KOTA TINGGI 21 Okt. – Mungkin ramai yang bersetuju bahawa kegiatan bercucuk tanam merupakan aktiviti yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika ia berjaya membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Bagi petani-petani yang menyertai Kempen Bumi Hijau, bercucuk tanam sayur-sayuran di sekitar kawasan rumah bukan sahaja dapat mengurangkan kos belanja rumah kerana tidak perlu membeli bahan makanan itu, tetapi juga memberi banyak manfaat lain.
Mereka berpendapat, selain dapat mengisi masa lapang dan tanaman mudah dijaga, kempen itu juga dapat mengeratkan hubungan dengan jiran tetangga apabila dilaksanakan secara bersama.
Dengan kenaikan harga barangan ekoran perubahan harga minyak maka tidak hairanlah apabila ramai pihak berlumba-lumba untuk menyertai kempen itu, lebih-lebih lagi setelah menyedari sektor pertanian kini telah mengalami perubahan yang menggalakkan.
Seorang peserta, Kamsani Abd. Rashid, 44, berkata, Kempen Bumi Hijau amat baik jika dilaksanakan dengan betul dan bersungguh-sungguh kerana sentiasa mendapat dorongan daripada kerajaan melalui Jabatan Pertanian.
“Saya sendiri telah mula menanam sayur-sayuran seperti cili, kacang panjang dan timun di halaman rumah secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan keluarga.
“Kempen Bumi Hijau jika dijalankan dengan bersungguh-sungguh akan dapat mengurangkan kos belanja dapur kira-kira RM50 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Tanaman lain yang lazim diusahakan ialah serai, daun pandan, daun kari, daun kesum, daun salam, limau purut, limau kasturi, halia, lengkuas, kunyit, kangkung dan nangka.
Suri rumah, Hasnah Othman, 50, pula berkata, dia gemar bercucuk-tanam di halaman rumah kerana selain boleh menjimatkan belanja juga akan mengekalkan keindahan lanskap di sekitar tempat tinggal.
“Selain mendapat hasil, tanaman-tanaman ini juga secara tidak langsung dapat menjadi hiasan di halaman rumah jika ia disusun dengan baik,” katanya.
Menurutnya, hubungan penduduk juga dieratkan kerana masing-masing boleh saling membantu menyediakan bahan keperluan harian sesama penduduk.
Seorang penduduk dari Bandar Tenggara, Sadiman Bandi, 56, berkata, program itu amat diperlukan oleh penduduk di kawasan bandar kerana mereka hanya mempunyai kawasan tanah yang terhad.
“Program itu akan memberi kesedaran bahawa tanaman tersebut boleh diusahakan walaupun dalam kawasan yang terhad.
“Melalui penerangan seperti ini, penduduk akan memperolehi maklumat lengkap tentang teknik yang sesuai digunakan untuk bercucuk tanam di kawasan yang kecil termasuk menggunakan pasu dan sebagainya,” katanya.
Mari kita sama2 menjayakan kempen bumi hijau.