Warisi ilmu akar kayu daripada bapa

Minyak urut dan herba mandian yang diproses di Aina Resources.


PADA masa kini sukar sekali mencari akar-akar kayu yang boleh dijadikan air rebusan bagi dijadikan minuman seharian. Ini kerana memang ada sesetengah orang yang suka meminum air rebusan akar kayu setiap hari bagi menjaga kesihatan.

Tidak dinafikan memang banyak dilihat dijual oleh peniaga-peniaga ubat-ubatan tradisional di tepi-tepi jalan di sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India, pasar-pasar tani dan sebagainya. Namun pasti ramai yang tidak berani membeli kerana tidak tahu jenis akar kayu yang dijual.

Bimbang jika diminum akan menyebabkan kemudaratan dan berbahaya pula kepada kesihatan.

Cuba mengenali jenis-jenis akar kayu dan herba sebagai ubat-ubatan tradisional dan penjagaan kesihatan sebenarnya amat menarik. Semakin ‘dikorek’ semakin banyak rahsia dan ilmu yang boleh diperoleh.

Ditambah pula dengan nama akar-akar kayu itu sendiri yang klasik, unik, lucu dan tidak pernah terlintas di fikiran akan nama yang diberikan oleh orang-orang terdahulu pada ciptaan Allah yang menyimpan 1,001 kegunaan kepada manusia.

Bagaimanakah akar-akar kayu yang berada di perut bumi ini boleh mendapat nama seindah seperti Tongkat Ali, Tongkat Haji Samad, Tongkat Ali Itam, Kacip Fatimah, Panah Arjuna, Bunga Pakma, Gajah Beranak, Tengkuk Biawak, Akar Sarsi, Ubi Jaga, Raja Kayu, Sarang Semut, Nenas Batu, Akar Mengkunyit, Akar Sekecut, Akar Kucing Galak, Mata Pelanduk, Seringan dan sebagainya.

Bertanya kepada Pengarah Urusan Aina Resources, Zarina Amirah Zainal Abidin, 24, yang merupakan pembekal dan penjual akar-akar kayu (penyediaan tradisional), hanya senyuman dilemparkan sambil menjawab, nama-nama itu memang telah diberikan oleh orang-orang dahulu dan menjadi warisan hingga kini.

Menurut anak kepada bekas pembantu hutan yang menjaga hutan lipur di Lenggong, Perak ini, zaman kanak-kanaknya banyak didedahkan dengan akar-akar kayu.

“Saya sering melihat bapa membawa pulang akar-akar kayu selepas keluar dari hutan kerana bertugas membawa pelajar sekolah dan penuntut universiti yang membuat jungle tracking,’’ kata Zarina semasa ditemui di pejabatnya di Pinggiran Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Sambung beliau, bapanya yang mempunyai banyak pengetahuan mengenai herba dan akar kayu mengambil sendiri akar-akar kayu itu tanpa pertolongan orang lain.

Pulang ke rumah, bapanya akan membersihkan, memotong dan menjemur akar-akar kayu itu bagi kegunaan sendiri.

“Bapa memang nampak sihat. Dia jarang demam dan masih bertenaga membuat kerja-kerja berat. Bahkan orang kampung pun turut membeli akar-akar kayu yang diprosesnya.

“Sekarang selepas pencen dan berumur 61 tahun, setiap bulan bapa masih masuk hutan seorang diri, mendaki bukit dan berkhemah hingga dua atau tiga minggu mencari akar-akar kayu,’’ ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Melihat susah payah bapa mencari rezeki di dalam hutan dan ibu yang berniaga nasi lemak, Zarina tersentuh hati dan bertekad untuk membantu kedua-dua orang tuanya itu.

Dengan simpanan sendiri dan bantuan kedua-dua orang tua sebanyak RM15,000, Zarina memberanikan diri membuka perniagaan sendiri di pejabat yang hanya sekangkang kera pada bulan Mei lalu.

Beliau percaya dengan tekad dan niat untuk membantu ibu bapa, Tuhan akan memakbulkan doanya agar perniagaannya akan berjaya pada suatu hari kelak.

Disertai dengan minat mendalam mengenai akar kayu dan herba serta restu ibu dan bapa, Zarina mengambil keputusan untuk mengikuti jejak bapa. Namun ini bukanlah bermakna Zarina perlu masuk ke hutan mencari akar-akar kayu.

“Bukan mudah hendak mengambil akar-akar kayu ini. Ada pantang larangnya. Contohnya Tongkat Ali, bukan semua orang boleh menarik akar itu naik ke permukaan tanah. Orang yang hendak menarik akar ini tidak boleh berada dalam kedudukan berhadapan dengan akar tersebut sebaliknya perlu berada dalam kedudukan membelakang. Usaha ini juga perlu disertai dengan doa,’’ kata Zarina yang pernah bekerja sebagai kerani.

Menurut gadis yang pernah mengikuti kursus selama setahun di Unit Latihan, Institut Penyelidikan Perhutanan di Kepong, Kuala Lumpur (FRIM) ini, beliau sendiri pernah memasuki hutan Gunung Tebu di Terengganu bagi mengikuti latihan praktikal mengenali pokok-pokok herba dan balak.

Menurut Zarina lagi, terdapat beratus-ratus jenis akar kayu dan setiap satu akar kayu mempunyai dua fungsi.

“Minuman akar kayu lebih bagus daripada kapsul kerana mudah serap ke dalam saluran darah berbanding kapsul yang lambat menyerap. Bagaimanapun ada orang yang lebih suka mengambil kapsul daripada terpaksa merebus akar kayu setiap hari.

“Mereka yang baru hendak mencuba minum air akar kayu akan terasa pening-pening sedikit kerana tubuh baru hendak menyesuaikan diri dengan minuman tersebut tetapi jika diamalkan selalu akan hilang rasa pening dan badan terasa bertambah sihat. Minum berterusan selama tiga bulan akan nampak hasilnya. Akar kayu elok direbus dalam periuk tanah,’’ katanya.

Bagi mempromosikan produknya, Zarina menghantar sendiri brosur ke salun-salun. Beliau juga kini dalam proses membuat kapsul daripada akar kayu terpilih.

Kepada anda yang mengamalkan perubatan tradisional dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan akar kayu boleh menghubungi Zarina di talian 012-6279080.

Akar kayu dan fungsinya:

– Akar Mengkunyit – Untuk wanita selepas bersalin, membuang darah kotor di dalam badan, menghilangkan jerawat dan mengelakkan penyakit kencing manis.
– Gajah Beranak – Memanaskan badan dan membantu memecahkan lemak.
– Akar Pulih Dara – Untuk wanita selepas bersalin dan merapatkan kembali ruang rahim wanita.
– Teja Lawang – Membuang angin kotor, mengeluarkan peluh dan mewangikan badan, penawar cirit-birit.
– Lancang Besi – Untuk tenaga batin lelaki.
– Pecah Bling – Batu karang.
– Tengkok Biawak – Mengelak sakit pinggang.
– Akar Kucing Galak – Untuk tenaga batin dan membantu mencuci buah pinggang.
– Tongkat Haji Samad – Tenaga batin lelaki.
– Mata Pelanduk – Membantu mengelak penyakit gout, menguatkan pinggang dan menguatkan tujuh anggota lelaki.

Semerah cili varieti baru

Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan cili varieti baru dinamakan Semerah pada majlis Perhimpunan Warg Tani 2008 di Serdang baru-baru ini sambil diperhatikan oleh Mustapa Mohamad (kiri) dan Dr. Abd. Shukor Abdul Rahman.


Bagi masyarakat Malaysia tidak lengkap rasanya sekiranya makanan yang disajikan tidak ditambahkan dengan kepedasan dan keenakan rasa cili merah atau cili padi.

Ini kerana, rata-rata rakyat di negara ini, tidak mengira bangsa memang sudah ‘biasa’ dengan makanan pedas.

Ini satu senario yang menunjukkan adanya peningkatan dari segi permintaan individu mahupun pembukaan industri perusahaan produk berasaskan cili yang kian banyak diusahakan, sebagai contoh industri sos cili.

Namun, tahukah anda bahawa negara terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi tujuan mengimport cili demi memenuhi keperluan permintaan cili padi tempatan.

Pada 2001, Malaysia membelanjakan RM39 juta bagi tujuan mengimport cili dari Thailand.

Di samping itu, berdasarkan maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 2004, kemasukan cili padi dari Thailand mencecah 100 tan metrik seminggu.

Ini berlaku berpunca daripada kekurangan pengusaha tempatan untuk menceburi serta mengusahakan sektor penanaman cili padi atau lebih dikenali dengan cili kampung ataupun dipanggil burung di negara ini.

Pada masa yang sama, faktor varieti atau benih yang kurang berkualiti menjadi punca utama mengapa produktiviti cili tempatan tidak dapat berkembang maju.

Menerusi benih yang biasa dan tidak berkualiti, tempoh matang menjadi panjang, hasil produktiviti juga berkurangan, mudah terdedah kepada jangkitan penyakit dan virus selain berbuah tidak menentu masa.

Maka ini jelas membantutkan sektor perusahaan cili padi tempatan sekali gus mempengaruhi hasil pengeluaran cili bagi memenuhi keperluan dan permintaan cili negara.

Faktor tersebut juga mempengaruhi perusahaan tersebut hanya dijalankan di ‘belakang rumah’ dan kecil-kecilan sekali gus menyebabkan ia tidak dikelolakan secara komersial oleh masyarakat.

Oleh yang demikian, selari dengan tanggungjawabnya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif dalam menjalankan penyelidikan yang komprehensif terhadap pembangunan varieti atas cili padi.

Penyelidikan

Hasil usaha dan penat lelah sekumpulan tenaga penyelidik MARDI selepas menjalankan penyelidikan selama 17 tahun ke atas pembangunan varieti cili padi.

Satu varieti cili padi baru yang diberi nama Semerah itu telah berjaya dihasilkan dan keputusannya amat membanggakan.

Penghasilan Semerah itu juga telah meletakkan revolusi pertanian negara untuk maju setapak lagi sekali gus membawa banyak kelebihan dan juga impak ekonomi yang positif bukan sahaja kepada para petani malah kepada kerjaan kita sendiri.

Menurut Penyelidik Prinsipal Biak Bakaan Pusat Penyelidikan dan Hortikultur MARDI, Dr. Melor Rejab, hasil pembangunan varieti cili terbaru itu jelas berupaya untuk membangunkan serta mempertingkatkan pengeluaran hasil cili padi tempatan kerana dari varieti tersebut ia mendatangkan banyak kelebihan dan keistimewaan.

“Antara keistimewaan Semerah adalah seperti ia berkemampuan untuk mendatangkan hasil yang lebih banyak, mempunyai tempoh matang yang lebih singkat dan mampu berbuah secara serentak.

“Cili padi (Semerah) ini adalah hasil pembangunan varieti bagi menghasilkan cili baru dari genotip yang berasal dari luar negara,’’ katanya ketika ditemui di Perhimpunan Warga Tani 2008 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, baru-baru ini.

Cili varieti baru itu diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman.

Jelas Dr Melor, varieti Semerah dibangunkan melalui kaedah pemilihan baka sepokok (SSD) daripada bahan genetik dari Mexico.

Berdasarkan morfologi buah dan bunga, cili Semerah tergolong dalam spesies Capscium annuum.

Tambah beliau lagi, pewujudan varieti cili Semerah nyata boleh dimanfaatkan oleh para pengusaha dan juga negara dari segi kualiti dan kuantiti yang mampu dihasilkannya selain dijamin mutunya.

Menariknya, varieti Semerah itu mampu menghasilkan produktiviti lebih dua atau tiga kali ganda berbanding varieti cili padi biasa.

Lebih membanggakan, cili Semerah ini juga berbuah secara serentak dan ini secara pastinya menjimatkan masa peladang dan pengusaha daripada perlu memetik cili yang pada kebiasaannya berbuah secara tidak menentu.

Seterusnya, kos perladangan dari segi wang ringgit dan masa dapat dikurangkan.

Tahan penyakit

Selain itu, salah satu kelebihan cili Semerah ini, ia juga mampu menghasilkan cili walaupun dijangkiti penyakit ataupun virus.

Dengan pengenalan varieti Semerah itu, boleh dikatakan satu hasil yang boleh dibanggakan kerana ia bukan sahaja mampu menampung keperluan cili tempatan.

Ciri-cirinya yang menarik itu juga diharap dapat meningkatkan pembangunan terutamanya industri penanaman cili tempatan.

Secara tidak langsung, ia membantu para pengusaha tanaman cili dan sayur dalam peningkatan pendapatan tahunan mereka disebabkan unjuran yang lebih panjang (11 bulan semusim) berbanding varieti cili padi biasa.

Selain itu juga, peningkatan dalam pengeluaran hasil seterunya akan membantu menjadikan harga cili lebih stabil dan penyediaan bekalan cili yang lebih konsisten.

Ini akan membuatkan lebih ramai individu tempatan untuk mengusahakan tanaman cili padi secara besar-besaran dan komersial.

Pewujudan varieti Semerah ini turut membuka peluang kepada negara untuk bersaing dengan negara jiran iaitu Thailand yang berupaya untuk menghasilkan cili pada kos yang lebih rendah selain mampu mengurangkan kadar import cili dari negara berkenaan.

Teknologi berkaitan industri cili

Teknik mengesan tahap kepedasan cili menggunakan ChilliSense.


Perisytiharan cili varieti baru yang disempurnakan oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini menandakan bidang pertanian khususnya penyelidikan pembiakbakaan melangkah setapak lagi dengan pengenalan Semerah yang mempunyai ciri-ciri lebih baik.

Pertanian kini dilihat sebagai bidang wajar dimartabatkan, apatah lagi dengan krisis makanan yang melanda membawa kepada inisiatif kepada penghasilan baka lebih baik.

Menurut Jabatan Pertanian, dengan kawasan penanaman cili setakat kini melebihi 3,000 hektar dan pengeluaran lebih 37,000 tan metrik, tanaman cili wajar dikembangkan dengan penggunaan teknologi, sama seperti tanaman pertanian lain.

Tanaman cili antara yang menerima suntikan baru dengan pengenalan varieti baru itu meskipun ia bukan yang pertama diperkenalkan.

Pada 1995, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memperkenalkan varieti Cilibangi-1 dan Cilibangi- 2 yang ketika iu dapat memberi penyelesaian kepada penanam cili tempatan supaya tidak perlu bimbang dengan masalah baka.

Cilibangi-1 dan Cilibangi-2 yang dihasilkan selepas penyelidikan 15 tahun oleh dua profesor UKM, Bangi, ketika itu iaitu Prof. Madya Dr. Ahmed Mahir dan Prof Dr. Ismail Ahmad dari Fakulti Sains Hayat dikatakan mampu memberi jawapan kepada masalah penyakit yang menyerang tanaman tersebut.

Cilibangi-1 dan 2 mempunyai ciri-ciri seperti struktur pokok yang seimbang dan boleh menampung buah yang lebat.

Ciri-ciri ini mengurangkan risiko pokok tumbang semasa ditanam dan berbuah.

Menurut UKM, Cilibangi-1 sesuai untuk dipasarkan segar, manakala Cilibangi-2 untuk dikeringkan dengan pokoknya kelihatan lebih segar dan menarik berbanding cili biasa.

Penghasilan baka cili tersebut dihasilkan menerusi penyelidikan pembiakbakaan secara konvensional dan bioteknologi di bawah Program Tumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) serta kajian lanjutan yang diketuai Prof. Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid.

Justeru selain Cilibangi dan Semerah yang menunjukkan kejayaan program pembiakbakaan, industri cili juga menerima suntikan menerusi penyelidikan mengesan tahap kepedasan yang dijalankan oleh penyelidik UKM.

Berdasarkan penyelidikan tersebut, tahap kepedasan cili sebenarnya boleh diuji tanpa menggunakan lidah.

Alat khas yang dinamakan ChiliSense iaitu kit optik dihasilkan bersama oleh Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Musa Ahmad bersama Mohamad Nasir Mat Arip, Lee Yook Heng, Ahmad Mahir Moktar dan Dr. Mohd. Nasir Taib.

Ciri penting kit itu ialah mengesan tahap kandungan kapsaisin dalam cili.

Alat tersebut juga boleh membantu meningkatkan industri makanan memandangkan kekerapan penggunaan kapsaisin sebagai perisa makanan dan ia perlu dihadkan.

Alat pengesan itu menggunakan reagen (bahan kimia) yang berubah warna mengikut tahap kepedasan cili dan warna tersebut akan dipadankan julat kepekatan kapsaisin antara 12 dan 20 miligram pel liter (mg/L).

Sampel cili yang hendak diuji perlu dilarutkan dalam reagen tersebut dan perubahan warna dikenal pasti untuk dipadankan dengan kod warna piawai bagi mengukur tahap kepedasan dan keputusan boleh diperoleh dalam masa singkat.

Pelajar diajak bercucuk tanam

PADANG BESAR 30 Okt. – Program Bumi Hijau yang kini diperluas ke sekolah di seluruh negara dapat mendidik para pelajar agar meminati bidang yang amat penting itu melalui kaedah penanaman yang lebih moden.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu berkata, pertanian merupakan bidang yang mencakupi aspek kehidupan dan ia amat bermakna jika diperkenalkan di sekolah-sekolah.

Katanya, menyahut seruan kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan usaha Kementerian Pelajaran itu juga dapat di lihat sebagai langkah asas menggalakkan pelajar sekolah bergiat dalam perniagaan pertanian.

”Sekolah bukan sahaja tempat untuk dijadikan sebagai tempat pelajar menuntut ilmu dalam bidang kurikulum tetapi kegiatan kokurikulum juga amat penting dalam menjadikan seseorang pelajar itu seimbang.

”Projek Bumi Hijau yang diperkenalkan di peringkat sekolah ini amat penting kerana pendidikan awal untuk mengajak mereka bercucuk tanam bagi menghasilkan makanan sendiri kelak,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Beseri.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Sabry Ahmad, Pengarah Jabatan Pertanian Perlis, Abdul Razak Shafiai dan Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat.

Pada majlis itu pelbagai bantuan diberikan kepada sekolah termasuk bantuan benih sayur-sayuran, baja, bantuan anak ikan keli dan bantuan anak itik.

Md. Isa memberitahu, negara juga tidak boleh terus berharap terhadap barangan import sebaliknya perlu menghasilkan makanan asas secara sendiri terutama membabitkan makanan kampung yang biasa seperti ulam, sayuran dan ternakan ikan.

”Kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun kerana mengimport pelbagai jenis makanan daripada negara luar jadi tiba masanya perkara ini dipraktikkan di sekolah dan seterusnya amalannya diteruskan di rumah,” ujarnya.

Penanam vanila raih RM3,000 sebulan

Projek Rentak Timur miliki ladang 60 hektar di Kechau, Lipis sasar 300 juta tan hasil pada 2010

KUANTAN: Lebih 3,000 petani di seluruh negara yang terbabit dalam projek penanaman vanila mampu memperoleh pendapatan purata RM3,000 sebulan bagi tanaman pokok berkenaan di kawasan seluas 0.2 hektar.

Petani terbabit adalah kumpulan yang ditawarkan kontrak perladangan bagi penanaman vanila di seluruh negara membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar bagi projek yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Projek itu dilaksanakan Rentak Timur Sdn Bhd (Rentak Timur), syarikat tempatan pertama yang aktif dalam memasarkan produk vanila yang memiliki 60 hektar ladang vanila di Kechau, Lipis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Isa Syed Alwi, berkata pihaknya mensasarkan mengeluarkan 300 juta tan produk berkenaan menjelang 2010, sekali gus menguasai 15 peratus daripada permintaan keseluruhan pasaran vanila antarabangsa.

Beliau berkata, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Vanilla Biomatrix Sdn Bhd (VBSB) itu, dijangka mampu membantu petani menjana pendapatan lumayan menerusi kegiatan penanaman vanila secara komersial.

Katanya, menerusi projek itu, kontrak diberi kepada petani untuk menanam kira-kira lima juta vanila di kawasan lebih 1,000 hektar yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi.

“Sebenarnya vanila adalah rempah ratus kedua termahal selepas kunyit dan permintaan global bagi produk itu dianggarkan 2,000 tan setahun dan jumlahnya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Sebab itu, kita berusaha memenuhi permintaan dunia dengan membabitkan penyertaan petani dalam tanaman vanila di seluruh negara bagi meningkatkan pengeluaran yang kami hasilkan iaitu kira-kira 1,500 kilogram ekstrak vanila sehari,” katanya di sini, semalam.

Rentak Timur adalah syarikat pertama yang terbabit dalam penanaman vanila di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Mengikut data Pusat Dagangan Antarabangsa, hanya 30 peratus daripada pasaran vanila dunia membabitkan ekstrak vanila tulen, manakala selebihnya adalah ekstrak sintetik.

Vanila banyak digunakan sebagai perisa makanan terutama dalam pembuatan ais krim, biskut, coklat, alkohol dan minyak wangi.

Sementara itu, Syed Isa berkata, pembabitan Rentak Timur dalam projek penanaman vanila bermula selepas mereka melakukan kajian di ladang seluas 1.5 hektar di Singaraja, Bali, Indonesia pada 2002.

Iltizam doktor memartabatkan makanan halal

Pekerja sibuk membersihkan ayam yang telah disembelih dan sedia untuk dipasarkan.


Bagi kebanyakan pengusaha projek pertanian, mencongak keuntungan tentunya menjadi keutamaan, tetapi lain pula bagi seorang doktor perubatan yang menceburi bidang penternakan ayam kampung.

Baginya, apa yang menjadi keutamaan kini ialah menawarkan produk yang sihat dan halal kepada pengguna.

“Ini merupakan fardu kifayah yang menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam,” kata Dr. Mohamad Zainol Ahmad Haja.

Dr. Mohamad Zainol yang berasal dari Seberang Prai, Pulau Pinang sebelum ini pernah bertugas di syarikat luar negara dan dari situlah beliau menyedari pentingnya industri makanan halal diperhebatkan.

Pada awal 1990-an, beliau yang mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains, doktor falsafah dan doktor perubatan di Amerika Syarikat, pernah juga bertugas di syarikat penjualan makanan dan produk kesihatan.

Pengalaman tersebut diakui memberi inspirasi bagaimana memulakan perniagaan makanan.

Bermodalkan wang pelaburan RM1 juta, beliau yang sebelum itu memulakan aktiviti pengimportan ayam pada 1995 membuka kawasan ladang ternakan di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor melibatkan ternakan 40,000 ekor ayam.

Selepas itu, projek ternakannya berkembang hingga mencapai 600,000 ekor di beberapa kawasan lain termasuk Kulai, Segamat, Pekan Nenas dan Kluang Johor.

Namun, bagi mencapai impiannya, beliau memperkenalkan pendekatan makanan organik untuk ternakannya, agar menjamin ia bebas daripada bahan kimia.

Beliau juga menubuhkan syarikatnya Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd. bagi memudahkan projek ternakannya diurus secara tersusun dan memenuhi matlamatnya terbabit dalam perniagaan.

“Saya mahu pengguna memperoleh makanan halal termasuk makanan yang bersih daripada bahan pencemar,’’ ujarnya.

Kesibukannya mengurus projek ternakan tersebut bagaimanapun tidak menghalangnya untuk meneruskan operasi klinik Medi Sina di Ampang, Selangor yang diusahakan bersama isteri, Dr. Mumtaz Abdul Razak sejak sedekad lalu.

Dengan memegang jawatan sebagai Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Inovasi syarikat, pengalaman dan tunjuk ajar menjadikan beliau mahir dalam teknologi pemprosesan makanan ternakan.

Beliau menggunakan makanan ayam yang dihasilkan daripada ekstrak herba seperti kunyit, halia, limau purut yang mengandungi antioksida dan pada masa sama tidak menggunakan antibiotik dan bebas hormon.

Hasilnya, ayam yang diternak hanya makan makanan organik dan bebas bahan kimia .

“Saya mahu pengguna memperoleh makanan halal, bersih daripada bahan pencemar serta tidak berbahaya kepada pengguna,’’ katanya.

Apa yang menarik, teknologi makanan yang dihasilkan adalah berasaskan rumusan sendiri hasil penyelidikan yang dijalankan sejak beberapa tahun.

Menurut beliau, sudah sampai masanya pengguna khususnya masyarakat Islam mementingkan penggunaan bahan bebas kimia selain makanan halal.

Justeru, beliau menawarkan teknologi tersebut sebagai pilihan terbaik kepada mereka yang mementingkan produk organik.

Kini, produk makanan hasil ternakannya sudah berada di pasaran dengan jenama Al Mumtaz dan dikeluarkan dalam bentuk sosej, bebola dan burger selain jualan segar.

Bagi melengkapkan lagi matlamatnya untuk mengembangkan industri makanan halal ,beliau juga menawarkan perniagaan berkonsepkan francais kepada mereka yang berminat.

Menerusi konsep tersebut, mereka yang berminat perlu menyediakan modal antara RM50,000 dan RM60,000 yang mana mereka perlu menjual daging ayam organik, manakala satu lagi konsep ialah membuka perniagaan makanan berasaskan ayam.

Menerusi konsep kedua, mereka yang berminat perlu menyediakan modal sekurang-kurangnya RM70,000.

Mereka juga ditawarkan membuka ladang ternakan ayam seluas dua hektar dan dibekalkan dengan 50,000 ekor anak ayam kampung

Selaku francaisor, pihaknya akan membeli semua ayam yang dipelihara dan biasanya mengambil masa 90 hari dengan harga antara RM14 dan RM18 seekor.

Dengan usaha beliau itu, niatnya untuk mempromosi industri makanan halal akan tercapai dan pada sama pengguna beroleh makanan yang lebih menyihatkan.

Namun, bagi Dr. Mohamad Zainol, beliau lebih menitikberatkan supaya pengguna memperoleh makanan yang selamat kerana inilah tanggungjawab masyarakat Islam.

Malah beliau juga sering memberi ceramah mengenai kepentingan industri makanan halal dan membuka outlet jualan di beberapa masjid terpilih.

“Saya berasa bertanggungjawab untuk menyediakan makanan yang halal untuk semua orang khususnya yang beragama Islam kerana ia penting dalam memupuk kesejahteraan ummah,” ujarnya.

Masyarakat Islam katanya boleh menceburi apa juga industri makanan tetapi mereka juga perlu menyedari bahawa makanan yang wajar diambil perlu mengikut syariat.

Oleh itu moto Berkhidmat Untuk Ummah dijadikan teras pegangan perniagaannnya yang mengguna pelbagai jenama iaitu Al-Madihah untuk makanan kering, dan Al-Maz (berasaskan cecair) dan Az-Zain untuk jenama produk sejuk beku.

Jenama Az-Zain bagaimanapun bukan semata-mata berasaskan ayam sahaja tetapi juga lembu dan puyuh untuk pelbagai kegunaan.

Az-Zain misalnya misalnya jenama produk halal yang dijual outlet yang dibuka di beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Johor.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www.azzain.com atau hubungi 03-92811802.

Gula-gula herba untuk perubatan

PELBAGAI cara dilakukan dalam pembuatan produk perubatan agar khasiat dan kelebihan ubat tersebut dapat dinikmati oleh semua peringkat pengguna.

Terbaru, sejenis snek atau gula-gula untuk fungsi perubatan telah dihasilkan menggunakan bahan asas tumbuh-tumbuhan herba.

Pembuatan gula-gula yang diberi nama Amli Licorice Candy itu memfokuskan kepada penggunaan daun herba dukung anak sebagai ramuan utama selain dicampurkan dengan bahan sampingan seperti air bunga lawang dan tepung gandum.

Dukung anak atau nama saintifiknya Phyllanthus niruri merupakan sejenis tumbuhan herba berkhasiat yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional.

Ia dipercayai dapat memberi banyak faedah untuk tujuan kesihatan dan juga sebagai penawar kepada pelbagai penyakit.

Penyelidikan mengenai gula-gula tersebut telah dijalankan oleh sekumpulan pensyarah dari Fakulti Perhotelan dan Pengurusan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut salah seorang pensyarah, Roslina Ahmad, idea untuk menghasilkan gula-gula berkenaan timbul setelah mendapati khasiat tumbuhan herba dukung anak berpotensi untuk dikomersialkan.

“Daun tersebut juga senang untuk diperoleh kerana ia membiak dengan mudah di banyak kawasan.

“Tambahan pula sekarang ini terdapat beberapa pihak yang mengusahakan tanaman tumbuhan ini secara perladangan,’’ katanya pada Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun untuk tujuan perubatan, namun gula-gula tersebut mempunyai rasa yang sedikit manis dan berpudina sesuai dimakan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak pada bila-bila masa.

Produk yang melalui proses penyelidikan lebih tiga bulan itu mudah untuk dihasilkan dan hanya memerlukan kos yang rendah.

Penghasilannya melibatkan proses seperti campuran bahan, adunan dan pemanasan sebelum dihasilkan dalam bentuk jeli yang kemudiannya akan di potong secara memanjang.

Melihat kepada kelebihannya, sumber herba tersebut kini semakin diperluaskan penggunaannya di kalangan pengamal perubatan moden.

Produk gula-gula herba berkenaan sedang dalam proses untuk dipatenkan dan bakal dikomersialkan untuk memberi manfaat kepada ahli masyarakat.