Warisi ilmu akar kayu daripada bapa

Minyak urut dan herba mandian yang diproses di Aina Resources.


PADA masa kini sukar sekali mencari akar-akar kayu yang boleh dijadikan air rebusan bagi dijadikan minuman seharian. Ini kerana memang ada sesetengah orang yang suka meminum air rebusan akar kayu setiap hari bagi menjaga kesihatan.

Tidak dinafikan memang banyak dilihat dijual oleh peniaga-peniaga ubat-ubatan tradisional di tepi-tepi jalan di sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India, pasar-pasar tani dan sebagainya. Namun pasti ramai yang tidak berani membeli kerana tidak tahu jenis akar kayu yang dijual.

Bimbang jika diminum akan menyebabkan kemudaratan dan berbahaya pula kepada kesihatan.

Cuba mengenali jenis-jenis akar kayu dan herba sebagai ubat-ubatan tradisional dan penjagaan kesihatan sebenarnya amat menarik. Semakin ‘dikorek’ semakin banyak rahsia dan ilmu yang boleh diperoleh.

Ditambah pula dengan nama akar-akar kayu itu sendiri yang klasik, unik, lucu dan tidak pernah terlintas di fikiran akan nama yang diberikan oleh orang-orang terdahulu pada ciptaan Allah yang menyimpan 1,001 kegunaan kepada manusia.

Bagaimanakah akar-akar kayu yang berada di perut bumi ini boleh mendapat nama seindah seperti Tongkat Ali, Tongkat Haji Samad, Tongkat Ali Itam, Kacip Fatimah, Panah Arjuna, Bunga Pakma, Gajah Beranak, Tengkuk Biawak, Akar Sarsi, Ubi Jaga, Raja Kayu, Sarang Semut, Nenas Batu, Akar Mengkunyit, Akar Sekecut, Akar Kucing Galak, Mata Pelanduk, Seringan dan sebagainya.

Bertanya kepada Pengarah Urusan Aina Resources, Zarina Amirah Zainal Abidin, 24, yang merupakan pembekal dan penjual akar-akar kayu (penyediaan tradisional), hanya senyuman dilemparkan sambil menjawab, nama-nama itu memang telah diberikan oleh orang-orang dahulu dan menjadi warisan hingga kini.

Menurut anak kepada bekas pembantu hutan yang menjaga hutan lipur di Lenggong, Perak ini, zaman kanak-kanaknya banyak didedahkan dengan akar-akar kayu.

“Saya sering melihat bapa membawa pulang akar-akar kayu selepas keluar dari hutan kerana bertugas membawa pelajar sekolah dan penuntut universiti yang membuat jungle tracking,’’ kata Zarina semasa ditemui di pejabatnya di Pinggiran Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Sambung beliau, bapanya yang mempunyai banyak pengetahuan mengenai herba dan akar kayu mengambil sendiri akar-akar kayu itu tanpa pertolongan orang lain.

Pulang ke rumah, bapanya akan membersihkan, memotong dan menjemur akar-akar kayu itu bagi kegunaan sendiri.

“Bapa memang nampak sihat. Dia jarang demam dan masih bertenaga membuat kerja-kerja berat. Bahkan orang kampung pun turut membeli akar-akar kayu yang diprosesnya.

“Sekarang selepas pencen dan berumur 61 tahun, setiap bulan bapa masih masuk hutan seorang diri, mendaki bukit dan berkhemah hingga dua atau tiga minggu mencari akar-akar kayu,’’ ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Melihat susah payah bapa mencari rezeki di dalam hutan dan ibu yang berniaga nasi lemak, Zarina tersentuh hati dan bertekad untuk membantu kedua-dua orang tuanya itu.

Dengan simpanan sendiri dan bantuan kedua-dua orang tua sebanyak RM15,000, Zarina memberanikan diri membuka perniagaan sendiri di pejabat yang hanya sekangkang kera pada bulan Mei lalu.

Beliau percaya dengan tekad dan niat untuk membantu ibu bapa, Tuhan akan memakbulkan doanya agar perniagaannya akan berjaya pada suatu hari kelak.

Disertai dengan minat mendalam mengenai akar kayu dan herba serta restu ibu dan bapa, Zarina mengambil keputusan untuk mengikuti jejak bapa. Namun ini bukanlah bermakna Zarina perlu masuk ke hutan mencari akar-akar kayu.

“Bukan mudah hendak mengambil akar-akar kayu ini. Ada pantang larangnya. Contohnya Tongkat Ali, bukan semua orang boleh menarik akar itu naik ke permukaan tanah. Orang yang hendak menarik akar ini tidak boleh berada dalam kedudukan berhadapan dengan akar tersebut sebaliknya perlu berada dalam kedudukan membelakang. Usaha ini juga perlu disertai dengan doa,’’ kata Zarina yang pernah bekerja sebagai kerani.

Menurut gadis yang pernah mengikuti kursus selama setahun di Unit Latihan, Institut Penyelidikan Perhutanan di Kepong, Kuala Lumpur (FRIM) ini, beliau sendiri pernah memasuki hutan Gunung Tebu di Terengganu bagi mengikuti latihan praktikal mengenali pokok-pokok herba dan balak.

Menurut Zarina lagi, terdapat beratus-ratus jenis akar kayu dan setiap satu akar kayu mempunyai dua fungsi.

“Minuman akar kayu lebih bagus daripada kapsul kerana mudah serap ke dalam saluran darah berbanding kapsul yang lambat menyerap. Bagaimanapun ada orang yang lebih suka mengambil kapsul daripada terpaksa merebus akar kayu setiap hari.

“Mereka yang baru hendak mencuba minum air akar kayu akan terasa pening-pening sedikit kerana tubuh baru hendak menyesuaikan diri dengan minuman tersebut tetapi jika diamalkan selalu akan hilang rasa pening dan badan terasa bertambah sihat. Minum berterusan selama tiga bulan akan nampak hasilnya. Akar kayu elok direbus dalam periuk tanah,’’ katanya.

Bagi mempromosikan produknya, Zarina menghantar sendiri brosur ke salun-salun. Beliau juga kini dalam proses membuat kapsul daripada akar kayu terpilih.

Kepada anda yang mengamalkan perubatan tradisional dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan akar kayu boleh menghubungi Zarina di talian 012-6279080.

Akar kayu dan fungsinya:

– Akar Mengkunyit – Untuk wanita selepas bersalin, membuang darah kotor di dalam badan, menghilangkan jerawat dan mengelakkan penyakit kencing manis.
– Gajah Beranak – Memanaskan badan dan membantu memecahkan lemak.
– Akar Pulih Dara – Untuk wanita selepas bersalin dan merapatkan kembali ruang rahim wanita.
– Teja Lawang – Membuang angin kotor, mengeluarkan peluh dan mewangikan badan, penawar cirit-birit.
– Lancang Besi – Untuk tenaga batin lelaki.
– Pecah Bling – Batu karang.
– Tengkok Biawak – Mengelak sakit pinggang.
– Akar Kucing Galak – Untuk tenaga batin dan membantu mencuci buah pinggang.
– Tongkat Haji Samad – Tenaga batin lelaki.
– Mata Pelanduk – Membantu mengelak penyakit gout, menguatkan pinggang dan menguatkan tujuh anggota lelaki.

7 thoughts on “Warisi ilmu akar kayu daripada bapa

    • salam.sy nk tnya encik kenal x akar rumput kepak lalat..mk sy berubat cre kmpung..org y brubt tu suruh mk sy cri akar tu mslhnya kami x knal akar tu cm mana..mk sy mngidap barah payu dara..sekiranya encik ada ubat akar kayu y blh mnyembuhkn pnyakit mk sy blh la kiranya encik mmberitahu sy..sekian terima kasih.

  1. salam. saya amalkan air akarkayu sjk 6bln lps dan alhmdlh. saya dpt akrkayu dr pahang,tp blm pulih spnuhnya. saya cuma nk tnya akrkayu yag plg brksan utk psakit urat saraf tahap ke2 sprti saya…apakah nama akrkayu trsbut?

  2. Sdr, Assalamualaikum wbth… Saya berumur 50tahun dan ingin membeli produk akar kayu (untuk direbus) dari syarikat Sdri untuk kegunaan sendiri. brapa kah karga sepeket dan bagaimana cara saya boleh mendapatkannya? terima kasih.

  3. saya ada membekalkan ramuan akar herba untuk direbus (akar periuk)..campuran akar-akar kayu..500g harganya rm 30 termasuk pos..boleh diamalkan sehingga air bertukar warna..hubungi 017-5984085

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s