150 daftar sertai Seminar Agro Fest

KUCHING: Lebih 150 peserta yang terdiri daripada peladang, penternak, nelayan dan orang awam, sudah mendaftar untuk menyertai Seminar Agro Fest Sarawak yang akan diadakan pada 2 November di Dewan Seminar Pusaka di sini.

Seminar bertemakan ‘Peluang-peluang Perniagaan Dalam Sektor Ternakan’ itu dianjurkan Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (Azam).

Jurucakap Azam berkata, seminar itu diadakan sempena perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) serta sambutan Ulang Tahun ke-45 Sarawak Maju dalam Malaysia.

Selain memberi gambaran umum mengenai pembangunan dan potensi sektor ternakan di Sarawak, pembentangan kertas kerja seminar turut meliputi topik pemasaran, polisi tanah untuk pembangunan sektor ternakan, isu alam sekitar, teknologi terkini, insentif kewangan dan pinjaman kepada petani.

Usahawan tani yang berjaya juga akan turut berkongsi pengalaman dan kejayaan masing-masing dalam penternakan lembu dan kambing pada seminar berkenaan.

Antara agensi yang terbabit dalam pembentangan kertas kerja pada seminar itu ialah Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Agro Bank dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Yuran pendaftaran adalah RM50 seorang dengan tarikh tutup pendaftaran pada 27 Oktober ini. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada Belinda Wilson atau Roslin Latip menerusi talian 082-411799.

Kempen tanam sendiri ajar rakyat berjimat

HULU SELANGOR 26 Okt. – Seramai 50 penduduk perumahan Bukit Sentosa 3 dekat sini menyahut ‘Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja’ dengan menerima anak pokok cili, biji benih dan baja untuk memulakan penanaman sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason (gambar) berkata, kempen tersebut bertujuan mendidik generasi muda hari ini untuk menjadi rakyat yang berjimat-cermat.

”Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja sebenarnya satu kempen sempena Kempen Konsumer 2008-2010 dan ia telah bermula sejak Julai lalu untuk tempoh 84 bulan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan anak pokok cili, biji benih dan baja kepada penduduk di Padang Kemboja 4A di sini hari ini.

Beliau berkata, FOMCA bersama tiga rakan gabungannya iaitu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak rakyat mengubah kehidupan sejak harga barangan naik secara mendadak.

Katanya, rakyat yang bijak seharusnya boleh merancang perbelanjaan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

Justeru, ujarnya, langkah awal yang harus dipraktikkan oleh generasi muda hari ini ialah mengelakkan pembaziran supaya lahir masyarakat yang tidak membazir pada masa akan datang.

Beliau menambah, adalah menjadi tugas FOMCA hari ini untuk mendidik generasi muda sekarang dengan kefahaman yang lebih mendalam supaya mereka menjadi rakyat yang berjimat-cermat.

Katanya, kerajaan turut memainkan peranan lebih berkesan dengan mengusahakan kembali tanah-tanah pertanian yang didapati terbiar di seluruh negara.

”Jika tanah pertanian seluas 800,000 hektar yang terbiar itu dapat diusahakan oleh pesawah kecil-kecilan seperti dijadikan bendang maka kadar 35 peratus beras yang diimport dari luar negara untuk kegunaan rakyat dapat dikurangkan,” katanya.

Bertani menjanjikan pendapatan lumayan

KOTA SAMARAHAN 26 Okt. – Golongan belia di Sarawak disaran supaya membabitkan diri dalam bidang pertanian yang bakal menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Mohd. Naroden Majais (gambar) berkata, kecenderungan belia untuk berhijrah ke bandar bagi mencari peluang pekerjaan membuatkan bidang pertanian ini masih dipelopori golongan yang sudah berumur.

Beliau berkata, golongan belia seharusnya sedar bahawa bidang pertanian juga menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara serius berikutan krisis ekonomi dunia yang menyebabkan kenaikan harga makanan.

Katanya, perkembangan ekonomi semasa pada masa ini membuka banyak peluang kepada golongan belia untuk menceburi bidang pertanian berikutan pengeluaran makanan utama seperti beras semakin berkurangan.

”Pada masa yang sama, permintaan terhadap produk pertanian seperti beras ini tidak pernah berkurangan dan ia bakal menjamin masa depan kepada petani,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada penutupan seminar peluang niaga tani peringkat Bahagian Samarahan di Dewan Suarah di sini.

Seramai 178 peserta menghadiri seminar sehari itu yang dianjurkan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak berkata, selain pertanian, golongan belia juga boleh membabitkan diri dalam bidang penternakan ikan keli secara komersial.

Menurutnya, ikan keli matang dalam masa tiga bulan dan ia boleh dijadikan pelbagai produk seperti ikan sardin dan minyak Omega 3 yang terdapat dalam badan ikan keli boleh dijadikan ubat untuk melawan penyakit.

”Kejayaan menternak ikan keli secara komersial juga telah dibuktikan secara komersial oleh usahawan bumiputera tempatan,” katanya.

Naroden berkata, golongan belia yang berminat untuk bertani boleh mendapatkan pelbagai bantuan daripada kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang menyediakan pinjaman sehingga RM50,000 tanpa cagaran bagi membolehkan usahawan bumiputera memulakan perniagaan.

Beliau berkata, selain itu, bagi belia yang berminat menjadi usahawan boleh menghubungi Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera bagi membincangkan peluang perniagaan yang boleh diceburi.

3 insentif maju sektor ternakan

LUMUT 26 Okt. – Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memperhebatkan pelbagai program di seluruh negara bagi mempertingkatkan produk hasil ternakan serta memenuhi permintaan bahan makanan yang semakin meningkat.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, bagi memastikan kejayaan rancangan berkenaan, kerajaan turut menyediakan beberapa insentif.

Katanya, tiga jenis insentif akan diberikan untuk sub sektor ternakan iaitu pengagihan lembu dan kambing, insentif kewangan kepada penternak dan program bumi hijau.

‘‘Tiga insentif itu bertujuan menampung pertambahan kos pengeluaran komoditi ternakan dan mempergiatkan lagi aktiviti dalam sektor pertanian.

‘‘Kerajaan perlu menyuntik peruntukan tambahan bagi menampung peningkat harga bahan makanan dan ubat- ubatan ternakan.

‘‘Keadaan itu sekiranya tidak dibantu, penternak bakal berhadapan dengan pelbagai masalah dan risiko kerugian,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Sijil Peserta Bimbingan Rakyat, Perjanjian Skim Pinjaman Ternakan Tanpa Faedah (PINTAF) di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan negeri, Jamaluddin Mohd. Radzi.

Seramai 15 orang penternak menerima perjanjian PINTAF bagi ternakan lembu, ternakan kambing (15), Projek Bumi Hijau (149) dan Program Bantuan Bimbingan Rakyat (12).

Dr. Quaza Nizamuddin berkata, PINTAF adalah satu program di bawah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar yang dahulunya dikenali dengan nama Rancangan Pawah Ternakan.

Menurutnya, sebanyak RM3.618 juta telah disalurkan kepada negeri ini bagi membekalkan sebanyak 700 ekor lembu dan 900 ekor kambing kepada 71 peserta.

‘‘Setiap peserta akan menerima sebanyak 20 ekor lembu dan 25 ekor kambing.

‘‘Negeri ini juga dijangka akan menerima peruntukan tambahan sebanyak 1,000 ekor lembu dan 1,750 ekor kambing lagi untuk diagihkan kepada peserta,” katanya.

Menurutnya, pihak jabatan juga turut menjalankan Program Bumi Hijau menerusi peruntukan sebanyak RM160,000 yang disediakan.

Cikgu Aron usahawan lintah

ARON Warso menunjukkan tangki ternakan lintah, ikan keli dan belut di halaman rumahnya di Kampung Kota Ayangan, Keningau, Sabah.


KENINGAU 27 Okt. – Kebanyakan mereka yang bersara dalam perkhidmatan awam menganggap sisa waktu yang ada adalah masa untuk berehat daripada kesibukan bekerja.

Namun sikap sedemikian bukan prinsip hidup Aron Warso, 56, iaitu bekas Pengarah Institut Perguruan Keningau yang mengambil peluang sempena persaraannya dalam perkhidmatan awam dengan melibatkan diri secara aktif dalam bidang pertanian dan ternakan.

Menurut Aron, minatnya dalam bidang pertanian dan ternakan mula tersemai semasa masih berkhidmat sebagai penjawat awam melalui pembacaan.

Beliau yang minat membaca mempunyai koleksi 350 buah buku yang berkaitan dengan keusahawanan, pertanian dan ternakan.

Semasa masih dalam perkhidmatan, Aron juga telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian dan ternakan dengan mengusahakan tanaman sawit dan ternakan lembu tenusu dan pedaging.

Malah, beliau pernah menjalankan ternakan rusa yang merupakan antara yang paling awal diusahakannya dan kini diurus di bawah Projek Wawasan Keluarga.

Rentetan itu juga, beliau pada suatu hari tertarik selepas membaca mengenai industri ternakan lintah, belut, ikan keli dan ikan haruan.

“Setelah mengetahui melalui pembacaan bahawa ternakan lintah mampu memberikan pulangan lumayan, saya mengambil keputusan menceburkan diri secara serius.

”Sebelum itu saya menyertai kursus pembiakan lintah yang diadakan pada 26 Julai lalu di Kota Kinabalu yang dianjurkan oleh sebuah syarikat dari Negeri Sembilan,” katanya.

Selepas mengikuti kursus, Aron tidak menunggu lama apabila memulakan ternakan lintah sebanyak 1,200 ekor yang dilaksanakan secara bersepadu dengan ternakan belut dan ikan keli di halaman rumahnya di Kampung Kota Ayangan.

Projek tersebut dijadikan sebagai Projek Wawasan Keluarga Agrotik di bawah fasa kedua Projek Wawasan Keluarga selepas ternakan rusa.

Aron memberitahu, menternak lintah adalah mudah berbanding dengan ternakan yang lain kerana tidak memerlukan kawasan yang luas serta boleh diternak dalam besin besar.

Makanannya pula adalah rumpai air seperti kiambang dan sebagainya selain darah belut dan ikan keli yang diternak secara bersepadu.

Daripada proses pembiakannya, Aron menjelaskan seekor lintah betina boleh menghasilkan anak 500 ekor dan matang dalam tempoh enam bulan.

Harganya di pasaran kini antara RM80 dan RM150 sekilogram berbanding RM50 pada Januari hingga Mei lalu.

Selain menternak lintah, Aron juga membuat percubaan menternak cacing sebagai satu lagi usaha untuk menambah pendapatan keluarganya.

Sejarah Aron dalam perkhidmatan awam bermula sebagai guru sandaran sebelum masuk Maktab Perguruan pada 1974 dan kemudian menyambung ke peringkat ijazah pada tahun 1982.

Selain memegang jawatan pengetua di beberapa sekolah di Sabah, beliau juga pernah memegang jawatan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau sebelum dilantik Pengarah, Institut Perguruan Keningau.

”Saya yakin ternakan lintah mampu memberi pulangan lumayan kerana permintaannya di pasaran amat tinggi pada masa ini berdasarkan kegunaannya untuk rawatan kosmetik,” katanya

Biskut herba makin digemari

BISKUT Herba Sari mengandungi herba seperti halia, cekur, jerangau dan halba.


YAN 27 Okt. – Generasi masa kini mungkin tidak lagi mengenali herba, apatah lagi mengambilnya sebagai makanan atau minuman tambahan untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka.

Tanggapan bahawa pengambilan herba khusus untuk golongan tua turut menjadi antara faktor yang ‘menjauhkan’ golongan muda daripada mengambil bahan tersebut dalam kehidupan seharian masing- masing.

Malah, rasa herba yang agak pahit dan kelat jika diambil dalam bentuk air rebusan atau pil menyebabkan pengguna sering kali berfikir dua kali sebelum menelannya.

Bagaimanapun, tiada yang berani menyangkal bahawa amalan pengambilan herba mampu mengembalikan tenaga dan meningkatkan sistem ketahanan badan serta sesuai untuk semua golongan usia.

Menyedari potensi dan khasiat yang ada pada herba, seorang bekas anggota tentera, Mohd. Yusoff Lon, 48, tekad menceburi perniagaan produk makanan dan minuman berasaskan bahan itu sejak tiga tahun lalu.

Lebih menarik, produk syarikat Mohd. Yusoff di bawah Perniagaan Tradisional Herba Sari yang beroperasi di rumahnya di Kampung Setoi di sini bukan sahaja dikeluarkan dalam bentuk minuman tetapi dalam bentuk biskut.

Menurut Mohd. Yusoff, biskut herba keluaran syarikatnya itu mengambil masa setahun untuk dihasilkan sebelum beliau menemui resipi dan kaedah terbaik untuk mengadun bahan-bahan bagi memastikan rasanya tidak pahit dan dapat diterima semua.

“Saya bersyukur hasil kajian saya selama setahun untuk menghasilkan biskut herba ini memberi pulangan yang memuaskan kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Biskut herba keluaran Perniagaan Tradisional Herba Sari ini juga mendapat kelulusan ujian nutrien daripada Jabatan Pertanian Kedah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mohd. Yusoff berkata, biskut herba keluarannya itu mempunyai pelbagai khasiat termasuk mengeluarkan angin dalam badan, membantu meningkatkan keupayaan sistem penghadaman, melancarkan perjalanan darah dan merawat resdung serta sembelit.

Katanya, ia juga boleh diambil sebagai makanan ringan berkhasiat pada bila-bila masa.

Sehingga kini, katanya, dia berjaya menjual kira-kira 500 peket biskut herba sebulan dan jumlah itu bertambah bergantung pada permintaan.

“Oleh kerana biskut herba merupakan bahan makanan yang baru, penerimaan pelanggan pada mulanya tidak begitu memberangsangkan tetapi ia semakin meningkat setiap hari apabila lebih ramai pengguna mengetahui kewujudan dan merasai kesannya,” ujarnya.

Mohd. Yusoff memberitahu, dia mendapat kemahiran mengadun pelbagai tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan herba menerusi pengalamannya selepas mendapat tunjuk ajar daripada bapanya, Lon Chin, 80, yang merupakan pengamal perubatan tradisional.

Sebelum itu, katanya, sekitar awal tahun 2000 dia pernah menghidap penyakit diabetes tetapi berjaya merawat alahan akibat penyakit tersebut selepas mendapat rawatan alternatif daripada bapanya itu.

“Sejak itu saya terus berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam selain mengembangkan potensi khasiat herba yang mudah dilupakan generasi masa kini,” katanya.

Menurut beliau lagi, kebanyakan tumbuhan herba ditanamnya sendiri di sekeliling rumahnya selain mencari di sekitar gunung Jerai.

Antara tumbuhan herba yang ditanamnya ialah mahkota dewa, temulawak, kunyit hitam, serai acheh dan misai kucing.

Dalam pada itu beliau memberitahu, selain biskut herba, Perniagaan Tradisional Herba Sari turut mengeluarkan teh herba, minuman halia madu dan minyak kelapa dara.

“Semua produk keluaran syarikat saya tiada bahan pengawet dan pewarna,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, dia kini bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menentukan tahap kualiti dan memasarkan produk keluaran syarikatnya.

Harga baja mungkin turun

SERDANG 28 Okt. — Harga baja mungkin diturunkan berikutan penurunan mendadak harga minyak mentah dunia, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.

“Kita sudah pun mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan kemungkinan harga turun itu ada. Cuma bila dan setakat mana, itu akan dibincangkan esok,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Warga Tani Bersama Perdana Menteri di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertemu dengan syarikat-syarikat baja terkemuka negara untuk membincangkan masalah tersebut esok.

Mustapa berkata demikian ketika ditanya sama ada harga bahan pertanian akan diturunkan memandangkan harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak akibat kelembapan ekonomi dunia.

Ketika ini, harga minyak mentah dunia berada di paras AS$63 (AS$1 RM3.59) setong.

Katanya harga baja mengalami peningkatan 100 peratus terutamanya baja berasaskan petroleum berbanding harganya pada tiga tahun lepas.

Beliau berkata memandangkan harga minyak dunia sudah turun, harga baja berasaskan petroleum sudah pun mulai menurun tetapi agak perlahan kerana masalah stok dan lain-lain lagi.

“Kita harap sesuatu yang baik akan terbit esok,” katanya. Katanya walaupun sebahagian besar baja digunakan dalam penanaman kelapa sawit iaitu sebanyak 80 peratus dan bakinya digunakan dalam penanaman padi dan tanaman lain, ia tetap melibatkan kumpulan yang besar iaitu seramai tiga juta petani di seluruh negara.

Menyentuh tentang benih padi, kementerian berkenaan sedang memohon peruntukan tambahan bagi memenuhi permintaan pengeluar untuk menambah subsidi untuk benih padi, kata Mustapa.

“Kita sedang menangani masalah ini dan sedang memohon peruntukan tambahan kerana subsidi yang ada tidak mencukupi kerana harga padi telah meningkat,” katanya.

Mustapa berkata harga benih padi kini RM1,200 hingga RM1,300 satu tan metrik.

Bagi setiap kilogram, kerajaan memberi subsidi sebanyak lima puluh sen tetapi pengusaha telah meminta tambahan subsidi lebih dari RM1 bagi satu kilogram, katanya.

Di majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut merasmikan hasil pengeluaran cili padi variasi baru, Semerah, yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

— BERNAMA