di Ajil, Terengganu, mereka mengeluarkan 35 produk, selain mempunyai seorang wakil di setiap negeri yang mengumpul bahan dari seluruh negara.

Selepas lintah, belut dan cacing, Asmadi merancang menternak lipas yang diakui golongan berusia berkhasiat untuk rawatan resdung dan muka.

“Idea untuk menternak ini timbul secara tidak sengaja selain melihat keadaan sekeliling, misalnya, ketika melawat seorang rakan, ada seorang warga emas menggunakan lipas yang ditumbuk dan diletakkan di muka, dakwanya untuk rawat resdung,” katanya.

PROFIL

NAMA: Asmadi Awang

USIA: 28 tahun

LAHIR: 14 Mei 1980 di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Terengganu

JAWATAN: Pengarah Eksekutif Art Soulist Agrotech Sdn Bhd

ISTERI: Asmah Junoh

ANAK: Asnida Nabila (4)

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tengah, Terengganu; Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Terengganu; Diploma Perikanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Terengganu; Ijazah Sarjana Muda Agro Teknologi Kustem (Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia) kini UMT (Universiti Malaysia Terengganu)

Petani warisan datuk

“JABATAN Pertanian? Jenama beras? Patani di Siam (Thailand) ke? Itu antara tanggapan pelanggan ketika saya mula-mula memperkenalkan jenama Petani secara komersial pada 1995,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zulkifli Bamadhaj (M) Sdn Bhd, Zulkifli Khalid.

Katanya, ketika itu, beliau baru berjinak-jinak mengembangkan semula perniagaan yang diusahakan ayah, Khalid Ahmad, 74, dan ibunya, Mahani Abdullah, 71, menyebabkan dia hampir bosan dan berputus asa apabila kerap diajukan soalan sama ketika mempromosikan produk keluaran syarikat keluarganya.

Menurut Zulkifli, keluarganya tidak memberinya banyak pilihan apabila menyuruhnya mewarisi perniagaan keluarga yang diusahakan sejak 1965 itu.

“Keluarga hanya beri dua pilihan sama ada jadi petani di kebun kelapa sawit atau usahakan perniagaan berasaskan herba dan tradisional jenama Petani.

“Pada mulanya saya ikut ayah masuk ke kebun, selepas mencuba beberapa hari saya tidak sanggup kerana kerja sebagai petani terlalu berat dan buat keputusan untuk majukan jenama Petani walaupun ketika itu perniagaan dalam keadaan sakit,” katanya.

Mengimbas sejarah, Zulkifli berkata Jenama Petani pada mulanya dihasilkan datuknya pada 1965 ketika bekerja sebagai pemutar filem di sebuah panggung wayang di Muar.

Bagi mencukupkan perbelanjaan keluarga, Ahmad membuat perniagaan sambilan menghasilkan minyak urut yang diberi jenama Petani dan dijual di depan panggung wayang setiap hari.

“Jenama Petani dicipta sendiri datuk saya dengan menggambarkan dirinya yang pernah menjadi petani di sebuah perkampungan kecil, sebelum berhijrah ke bandar Muar,” kata Zulkifli.

Menurutnya, pada ketika itu datuknya menghasilkan sendiri minyak urut dan majun. Setiap hari beberapa orang kampung akan datang ke rumahnya membawa raga dan mengambil barangan untuk dijaja dengan berjalan kaki, dan setiap penjaja akan diberi komisen daripada hasil jualan.

Perniagaan Ahmad itu kemudiannya diwarisi anaknya, Khalid sebelum tiba pula giliran Zulkifli selaku cucu Ahmad dan satu-satunya anak lelaki Khalid.

Zulkifli berkata, pada awal pembabitan dalam perniagaan keluarga, dia hanya diberi sebuah van yang dimuatkan dengan produk yang dikeluarkan syarikat milik bapanya, tanpa wang sesen pun untuk memulakan perniagaan.

Berbekalkan van yang separuh penuh dengan muatan berisi majun dan minyak urut itu, Zulkifli membuat perjalanan hampir setiap hari dan tunai yang diraih, digunakan sebagai modal pusingan untuk menambah barangan yang kehabisan stok, sebelum meneruskan perjalanan untuk hari-hari seterusnya.

“Ayah hanya menasihatkan di mana ada jalan, di mana ada lorong, di mana ada kedai, pergi masuk dan jual barang yang dibawa dan formula yang diturunkan itu diguna pakai sehingga kini malah dimantapkan dengan pelan pemasaran terbaru.

“Walaupun perit ketika itu ditambah dengan jenama Petani yang masih belum dikenali saya teruskan usaha kerana tidak mempunyai pilihan kerana saya sedar ia sebenarnya lebih baik berbanding ketika saya bekerja makan gaji di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, baru merangkak naik dalam perniagaan, sekali lagi beliau dikejutkan dengan arahan kerajaan setiap produk herba dan tradisional wajib mendapat kelulusan Lesen Amalan Pengilangan Baik (GMP) daripada Kementerian Kesihatan pada 1998.

Namun arahan itu tidak mematahkan semangatnya, malah disahutnya dengan positif dan kini semua produk jenama Petani turut mempunyai kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Biro Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan.

Katanya, walaupun ketika itu fikiran kusut memikirkan mencari dana bernilai RM60,000 bagi memperolehi lesen namun beliau berikhtiar kerana sedar syarat yang ditetapkan akan membawa perubahan yang lebih baik terhadap produk keluaran syarikatnya.

“Ketika itu memang tidak ada duit sebanyak itu. Saya cuba pinjam dengan insitusi kewangan tetapi tidak dilayan berikutan rekod kurang baik malah seorang pegawai Mara ketika memberi jawapan sinis industri herba tidak ada dalam senarai untuk pinjaman.

“Tergugat sedikit semangat ketika itu tetapi alhamdulillah berkat duit yang dipinjam daripada keluarga, saya berjaya mengatasi cabaran itu. Saya juga buat perjanjian dengan kontraktor untuk membuat bayaran secara ansuran bagi membina kilang dan mengekalkan hubungan baik dengan semua pembekal.

“Akhirnya perusahaan keluarga yang sekian dijalankan di rumah berpindah ke kilang baru di Kawasan Perindustrian Bukit Bakri. Sejak itu, bermula sejarah perniagaan saya dijalankan secara lebih komersial,” katanya.

Zulkifli berkata, perniagaannya bertambah baik apabila masyarakat negara ini mula berubah dan menerima produk berasas herba serta alam semula jadi pada 2002.

Katanya, pemerhatiannya mendapati pada 199 kebanyakan pengguna produk herba dan tradisional berusia 45 tahun ke atas tetapi trend mulai berubah sejak 2002 apabila pengguna berusia lewat 20-an mula berminat menggunakan produk itu.

Penerimaan baik masyarakat pengguna termasuk golongan muda terhadap produk Petani, membolehkan operasi syarikat pantas berkembang daripada cuma lapan pekerja kepada 70 orang pada hari ini.

Jika ketika awal perniagaan diasaskan pada 1965 jenama Petani hanya tertera pada dua produk, kini syarikat itu menghasilkan lebih 40 jenis produk yang diedarkan di lebih 2,000 kedai dan cawangan niaga di seluruh negara.

Jenama Petani boleh diperoleh di Farmasi Pusrawi, sebuah kaunter pameran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang dan beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara.

Antara produk berjenama Petani ialah majun, kapsul kacip fatimah manjakani plus untuk wanita dan kapsul ubijaga tongkat ali plus untuk lelaki.

>Profil

Nama: Zulkifli Khalid

Usia: 36 tahun

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Zulkifli Bamadhaj (M) Sdn Bhd, Zulkifli Bamadhaj Beveragers Industries, Sumandale Health & Beauty Industries

Tempat lahir: Muar, Johor

Pendidikan: Diploma Pemasaran

Adik-beradik: Anak kedua daripada dua beradik.

Safinah ratu teh herba

PRINSIP ‘yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek’ menjadi iltizam yang menguatkan keinginan Safinah Yaakob meneruskan impian untuk berjaya dalam perniagaan, sekalipun pernah kerugian RM1 juta ketika menjalankan perniagaan pengiklanan selama 11 tahun sejak 1991 hingga 2002.

Malah, ketika jatuh teruk dalam menjalankan perniagaan pengiklanan melalui Sofina PR and Advertising Agency, yang dijalankannya, Safinah terpaksa turun naik mahkamah selama dua tahun dari 2002 hingga 2004 akibat ‘perbalahan’ dengan pelanggan.

Beliau bukan saja kehilangan modal pusingan perniagaan, bahkan terpaksa menanggung kos guaman dan pembiayaan mahkamah yang membebankan, sehingga hidup Safinah dan keluarga ketika itu ‘sesak’ dan hanya bergantung pada pendapatan suami, Dr Muhammad Hakim Abdullah, untuk menyara hidup keluarga.

Kerana itu Syafinah terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dan perniagaan untuk membantu suami menyara hidup dan empat cahaya matanya.

Bagi wanita berasal dari Tanjung Malim, Perak ini, kegagalan dalam perniagaan adalah pengajaran dan ilmu yang sangat berguna sebelum beroleh kejayaan walaupun pengalaman itu sangat menyeksakan, apatah lagi mengharungi dunia perniagaan yang penuh dengan onak dan cabaran.

Sebagai permulaan untuk kembali ‘bernafas’ dalam perniagaan, Safinah menjalankan perniagaan menjual tudung, termasuk pakaian tradisional seperti baju kurung. Dalam masa sama, sekitar 2002, beliau turut mengendalikan taman asuhan kanak-kanak (Taska) miliknya di Jalan Ulu Klang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Safinah menyedari perniagaan itu sukar dikembangkan memandangkan tidak berpengalaman luas dan persaingan dalam perniagaan berkenaan, tambah pula Taska dikendalikannya kurang mendapat sambutan berikutan lokasi kurang sesuai.

Lantaran itu, Safinah memilih jalan alternatif untuk mencari perniagaan lebih kukuh untuk dimajukan, dan ketika itu beliau hanya memikir untuk menjalankan perusahaan berasaskan herba kerana ia ada pasaran dan potensi besar.

Selain itu, dengan minat mendalam dalam bidang pengiklanan dan pengurusan pameran serta pertunjukan, beliau menubuhkan Gitex (M) Sdn Bhd (Gitex) pada 2002, yang membawa erti ‘Global International Trade Exhibition’ bertujuan membawa dunia kepada perniagaan, daripada pengusaha kecil kepada antarabangsa.

Dalam masa sama, melihat pelbagai perniagaan yang tumbuh bagai cendawan, terutama perniagaan kopitiam dan aneka produk berasaskan kopi, beliau mula terfikir untuk memajukan produk berasaskan teh herba.

Beliau juga berazam menjayakan sebuah restoran kafe minuman teh dan dalam masa sama ingin menghasilkan produk sendiri berasaskan teh herba. Bagi memenuhi impiannya, beliau menubuhkan syarikat, Warisan Asal Sdn Bhd.

Menurut Safinah, idea itu timbul ketika mengikuti rombongan bersama suami melawat perkampungan Orang Asli di Selangor. Beliau dapati, kebanyakan mereka masih bergantung hidup dengan pelbagai jenis herba untuk keperluan harian, termasuk perubatan.

Katanya, beliau dan suami ketika itu memikirkan herba Melayu sangat berpotensi dimajukan, malah secara tradisi ia juga digunakan sejak turun temurun, cuma kurang dikomersialkan ketika itu.

“Lagi pula, bahan mentah iaitu herba yang diperlukan mudah didapati. Malah, ia boleh ditanam sendiri tanpa memerlukan bahan yang diimport,” katanya.

Bagaimanapun, kata Safinah, usaha yang ingin dilaksanakannya bukan mudah kerana ia memerlukan pengetahuan dan penyelidikan untuk mengenal pasti herba yang sesuai dijadikan ramuan teh berkhasiat.

Dengan bantuan suami dan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Safinah menjalankan penyelidikan terhadap herba yang berpotensi dijadikan minuman, selain mengenal pasti khasiat dalam herba berkenaan.

“Saya tangguhkan dulu niat membuka restoran kerana ingin menumpukan perhatian dalam penyelidikan herba yang sesuai dijadikan teh. Saya benar-benar bermula dari bawah memandangkan saya tiada asas mengenainya,” katanya.

Hampir dua tahun menggerakkan penyelidikan, beliau menghasilkan tiga jenis teh herba iaitu berasaskan limau purut, serai dan misai kucing.

Dalam pada itu, beliau terlebih dulu mengetengahkan produk kesihatan iaitu ‘Neem Capsule’, iaitu produk berasakan kelapa muda dara.

Kini, syarikat miliknya menghasilkan 22 jenis teh herba, daripada ulam raja, asam gelugor, daun limau purut, daun pegaga, daun kesum, emas cotek, hempedu bumi, daun selom, daun asam paya dan misai kucing.

Katanya, teh herba ini ini berfungsi menjaga kesihatan dan setiap teh herba yang dihasilkan masing-masing ada kelebihan sendiri.

“Saya hasilkan juga pelbagai produk berasaskan kelapa ketika itu, namun fokus tetap pada penghasilan produk teh herba. Ia lambat dipasarkan kerana saya mementingkan penjenamaan dan aspek pembungkusan yang sesuai kerana mahu produk ini ‘kekal’ lama di pasaran,” katanya.

Bagi menguatkan promosi produk, beliau menjalin kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan dalam masa sama memperkenalkan produk itu melalui restoran Malay Tea House yang beliau buka awal tahun ini.

Pada masa sama satu lagi syarikatnya, Gitex menganjurkan program mengenai pasaran herba, antaranya Herbal Asia 2004 dan berlanjutan hingga Herbal Asia ke Lima pada Mei lalu.

Selain itu, melalui kerjasama melalui Fama dan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), produk keluaran syarikat milik Safinah mula menjangkau pasaran antarabangsa iaitu ke China dan Afrika Selatan.

PROFIL

NAMA: Safinah Yaakob

USIA: 37 tahun

LAHIR: Tanjung Malim, Perak

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif, Herba Asia dan Pengurus Besar Warisan Asal Sdn Bhd

SYARIKAT: Warisan Asal Sdn Bhd dan Gitex Sdn Bhd

SUAMI: Dr Muhammad Hakim Abdullah

ANAK: Muhammad Hadi Daniel (14), Syahirah (13), Muhammad Hail Harris (11) dan Muhammad Hazim Shaqir (4)

PENDIDIKAN: Diploma Lukisan dan Grafik, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

ANUGERAH: Anugerah Khas Generasi Peneroka Felda Cemerlang kategori Tokoh Usahawan (2005)

Ketepi keropok untuk herba

BELIAU menempatkan diri dalam dunia perniagaan berbekalkan tekad menjadi usahawan berjaya, namun cabaran dan saingan sengit yang perlu dilaluinya tidak seperti disangka.

Penat lelah Prof Dr Ahmmad Sabri Zonkaply, 44, selama 10 tahun lebur begitu saja apabila perniagaan sebagai pembekal pelbagai jenis keropok ikan dan pasar tani yang diusahakannya selama dua tahun sekitar 2005 hingga 2007 mengalami kerugian mencecah RM300,000.

Bukan saja terpaksa menanggung kerugian, malah Prof Dr Ahmmad kehilangan sebahagian harta benda miliknya seperti kereta mewah dan hak perkongsian sebuah kilang yang beroperasi sebagai stor bekalan dan mengilang keropok di Klang, Selangor.

Lebih mengecewakan, beliau terpaksa menanggung beban pinjaman bank sebanyak RM80,000 sejak menjalankan perniagaan milik keluarga itu bermula 1997.

Kegagalan itu mengundang rasa kesal yang mendalam kerana sebelum itu beliau mengabaikan klinik rawatan alternatif, terapi holistik, yang diusahakannya sejak 1994 kerana terlalu menumpukan perhatian kepada perniagaan.

Namun, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini memiliki semangat kental dan tidak mengenal erti kalah. Kegagalan kali pertama dalam perniagaan tidak melemahkan semangat beliau untuk bangkit semula.

Satu pengajaran yang beliau pelajari daripada kegagalan itu ialah, menempuhi dunia perniagaan bukan hanya perlu bijak dalam pengurusan, malah pengalaman serta pengetahuan menjadi aset berguna yang menentukan kejayaan.

Sukar membayangkan, ketika menjalankan perniagaan itu, beliau pernah meraih pendapatan RM60,000 sebulan. Malah, beliau pernah menerima anugerah Usahawan Berjaya daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) kerana pencapaiannya ketika itu.

“Dalam sekelip mata segala-galanya berubah. Saya menanggung kerugian hampir RM150,000 setahun. Atas sebab itu saya mula berfikir apa kelemahan dan punca yang menyebabkan saya ‘jatuh’ begitu teruk,” katanya.

Prof Dr Ahmmad sedar, ‘kepakaran’ yang dimilikinya bukan dalam perniagaan berkenaan. Ini kerana, beliau menceburinya tanpa mengetahui selok-belok urusan perniagaan membabitkan pembekalan makanan.

Beliau juga gagal menyaingi pesaing daripada kalangan pembekal keropok yang tumbuh bagai cendawan ketika itu sehingga menyebabkan beliau kehilangan ramai pelanggan tetap.

Prof Dr Ahmmad juga tidak dapat menangani persaingan harga dengan pembekal lain yang menawarkan harga jauh lebih murah, selain dibebani peningkatan kos bahan mentah dan masalah pekerja.

“Saya mempunyai latar belakang dan kemahiran dalam bidang lain, iaitu rawatan terapi holistik atau kaedah rawatan kesihatan dan pemakanan.

“Saya terfikir semula, jika ingin kembali menerjah dunia perniagaan, saya perlu bermula dengan minat dan kepakaran yang ada pada saya,” katanya.

Lantaran itu, Prof Dr Ahmmad terus melupakan perniagaan sebagai pembekal keropok ikan dan pasar tani, sebaliknya kembali membuka klinik rawatan alternatif pada Ogos lalu, selain turut membuka syarikat Sabjack Resources Sdn Bhd yang memainkan fungsi menghasilkan produk kesihatan berasaskan herba berjenama SabJack.

Memandangkan bidang itu ada potensi besar untuk dimajukan sebagai perniagaan, beliau mengorak langkah awal melakukan kajian untuk menghasilkan pengeluaran produk seperti pil, minuman dan pelbagai ubatan kesihatan.

“Saya percaya bidang holistik, terutama pengambilan pemakanan berasaskan herba untuk kesihatan, ada potensi untuk dikembangkan.

“Bukan semua orang memilih rawatan moden dalam soal pemakanan dan kesihatan seperti pengambilan vitamin serta ubat-ubatan, ada yang memilih sebaliknya iaitu rawatan alternatif berasaskan herba yang juga gabungan antara perubatan moden dan tradisional,” katanya.

Selain menguruskan klinik yang mulanya beroperasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, beliau menghasilkan produk pertama, CBS (Cell Booster Spray) iaitu sejenis cecair daripada pelbagai herba dan garam kristal untuk rawatan tirod, lebihan asid dalam badan dan masalah penghadaman.

Produk berkenaan hanya dijual kepada pesakit dan jualan melalui Internet serta laman web, http://www.sabjack.com. Ia terjual 4,000 botol ketika itu.

Dalam masa sama, beliau menghasilkan produk herba dan kesihatan lain seperti D’Tox, E’Raq, O’Vari dan H’elin yang ada pelbagai khasiat untuk mengatasi masalah kesihatan membabitkan lelaki, perempuan mahupun untuk kegunaan keluarga.

“Jualan produk ini mulanya hanya tersebar di kalangan pesakit yang saya rawat serta kenalan mereka. Namun tanpa saya duga, ia banyak membantu mempromosi produk berkenaan,” katanya.

Bagi mengembangkan operasi syarikat, beliau membuka klinik baru di Taman Putra, Ampang, Selangor dan mempelbagaikan produk kesihatan rawatan terapi holistik.

Dalam tempoh enam bulan, beliau menghasilkan 13 jenis produk kesihatan, sama ada berbentuk pil, cecair, minuman dan krim. Antara produk yang mendapat sambutan ialah Sabjack Gamat Mas, kopi pracampuran Perkasa dan Air Sinar.

Prof Dr Ahmmad berkata, produk Sabjak Gamat Mas, iaitu ubat jenis cecair bagi rawatan kulit, penghadaman, sistem peranakan, masalah keletihan, penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung antara produk paling laris.

“Sejak dipasarkan, kira-kira RM300,000 diperoleh. Malah, ramai pembeli kata produk berkenaan memberi kesan ‘menakjubkan’. Ini kerana kesan penggunaan gamat dan campuran herba yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Prof Dr Ahmmad berkata, sokongan keluarga dan rakan terdekat dalam memajukan perniagaan turut memainkan fungsi untuk beliau menjadi lebih yakin dan sedia berdepan turun naik dunia perniagaan.

“Pernah saya kekurangan modal, tetapi keluarga dan rakan segera memberi bantuan. Dari situ saya melihat perniagaan sebenarnya tidak boleh bergantung pada diri sendiri saja, tetapi membabitkan semua orang di sekeliling kita.

“Syukur isteri, Lily Md Saleh, banyak memberi dorongan. Begitu juga rakan yang menjadi tulang belakang saya dalam perniagaan ini, iaitu Jasmin Mohd Zain dan Rusli Leman,” katanya.

Mengenai pengalaman selama terbabit dalam rawatan alternatif, beliau berkata, ia bermula kerana minat yang terpendam sejak kecil.

Ia bermula apabila beliau mengalami masalah kesihatan pada zaman remaja. Beliau menghadapi masalah penghadaman dan sukar mengunyah makanan sehingga hancur.

“Saya hanya boleh makan sayuran. Bukan itu saja, saya terpaksa makan perlahan-lahan dan mengunyah makanan berhati-hati.

“Selain itu, ketika berusia 11 tahun, saya tidak boleh memakai pakaian berwarna terlalu terang dan melihat serta-merta warna gelap atau terang. Saya juga tidak boleh marah atau terlalu banyak berfikir kerana ia mengganggu sistem badan saya,” katanya.

Hikmah daripada penderitaan itu menyebabkan beliau mencari kaedah rawatan, terutama berkaitan pemakanan dan kesihatan. Dari situ, minat melanjutkan pelajaran dan menimba ilmu mengenainya mulai timbul.

Beliau melanjutkan pengajian di International University Complimentary, Calcutta, India, bermula daripada peringkat diploma pada 1994 seterusnya menerima sarjana pada 2002 dan doktor falsafah (Phd) pada 2004.

“Saya tidak akan pandang ke belakang lagi, saya percaya bidang ini jalan sebenar untuk saya meneroka dunia perniagaan.

“Saya bersyukur, kegagalan dan pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk tabah dan lebih bersedia dalam dunia yang penuh cabaran ini,” katanya.

>Profil

NAMA: Prof Dr Ahmmad Sabri Zonkaply

UMUR: 44 tahun

JAWATAN: Pengasas Sabjack Resources Sdn Bhd

ASAL: Kuala Kangsar, Perak

PENDIDIKAN: Diploma, Sarjana dan Doktor Falsafah Sains Perubatan Alternatif, International University For

Complimentary, Calcutta, India

ISTERI: Lily Md Saleh

ANAK: Atiqah (17), Aqilah (15), Athirah (8) dan Alesya (6)

ANUGERAH: Usahawan Berjaya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)

Usahawan tani disaran ceburi kaedah organik

SUBANG 4 Nov. – Golongan usahawan tani disaran menceburi pertanian organik kerana hasil tanaman jenis itu membawa pulangan lebih tinggi dan lumayan berbanding pertanian konvensional.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sedar bahawa pertanian organik di negara ini masih kurang diamalkan oleh para petani berbanding dengan Thailand dan Vietnam.

Katanya, ini terbukti apabila keluasan tanaman organik di Malaysia sekarang hanya mencecah 1,000 hektar atau lebih kurang 0.01 peratus daripada keluasan kawasan pertanian di negara ini.

“Hampir 80 peratus bekalan produk organik dalam negara diimport dari Australia dan New Zealand, kekacang dan rencah perisa dari China, manakala produk diproses dari Thailand, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya pada Persidangan Kebangsaan Pertanian Organik 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementeriannya, Datuk Dr. Baharom Jani.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian, Sulaiman Md. Zain dan Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Dr. Mohd. Yusoff Abdullah.

Mustapa berkata, apa yang memberangsangkan ialah kadar pertumbuhan permintaan produk berasaskan organik seperti sos meningkat setiap tahun kepada lebih 30 peratus setahun.

“Ini semua merupakan peluang kekayaan baru yang boleh direbut daripada pertanian organik,” ujarnya.

Mustapa turut menyeru agensi-agensi di bawah kementerian itu termasuk MARDI dan Jabatan Pertanian agar bersama-sama membangunkan industri pertanian organik yang baru itu.

Sementara itu, pada sidang akhbar sejurus selepas persidangan itu, Abd. Shukor berkata, MARDI menyasarkan sebanyak 20,000 hektar diusahakan dengan tanaman organik menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, untuk menangani cabaran itu, MARDI telah membangunkan kawasan ladang seluas lima hektar di Serdang sebagai tapak kajian pertanian organik.

Jelasnya, kajian ekosistem organik dijalankan di kawasan yang berfungsi sebagai ‘makmal hidup’ itu bagi mengumpulkan maklumat-maklumat penting dalam penanaman secara organik.

“Maklumat kajian itu boleh dikongsi bersama dengan petani dan pengusaha yang berminat mengusahakan pertanian organik,” ujarnya.

Kerajaan tawar pinjaman bina kapal pukat tunda


LUMUT 4 Nov. – Kerajaan bersedia memberi pinjaman kepada nelayan bumiputera yang berminat membina kapal pukat tunda dan kapal pukat jerut bagi menggalakkan mereka meneroka perikanan laut dalam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, pinjaman dalam bentuk modal pusingan yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu layak dipohon oleh semua nelayan bumiputera dengan syarat mereka menubuhkan koperasi.

Beliau berkata, memandangkan kapal pukat tunda dan kapal pukat jerut berharga kira-kira RM3 juta sebuah, SKM bersedia menawarkan pinjaman maksimum RM10 juta kepada koperasi yang memohon.

“Kita harap nelayan termasuklah bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpengalaman mengendalikan kapal bersedia untuk meneroka bidang perikanan laut dalam.

“Mereka boleh melibatkan diri dalam bidang ini dengan menubuhkan koperasi dan kita akan memberi pinjaman maksimum RM10 juta yang membolehkan mereka membina tiga buah kapal pukat tunda atau kapal pukat jerut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran kapal nelayan di bawah program pembasmian kemiskinan melalui koperasi di Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIMET) di sini hari ini.

Menurut Noh, penggunaan kapal moden membolehkan nelayan menambah pendapatan dan sekali gus membawa mereka keluar daripada kemiskinan.

Selain menambah hasil tangkapan, beliau berkata, hasil tangkapan laut yang diperoleh melalui kapal-kapal moden itu boleh digunakan oleh penduduk kampung untuk memajukan industri hiliran seperti membuat keropok, cencaluk, belacan dan makanan dalam tin.

Dalam pada itu, kata Noh, beliau berbangga dengan UniKL MIMET kerana menjadi universiti tempatan pertama di negara ini berjaya membina kapal.

“Kerja-kerja membina dua buah kapal pukat tunda dan dua kapal pukat jerut membabitkan peruntukan RM12 juta ini dijalankan secara bersama oleh UniKL MIMET dengan Koperasi Pembangunan Rakyat Pahang Berhad (KPRPB) dan Syarikat WMA Resources Sdn. Bhd.

“Mengikut jadual, keempat-empat kapal ini mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan tetapi UniKL MIMET dan dua syarikat terlibat dalam projek ini berjaya menyiapkannya lebih awal iaitu hanya tujuh bulan,” katanya.

Kapal-kapal tersebut hari ini diserahkan kepada KPRPB untuk dibawa ke Pahang dan sedia digunakan oleh nelayan-nelayan yang menjadi ahli koperasi itu di Rompin, Pekan dan Kuantan yang berjumlah kira-kira 550 orang.

Pakar teknologi cendawan berhimpun

Dr. Noorlidah Abdullah dan Dr. S. Vikineswary menunjukkan penyelidikan mereka mengenai cendawan di Universiti Malaya. – Gambar hiasan


Bila bercerita mengenai cendawan apa yang terbayang hanya cendawan tiram kelabu yang popular di kalangan penanam.

Tetapi sebenarnya terdapat banyak jenis cendawan di negara ini memandangkan biodiversiti yang tinggi.

Bagaimanapun di negara ini industri cendawan masih di peringkat awal dan masih memerlukan banyak usaha untuk membangunkannya.

Malaysia yang terletak di kawasan khatulistiwa amat bertuah kerana mempunyai pelbagai spesies cendawan yang berpotensi dimajukan dalam industri makanan dan perubatan.

Justeru Pusat Penyelidikan Cendawan Universiti Malaya (UM), Persatuan Cendawan Malaysia, Jabatan Pertanian dan Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) menganjurkan Persidangan Cendawan dan Foray 2008.

Persidangan yang membincangkan mengenai pandangan global mengenai industri cendawan akan diadakan pada 27 hingga 29 November ini di Fakulti Sains UM.

Persidangan berkenaan diharap dapat menyediakan landasan bagi pakar-pakar dari seluruh dunia bagi memindahkan teknologi dan inovasi terkini dalam industri cendawan kepada usahawan tempatan.

Di persidangan itu, usahawan juga boleh bertukar-tukar idea dan pengalaman dengan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan seperti penyelidik dan penanam cendawan.

Persidangan yang akan membincangkan mengenai sumber cendawan dan peningkatan strain, inovasi penanaman cendawan dan produk cendawan serta pemasaran sesuai dihadiri oleh usahawan cendawan, saintis, perbankan, pelajar dan pegawai kerajaan.

Acara sepanjang hari:

lPameran Cendawan Dalam Kehidupan Seharian

lJualan

nMakanan dan minuman berasaskan cendawan

nProduk – produk berasaskan cendawan

nPelbagai jenis cendawan segar

nBarangan batik bercorak cendawan

lDemonstrasi

nMasakan resipi cendawan

nPenjagaan kit cendawan segar

nPenanaman cendawan jerami

Acara lain yang menarik

*Peraduan:

-Mewarna

-Melukis

*Kutip & Kenali Cendawan Liar di laluan semula jadi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)

Ceramah mengenai cendawan

*Makan Cendawan: Hidup Lebih Sihat dan Ceria oleh Prof. Dr. S.T. Chang

*Vermikompos dari sisa penanaman cendawan

*Menjinakkan Cendawan Liar oleh Prof. Dr. Thomas Volk

*Basidiomycetes: Kepelbagaian, Peranan Ekologi and Potensi Nilai Komersial oleh Prof. Dr. E.B.G. Jones

Mereka yang berminat boleh menghubungi Persatuan Penyelidikan Cendawan di 03-7967 6714 atau 012-6511509 (Prof. Noorlidah)

Kecacatan bukan halangan jadi usahawan

Mohd. Khairi Othman memberi makan ikan peliharaannya.


Hati ibu bapa mana yang tidak remuk apabila melihat anak yang lahir ke dunia tidak mempunyai sepasang tangan dan kaki sempurna seperti anak lain.

Sudah pasti lebih gundah-gulana apabila memikirkan masa depan dan kepayahan yang akan ditempuhi permata hati mereka pada hari-hari mendatang.

Bagi pasangan Othman Ali, 75, dan Juliah Ismail, 71, dari Kampung Tanjong Pulai, Pekan, itulah hakikat yang perlu ditempuhi mereka sepanjang 31 tahun lepas setelah dikurniakan seorang anak kurang upaya (OKU), Mohd. Khairi yang hanya mempunyai tangan sehingga paras siku dan kaki di paras lutut.

Walaupun tidak sempurna seperti insan lain, Mohd. Khairi tidak pernah dididik menangisi akan kekurangannya itu.

Hari ini, ibu bapa Mohd. Khairi mampu tersenyum bangga melihat anaknya itu bukan hanya mampu berdikari malah menjadi usahawan akuakultur, satu bidang yang melibatkan banyak aktiviti fizikal.

Semuanya bermula pada lapan tahun lepas, apabila Mohd. Khairi dipujuk sepupunya, Abdul Rashid Nordin agar menternak ikan dalam sangkar di tepi Sungai Pahang.

Meminjam

Beliau, yang memang gemarkan aktiviti memancing, kemudian bersetuju dan meminjam sebuah sangkar daripada sepupunya itu untuk menternak ikan tilapia.

Berkat usaha gigihnya tanpa mengenal jemu, pada hari ini Mohd. Khairi berjaya memiliki 17 sangkar dengan ternakan ikan talapia dan patin hasil usaha gigihnya selama ini.

Beliau berkata, antara 600 dan 700 kilogram ikan bernilai kira-kira RM4,000 dapat dijual di pasar sekitar Pekan pada setiap pusingan hasil iaitu lima bulan sekali.

Mungkin pendapatan yang puratanya kira-kira RM800 sebulan itu tidak berskala besar, namun bagi insan istimewa seperti Mohd. Khairi, ia cukup bermakna dalam membantu kehidupannya sekeluarga.

Rutinnya, Mohd. Khairi akan berkerusi roda dari rumahnya sebelum menuruni anak tangga ke sangkar ikan menggunakan kedua-dua lengan dan pehanya.

Beliau kemudian memberi makan ikan dengan mengepit bekas berisi makanan ikan (palet), malah kadangkala mengangkat sendiri guni berisi makanan itu ke setiap sangkar ikan.

Beliau juga terpaksa membersih kawasan sangkar daripada sampah sarap yang hanyut ke kawasan sangkar bagi mengelak ikan ternakannya mati.

Aktiviti itu dilakukannya setiap pagi dan petang.

“Dengan keadaan fizikal macam ini, memang banyak cabaran perlu ditempuhi tetapi saya sudah biasa sejak kecil,” kata Mohd. Khairi ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, menurut Mohd Khairi, pada setiap pusingan hasil, beliau akan dibantu beberapa saudara dan rakannya untuk mengeluarkan ternakan ikan berkenaan untuk jualan.

Seorang lagi pemuda OKU, Mohamed Mahidin, 38, dari Kampung Kiambang, Ganchong di sini juga tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk menjadi penternak ikan sangkar yang berjaya.

Bekas pemenang pingat perak acara lompat tinggi pada kejohanan Sukan Paralimpik Asia 1998 di Bangkok, Thailand, itu kini berjaya mengusahakan 18 sangkar ikan talapia dan patin.

Beliau yang mengalami kecacatan di kaki kanan, berkata, penglibatannya dalam bidang akuakultur sejak enam tahun lepas membawa pulangan antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan.

Katanya, hasil ternakan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pengguna terutama di pasar besar Kuantan.

Ditanya kesukaran yang dihadapinya bagi menjayakan projek itu, Mohamed berkata, beliau akan sedaya upaya berusaha mengatasi segala masalah.

“Lagipun saya memang dibesarkan di kawasan kampung, sudah biasa bermain sungai,” katanya.

Namun, katanya, cabaran yang paling besar ialah setiap kali musim banjir yang memaksanya memberhentikan sementara aktiviti penternakan ikan.

Kedua-dua pemuda berkenaan seperti usahawan lain, juga menyimpan hasrat memajukan perniagaan masing-masing.

Dengan kerahan keringat bagi menjayakan perusahaan sangkar ikan tersebut, usaha Mohd. Khairi dan Mohamed telah mendapat perhatian Jabatan Perikanan .

Pada 23 Oktober lepas, kedua-dua pemuda berkenaan telah menerima bantuan menerusi Skim Perkhidmatan Sokongan Akuakultur (SPeKs) yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Ismail Abu Hassan.

Skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan serta meningkatkan pendapatan pengusaha akuakultur melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan.

Bagi Mohd. Khairi bantuan tersebut akan dapat mempertingkatkan pengeluaran hasil ternakannya pada masa akan datang.

“Penambahan sangkar ikan memerlukan modal yang besar dan bantuan ini pasti membantu,” katanya.

Bagi Mohamed, beliau bercadang mengembangkan aktiviti ternakan ikan sangkarnya kepada industri hiliran dengan menghasilkan produk sejuk beku, pekasam dan keropok.

Katanya, melalui pemerhatian yang dilakukannya, kesemua produk berkenaan kini semakin diminati dan mendapat permintaan yang baik di pasaran seluruh negara.