SEREMBAN Jabatan Pertanian akan menganjurkan Ekspo Agro-biotek NS 2008 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Sembilan pada 13 hingga 18 November ini di bekas tapak kem tentera Paroi di sini.
Pengarahnya, Zabidi Dun berkata, ekspo yang diadakan selama enam hari itu dijangka berjaya menarik kira-kira 60,000 pengunjung dari seluruh negeri.
Beliau berkata, sebanyak 110 gerai akan dibuka sepanjang ekspo itu diadakan iaitu 60 gerai jualan serta 50 gerai pameran dan kesemua gerai tersebut akan ditempatkan dalam khemah besar yang selesa.
“Pada ekspo kali ini kami telah memutuskan untuk menggunakan khemah besar bagi tujuan keselesaan pengunjung. Malah untuk gerai pameran kami akan tempatkan di bawah khemah yang berhawa dingin.
“Konsep yang kami lakukan ini adalah sejajar dengan moto ekspo iaitu pertanian dalam perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Zabidi berkata, pelbagai produk pertanian serta industri asas tani akan dipamer dan dijual sepanjang ekspo itu berlangsung antaranya biji benih, hasil ternakan, hasil perikanan dan jentera-jentera pertanian.
Ujar beliau, pihaknya juga akan mengadakan pertandingan dan pameran ternakan seperti baka lembu pedaging, lembu tenusu, baka kambing dan baka bebiri.
“Kami juga akan menganjurkan program rekreasi seperti berkereta kuda, menunggang burung unta, perlumbaan burung unta dan rusa jinak.
“Untuk kemudahan pengunjung kami juga ada menyediakan 20 gerai makanan di tapak ekspo,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran ekspo itu merupakan kesinambungan ekspo pertanian yang diadakan setiap tahun.
“Saya yakin ekspo ini akan memberi banyak faedah kepada pengunjung. Mereka boleh mendapatkan hasil pertanian yang segar dengan harga berpatutan.
“Kepada pengusaha pertanian atau industri asas tani ekspo ini merupakan platform terbaik untuk mereka meluaskan jaringan perniagaan masing-masing,” tambahnya.