Sanggup korban kerjaya kerana kambing boer

KAMEL Jaini sentiasa memantau perkembangan kambing-kambingnya dari semasa ke semasa.


BATU PAHAT 19 Okt. – Menyedari bidang penternakan dan pertanian mampu memberi pulangan lumayan, Kamel Jaini, 43, sanggup mengorbankan pekerjaan tetapnya dalam bidang teknologi maklumat untuk menumpukan perhatian sepenuh masa dalam bidang penternakan.

Dengan modal sendiri atas desakan hati ingin mencuba, beliau memulakan ternakan kambing boer dengan permulaan sebanyak 20 ekor iaitu lapan ekor jantan dan 12 betina tiga tahun lalu bersama seorang rakan, Mohd. Lani Maskon.

Kambing-kambing boer mereka diperoleh daripada pembekal di Perth, Australia dan ia diternak dalam dusun durian milik keluarganya yang berkeluasan 3.2 hektar di Kampung Sri Jasa Sri Medan, dekat sini.

Meskipun beliau menceburi bidang penternakan secara percubaan tetapi sebelum memulakan projek ternakan atas nama Industri Tuk Janggut Sdn. Bhd. (ITJSB), terlebih dahulu lelaki berjiwa waja ini mengikuti kursus penternakan dengan pejabat haiwan daerah.

Menurut Kamel, walaupun pada permulaannya beliau dihujani dengan pelbagai cerita mengenai kambing boer yang didakwa sukar untuk diternak, tetapi ia tidak melemahkan semangatnya untuk mencuba.

Baginya, setiap pekerjaan yang ingin diusahakan perlu ada formula yang mesti diikuti agar ia mampu mendatangkan kejayaan dan pulangan seperti diharapkan.

Dengan usaha gigihnya serta mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, dalam tempoh tiga bulan usahanya mula mendatangkan hasil apabila kambing-kambing melahirkan baka sebanyak 20 ekor tanpa sebarang masalah dan penyakit.

“Bermula dari situ saya yakin bidang penternakan ini mampu berkembang dan telah mengeluarkan modal sendiri dengan menambah jumlah kambing yang kini telah meningkat sehingga lebih 2,000 ekor yang saya import dari Melbourne, Australia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kesemuanya diperoleh dalam masa hampir tiga tahun beroperasi dan sekali gus menolak dakwaan bahawa menternak kambing boer banyak masalah.

Tambahnya, dalam setahun pembiakan kambingnya mencecah 2,500 ekor dan beliau menjual anak-anak kambing itu untuk dijadikan baka kepada individu yang berminat, penternak tempatan, RISDA, pejabat perkhidmatan haiwan dan lembaga pertubuhan peladang (LPP) di sekitar negeri ini, Terengganu, Perak dan Selangor.

Kamel kini dibantu oleh seorang adiknya, Kamarida Jaini, 39, dan Khairul Mohd. Lani, 28, yang menjaga semua urusan di ladang ternak mereka.

Dari segi pemakanan Kamel menambah, setiap hari, 10 tan rumput napier perlu disediakan di samping makanan komersial lain.

Kreatif

Bagaimanapun, makanan komersial untuk ternakan yang kini agak mahal membuat beliau lebih kreatif untuk menyediakan sendiri makanan kambing-kambing ternakannya dengan mengadun sumber-sumber tumbuhan tempatan.

“Saya cipta sendiri makanan kambing bagi mengelak kos makanan yang mahal dan dari situ 50 peratus kos makanan komersial untuk kambing-kambing berjaya dikurangkan,” jelasnya.

Katanya, seekor kambing dewasa memerlukan kos makanan komersial sebanyak RM1.40 sehari dan ia agak tinggi.

Menurutnya, beliau mengamalkan penternakan tanpa sisa ladang iaitu tahi kambing dijadikan baja organik yang akan dijual kepada pengusaha ladang pertanian.

Untuk menghasilkan baja organik berkenaan, beliau telah mengikuti kursus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahnya, penghasilan anak kambing di ladangnya mencapai 130 peratus setahun iaitu antara 2,500 hingga 3,000 ekor dan apabila berusia tujuh hingga lapan bulan, kambing-kambing itu sedia untuk dijual dengan berat mencecah 35 kilogram seekor.

Atas kegigihan dan kejayaannya, Kamel baru-baru ini telah menerima anugerah Usahawan Ternakan Jaya (Terbuka) Peringkat Negeri Johor daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman seterusnya menyemarakkan lagi semangat beliau untuk meluaskan lagi ternakan kambing boer.

Lebih membanggakan, ITJSB merupakan satu-satunya penternak di Malaysia yang berdaftar dengan Australia Boer Goat Breeder Associations sejak 2006 dan status itu memudahkan ITJSB untuk mendapatkan bekalan kambing boer dengan harga yang berpatutan.

Dalam usaha untuk meluaskan lagi bidang penternakan, ITJSB yang kini menjadi peserta Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK) di Ayer Hitam akan memulakan penternakan secara besar-besaran di PPMK bermula tahun depan dan akan mencipta satu kaedah baru dalam bidang penternakan.

Antaranya, ITJSB akan membuat rumusan makanan sendiri serta menggunakan kaedah pembiakan secara semulajadi iaitu pembiakan tanpa kandang kerana ia diyakini mampu meningkatkan kadar pembiakan yang lebih banyak.

2 thoughts on “Sanggup korban kerjaya kerana kambing boer

  1. Assalamu’alaikum

    Saya pun pernah dengar tentang LTJSB, dan memang admire cara En. Kamel meceburi bisnes ternakan kambing.

    Bolih tak kita minta nombor talipon LTJ? Kalau di beri izin, saya nak lawat LTJ dan belajar sedikit sebanyak dari En. Kamel.

    Terima kasih

  2. salam..saya sangat berminat dalam penternakan kambing boer dan bercita- cita utk menjadi penternak berjaya satu hari nanti..dan saya juga berminat untuk bekerja di bawah en.kamel utk mencari pengalaman dan menimba pengetahuan mengenai penternakan kambing..di harap en.kamel boleh menerima saya sebagai pekerja en.kamel..saya juga menetap di kluang johor..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s