SERDANG 28 Okt. — Harga baja mungkin diturunkan berikutan penurunan mendadak harga minyak mentah dunia, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.
“Kita sudah pun mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan kemungkinan harga turun itu ada. Cuma bila dan setakat mana, itu akan dibincangkan esok,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Warga Tani Bersama Perdana Menteri di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertemu dengan syarikat-syarikat baja terkemuka negara untuk membincangkan masalah tersebut esok.
Mustapa berkata demikian ketika ditanya sama ada harga bahan pertanian akan diturunkan memandangkan harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak akibat kelembapan ekonomi dunia.
Ketika ini, harga minyak mentah dunia berada di paras AS$63 (AS$1 RM3.59) setong.
Katanya harga baja mengalami peningkatan 100 peratus terutamanya baja berasaskan petroleum berbanding harganya pada tiga tahun lepas.
Beliau berkata memandangkan harga minyak dunia sudah turun, harga baja berasaskan petroleum sudah pun mulai menurun tetapi agak perlahan kerana masalah stok dan lain-lain lagi.
“Kita harap sesuatu yang baik akan terbit esok,” katanya. Katanya walaupun sebahagian besar baja digunakan dalam penanaman kelapa sawit iaitu sebanyak 80 peratus dan bakinya digunakan dalam penanaman padi dan tanaman lain, ia tetap melibatkan kumpulan yang besar iaitu seramai tiga juta petani di seluruh negara.
Menyentuh tentang benih padi, kementerian berkenaan sedang memohon peruntukan tambahan bagi memenuhi permintaan pengeluar untuk menambah subsidi untuk benih padi, kata Mustapa.
“Kita sedang menangani masalah ini dan sedang memohon peruntukan tambahan kerana subsidi yang ada tidak mencukupi kerana harga padi telah meningkat,” katanya.
Mustapa berkata harga benih padi kini RM1,200 hingga RM1,300 satu tan metrik.
Bagi setiap kilogram, kerajaan memberi subsidi sebanyak lima puluh sen tetapi pengusaha telah meminta tambahan subsidi lebih dari RM1 bagi satu kilogram, katanya.
Di majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut merasmikan hasil pengeluaran cili padi variasi baru, Semerah, yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.
— BERNAMA