![]() |
BISKUT Herba Sari mengandungi herba seperti halia, cekur, jerangau dan halba.
|
YAN 27 Okt. – Generasi masa kini mungkin tidak lagi mengenali herba, apatah lagi mengambilnya sebagai makanan atau minuman tambahan untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka.
Tanggapan bahawa pengambilan herba khusus untuk golongan tua turut menjadi antara faktor yang ‘menjauhkan’ golongan muda daripada mengambil bahan tersebut dalam kehidupan seharian masing- masing.
Malah, rasa herba yang agak pahit dan kelat jika diambil dalam bentuk air rebusan atau pil menyebabkan pengguna sering kali berfikir dua kali sebelum menelannya.
Bagaimanapun, tiada yang berani menyangkal bahawa amalan pengambilan herba mampu mengembalikan tenaga dan meningkatkan sistem ketahanan badan serta sesuai untuk semua golongan usia.
Menyedari potensi dan khasiat yang ada pada herba, seorang bekas anggota tentera, Mohd. Yusoff Lon, 48, tekad menceburi perniagaan produk makanan dan minuman berasaskan bahan itu sejak tiga tahun lalu.
Lebih menarik, produk syarikat Mohd. Yusoff di bawah Perniagaan Tradisional Herba Sari yang beroperasi di rumahnya di Kampung Setoi di sini bukan sahaja dikeluarkan dalam bentuk minuman tetapi dalam bentuk biskut.
Menurut Mohd. Yusoff, biskut herba keluaran syarikatnya itu mengambil masa setahun untuk dihasilkan sebelum beliau menemui resipi dan kaedah terbaik untuk mengadun bahan-bahan bagi memastikan rasanya tidak pahit dan dapat diterima semua.
“Saya bersyukur hasil kajian saya selama setahun untuk menghasilkan biskut herba ini memberi pulangan yang memuaskan kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Biskut herba keluaran Perniagaan Tradisional Herba Sari ini juga mendapat kelulusan ujian nutrien daripada Jabatan Pertanian Kedah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Mohd. Yusoff berkata, biskut herba keluarannya itu mempunyai pelbagai khasiat termasuk mengeluarkan angin dalam badan, membantu meningkatkan keupayaan sistem penghadaman, melancarkan perjalanan darah dan merawat resdung serta sembelit.
Katanya, ia juga boleh diambil sebagai makanan ringan berkhasiat pada bila-bila masa.
Sehingga kini, katanya, dia berjaya menjual kira-kira 500 peket biskut herba sebulan dan jumlah itu bertambah bergantung pada permintaan.
“Oleh kerana biskut herba merupakan bahan makanan yang baru, penerimaan pelanggan pada mulanya tidak begitu memberangsangkan tetapi ia semakin meningkat setiap hari apabila lebih ramai pengguna mengetahui kewujudan dan merasai kesannya,” ujarnya.
Mohd. Yusoff memberitahu, dia mendapat kemahiran mengadun pelbagai tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan herba menerusi pengalamannya selepas mendapat tunjuk ajar daripada bapanya, Lon Chin, 80, yang merupakan pengamal perubatan tradisional.
Sebelum itu, katanya, sekitar awal tahun 2000 dia pernah menghidap penyakit diabetes tetapi berjaya merawat alahan akibat penyakit tersebut selepas mendapat rawatan alternatif daripada bapanya itu.
“Sejak itu saya terus berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam selain mengembangkan potensi khasiat herba yang mudah dilupakan generasi masa kini,” katanya.
Menurut beliau lagi, kebanyakan tumbuhan herba ditanamnya sendiri di sekeliling rumahnya selain mencari di sekitar gunung Jerai.
Antara tumbuhan herba yang ditanamnya ialah mahkota dewa, temulawak, kunyit hitam, serai acheh dan misai kucing.
Dalam pada itu beliau memberitahu, selain biskut herba, Perniagaan Tradisional Herba Sari turut mengeluarkan teh herba, minuman halia madu dan minyak kelapa dara.
“Semua produk keluaran syarikat saya tiada bahan pengawet dan pewarna,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, dia kini bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menentukan tahap kualiti dan memasarkan produk keluaran syarikatnya.