7 kesilapan lazim dalam mengurus wang

JIKA anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan supaya anda dapat belajar daripadanya.

Gagal Merancang
Alasan yang selalu diberikan oleh mereka yang tidak merancang kewangan ialah “Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya”.

Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat `merancang kewangan’ akan membolehkan anda menjadi seorang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.

Berbelanja Melebihi Kemampuan
Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan juga iklan di sekeliling kita. Ramai yang sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.

Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang amat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan selepas ditolak bayaran pelbagai pinjaman, kad kredit, bil dan sebagainya.

Berbelanja Menggunakan Kad Kredit
Tabiat beli dulu dan bayar kemudian adalah perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad.

Dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum terbabit, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari.

Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Justeru, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat.

Lewat Menabung Untuk Hari Tua
Untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang mencukupi bagi menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Bagaimanapun, masih ramai terutama mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan diperlukan.

Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah.

Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Justeru, pastikan anda meneliti ciri sesuatu produk pelaburan berkenaan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.

Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan
Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama jika kita hilang pendapatan/pekerjaan.

Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.

Terlampau Memikirkan Pasal Wang
Dalam usaha memupuk tabiat merancang kewangan, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan.

Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.

Sanggup korban kerjaya kerana kambing boer

KAMEL Jaini sentiasa memantau perkembangan kambing-kambingnya dari semasa ke semasa.


BATU PAHAT 19 Okt. – Menyedari bidang penternakan dan pertanian mampu memberi pulangan lumayan, Kamel Jaini, 43, sanggup mengorbankan pekerjaan tetapnya dalam bidang teknologi maklumat untuk menumpukan perhatian sepenuh masa dalam bidang penternakan.

Dengan modal sendiri atas desakan hati ingin mencuba, beliau memulakan ternakan kambing boer dengan permulaan sebanyak 20 ekor iaitu lapan ekor jantan dan 12 betina tiga tahun lalu bersama seorang rakan, Mohd. Lani Maskon.

Kambing-kambing boer mereka diperoleh daripada pembekal di Perth, Australia dan ia diternak dalam dusun durian milik keluarganya yang berkeluasan 3.2 hektar di Kampung Sri Jasa Sri Medan, dekat sini.

Meskipun beliau menceburi bidang penternakan secara percubaan tetapi sebelum memulakan projek ternakan atas nama Industri Tuk Janggut Sdn. Bhd. (ITJSB), terlebih dahulu lelaki berjiwa waja ini mengikuti kursus penternakan dengan pejabat haiwan daerah.

Menurut Kamel, walaupun pada permulaannya beliau dihujani dengan pelbagai cerita mengenai kambing boer yang didakwa sukar untuk diternak, tetapi ia tidak melemahkan semangatnya untuk mencuba.

Baginya, setiap pekerjaan yang ingin diusahakan perlu ada formula yang mesti diikuti agar ia mampu mendatangkan kejayaan dan pulangan seperti diharapkan.

Dengan usaha gigihnya serta mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, dalam tempoh tiga bulan usahanya mula mendatangkan hasil apabila kambing-kambing melahirkan baka sebanyak 20 ekor tanpa sebarang masalah dan penyakit.

“Bermula dari situ saya yakin bidang penternakan ini mampu berkembang dan telah mengeluarkan modal sendiri dengan menambah jumlah kambing yang kini telah meningkat sehingga lebih 2,000 ekor yang saya import dari Melbourne, Australia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kesemuanya diperoleh dalam masa hampir tiga tahun beroperasi dan sekali gus menolak dakwaan bahawa menternak kambing boer banyak masalah.

Tambahnya, dalam setahun pembiakan kambingnya mencecah 2,500 ekor dan beliau menjual anak-anak kambing itu untuk dijadikan baka kepada individu yang berminat, penternak tempatan, RISDA, pejabat perkhidmatan haiwan dan lembaga pertubuhan peladang (LPP) di sekitar negeri ini, Terengganu, Perak dan Selangor.

Kamel kini dibantu oleh seorang adiknya, Kamarida Jaini, 39, dan Khairul Mohd. Lani, 28, yang menjaga semua urusan di ladang ternak mereka.

Dari segi pemakanan Kamel menambah, setiap hari, 10 tan rumput napier perlu disediakan di samping makanan komersial lain.

Kreatif

Bagaimanapun, makanan komersial untuk ternakan yang kini agak mahal membuat beliau lebih kreatif untuk menyediakan sendiri makanan kambing-kambing ternakannya dengan mengadun sumber-sumber tumbuhan tempatan.

“Saya cipta sendiri makanan kambing bagi mengelak kos makanan yang mahal dan dari situ 50 peratus kos makanan komersial untuk kambing-kambing berjaya dikurangkan,” jelasnya.

Katanya, seekor kambing dewasa memerlukan kos makanan komersial sebanyak RM1.40 sehari dan ia agak tinggi.

Menurutnya, beliau mengamalkan penternakan tanpa sisa ladang iaitu tahi kambing dijadikan baja organik yang akan dijual kepada pengusaha ladang pertanian.

Untuk menghasilkan baja organik berkenaan, beliau telah mengikuti kursus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahnya, penghasilan anak kambing di ladangnya mencapai 130 peratus setahun iaitu antara 2,500 hingga 3,000 ekor dan apabila berusia tujuh hingga lapan bulan, kambing-kambing itu sedia untuk dijual dengan berat mencecah 35 kilogram seekor.

Atas kegigihan dan kejayaannya, Kamel baru-baru ini telah menerima anugerah Usahawan Ternakan Jaya (Terbuka) Peringkat Negeri Johor daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman seterusnya menyemarakkan lagi semangat beliau untuk meluaskan lagi ternakan kambing boer.

Lebih membanggakan, ITJSB merupakan satu-satunya penternak di Malaysia yang berdaftar dengan Australia Boer Goat Breeder Associations sejak 2006 dan status itu memudahkan ITJSB untuk mendapatkan bekalan kambing boer dengan harga yang berpatutan.

Dalam usaha untuk meluaskan lagi bidang penternakan, ITJSB yang kini menjadi peserta Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK) di Ayer Hitam akan memulakan penternakan secara besar-besaran di PPMK bermula tahun depan dan akan mencipta satu kaedah baru dalam bidang penternakan.

Antaranya, ITJSB akan membuat rumusan makanan sendiri serta menggunakan kaedah pembiakan secara semulajadi iaitu pembiakan tanpa kandang kerana ia diyakini mampu meningkatkan kadar pembiakan yang lebih banyak.