Usaha bantu nelayan miskin

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan untuk mengembangkan industri perikanan dan agrikultur secara serius di Sabah memandangkan negeri itu sangat berpotensi memberikan pulangan lumayan lantaran struktur lautnya yang strategik dan sesuai untuk pelbagai jenis projek.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata berfokus kepada perusahaan rumpai laut, Sabah adalah lubuk yang sangat sesuai berbanding perairan di negeri lain di Malaysia dan sudah terbukti mampu memberikan hasil yang berkualiti.

“Namun, rumpai laut adalah satu penerokaan yang baru dan memerlukan peruntukan yang tinggi. Justeru, bantuan daripada sektor kerajaan dan swasta terutama daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani amat diperlukan untuk melonjakkan lagi industri ini.

“Jika semua agensi dapat bergerak secara bersepadu membantu projek ini, selain pinjaman yang bakal diperoleh daripada Agro Bank sebanyak RM20 juta, saya yakin projek ini akan berjaya mencapai matlamatnya dan memberikan pulangan lumayan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, bagi melonjakkan industri rumpai laut di Sabah, teknologi yang mudah dan lebih berkesan menjadi sasaran LKIM dan penemuan kepada sistem raga nyata menjadi penyelesaian kepada segala masalah yang dihadapi pengusaha sebelum ini.

Dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) pula, Abdul Rahim berkata, meskipun LKIM selama ini menghadapi pelbagai kekangan terutama dari segi tenaga profesional, namun kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah membolehkan pelbagai kajian dan pendedahan potensi rumpai laut berjaya dilakukan.

“Saya positif, berdasarkan permintaan yang tinggi dan kemampuan negara kita yang selama ini mengeluarkan hanya dua peratus rumpai laut dunia, lonjakan kepada pengeluaran akan memberi impak besar kepada industri pertanian negara ini,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan yang difokuskan LKIM kini ialah mengeluarkan nelayan daripada belenggu kemiskinan. Justeru, peruntukan sebanyak RM20 juta yang bakal diperoleh daripada Agro Bank bakal menjadi penjana kepada hasrat itu.

Katanya, selepas berjaya mencapai matlamat itu, barulah LKIM akan memfokuskan pula kepada lonjakan pengeluaran bagi menjadi salah satu negara pengeluar utama rumpai laut yang mampu bersaing dengan negara jiran, Filipina.

“Setakat ini, kita menyasarkan 100 orang peserta. Realitinya, memang ramai pengusaha mahu sertai projek ini tetapi kita beri keutamaan terlebih dulu kepada mereka yang berpotensi dan tinggal berhampiran dengan kawasan pembiakan.

“Apabila sudah berjaya, kita akan kembangkan projek ini kepada pengusaha lain. Saya jangkakan dalam masa lima tahun projek ini akan mencapai matlamatnya,” katanya.

Projek kultur rumpai laut


LKIM perkenal kaedah terkini jana hasil kualiti tinggi

BERTANI di tengah lautan, pendapatan mampu mencecah sekitar RM5,000 hingga RM25,000 sebulan menjadikan pengusaha itu layak digelar petani kaya, apatah lagi hidup di kawasan yang kos sara hidupnya sangat rendah.

Sekali dengar, bagai sukar untuk dipercayai. Namun, selepas dihitung secara logik memang selayaknya mereka mampu memperoleh pendapatan sebanyak itu, jika kena dengan cara dan menggunakan kaedah yang betul.

Itulah senario yang bakal dinikmati lebih 100 penduduk di sekitar Semporna dan ramai lagi di kawasan perairan Sabah apabila projek pengkulturan rumpai laut menggunakan teknologi terkini diperkenalkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Meskipun perusahaan rumpai laut sudah dimulakan sejak berpuluh tahun di situ, namun selama ini hasilnya sering tidak menentu, malah ada yang langsung tidak membuahkan hasil kerana sering berdepan dengan masalah ketidakstabilan cuaca, selain teknologi yang tidak menjamin kualiti pengeluaran.

Ini kerana, sejak sekian lama, pengusaha rumpai laut menggunakan kaedah selari atau dikenali sebagai ‘long line’ yang selalu mendedahkan tanaman itu kepada banyak risiko termasuk kerugian akibat tali yang digunakan putus, selain menyebabkan ia tenggelam ke dasar laut.

KAKITANGAN LKIM memeriksa keadaan rumpai laut yang dibiak menggunakan sistem raga.

Selain itu, kualiti rumpai laut yang menggunakan kaedah lama itu juga rendah serta kuantiti penghasilannya yang tidak menentu akibat diancam hidupan laut seperti penyu yang gemar memakan tanaman itu terutama ketika ia dalam proses matang.

Menyedari industri rumpai laut semakin mendapat permintaan tinggi terutama dari negara pengeluar produk pemakanan dan kesihatan, LKIM sentiasa mencari alternatif menghasilkannya dalam kuantiti yang besar di samping memastikan ia bebas daripada semua risiko itu.

Dengan bantuan dan komitmen bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Ismail Abdul Rahman, pelbagai kajian dan ujian dibuat bagi memastikan penanaman rumpai laut mampu mendatangkan hasil lumayan kepada pengusahanya.

Selepas beberapa percubaan, LKIM memilih untuk menggunakan sistem raga iaitu pembiakan rumpai laut di dalam raga bagi menggantikan sistem ‘long line’, namun ia juga tidak membuahkan hasil lantaran turut berdepan risiko utama iaitu raga yang terbalik tiap kali laut bergelora.

NASIR Sarail sedang menyiapkan raga yang dibekalkan LKIM.

Mengambil masa selama tiga bulan bagi mencari kaedah terbaik menggunakan sistem raga, Ismail berjaya menemui penyelesaian kepada penggunaan sistem raga dengan mengubah suai raga asal dan menambah kepingan kayu dan diikat secara jahitan untuk menjadikannya lebih kukuh.

Hasilnya, teknologi raga dengan pengubahsuaian itu berjaya menghasilkan rumpai laut yang bukan saja bebas daripada ancaman risiko lain tetapi juga mempunyai kualiti yang setaraf malah lebih tinggi daripada negara pengeluar tetap rumpai laut seperti Filipina.

Berbalik kepada keuntungan yang bakal menjana pendapatan lumayan kepada pengusaha, Ismail berkata, setiap ekar pembiakan rumpai laut secara sistem raga boleh memberi pulangan paling minimum sebanyak RM5,000 sebulan.

“Kebanyakan peserta projek prausahawan di perairan Sabah mempunyai purata lima ekar kawasan pembiakan rumpai laut. Jika ia diusahakan secara betul dan mengikut prosedur yang sepatutnya, ia mampu menjana pendapatan sehingga RM25,000 sebulan tiap seorang. Ia bukan mustahil.

“Malah, selepas dihitung keuntungan yang boleh dijana daripada pertanian ini, negara sebenarnya mampu memperoleh sehingga RM1.5 bilion pendapatan setahun jika semua kawasan pembiakan rumpai laut menggunakan kaedah yang sama,” katanya.

Bagi menambahkan keyakinan pembeli rumpai laut dari negara luar, LKIM sudah berusaha mendapatkan bantuan Sirim, Mardi, Jabatan Pertanian dan Fama untuk meletakkan gred khas supaya dapat bersaing dengan rumpai laut dari Filipina.

Selepas melihat sendiri kejayaan yang terbukti hasil penggunaan sistem raga, kebanyakan pengusaha rumpai laut secara ‘long line’ kini sudah tidak sabar untuk menukar sistem itu kepada penggunaan raga, cuma masih menunggu bantuan bagi pembelian raga.

Nasib agak menyebelahi mereka kerana kejayaan yang ditunjukkan itu sudah meyakinkan Agro Bank untuk menyuntik dana sebagai pinjaman sebanyak RM20,000 tanpa cagaran dan penjamin bagi 100 peserta untuk memulakan projek itu di bawah skim prausahawan.

Keuntungan daripada pembiakan rumpai laut juga dijangka akan melonjakkan keuntungan yang lebih lumayan kerana permintaannya yang sangat tinggi. Ia terbukti apabila harga bagi rumpai laut kering yang sebelum ini hanya RM2 sekilogram (kg) sudah mencecah hampir RM7 sekarang dan ia dijangka akan meningkat kepada RM10 dalam masa beberapa bulan akan datang.

Selain itu, Ismail berkata, perusahaan rumpai laut sangat mudah dan tidak memerlukan modal pusingan yang besar. Benih atau bibit rumpai laut hanya dibeli untuk kali pertama dan untuk seterusnya, pengusaha boleh menggunakan sebahagian daripada hasil yang sudah matang.

“Modal untuk membeli raga pula hanya tidak sampai RM250 satu raga. Ia mampu bertahan antara 10 hingga 15 tahun. Dalam tiga hingga empat kali pengeluaran, kos pembelian raga sudah dapat diperoleh semula.

“Pembajaannya juga mudah. Tak perlu keluar sebarang belanja kerana rumpai laut dibaja secara semula jadi dengan lumut daripada batu karang. Ia memang banyak di kawasan pembiakan ini,” katanya.

Mengenai peluang jualan, Ismail berkata, permintaan terhadap rumpai laut sangat tinggi kerana ia terbukti boleh menghasilkan hampir 500 produk termasuk makanan, perubatan dan kegunaan harian. Malah, katanya, difahamkan beberapa kilang di China terpaksa ditutup kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah rumpai laut.

“Jika rumpai laut Sabah berjaya digredkan, saya yakin bila-bila masa saja ia boleh menembusi pasaran China dan beberapa negara Eropah lain. Saya tak rasa kita ada masalah memasarkannya.

“Tambahan pula, teknologi yang kita gunakan boleh dikatakan terunggul di dunia menjadikan kualitinya sangat tinggi,” katanya.

Justeru, melihat kepada semua peluang yang ada dan keuntungan yang bakal dijana, Ismail mengharapkan kerjasama kerajaan supaya memandang serius projek ini yang boleh dijadikan satu penjanaan ekonomi yang menguntungkan kepada negara.

Jawatankuasa lahir usahawan ikan Bumiputera ditubuh

TEMERLOH: Usaha melahirkan usahawan ikan patin di kalangan penduduk di pinggir Sungai Pahang dirangka bagi memastikan industri perikanan berkembang pesat dan mampu meningkatkan taraf hidup.

Timbalan Menteri pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata berdasarkan kerangka awal program, ia membabitkan tiga bidang perniagaan iaitu perusahaan membuat sangkar, membela ikan dan mengeluarkan produk makanan berasaskan ikan patin.

Katanya, beberapa penduduk menyatakan kesanggupan menceburi perniagaan itu dan akan membuat pinjaman perniagaan daripada institusi kewangan untuk menampung modal awal.

“Untuk memastikan program itu berjaya, penduduk dengan bantuan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehudin Ishak sudah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Perusahaan Ikan Daerah Temerloh, baru-baru ini.

“Penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memberi peluang mengembangkan perniagaan kepada penduduk luar bandar di samping melahirkan usahawan Bumiputra dalam industri perniagaan ikan sungai.

“Sudah sampai masanya kegiatan perniagaan membabitkan ikan sungai dipelbagaikan supaya lebih ramai penduduk boleh menyertainya sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, perniagaan membuat dan menjual sangkar ikan belum diteroka penduduk sedangkan permintaan sangkar semakin bertambah sejak kebelakangan ini berikutan peningkatan permintaan.

Katanya, statistik mendapati permintaan ikan patin mencecah 80 tan sebulan, manakala pengusaha ikan hanya mampu mengeluarkan antara 30 hingga 40 tan metrik sebulan.

Beliau berkata, untuk menampung permintaan, beberapa pengusaha sanggup meningkatkan jumlah ternakan menyebabkan lebih 1,000 sangkar diperlukan penternak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, melalui program pembangunan ekonomi itu, penduduk disaran mengeluarkan produk makanan berasaskan ikan patin.

Katanya, agensi kerajaan sedia memberikan bantuan serta khidmat kepakaran kepada penduduk yang ingin menceburi bidang pembuatan termasuk mengeluarkan makanan ringan serta pes masakan ikan patin.

Dua beradik dapat RM8,000 sebulan hasil tanaman sayur

TASEK GELUGOR: Konsep tanaman sayur dua dalam satu yang diperkenalkan dua beradik petani mampu menyumbangkan pendapatan, mengatasi 16 peserta lain dalam projek Taman Kekal Makanan (TPKM) Ara Kuda dekat sini.

Chee Wei Peng 32, dan abangnya Chee Wei Tong 35, mampu memperoleh pendapatan antara RM7,000 dan RM8,000 sebulan hasil jualan kacang bendi dan cili yang ditanam pada satu batas di kawasan membabitkan 1.5 hektar.

Di kawasan yang sama, mereka menanam kacang panjang, beberapa jenis sayur berdaun dan buah, termasuk timun.

Bagaimanapun, hasil jualan cili mengatasi tanaman lain kerana harga mencecah RM6 hingga RM6.50 sekilogram.

Wei Peng ketika ditemui berkata, mereka berkongsi pengalaman berdasarkan kejayaan menanam sayur sebelum menyertai projek di kawasan berkenaan.

“Kami berdua berbangga kerana mencatat rekod antara peserta yang memperoleh pendapatan yang lumayan setiap bulan dan akan terus memajukan projek bagi menambahkan pendapatan lebih tinggi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara peserta yang menanam nanas dalam projek TPKM itu, Mohd Nor Abdul Aziz, 60, berkata beliau turut bergembira kerana projek yang diusahakannya menghasilkan purata pendapatan RM2,500 sebulan di kawasan membabitkan 2.5 hektar.

Pengusaha muda minat proses tempe

PONTIAN: Penghasilan tempe, makanan tradisional orang Jawa yang diproses daripada kacang soya kini tidak lagi hanya dimonopoli golongan tua tetapi kini turut diceburi pengusaha muda.

Pengusaha tempe, Mohd Ali Yaman, 36, adalah pengusaha generasi muda yang berjaya meneroka bidang pembuatan tempe sejak tujuh tahun lalu.

Beliau yang menjalankan perusahaan tempe di Taman Mutiara, di sini berkata, dengan dorongan ibu bapa dan isteri, beliau berjaya memajukan perusahaannya dalam masa yang singkat dengan berupaya memasarkan kira-kira 2,000 bungkus tempe sehari di kedai dan pasar berdekatan.

“Saya bersyukur dengan berkat membuat tempe, saya mampu memperolehi pendapatan bersih kira-kira RM2,000 sebulan.

“Sambutan amat menggalakkan dan kami akan tetap memastikan mutu barangan kami sentiasa terjamin,” katanya di sini, baru-baru ini.

Mohd Ali berkata, permintaan tempenya meningkat pada sepanjang Syawal dan setiap kali musim perayaan.

Beliau berkata, selain itu, tempe keluaran syarikatnya mengekalkan keaslian rasa tempe kerana ia dihasilkan secara tradisional dengan menggunakan dapur kayu untuk merebus kacang soya.

Marzuki pelopor tapai segar dalam bungkusan plastik

MARZUKI Abdul Rahman menunjukkan tapai segar yang dibungkus kemas dalam plastik di bengkelnya di Kampung Terat Batu, Padang Serai, Kulim, barut-baru ini.


KULIM 4 Nov. – Ketika rakan-rakan lain memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga selepas bersara, Marzuki Abdul Rahman pula lebih senang menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada untuk menceburi bidang keusahawanan.

Bekas pesara kerajaan yang berusia 59 tahun itu memilih untuk mengusahakan bengkel menghasilkan makanan pencuci mulut iaitu tapai segar di rumahnya di Kampung Terat Batu, Padang Serai dekat sini.

Menurut Marzuki, ilham untuk menghasilkan tapai segar timbul setelah didorong oleh ibu bapanya yang sebelum ini menjual kuih itu secara kecil-kecilan.

“Keluarga saya ada pengalaman lebih 50 tahun dalam menghasilkan kuih-muih tradisional termasuk tapai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Marzuki memberitahu, dengan bermodalkan wang hasil persaraannya, dia membeli beberapa peralatan asas untuk membuat kuih-muih.

“Saya cuba bermacam-macam kuih tetapi akhirnya mendapati tapai lebih mudah kerana ia merupakan kuih yang paling sesuai memandangkan belum dipasarkan secara meluas,” katanya.

Katanya, tanpa rasa jemu, dia mencuba pelbagai kaedah termasuk mengubahsuai cara pembungkusan produk.

“Saya ambil masa hampir tiga tahun untuk mencipta bungkusan tapai. Macam-macam cara digunakan termasuk dari daun pisang dan plastik,” katanya.

Bagaimanapun, Marzuki berkata, pembungkusan produk dengan plastik lebih sesuai kerana tahan lama, bersih dan kelihatan lebih kemas.

“Sejak menggunakan bungkusan plastik, produk saya mula mendapat perhatian umum.

“Daripada 1,000 bungkusan sebulan, kini ia telah meningkat kepada 8,000 hingga 10,000 bungkus sebulan,” katanya.

Tambahnya setiap bungkusan tapai seberat 60 gram dijual pada harga 60 sen.

“Salah satu keistimewaan tapai yang dihasilkan ialah boleh disimpan dalam peti sejuk dalam tempoh panjang iaitu antara dua minggu hingga sebulan tanpa rosak,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang pantang larang yang perlu dipatuhi ketika menghasil tapai, dia menjelaskan, tiada sebarang larangan seperti yang didakwa oleh kebanyakan pembuat tapai tradisional.

“Semua dibuat secara sistematik dan peralatan moden. Oleh itu, ia tiada kaitan dengan pantang larang,” katanya.

Ujar Marzuki, dia kini mampu berbangga kerana tapai segar yang dihasilkan itu pernah ditempah pelbagai agensi kerajaan termasuk dibawa oleh atlet kontinjen Malaysia ke acara Sukan Komanwel di Kanada beberapa tahun lalu.

“Pelanggan utama saya ialah kalangan pegawai dan anggota polis terutama di Bukit Aman. Sebut saja tapai segar Warisan Jitu, pastinya mereka akan tahu bahawa ia datang dari Kulim,” jelasnya.

Tambahnya, berkat dan usaha gigihnya itu, Jabatan Pertanian Daerah Kulim pada tahun lalu meluluskan bantuan sebanyak RM35,000 bagi membolehkan beliau meluaskan lagi bengkel membuat tapai.

Katanya, dia juga bercadang untuk menceburi bidang menghasilkan ragi pada masa akan datang.

“Pada masa ini bekalan ragi untuk dibuat tapai amat terhad dan hanya diperoleh daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya.

Dia berkata, penghasilan ragi secara besar-besaran boleh membantu melahirkan ramai lagi usahawan tapai pada masa akan datang.

Hidupkan semula tanaman hidroponik

Khatijah Surif dan suami, Ahmad Yahya menunjukkan pokok pegaga yang ditanam secara hidroponik dan hidrokultur di gerainya di Melaka Sentral, Melaka, semalam. – Gambar GAIE UCHEL


MELAKA 4 Nov. – Ketika keadaan ekonomi tidak menentu dan kuasa membeli pengguna yang semakin mengecil, pelbagai cara dilakukan untuk berjimat cermat terutamanya melalui cara bercucuk tanam untuk kegunaan isi rumah.

Saranan kepada rakyat supaya berbudi kepada tanah diterjemahkan menerusi Kempen Bumi Hijau di setiap kampung-kampung di semua daerah di seluruh negara.

Namun seperkara yang sering disebut-sebut ketika kegawatan ekonomi melanda negara kira-kira 10 tahun lalu, iaitu tanaman kaedah hidroponik mungkin wajar dihidupkan semula.

Pemilik syarikat pembekal utama bagi produk hidroponik, Khatijah Surif, 42, berkata, kaedah hidroponik wajar dihidupkan semula dalam konteks untuk berjimat cermat terutamanya untuk kegunaan isi rumah.

“Kaedah hidroponik sebenarnya sangat sesuai diamalkan sekarang kerana kosnya yang semakin rendah berbanding 10 tahun lalu ditambah pula dengan harga barangan yang semakin meningkat.

“Paling penting, kaedah hidroponik lebih cepat, mudah, selamat, bersih dan segar untuk dimakan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya kaedah hidroponik kini juga mendapat sambutan semula di kalangan rakyat setelah menyedari keberkesanannya menghasilkan tanaman sayuran lebih cepat berbanding tanaman menggunakan tanah.

“Berbanding tanaman menggunakan tanah kaedah hidroponik 300 peratus lebih cepat dan mesra pengguna.

“Tidak kira tua atau muda, sakit atau sihat semuanya boleh mengendalikan tanaman menggunakan kaedah hidroponik kerana tidak perlu menggunakan cangkul atau bermandikan peluh untuk mendapatkan hasilnya,” katanya.

Tambahnya, kaedah hidroponik bukan sahaja sesuai untuk semua jenis sayur-sayuran dan herba malah juga pokok berbuah seperti lobak, tembikai dan pisang.

“Tanaman sayuran seperti kangkung cuma mengambil masa tiga minggu sebelum boleh dimakan berbanding ditanam di tanah yang mengambil masa lebih sebulan.

“Bayangkan, betapa mudahnya untuk mendapatkan sayuran yang ditanam dan membesar di hadapan mata di atas meja di rumah sendiri,” katanya.

Menceritakan kos permulaan kaedah hidroponik, Khatijah berkata, modal permulaan yang diperlukan untuk kegunaan enam sekeluarga seisi rumah cuma RM40.

“Dengan bayaran itu, mereka sudah boleh memperoleh satu set takungan tanaman hidroponik berserta benih tanaman, contohnya benih sawi yang boleh digunakan untuk 10 kali tuaian.

“Satu set takungan boleh menghasilkan 1,500 gram sawi dalam masa empat minggu dan tanaman boleh dilakukan dengan amalan 3T, iaitu tanam, tinggal dan tuai,” katanya.

Tambahnya, walaupun negara semakin bergerak maju, golongan muda perlu memikirkan betapa sektor pertanian rakyat ini berpotensi sebagai industri yang dinamik.

“Budaya bertani dan bermandi peluh tidak menjadi amalan melalui kaedah hidroponik dan ia tidak seharusnya dianggap sebagai satu pekerjaan yang terbelakang.

“Kaedah hidroponik tidak saja sesuai bagi menanam pelbagai jenis sayur-sayuran berdaun, tetapi juga amat memberangsangkan pertumbuhan bagi tanaman sayur-sayuran dari jenis yang berbuah,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang hidroponik.

Buktinya, katanya, melalui penyelidikan yang dilakukan di premisnya di Bazar Mydin 24 Jam Melaka Sentral di sini, hampir kesemua jenis sayur-sayuran berbuah mengeluarkan buah yang lebat dan subur melalui kaedah penanaman hidroponik itu.

“Tanaman seperti petola, tomato, terung, timun, kacang panjang, bendi, dan cili juga didapati serasi serta amat sesuai ditanam secara hidroponik

“Formulasi baja cecair yang saya hasilkan sendiri juga terbukti dapat menyelesaikan masalah jentik-jentik yang hidup dalam takungan dengan membela ikan yang akan memakan jentik-jentik tersebut,” katanya.

Tambahnya, dia akan terus melakukan penyelidikan bagi meningkatkan lagi hasil percubaan menanam sayur-sayuran berbuah secara hidroponik supaya teknologi tersebut dapat diperkenalkan secara meluas terutamanya kepada golongan surirumah.

“Ini kerana untuk menanamnya tidaklah sesukar mana sehinggakan kanak-kanak pun boleh melakukan kegiatan menanam menggunakan kaedah 3T itu,” katanya.

Justeru, katanya, soal kesibukan tugas seharian tidak boleh dijadikan alasan oleh sesiapapun untuk menjauhi kegiatan berkebun mengikut kaedah moden itu, terutama menanam sayur-sayuran bagi kegunaan sendiri.

“Dengan teknik penanaman hidroponik, pada bila-bila masa, sama ada siang atau malam kita boleh menjalankan kegiatan tersebut mengikut kesesuaian masa masing-masing.

“Seseorang yang ingin menanam sayur- sayuran mengikut kaedah moden ini hanya perlu menyemai benih sayur yang disukainya dalam set hidroponik,” katanya.

Tambahnya, selepas 20 hingga 40 hari, mengikut jenis sayur yang ditanam, mereka bolehlah menuai hasilnya untuk dijadikan hidangan sekeluarga dan dengan cara itu semua isi rumah akan mendapat bekalan sayur segar tanpa perlu lagi membelinya dari pasar.

Ini bukan saja menjimatkan perbelanjaan dapur serta menjamin bekalan sayur yang bersih, malah juga memberi kepuasan kepada mereka yang menanam tanaman berkenaan.

Usahawan tani disaran ceburi kaedah organik

SUBANG 4 Nov. – Golongan usahawan tani disaran menceburi pertanian organik kerana hasil tanaman jenis itu membawa pulangan lebih tinggi dan lumayan berbanding pertanian konvensional.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sedar bahawa pertanian organik di negara ini masih kurang diamalkan oleh para petani berbanding dengan Thailand dan Vietnam.

Katanya, ini terbukti apabila keluasan tanaman organik di Malaysia sekarang hanya mencecah 1,000 hektar atau lebih kurang 0.01 peratus daripada keluasan kawasan pertanian di negara ini.

“Hampir 80 peratus bekalan produk organik dalam negara diimport dari Australia dan New Zealand, kekacang dan rencah perisa dari China, manakala produk diproses dari Thailand, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya pada Persidangan Kebangsaan Pertanian Organik 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementeriannya, Datuk Dr. Baharom Jani.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian, Sulaiman Md. Zain dan Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Dr. Mohd. Yusoff Abdullah.

Mustapa berkata, apa yang memberangsangkan ialah kadar pertumbuhan permintaan produk berasaskan organik seperti sos meningkat setiap tahun kepada lebih 30 peratus setahun.

“Ini semua merupakan peluang kekayaan baru yang boleh direbut daripada pertanian organik,” ujarnya.

Mustapa turut menyeru agensi-agensi di bawah kementerian itu termasuk MARDI dan Jabatan Pertanian agar bersama-sama membangunkan industri pertanian organik yang baru itu.

Sementara itu, pada sidang akhbar sejurus selepas persidangan itu, Abd. Shukor berkata, MARDI menyasarkan sebanyak 20,000 hektar diusahakan dengan tanaman organik menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, untuk menangani cabaran itu, MARDI telah membangunkan kawasan ladang seluas lima hektar di Serdang sebagai tapak kajian pertanian organik.

Jelasnya, kajian ekosistem organik dijalankan di kawasan yang berfungsi sebagai ‘makmal hidup’ itu bagi mengumpulkan maklumat-maklumat penting dalam penanaman secara organik.

“Maklumat kajian itu boleh dikongsi bersama dengan petani dan pengusaha yang berminat mengusahakan pertanian organik,” ujarnya.

Kaedah hasil baja lebih sistematik

TASEK GELUGOR 4 Nov. – Pengurusan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini bercadang menghasilkan baja buatan sendiri secara lebih sistematik bagi membantu petani menangani peningkatan kos bahan itu.

Pengurusnya, Zamri Ahmad berkata, penghasilan baja melalui konsep pertanian semula jadi atau natural farming (NF) itu dapat mengurangkan kos input baja sehingga 20 peratus.

Beliau berkata, amalan NF sudah dilaksanakan di beberapa TKPM lain dan ia terbukti mampu menghasilkan pengeluaran sayuran berkualiti kerana menggalakkan kesuburan tanah.

”Pengurusan TKPM Ulu Yam (Selangor) misalnya, para petani sudah menggunakan teknik penghasilan baja melalui kaedah ini secara meluas dan hasilnya cukup menggalakkan.

”Kita sedang dalam perancangan untuk melaksanakan kaedah yang sama bagi membantu petani menyerap peningkatan kos input pertanian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Zamri berkata, pihaknya bercadang menghasilkan baja jenis FAA atau fish amino acid yang menggunakan bahan utama seperti isi ikan termasuk tulang dan kepala ikan yang dicampur dengan gula merah.

Menurutnya, kaedah NF bukan sahaja wajar diketengahkan kerana pelbagai faedah termasuk bebas daripada penggunaan bahan kimia tetapi juga mudah dipraktikkan oleh petani.

”Selain itu, hasil pertanian juga lebih selamat kerana input yang digunakan terdiri dari produk fermentasi dan ekstrak haiwan, bukannya input kimia sintetik,” tambahnya.

Beliau berkata, pada masa ini, sudah terdapat petani yang menggunakan konsep NF dengan menghasilkan baja yang diperbuat daripada sisa-sisa hasil pertanian sayuran di ladang tersebut.

Bagaimanapun katanya, penghasilan baja berkenaan dilakukan secara individu kerana tidak semua petani mempunyai masa atau pengetahuan untuk menghasilkannya.

”Sebab itulah, kita sedang memikirkan kaedah terbaik termasuk dari segi kos dan jika semuanya berjalan lancar, kita akan memperluaskan konsep NF ini secara lebih sistematik,” tambahnya.