Teknologi biotek untuk keli

Hifdzi Hamzah memberikan penerangan tentang penggunaan Bio-Aqua dalam ternakan ikan keli.

Teknologi penternakan ikan keli bukan sahaja mencakupi sistem infrastruktur atau kaedah menternak tetapi kini dipertingkatkan lagi dengan pengenalan beberapa produk sampingan.

Terbaru, kumpulan penyelidik, Perintis Agrotech Centre (PATC) memperkenalkan hasil penemuan terbaru mereka, Bio-Aqua iaitu formula khas untuk pembangunan industri ternakan dan pembenihan keli tempatan.

Bio-Aqua merupakan satu usaha menjadikan campuran mikrob baik dan zat mineral yang telah diuji kesesuaiannya dan terbukti keberkesanannya sebagai bahan asas dan komposisi utama produk tersebut. Ia merupakan bahan penggalak sektor ternakan ikan paling efisien dan berjaya pada masa kini.

Tanpa campuran bahan kimia, Bio-Aqua akan ‘bekerja’ 24 jam sehari sepanjang tempoh ternakan ikan sekiranya digunakan mengikut panduan yang diberikan.

Bio-Aqua merupakan teknologi bio yang telah diperkenalkan di Jepun dan telah disesuaikan dengan struktur ternakan tempatan dari segi suhu, cuaca, struktur air, kelembapan tanah, tempoh ternakan ikan dan sebagainya.

Formula khas keli ini dicipta khas bagi membantu pengusaha benih dan pengusaha ternakan keli memandangkan margin keuntungan yang kecil dan memerlukan satu formula untuk mengurangkan kos operasi serta kos makanan. Berdasarkan testimoni dan kajian yang dibuat, Bio-Aqua sangat sesuai untuk kedua-dua industri pembenihan ikan keli serta ternakan keli.

Objektif utama penghasilan Bio-Aqua adalah untuk penjimatan kos makanan dan mempercepatkan tempoh tuaian dari 60 hari ke 45 hari melalui aplikasi terus kepada pelet dan mampu memperbaiki struktur kolam ternakan melalui aplikasi terus kepada air.

Peningkatan kos makanan yang mendadak telah memberikan tekanan kepada pengusaha ikan air tawar termasuk keli.

Mengikut nisbah berat ikan berbanding berat makanan yang diperlukan sepanjang tempoh ternakan atau FCR (food convention rate), bagi menghasilkan satu kilogram (kg) ikan sebanyak dua kg pelet diperlukan (nisbah 1:2).

Bagaimanapun dengan menggunakan Bio-Aqua, terbukti berat makanan dapat dikurangkan kepada 0.8kg hingga 1.2kg.

Sekiranya kos pelet RM2 untuk sekilogram, ini bermakna kos makanan dapat dikurangkan RM1.60 hingga RM2.40 bagi setiap sekilogram ikan melalui aplikasi terus kepada pelet. Penjimatan ini pasti melegakan pengusaha yang terpaksa berbelanja besar untuk kos makanan iaitu melebihi 60 peratus kos operasi.

Terdapat dua cara penggunaan Bio-Aqua yang paling efisien.

Pertama, dengan mencampurkan cecair ke dalam kolam ternakan pada kadar 1:1000 liter air.

Kaedah ini hanya sesuai untuk kolam ternakan yang bersaiz kecil seperti kolam kanvas, poly-tank, gentian kaca atau kolam simen bersaiz kecil.

Bio-Aqua akan berinteraksi terus dengan molekul dan struktur air di dalam kolam ternakan dan dalam masa yang singkat ia akan memecahkan molekul nitrat dan nitrit dan menukarkan kepada oksigen. Kesannya, tindak balas tersebut akan mengurangkan kadar penghasilan ammonia dan bau busuk kepada kolam ternakan.

penyerapan protein

Kedua, dengan menyemburkan Bio-Aqua kepada pelet setengah jam sebelum diberikan kepada ikan.

Melalui kaedah ini, Bio-Aqua akan bertindak balas terus dengan struktur dalaman ikan dan akan meningkatkan kadar penyerapan protein pada pelet iaitu melebihi 24 peratus bagi starter, meningkatkan kadar penghadaman dan kelancaran usus ikan, meningkat antibodi dan selera makan ikan. Kesannya, ia akan mempercepatkan tumbesaran ikan dan mengurangkan kadar kematian. Secara tidak langsung, kos makanan ikan akan dapat dikurangkan lebih antara 30 dan 50 peratus.

Menurut ketua kumpulan penyelidik PATC, Hifdzi Hamzah, secara umumnya dengan menggunakan Bio-Aqua mengikut kaedah yang betul, pengusaha dapat menjimatkan bil air dan elektrik serta tenaga kerja kerana air tidak perlu kerap ditukar ganti.

Selain itu, penggunaannya dapat mengurangkan bau busuk pada air dan bau hanyir pada ikan, meningkatkan kualiti tekstur daging ikan dan warna isi, mengurangkan lemak berlebihan dengan penghasilan isi yang lebih pejal.

“Pada masa sama, ia, mengurangkan kadar kematian hasil peningkatan antibodi dan pengurangan stres pada ikan dan dapat menghasilkan ikan bermutu tinggi,” katanya.

Bagi pengusaha benih keli, Bio-Aqua mampu mempercepatkan penghasilan air hijau yang amat diperlukan oleh rega dan anak ikan dan mampu mengelakkan kerongsong telur yang tidak menetas memasamkan air sewaktu awal proses penetasan.

Penghantaran Bio-Aqua akan dibuat terus ke alamat pembeli dengan menggunakan perkhidmatan KTM bagi yang membuat tempahan melalui telefon manakala bagi pembeli di sekitar Lembah Klang, mereka boleh terus ke pusat jualan di Business Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor.

Buat masa ini, PATC mampu menjual lebih 1,000 botol untuk produk Bio-Aqua sebulan dan dijangka permintaan akan terus meningkat berdasarkan trend kenaikan kos makanan yang semakin meningkat yang semakin menekan pengusaha keli. Selain itu, PATC turut mengadakan sesi latihan kemahiran bagi mereka yang ingin menjadi pengusaha benih keli teknik aruhan.

Kursus yang terkini akan diadakan pada 1 dan 2 November ini di Institut Integriti Malaysia (IIM), Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bagi yang berminat mendapatkan produk Bio-Aqua atau mengikuti kursus latihan pembenihan keli aruhan boleh menghubungi terus ke talian 03-6187 3796.

Kursus cendawan tiram kelabu

Setia Gading Enterprise akan menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan Tiram setiap Sabtu dan Ahad bermula November ini di Bukit Sentosa Rawang, Selangor.

Sepanjang kursus tersebut, peserta diberi pendedahan tentang cara penanaman cendawan tiram kelabu dari segi teori dan juga praktikal

Setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM200 meliputi kos nota kursus, sijil penyertaan, latihan praktikal serta makan dan minum sepanjang sesi kursus.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Safri Ali di talian 017-3953654 atau kunjungi laman blog cendawanumi.blogspot.com.

Kursus industri asas tani!! Mohon sekarang..

Bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang pertanian, Jabatan Pertanian telah memperkenalakn Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan sejak tahun 2002.

Ini bertujuan melahirkan usahawan muda yang berminat menceburkan diri secara serius dalam perniagaan asas tani seperti makanan sejuk beku, bakeri, produk berasaskan kelapa dan buah-buahan.

Kursus berkenaan dijalankan secara hands-on bagi memastikan peserta mendapat pengetahuan dan mahir dari segi teknikal pengeluaran produk yang bermutu, komersial dan menepati standard GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik).

Semasa kursus, peserta juga akan didedahkan dengan kaedah menjalankan perniagaan secara profesional meliputi aspek keusahawanan, pengurusan kewangan, pengurusan pemasaran dan penyediaan Rancangan Perniagaan.

Selepas tamat kursus peserta akan menjalani program bimbingan di premis usahawan berjaya di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.

Pengambilan peserta dibuat setahun sekali dengan jangka masa kursus selama enam bulan bermula pada 10 Februari hingga 7 Ogos 2009.

Peserta yang terpilih perlu tinggal di tempat yang disediakan sepanjang tempoh kursus dan peserta akan diberikan elaun kursus.

Peserta yang berminat perlu memenuhi syarat yang ditetapkan seperti warganegara Malaysia, berumur antara 20 hingga 40 tahun, jantina lelaki dan perempuan.

Berkelulusan sekurang-kurangnya SPM/SPMV, tinggal di asrama sepanjang tempoh kursus, sihat tubuh badan dan berminat untuk meneruskan projek selepas tamat kursus.

Mereka yang berminat mengikuti kursus boleh mendapatkan borang permohonan melalui:

Bahagian Pengembangan, Perundingan, Pelaburan dan Industri Asas Tani

Jabatan Pertanian
Wisma Tani, Aras 8, No. 30, Persiaran Perdana
Presint 4
62624 Putrajaya.
Tel: 88703553/3544 (Aiza Hayati Md. Noh, Rafidah Ibrahim atau Zaharina Hassan).
Mereka juga boleh menghubungi Jabatan Pertanian Negeri atau Pejabat Pertanian Daerah berhampiran atau melalui laman web www.doa.gov.my.

Permohonan akan ditutup pada 30 Oktober 2008.

Meneroka manfaat dan khasiat halia

HALIA sememangnya mempunyai nilai perubatan tersendiri.


Tanaman halia bukan saja digunakan dalam masakan tetapi tumbuhan herba ini juga terkenal sebagai makanan kesihatan malah penyeri landskap.

Penanaman halia mempunyai sejarah yang panjang dan dikatakan bermula di China sebelum tersebar ke Asia Tenggara, Afrika Barat dan kepulauan Caribbean.

Halia mengandungi sehingga tiga peratus minyak pati yang memberikannya aroma. Rizom (akar) halia muda biasanya berjus dan mempunyai rasa pedas yang lembut.

Halia jeruk boleh dimakan sebagai snek dan air halia yang ditambah dalam teh bersama-sama madu akan menambahkan keenakannya.

Dari segi saintifiknya, semua jenis halia berada dalam Order Zingiberales dan Famili Zingiberaceae.

Pensyarah Kanan, Institut Sains Biologi Universiti Malaya (UM), Prof. Halijah Ibrahim berkata, famili ini dapat dibezakan kerana seluruh atau bahagian tertentu tumbuhan herba ini adalah aromatik.

Menurutnya, halia tergolong dalam tumbuhan herba yang mempunyai rizom misalnya kunyit, halia dan lengkuas yang biasa digunakan dalam makanan.

“Keluarga Zingiberaceae mempunyai saiz yang pelbagai dan boleh dibezakan dengan taburan padat di kawasan Asia Tenggara,” katanya yang telah lebih 20 tahun menjalankan kajian mengenai halia.

Pada masa ini, terdapat 350 spesies halia yang dikenal pasti di seluruh negara, manakala Thailand mempunyai lebih 300 spesies.

Biasanya halis jenis Zingiberaceae terdapat di kawasan tropika dan subtropika dan juga terdapat lebih 52 genera dengan 1,300 hingga 1,500 spesies.

“Di Malaysia saja terdapat 21 hingga 22 genera dengan lebih 350 spesies,” hurai Halijah.

Beliau berkata, disebabkan halia banyak digunakan dalam pelbagai budaya di seluruh dunia, halia mempunyai kepentingan dalam ekonomi.

Terdapat halia yang boleh dimakan dan biasanya ditambah dalam masakan seperti rempah atau sebagai ulaman.

“Kunyit atau Cucurma domestica, Zingir officianale (halia), Elettaria cardamimum (buah pelaga), Alpinia galanga (lengkuas), E elation (kantan), kaempteria galanga (cekur) biasa digunakan dalam masakan,” katanya.

Selain dalam masakan dan minuman, keluarga halia juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional yang menggunakan campuran herba.

Sehingga kini terdapat 30 hingga 40 spesies halia yang direkodkan digunakan dalam perubatan tradisional.

“Tentu saja masyarakat kenal dengan Zingiber zerumbet (lempoyang), Z. ottensini (lempoyang hitam), Z. officinale var rubrum (halia bara), Ccurcuma aeruginosa (kunyit hitam/temu hitam), C. zanthorrhiza (temu lawak), C. mangga (temu pauh/mangga), C. zedoria (temu putih/kunyit putih).

“Semua bahan ini banyak digunakan sebagai campuran dalam perubatan tradisional,” katanya.

Halia yang mempunyai bentuk bunga yang cantik dan beraroma juga boleh dijadikan tanaman hiasan dan landskap.

Beberapa tanaman halia seperti Alpinia purpurata (halia merah), Z. spectabile (cut flower), Alpinia zurember (shell ginger), A. mutica, A. malaccensis, A. latiladis (landskap), Kaemferia spp. sesuai dijadikan tanaman hiasan kerana mudah dikendalikan.

Tanaman halia yang mempunyai aroma merupakan sumber minyak pati bagi minyak wangi, perisa dan aroma terapi.

Katanya, kajian perlu dijalankan dengan mendalam memandangkan halia boleh dijadikan sumber kanji manakala dalam dunia perubatan, keluarga halia didapati mempunyai aktiviti biologi yang baik sebagai anti kanser, anti mikrobial, anti oksidan dan anti radangan.

“Di negara jiran Indonesia, keluarga halia seperti temu, kunyit dan halia banyak digunakan dalam jamu, kosmetik dan teh.

“Di sini semakin banyak produk dihasilkan daripada halia seperti teh, kosmetik, aroma terapi, krim wajah, krim pemutih dan krim anti penuaan,” katanya.

Beliau yang menyertai Ekspedisi Lanjak Entimau di Sarawak, baru-baru ini untuk meneroka khazanah alam semula jadi berharap akan dapat menemui lebih banyak spesies bagi menambah lagi bilangan, mengemaskini data kepelbagaian halia.

“Pelbagai aspek kajian mengenai spesies yang baru ditemui dan terdapat kajian yang akan menjadi asas kepada etnobotanikal terutama dalam kepentingan perubatan.

“Ini akan menjurus kepada menemui dan memulihara spesies endemik yang masih tidak diketahui kegunaannya,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan mengkaji spesies halia yang berpotensi bagi tumbuhan ornamental untuk dibiakbaka secara tisu kultur untuk dikomersialkan.

Pati pokok kaduk boleh cegah gemuk

GEORGETOWN: Seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan pil mencegah kegemukan menggunakan pati pokok kaduk yang tumbuh meliar di hutan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Prof Dr Zhari Ismail, berkata pil yang diberi nama ‘nobesiti’ itu mampu menghalang pembuluh darah merebak ke seluruh tisu badan bersama lemak makanan.

“Semua lemak yang terkumpul mampu dihalang dengan pengambilan pil ini kerana bahan aktif dalam pati kaduk, iaitu daripada daun, batang, buah dan akarnya mempunyai khasiat tersendiri,” katanya pada sidang media di USM di sini, semalam.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan sejak 2005 mendapati pengambilan pati pokok kaduk boleh menyekat lemak dalam badan.

“Pil itu digunakan sebagai penghalang kepada pembentukan pembuluh darah baru yang menjadi punca utama obesiti,” katanya.

Prof Dr Zhari berkata, berbeza produk lain, nobesiti bertujuan menghalang punca utama kegemukan iaitu pembentukan sel lemak dalam badan.

Dengan pemakanan yang teratur, mereka yang mempunyai masalah obesiti mampu mengurangkan berat badan dengan cara semula jadi tanpa sebarang kesan sampingan.

“Berdasarkan ujian klinikal, nobesiti tidak memberi sebarang kesan sampingan kepada mana-mana bahagian badan.

“Kita akan pastikan semua bahan aktif di pati pokok kaduk dimasukkan ke dalam setiap pil yang disediakan supaya ia berkesan,” katanya.