Penyelidikan menghasilkan ayam serama bermutu


Peluang menonton pertandingan ayam serama di Lembah Klang, mencetuskan minat Ahmad Fauzi Mohamed menyusuri salasilah ayam terkecil di dunia ini.

Tanpa pengalaman, Ahmad Fauzi tidak dapat membezakan antara ayam serama, kapan dan katik yang seakan-akan sama tetapi agak besar berbanding serama.

Walaupun kelihatan seakan sama dengan ayam serama, ayam kapan dan katik sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan ayam serama.

Tertarik dengan ayam serama, Ahmad Fauzi membuat kajian dan mendapati tiada catatan bertulis mengenai sejarah asal-usul mengenainya tetapi maklumat tidak rasmi mengatakan ayam serama berasal dari Kelantan.

“Menurut cerita, ayam serama merupakan haiwan peliharaan istimewa yang dipelihara dalam kawasan istana,” katanya.

Ayam serama yang ada sekarang merupakan hasil kacukan dengan beberapa spesies burung eksotik seperti ayam hutan, bantam dan merpati.

Proses kacukan dipercayai berlaku setelah beberapa keturunan sehinggalah saiz menjadi sekecil sekarang dan diiktiraf sebagai ayam terkecil di dunia.

“Ayam serama adalah warisan yang harus dipertahankan kerana berasal dari Tanah Melayu,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Hasrat ingin memulihara warisan tempatan menyebabkan beliau ke Kelantan dan Terengganu untuk membeli dan mengumpul baka ayam serama untuk dipelihara.

Tertarik dengan nilai estetika dan ciri yang ada pada ayam serama, Ahmad Fauzi mengambil keputusan menubuhkan Serama Corporation Sdn. Bhd.

Sebagai Pengarah Urusan, Ahmad Fauzi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari segi ketahanan, penyakit, penjagaan dan gaya.

“Ini penting bagi mendapatkan baka yang baik, cantik dan kuat memandangkan tidak lebih 10,000 ekor ayam serama yang terdapat di seluruh negara,” katanya.

Ayam serama amat berbeza dengan ayam peliharaan dari segi saiz, sifat dan bentuk badannya.

Berat badan ideal ayam serama adalah bawah 500 gram dan biasanya satu pertiga daripada berat badan ayam biasa.

“Ayam serama berbeza dengan ayam katik dan ayam kapan kerana pandai bergaya seperti mengepak dan mendada apabila ada mata memandang.

“Ayam ini juga suka dimandikan, dibelai dan diurut agar lebih sihat,” katanya.

Biasanya ayam serama akan dirapikan setiap hari seperti dimandikan, diberi makan vitamin dan disapu losen bagi mencantikkannya.

Ayam serama mempunyai jangka hayat antara tujuh hingga 15 tahun berdasarkan kaedah penjagaan.

Ayam akan bertelur semasa berusia enam bulan dan bertelur selang sehari sehingga enam biji dan mengeram selama 21 hari.

Anak ayam yang baru menetas akan diletakkan dalam kotak khas dengan alat pemanas mentol berkuasa 15 watt.

Anak ayam yang baru menetas dapat bertahan selama tiga hari tanpa makanan dan minuman.

Biasanya anak ayam akan diberi makanan bertih jagung yang dihancurkan dan mengambil masa enam bulan untuk mencapai usia matang.

Ayam serama dewasa akan ditempat dalam reban khas yang dijaga rapi kerana kebersihan amat penting bagi proses tumbesaran dan kualiti.

Bagi mengelakkan penyakit berjangkit, ayam serama akan dimandikan dan dijemur untuk membasmi kuman.

Bagi memudahkan ayam serama dipindahkan untuk tujuan pertunjukkan dan pertandingan, kotak khas yang dihias cantik akan digunakan.

Apa yang lebih membanggakan, negara seperti Amerika Syarikat (AS) hingga ke Eropah mempunyai kelab ayam serama.

“Ini boleh dilihat menerusi laman-laman web seperti Serama Club of Great Britain, US Serama Club dan Serama Club Netherland,” katanya.

Justeru Ahmad Fauzi merasakan ayam serama perlu dimartabatkan sebagai warisan milik negara kerana asalnya dari negara ini.

Beliau yakin ayam serama mampu menjadi ikon bagi menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya bimbang, unggas yang berasal dari negara ini jika tidak diketengahkan akan menjadi hak milik orang lain,” katanya.

Ahmad Fauzi menambah bagi merealisasikan impiannya, semuanya harus mendapat sokongan padu agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pelancongan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Serama Corporation serius merintis jalan bagi memfokuskan visi untuk menghasilkan ayam serama yang asli dan bermutu tinggi dan membimbing peminat dan peniaga kaedah menternak dan menjaga ayam serama.

Beliau juga berharap usaha tersebut dapat mengekal dan mengembangkan warisan budaya dan seni memelihara ayam serama dan mewujudkan sumber pendapatan baru dalam sektor penternakan.

Memberi peluang meningkatkan pendapatan kepada golongan masyarakat termasuk usahawan, penternak dan nelayan.

Menjadikan penternakan ayam serama sebagai daya penarik utama pelancong tempatan dan asing ke negara ini serta dapat menjana pendapatan dan pekerjaan bagi yang berminat.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Serama Corporation akan mengadakan bengkel ternakan ayam serama secara komersial dengan kerjasama Prestasi Agro Farm.

Bengkel berkenaan akan berlangsung dalam masa terdekat dan akan mendedahkan peserta mengenai sejarah, teknik penjagaan dan bagaimana ayam serama mampu menjana pendapatan sampingan.

Memandangkan ayam serama bakal diiktiraf sebagai khazanah negara, maka peluang dikomersialkan akan memberikan keuntungan kepada penternak.

Usahawan yang berminat untuk menghadiri bengkel berkenaan boleh menghubungi 019-3310855 atau 012-6138059.

9 thoughts on “Penyelidikan menghasilkan ayam serama bermutu

  1. Saya amat-amat berminat dengan hal ini. Dulu pernah gak bela tapi rasanya bukan ayam serama tapi katik. selain tu pula tak pernah didedahkan macamana nak urus / aspek penjagaan…apatah lagi pembiakan moden. Kalau memang boleh dikomersialkan boleh gak fikir-fikirkan lagi2 lak saya ni memang amat-amat berminat dengan haiwan n penternakan…macam ne nak join or nak dapatkan info2 berkaitan? tq

  2. saya sangat berminat dalam kesenian dan penternakan ayam serama…mudah-mudahan kesenian ayam serama ini akan terus berkembang
    dan menjadi permainan bertaraf antarabangsa.

  3. saya amat meminati kesenian yg ada pada ayam serama,ia bagaikan pahlawan yg kuat dan gagah,kekalkan kesenian pemeliharaan.

  4. SAYA BARU BERJINAK JINAK UNTUK MEMELIHARA AYAM SERAMA,TAPI PADA PANDANGAN SAYA TEMPAT UNTUK MENCARI AYAM SERAMA ADALAH SUKAR MEMANDANGKAN TIDAK SEMUA YEMPAT YANG ADA UNTUK MENDAPATKAN AYAM INI.SEKIRANYA ADA YANG TAHU TENTANG SAYAM INI TOLONGLAH E MAILKAN SAYA KE BKC@YAHOO.COM

  5. dear abg Mat,
    tak ada mana-mana group yang organize pertandingan serama di KL hujung2 tahun ni?.
    Tanpa pertandingan, macamana warisan melayu ni nak terus kekal.. tidak begitu abg mat?
    jika ada, heboh-hebohkan lah..supaya meriah!
    jgn lupa mail ke saya di ghaforsahri@gmail.com

  6. sebenarnya kat mana tuan punya kompeni? saya hendak melawat tapi tidak tahu tuan tinggal kat mana.

  7. saya ni baru umur 13 tahun tapi dah minat nak bela ayam serama ni. saya tidak tahu kat mana nak beli. semua ayam yang pernah saya lihat semuanya tidak tegap dan mahal, lebih kurang 2000 – 3000 ringgit seekor. kalau kalau lah tuan ada ayam yang sesuai untuk saya dan sepadan dengan umur saya, tolong e-mail kan kepada saya ahmadmuzakkir96@yahoo.com.

    kerjasama tuan amat saya hargai

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s