PADANG BESAR 30 Okt. – Program Bumi Hijau yang kini diperluas ke sekolah di seluruh negara dapat mendidik para pelajar agar meminati bidang yang amat penting itu melalui kaedah penanaman yang lebih moden.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu berkata, pertanian merupakan bidang yang mencakupi aspek kehidupan dan ia amat bermakna jika diperkenalkan di sekolah-sekolah.
Katanya, menyahut seruan kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan usaha Kementerian Pelajaran itu juga dapat di lihat sebagai langkah asas menggalakkan pelajar sekolah bergiat dalam perniagaan pertanian.
”Sekolah bukan sahaja tempat untuk dijadikan sebagai tempat pelajar menuntut ilmu dalam bidang kurikulum tetapi kegiatan kokurikulum juga amat penting dalam menjadikan seseorang pelajar itu seimbang.
”Projek Bumi Hijau yang diperkenalkan di peringkat sekolah ini amat penting kerana pendidikan awal untuk mengajak mereka bercucuk tanam bagi menghasilkan makanan sendiri kelak,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Beseri.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Sabry Ahmad, Pengarah Jabatan Pertanian Perlis, Abdul Razak Shafiai dan Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat.
Pada majlis itu pelbagai bantuan diberikan kepada sekolah termasuk bantuan benih sayur-sayuran, baja, bantuan anak ikan keli dan bantuan anak itik.
Md. Isa memberitahu, negara juga tidak boleh terus berharap terhadap barangan import sebaliknya perlu menghasilkan makanan asas secara sendiri terutama membabitkan makanan kampung yang biasa seperti ulam, sayuran dan ternakan ikan.
”Kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun kerana mengimport pelbagai jenis makanan daripada negara luar jadi tiba masanya perkara ini dipraktikkan di sekolah dan seterusnya amalannya diteruskan di rumah,” ujarnya.