Manfaat kempen Bumi Hijau

KOTA TINGGI 21 Okt. – Mungkin ramai yang bersetuju bahawa kegiatan bercucuk tanam merupakan aktiviti yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika ia berjaya membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Bagi petani-petani yang menyertai Kempen Bumi Hijau, bercucuk tanam sayur-sayuran di sekitar kawasan rumah bukan sahaja dapat mengurangkan kos belanja rumah kerana tidak perlu membeli bahan makanan itu, tetapi juga memberi banyak manfaat lain.

Mereka berpendapat, selain dapat mengisi masa lapang dan tanaman mudah dijaga, kempen itu juga dapat mengeratkan hubungan dengan jiran tetangga apabila dilaksanakan secara bersama.
Dengan kenaikan harga barangan ekoran perubahan harga minyak maka tidak hairanlah apabila ramai pihak berlumba-lumba untuk menyertai kempen itu, lebih-lebih lagi setelah menyedari sektor pertanian kini telah mengalami perubahan yang menggalakkan.

Seorang peserta, Kamsani Abd. Rashid, 44, berkata, Kempen Bumi Hijau amat baik jika dilaksanakan dengan betul dan bersungguh-sungguh kerana sentiasa mendapat dorongan daripada kerajaan melalui Jabatan Pertanian.

“Saya sendiri telah mula menanam sayur-sayuran seperti cili, kacang panjang dan timun di halaman rumah secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan keluarga.

“Kempen Bumi Hijau jika dijalankan dengan bersungguh-sungguh akan dapat mengurangkan kos belanja dapur kira-kira RM50 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Tanaman lain yang lazim diusahakan ialah serai, daun pandan, daun kari, daun kesum, daun salam, limau purut, limau kasturi, halia, lengkuas, kunyit, kangkung dan nangka.

Suri rumah, Hasnah Othman, 50, pula berkata, dia gemar bercucuk-tanam di halaman rumah kerana selain boleh menjimatkan belanja juga akan mengekalkan keindahan lanskap di sekitar tempat tinggal.
“Selain mendapat hasil, tanaman-tanaman ini juga secara tidak langsung dapat menjadi hiasan di halaman rumah jika ia disusun dengan baik,” katanya.

Menurutnya, hubungan penduduk juga dieratkan kerana masing-masing boleh saling membantu menyediakan bahan keperluan harian sesama penduduk.

Seorang penduduk dari Bandar Tenggara, Sadiman Bandi, 56, berkata, program itu amat diperlukan oleh penduduk di kawasan bandar kerana mereka hanya mempunyai kawasan tanah yang terhad.
“Program itu akan memberi kesedaran bahawa tanaman tersebut boleh diusahakan walaupun dalam kawasan yang terhad.

“Melalui penerangan seperti ini, penduduk akan memperolehi maklumat lengkap tentang teknik yang sesuai digunakan untuk bercucuk tanam di kawasan yang kecil termasuk menggunakan pasu dan sebagainya,” katanya.

Ekspo Agro-biotek NS 13-18 November

SEREMBAN Jabatan Pertanian akan menganjurkan Ekspo Agro-biotek NS 2008 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Sembilan pada 13 hingga 18 November ini di bekas tapak kem tentera Paroi di sini.

Pengarahnya, Zabidi Dun berkata, ekspo yang diadakan selama enam hari itu dijangka berjaya menarik kira-kira 60,000 pengunjung dari seluruh negeri.

Beliau berkata, sebanyak 110 gerai akan dibuka sepanjang ekspo itu diadakan iaitu 60 gerai jualan serta 50 gerai pameran dan kesemua gerai tersebut akan ditempatkan dalam khemah besar yang selesa.

“Pada ekspo kali ini kami telah memutuskan untuk menggunakan khemah besar bagi tujuan keselesaan pengunjung. Malah untuk gerai pameran kami akan tempatkan di bawah khemah yang berhawa dingin.

“Konsep yang kami lakukan ini adalah sejajar dengan moto ekspo iaitu pertanian dalam perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Zabidi berkata, pelbagai produk pertanian serta industri asas tani akan dipamer dan dijual sepanjang ekspo itu berlangsung antaranya biji benih, hasil ternakan, hasil perikanan dan jentera-jentera pertanian.

Ujar beliau, pihaknya juga akan mengadakan pertandingan dan pameran ternakan seperti baka lembu pedaging, lembu tenusu, baka kambing dan baka bebiri.

“Kami juga akan menganjurkan program rekreasi seperti berkereta kuda, menunggang burung unta, perlumbaan burung unta dan rusa jinak.

“Untuk kemudahan pengunjung kami juga ada menyediakan 20 gerai makanan di tapak ekspo,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran ekspo itu merupakan kesinambungan ekspo pertanian yang diadakan setiap tahun.

“Saya yakin ekspo ini akan memberi banyak faedah kepada pengunjung. Mereka boleh mendapatkan hasil pertanian yang segar dengan harga berpatutan.

“Kepada pengusaha pertanian atau industri asas tani ekspo ini merupakan platform terbaik untuk mereka meluaskan jaringan perniagaan masing-masing,” tambahnya.

Roti putar Zaimah disajikan dalam pesawat

KESANGGUPAN lulusan bidang pengurusan perhotelan dari Switzerland ini mengambil alih bisnes keluarga bukanlah semata-mata mengejar glamor bergelar pengurus. Pastinya, apa yang dilakukan demi membantu orang tua serta mahu memastikan perniagaan hasil titik peluh mereka itu terus kekal, apatah lagi potensi bisnes ini amat besar.

Lantaran dengan gabungan idea lama dan baru dua beranak ini, Zaimah Nordin, 63, dan anaknya, Syajaratuddur Idris, 31, telah membawa satu transisi roti canai dan roti putar mereka dari sekadar di pasar pagi sehingga dikenali seluruh dunia.

Ikuti temu ramah wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, NASIRRUDDIN YAZID yang dibawa melawat ke bengkel bagi melihat proses penghasilan roti canai dan roti putar Zaimah Frozen Foods Industries Sdn. Bhd. di Lot 108, Kampung Gumut, Kalumpang, Hulu Selangor, Selangor, baru-baru ini.

MEGA: Bagaimanakah Zaimah Frozen Foods Industries Sdn. Bhd. bermula?

SYAJARATUDDUR: Saya mula serius dengan bisnes ini pada Oktober 2006. Sebenarnya, bisnes ini telah dimulakan oleh ibu bapa saya iaitu Zaimah Nordin dan Idris Yusof sejak tahun 1995.

Waktu itu, roti canai dan roti boom atau kini dipanggil roti putar sekadar dijual di pasar pagi secara segar, dibeli oleh saudara mara dan penduduk sekitar sini. Jualan pada masa itupun tidaklah banyak, anggaran dua kilogram (kg) tiga kali seminggu.

Pun begitu adat berniaga ada pasang surutnya, nasib yang sama juga melanda bisnes emak, bila negara mengalami kegawatan ekonomi sekitar 2006 dan 2007. Pada masa itu, orang ramai sudah mula tidak berbelanja dan kesannya kurang mendapat sambutan, sehinggakan penat emak memberi kepada penduduk setempat.

Pada masa itu idea tentang makanan sejuk beku masih belum dipelopori oleh usahawan Bumiputera. Emak memulakannya juga secara tidak dirancang, meskipun pengetahuan tentang proses penyediaan makanan sejuk beku memang kosong langsung.

Bagaimanapun emak saudara yang meminta disediakan roti canai dan roti putar sejuk beku untuk dipasarkan di pejabat-pejabat, alhamdulillah mendapat sambutan menggalakkan.

Usaha ini menjadi lebih serius apabila emak mengikuti kursus tiga minggu anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Port Dickson, Negeri Sembilan. Selepas itu, emak mendapat bimbingan lanjutan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) khusus tentang makanan sejuk beku pada penghujung tahun 1996.

Pada tahun 1998, apabila ekonomi negara kembali pulih, pasaran produk ibarat mendapat nafas baru. Malah bermula 2000 selain sebelum ini produk kami terjual di pejabat kerajaan di bawah Puspanita, kita mula masuk kedai-kedai runcit dan pasar mini. Pada masa itupun, pembungkusan kami masih terlalu ringkas.

Namun, kami mula menghadapi sedikit masalah apabila hendak masuk ke pasar raya besar iaitu antara 2002 hingga 2003. Alhamdulillah kami mendapat bantuan pembungkusan, sekali gus mendapat bimbingan Jabatan Pertanian.

Sejak itu, roti canai dan roti putar semakin mendapat sambutan sehinggalah sekarang kami membekalkan kepada MAS Catering untuk penerbangan domestik, haji dan insya-Allah antarabangsa. Di samping sudah sampai ke Brunei.

Tahun ini juga dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dan Sirim Berhad, kami berjaya menghasilkan pembungkusan menggunakan jenama sendiri iaitu Zaimah frozen foods. Insya-Allah, pada bulan November ini akan dilancarkan satu lagi produk baru iaitu roti putar coklat cip.

Bagaimana anda melihat bisnes yang diambil alih daripada ibu bapa ini?

SYAJARATUDDUR: Memanglah bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi dengan harapan keluarga serta para pekerja yang ada di bawah syarikat. Kalau dahulu, saya hanya memikirkan pendapatan yang diperoleh setiap bulan tetapi kini, semuanya terpikul di bahu sendiri.

Sebenarnya, saya memang sudah bersedia untuk menerajui syarikat ini atas beberapa sebab. Pertama, setelah sekian lama dalam bidang perhotelan, saya dapati banyak kekangan terutamanya dari segi masa, apa lagi kalau sudah berkeluarga nanti.

Jadi apabila mengusahakan perniagaan keluarga masanya lebih fleksibel tetapi ia bukanlah dalam erti kata yang sebenar kerana menguruskan syarikat sendiri peruntukan masa sebenarnya jauh lebih banyak.

Kedua, melihat ibu bapa yang sudah tidak larat kerana dunia perniagaan ini nampak mudah tetapi sebenarnya tidak semudah yang dilihat secara luaran

Bagaimanapun, mereka tidaklah melepaskan syarikat secara total tetapi masih menghulurkan bimbingan dan idea. Ditambah pula dengan kerjasama adik lelaki, Mohammad Dzul Atfi yang merupakan eksekutif jualan dan pemasaran telah banyak membantu syarikat.

Memanglah cabarannya hebat tetapi saya ini lebih suka berfikiran positif. Alhamdulillah dengan pengalaman belajar di luar negara serta berkhidmat dengan syarikat multinasional selama lima tahun, sekurang-kurangnya membantu saya dalam banyak segi.

Memanglah diakui terdapat jurang pendapat serta pandangan dengan ibu bapa tetapi ia tidaklah sehingga membinasakan syarikat. Hakikatnya perlu ada komunikasi berhikmah di antara kami demi kebaikan dan kepentingan syarikat.

Saya juga berkeyakinan dengan kualiti produk kami, kerana selain mementingkan aspek kebersihan dan mutu produk, cara penyediaan secara tradisional turut menjadi kelebihan Zaimah Frozen Foods. Mereka yang berminat boleh menghubungi 03-6049 2092.

Apakah perancangan ada untuk memakmurkan bisnes keluarga ini?

SYAJARATUDDUR: Memanglah adat orang berniaga mahu maju dan kembangkan bisnes ke pasaran yang lebih luas. Saya merancang untuk tempoh tiga hingga lima tahun ini untuk memastikan agar produk Zaimah ini akan menembusi pasaran antarabangsa seperti ke Eropah. Di samping itu, pasaran tempatan juga dijaga agar terus bertahan.

Harapan saya juga menerusi pelancaran produk terbaru kami pada November nanti, orang ramai akan terus mengenali Zaimah Frozen Foods. Malah banyak lagi yang perlu dilakukan.

Penyelidikan menghasilkan ayam serama bermutu


Peluang menonton pertandingan ayam serama di Lembah Klang, mencetuskan minat Ahmad Fauzi Mohamed menyusuri salasilah ayam terkecil di dunia ini.

Tanpa pengalaman, Ahmad Fauzi tidak dapat membezakan antara ayam serama, kapan dan katik yang seakan-akan sama tetapi agak besar berbanding serama.

Walaupun kelihatan seakan sama dengan ayam serama, ayam kapan dan katik sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan ayam serama.

Tertarik dengan ayam serama, Ahmad Fauzi membuat kajian dan mendapati tiada catatan bertulis mengenai sejarah asal-usul mengenainya tetapi maklumat tidak rasmi mengatakan ayam serama berasal dari Kelantan.

“Menurut cerita, ayam serama merupakan haiwan peliharaan istimewa yang dipelihara dalam kawasan istana,” katanya.

Ayam serama yang ada sekarang merupakan hasil kacukan dengan beberapa spesies burung eksotik seperti ayam hutan, bantam dan merpati.

Proses kacukan dipercayai berlaku setelah beberapa keturunan sehinggalah saiz menjadi sekecil sekarang dan diiktiraf sebagai ayam terkecil di dunia.

“Ayam serama adalah warisan yang harus dipertahankan kerana berasal dari Tanah Melayu,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Hasrat ingin memulihara warisan tempatan menyebabkan beliau ke Kelantan dan Terengganu untuk membeli dan mengumpul baka ayam serama untuk dipelihara.

Tertarik dengan nilai estetika dan ciri yang ada pada ayam serama, Ahmad Fauzi mengambil keputusan menubuhkan Serama Corporation Sdn. Bhd.

Sebagai Pengarah Urusan, Ahmad Fauzi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari segi ketahanan, penyakit, penjagaan dan gaya.

“Ini penting bagi mendapatkan baka yang baik, cantik dan kuat memandangkan tidak lebih 10,000 ekor ayam serama yang terdapat di seluruh negara,” katanya.

Ayam serama amat berbeza dengan ayam peliharaan dari segi saiz, sifat dan bentuk badannya.

Berat badan ideal ayam serama adalah bawah 500 gram dan biasanya satu pertiga daripada berat badan ayam biasa.

“Ayam serama berbeza dengan ayam katik dan ayam kapan kerana pandai bergaya seperti mengepak dan mendada apabila ada mata memandang.

“Ayam ini juga suka dimandikan, dibelai dan diurut agar lebih sihat,” katanya.

Biasanya ayam serama akan dirapikan setiap hari seperti dimandikan, diberi makan vitamin dan disapu losen bagi mencantikkannya.

Ayam serama mempunyai jangka hayat antara tujuh hingga 15 tahun berdasarkan kaedah penjagaan.

Ayam akan bertelur semasa berusia enam bulan dan bertelur selang sehari sehingga enam biji dan mengeram selama 21 hari.

Anak ayam yang baru menetas akan diletakkan dalam kotak khas dengan alat pemanas mentol berkuasa 15 watt.

Anak ayam yang baru menetas dapat bertahan selama tiga hari tanpa makanan dan minuman.

Biasanya anak ayam akan diberi makanan bertih jagung yang dihancurkan dan mengambil masa enam bulan untuk mencapai usia matang.

Ayam serama dewasa akan ditempat dalam reban khas yang dijaga rapi kerana kebersihan amat penting bagi proses tumbesaran dan kualiti.

Bagi mengelakkan penyakit berjangkit, ayam serama akan dimandikan dan dijemur untuk membasmi kuman.

Bagi memudahkan ayam serama dipindahkan untuk tujuan pertunjukkan dan pertandingan, kotak khas yang dihias cantik akan digunakan.

Apa yang lebih membanggakan, negara seperti Amerika Syarikat (AS) hingga ke Eropah mempunyai kelab ayam serama.

“Ini boleh dilihat menerusi laman-laman web seperti Serama Club of Great Britain, US Serama Club dan Serama Club Netherland,” katanya.

Justeru Ahmad Fauzi merasakan ayam serama perlu dimartabatkan sebagai warisan milik negara kerana asalnya dari negara ini.

Beliau yakin ayam serama mampu menjadi ikon bagi menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya bimbang, unggas yang berasal dari negara ini jika tidak diketengahkan akan menjadi hak milik orang lain,” katanya.

Ahmad Fauzi menambah bagi merealisasikan impiannya, semuanya harus mendapat sokongan padu agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pelancongan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Serama Corporation serius merintis jalan bagi memfokuskan visi untuk menghasilkan ayam serama yang asli dan bermutu tinggi dan membimbing peminat dan peniaga kaedah menternak dan menjaga ayam serama.

Beliau juga berharap usaha tersebut dapat mengekal dan mengembangkan warisan budaya dan seni memelihara ayam serama dan mewujudkan sumber pendapatan baru dalam sektor penternakan.

Memberi peluang meningkatkan pendapatan kepada golongan masyarakat termasuk usahawan, penternak dan nelayan.

Menjadikan penternakan ayam serama sebagai daya penarik utama pelancong tempatan dan asing ke negara ini serta dapat menjana pendapatan dan pekerjaan bagi yang berminat.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Serama Corporation akan mengadakan bengkel ternakan ayam serama secara komersial dengan kerjasama Prestasi Agro Farm.

Bengkel berkenaan akan berlangsung dalam masa terdekat dan akan mendedahkan peserta mengenai sejarah, teknik penjagaan dan bagaimana ayam serama mampu menjana pendapatan sampingan.

Memandangkan ayam serama bakal diiktiraf sebagai khazanah negara, maka peluang dikomersialkan akan memberikan keuntungan kepada penternak.

Usahawan yang berminat untuk menghadiri bengkel berkenaan boleh menghubungi 019-3310855 atau 012-6138059.

Tukun tiruan dasar lembut

OPERASI melepaskan tukun tiruan giat dijalankan di perairan Teluk Kemang, Port Dickson, baru-baru ini.
– Gambar MD. SHAHJEHAN


PORT DICKSON 23 Okt. – Jabatan Perikanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merealisasikan matlamat mengekalkan hasil perikanan laut pantai negara pada jumlah 900,000 tan setahun.

Antara langkah yang telah diambil oleh jabatan berkenaan ialah melabuhkan tukun tiruan dasar lembut, tetrapod serta bebola di beberapa lokasi strategik di persisiran pantai negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Datuk Ahamad Sabki Mahmood, tukun tiruan dasar lembut merupakan tukun paling sesuai digunakan untuk dasar berlumpur yang sebahagian besarnya membentuk kawasan perairan negara ini.

”Tukun jenis lain pernah digunakan di perairan negeri ini serta negeri-negeri lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia sebelum ini namun begitu kesemuanya tenggelam dalam masa tujuh bulan.

”Kajian Jabatan Perikanan mendapati tukun tiruan dasar lembut lebih sesuai dengan struktur dasar laut berlumpur di perairan negeri ini,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran 14 unit tukun tiruan di kawasan perairan Telok Kemang di sini baru-baru ini.

Pelancaran dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.

Jelas Ahamad Sabki, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan oleh pihaknya untuk membiayai projek tukun tiruan dasar lembut di perairan Telok Kemang pada tahun ini.

Beliau berkata, projek berkenaan merupakan yang pertama dilaksanakan di negeri ini dan ia berupaya menyumbang ke arah peningkatan sumber perikanan di sini.

”Nelayan tempatan boleh mengaut hasil sehingga 100 kilogram ikan dari setiap unit tiruan yang dilabuhkan,” ujarnya.

Kata Ahamad Sabki, kesemua 14 unit tukun tiruan dasar lembut berkenaan dilabuhkan di lokasi yang terletak kira-kira 1.3 batu nautika dari kawasan pantai Telok Kemang.

Secara keseluruhannya, jelas beliau, lokasi seluas 729 meter persegi diperlukan untuk melabuhkan 14 unit tukun tiruan berkenaan.

”Selepas lapan bulan tukun-tukun tiruan tersebut dilabuhkan, lokasi itu dijangka akan dipenuhi pelbagai spesies ikan pelagik serta ‘demersal’ bersaiz kecil dan komersial.

”Di samping itu, lokasi berkenaan juga akan menjadi ‘tapak semaian’ untuk anak ikan membesar,” katanya.

Ahamad Sabki memberitahu, reka bentuk tukun tiruan dasar lembut tersebut dihasilkan melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan sejak tahun 2006.

Menurut beliau, tukun tiruan jenis itu mempunyai kawasan teduhan untuk ikan bergerak bebas, memberi rintangan yang minimum kepada arus, kalis pukat tunda serta tidak tenggelam bila dilabuhkan di dasar laut.

Ujar Ahamad Sabki lagi, tukun tiruan dasar lembut yang dibuat dengan menggunakan rangka besi dan konkrit mempunyai ketinggian 3.6 meter serta tapak seluas 9 meter persegi.

Sementara itu, beliau berkata, 61 unit tukun tiruan dasar lembut telah dilabuhkan di perairan Selangor serta 49 unit tukun jenis sama telah dilabuhkan di perairan Kedah.

Katanya lagi, Jabatan Perikanan merancang untuk menambah sehingga 100 unit tukun tiruan dasar lembut di setiap lokasi supaya mendatangkan impak yang lebih ketara terhadap usaha meningkatkan sumber perikanan negara.

Industri kotej sumbang RM12.9 juta setahun

KUCHING 24 Okt. – Industri kecilkecilan di rumah atau dikenali sebagai kotej di negeri ini telah menyumbang pendapatan sebanyak RM12.9 juta setahun terutama dalam pemprosesan dan pengeluaran makanan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah berkata, industri kotej ternyata mendapat sambutan khususnya di kalangan wanita yang mahu menceburinya dengan serius.

Menurutnya, kerajaan melihat perkembangan ini sebagai petanda positif dalam menentukan hala tuju industri kotej di Sarawak.

”Seramai 3,183 pengusaha industri kotej yang berdaftar di negeri ini dilaporkan menyumbangkan sebanyak RM12.9 juta setahun.

”Penglibatan peserta wanita bukan hanya meningkatkan pendapatan keluarga bahkan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Sijil Kursus Pemprosesan Roti dan Pastri anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Fatimah memberitahu, beberapa pengusaha yang memulakan kerjaya dalam industri kotej sebelum ini telah mencipta kejayaan membanggakan apabila kebanyakan mereka kini bergelar usahawan kecil dan sederhana (IKS).

Contohnya kata beliau, 16 pengusaha Kek Lapis Sarawak kini dikategorikan sebagai usahawan IKS dengan pendapatan antara RM30,000 hingga RM3.6 juta setahun.

Selain itu tambahnya, seorang pengusaha makanan tempatan, tebaloi mampu menghasilkan 156,646 paket setahun untuk dijual manakala pengusaha ikan masin dapat mengeluarkan sejumlah 168,000 paket.

”Malah, industri roti dan pastri juga berpotensi untuk dimajukan dan ia telah terbukti apabila seorang usahawan wanita dari Mukah telah berjaya meraih pendapatan sehingga RM96,000 setahun,” ujarnya.