Idea ‘gila-gila’ hasilkan makanan sendiri

TANAMAN padi di belakang rumah Ismail Payamin yang menunggu masa untuk di tuai.


Agak sukar membayangkan bagaimana agaknya apabila belakang rumah yang bukan kawasan bendang tetapi dipenuhi dengan tanaman padi.

Lebih menarik, jika tanaman padi tersebut yang jaraknya hanya beberapa meter di belakang rumah menjadi sumber beras untuk makanan harian.

Lazimnya, bagi penduduk kampung, ternakan ayam, itik, telur dan tanaman sayur-sayuran diusahakan di belakang rumah untuk sajian harian tetapi beras terpaksa juga dibeli di kedai.

Namun, bagi seorang bekas guru, Ismali Payamin, 50, beliau cuba untuk mengubah kelaziman itu dengan menanam dan menternak sendiri sumber-sumber bahan asas keperluan dapur itu.

Caranya ialah dengan memanfaatkan kawasan sekeliling rumahnya di Kampung Sungai Kembung Hilir, Bangi, Selangor dengan diusahakan pelbagai aktiviti pertanian termasuk tanaman padi.

Tanaman padi diusahakan tanpa menggunakan air yang banyak memandangkan tanah di sekeliling rumah tersebut bukan kawasan semula jadi sawah yang boleh menyimpan air.

Di kawasan itu juga, Ismail menternak ayam yang digelarnya sebagai ayam katan bermaksud kacukan ayam kampung dan hutan.

Di satu sudut lain, dia membuka kawasan kecil untuk menternak ikan keli, juga dalam proses kajian untuk menjadikannya lebih sedap.

Segala usahanya itu yang boleh mencetuskan hasil ‘serba mungkin’ sebenarnya lahir daripada sikapnya yang ‘gila-gila’ dengan penyelidikan.

Ismail bersara daripada perkhidmatan perguruan pada 1995 selepas memulakan khidmat pada 1980.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau yang berasal dari Cheras, berkelulusan teknikal dari Maktab Perguruan Ilmu Khas , Kuala Lumpur mengajar dalam bidang kemahiran hidup.

Selepas bersara atas pilihan sendiri, dia pada mulanya membuka pusat memancing ikan air tawar di Bandar Baru Bangi.

Selepas tidak lagi meneruskan tersebut, Ismail memulakan usaha dengan menjalankan teknik pembiakan ikan keli dengan mengacukkan mana-mana spesies.

“Saya mencubanya untuk mencari kelainan rasa keli yang lebih sedap,’’ ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Bangi, baru-baru ini.

Malah, Ismail boleh berbangga kerana telah berjaya menemui apa yang dinamakan varieti baru hasil kacukan dua spesies keli tahun lepas.

Ismail juga bersedia membimbing mana-mana individu yang berminat mempelajari teknik aruhan itu di rumahnya jika ada kelapangan dan mengikut permintaan.

Pada masa sama, beliau turut mencuba menjalankan kajian mengenai pembenihan cendawan tetapi dihentikan buat sementara kerana banyak masalah.

Selepas usaha-usaha ‘penyelidikan tersebut’, Ismail akhirnya mencuba tanaman padi di belakang rumahnya.

Sebelum itu, beliau berkunjung ke Sumatera, Indonesia untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan tanaman padi di negeri berkenaan.

“Saya mencuba tanaman padi dengan benih yang dihasilkan oleh MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) iaitu MR219,’’ katanya.

Dia mencuba tanaman padi bagi mengurangkan beban perbelanjaan ekoran harga beras yang terlalu mahal pada masa ini.

Katanya, ramai mendakwa hanya padi huma atau padi bukit sahaja yang mampu bertahan tanpa air untuk tumbuh dengan baik tetapi, padi yang ditanamnya membuktikan sebaliknya.

Ismail menjelaskan, kawasan yang ditanam padi itu berkeluasan 4,000 kaki persegi dengan jarak antara pokok kira-kira enam inci.

Antara kelainan tanaman padi yang diusahakannya ialah tidak mempunyai kemudahan tali air dan hanya menggunakan baja organik.

Dia memulakan penanaman pada 15 Mei menggunakan dua kilogram benih padi dan sebelum menanamnya, tanah digembur dan dicampurkan dengan baja organik.

Selepas itu, dia menaburkan benih dan membiarkannya tumbuh sebelum disusun semula mengikut jarak yang sesuai.

Jika keadaan terlalu kering, dia hanya menggunakan sumber air di kawasan penanaman menggunakan alat perenjis air (sprinkler).

Pada masa sama, dia menyemburkan larutan mikrogranisma berkesan (EM) kepada tanaman tetapi tidak terlalu kerap atau kira-kira sebulan selepas penanaman.

Seperti benih padi lain juga, dia boleh menuai dalam tempoh antara 110 dan 120 hari penanaman.

“Saya telah mengira kos penanaman padi ‘bukit’ ini yang mana jika diambil kira semua termasuk penanaman sendiri, (manual) rawatan EM untuk keluasan 4,000 kaki persegi, maka jumlahnya kira-kira RM120.

“Kos itu tidak termasuk upah menuai dan dan menggunakan mesin untuk menukarkannya kepada beras,’’ ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kos tersebut dapat dikurangkan sekiranya kawasan penanaman diperluaskan.

Katanya, sejumlah 300 kilogram beras dapat dihasilkan untuk kawasan seluas itu yang mampu digunakan selama setahun untuk sebuah keluarga yang mengandung tujuh atau lapan orang.

Tanaman padi tersebut bagaimanapun masih dalam peringkat kajian untuk mencari varieti tangkai yang lebih padat dengan padi.

Malah, dia juga sedang mencuba menanam padi tersebut di pasu bagi melihat ketahanannya.

Bagaimanapun, Ismail berharap kerajaan memberi peluang kepada pengusaha sepertinya supaya tidak terlalu ketat dalam kawalan jual beli padi.

Ini kerana, undang-undang tidak membenarkan hasil padi dijual kepada individu sebaliknya perlu ke kilang padi dan seterusnya dalam rantaian bekalan sedia ada.

Selepas lebih sedekad mencuba bermacam-macam kajian yang mungkin gila kepada sesetengah orang, Ismail berkata, beliau belum letih untuk terus mencuba.

Malah dengan kata-kata pegangan Alam Sebagai Guru, beliau akan terus mencuba menghasilkan sesuatu yang menarik kerana pada akhirnya ia untuk kebaikan.

Beliau juga akan sedang memikirkan untuk mengkomersialkan mana-mana produk yang dihasilkan itu untuk dikomersialkan bagi menjana keuntungan.

Menjadi usahawan produk berasaskan perikanan

PENGUSAHA digalak menghasilkan produk nilai tambah daripada hasil perikanan untuk bersaing di pasaran. – Gambar hiasan


MUNGKIN ramai yang beranggapan bahawa peranan Jabatan Perikanan hanyalah untuk membangun dan memajukan sektor perikanan di samping menjaga kebajikan nelayan tempatan.

Namun, realitinya jabatan tersebut mempunyai fungsi yang lebih besar melalui program Usahawan Industri Asas Tani Jabatan Perikanan.

Program yang diperkenalkan sejak tahun 1998 itu merupakan inisiatif bagi mendidik usahawan tempatan menjalankan aktiviti pemprosesan bahan mentah perikanan bagi menghasilkan produk makanan untuk dipasarkan.

Melalui penjualan pelbagai produk tambah nilai tersebut, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi pendapatan usahawan kecil dan sederhana.

Ia dilaksanakan dengan memberi latihan dan bimbingan pengetahuan dalam bidang industri berkaitan kepada usahawan-usahawan baru yang ingin menceburi bidang tersebut.

Antara produk berasaskan makanan yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan tersebut adalah seperti keropok lekor, keropok kering, bebola ikan, otak-otak, ikan kering, ikan salai, belacan, ikan bilis, nuget dan burger ikan.

Selain bimbingan, mereka juga akan menerima bantuan pinjaman untuk peralatan seperti mesin, bantuan teknikal, pelabelan, pembungkusan, promosi dan juga pemantauan yang berterusan.

Pihak jabatan juga mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak seperti Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengawal kualiti, penjagaan kebersihan serta keselamatan makanan.

Jenama sendiri

Setelah menjalani latihan, para usahawan tersebut akan menerima sijil pengiktirafan yang melayakkan mereka memasarkan produk keluaran mereka secara komersial dengan menggunakan jenama sendiri.

Menurut Pegawai Pemprosesan Perikanan dan Pengendalian Jabatan Perikanan, Khazlita Adzim Abdol Aziz, usaha tersebut dijalankan bagi mencapai sasaran keluaran produk makanan berasaskan perikanan sebanyak 1.2 juta tan metrik menjelang tahun 2010.

“Untuk tujuan pasaran produk-produk ini pula, pihak jabatan menggunakan pendekatan memasarkannya di kedai-kedai, pasar raya, kiosk dan kedai serbaneka selain melantik ejen-ejen jualan.

“Produk makanan ini juga telah mula mendapat sambutan yang menggalakkan dari pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan juga negara-negara Asia Barat,’’ katanya.

Khazlita memberitahu, untuk sumber bahan mentah, ia dibekalkan oleh Bahagian Akuakultur yang juga berada di bawah Jabatan Perikanan.

Katanya, bidang perikanan tidak boleh bergantung kepada penjualan ikan semata-mata sebaliknya harus mengeluarkan produk hiliran sebagai nilai tambah bagi memajukan industri.

Secara keseluruhannya, produk makanan berasaskan ikan ini menerima sambutan yang menggalakkan kerana selain rasanya yang enak, ia juga lebih cepat dan mudah untuk disediakan.

Membangunkan industri pertanian organik

Aini Zakaria menjelaskan pertanian organik merupakan satu sistem pengeluaran pertanian yang tidak menggunakan baja dan racun perosak kimia.


Saban hari, ramai pengusaha tidak kira pertanian, penternakan mahukan akuakultur yang mendakwa produk yang mereka keluarkan adalah produk organik.

Bagi orang ramai, terutama pelanggan bagaimana mereka hendak mengesahkan sama ada produk itu benar-benar organik atau tidak?

Semua itu, berdasarkan kepada kepercayaan pelanggan terhadap dakwaan pengusaha yang mengeluarkan produk berkenaan.

Kini terdapat pelbagai produk organik baru telah muncul dalam pasaran selain ternakan seperti herba, kosmetik, minyak sawit, minyak kelapa dara, baja, baju, sabun dan pencuci, kopi, coklat dan makanan telah diproses.

Bagi produk pertanian terutama sayur-sayuran dan buah-buahan, memang terdapat akreditasi menerusi Sijil Organik Malaysia (SOM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian.

Tetapi bagaimana pula dengan produk pertanian lain seperti penternakan dan akuakultur yang belum mempunyai garis panduan mengenainya.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Aini Zakaria menjelaskan pertanian organik merupakan satu sistem pengeluaran pertanian yang tidak menggunakan baja dan racun perosak kimia, organisma terubah suai secara genetik (GMO), mengurangkan pencemaran udara, tanah dan air.

Pertanian organik juga mengoptimumkan kesihatan dan pengeluaran komuniti tanaman, haiwan dan manusia.

Produk yang dikatakan organik perlu persijilan untuk mengesahkan bahawa produk berkenaan sememangnya organik.

Bagi mendapatkan persijilan sistem pengeluaran produk organik perlu melalui pemeriksaan mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh kerajaan atau agensi yang diiktiraf oleh International Federation of Organic Farming Movement (IFOAm).

Dalam piawaian berkenaan pengeluar akan berpandukan kepada semua senarai bahan yang boleh digunakan dan tidak dibenarkan.

Prinsip yang diutamakan dalam pertanian organik adalah :

l Prinsip kesihatan – pertanian organik perlu mengekalkan kesihatan tanah, tanaman, ternakan dan manusia.

l Prinsip ekologi – pertanian organik perlu berasaskan sistem ekologi yang hidup dan kitarannya, bekerjasama dengan sistem berkenaan serta mengekalkannya.

l Prinsip keadilan – pertanian organik perlu membina hubung kait yang menentukan keadilan kepada persekitaran dan peluang kehidupan.

l Prinsip keprihatinan – pertanian organik perlu diuruskan secara beringat dan bertanggungjawab untuk mempertahankan kesihatan dan kebaikan generasi kini dan akan datang serta persekitaran.

Pertanian organik bermula pada 1986 daripada enam ekar kepada hampir 1,000 hektar pada tahun lalu.

Jika dibandingkan dengan negara ASEAN yang lain yang bermula daripada tahun 1992/94 dan mereka menguasai kawasan yang lebih luas daripada Malaysia seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Kini dengan krisis makanan dan tenaga, maka pertanian organik perlu dikembangkan di negara ini memandangkan ia mengitar semua sisa yang ada.

Jika dahulu pertanian konvensional menggunakan tanah yang luas lebih 120 hektar (300 ekar) bagi seorang petani tetapi dengan pertanian organik petani akan diberikan saiz ladang lebih kecil yang lebih menguntungkan dan kurang menghasilkan pencemaran.

Bagaimanapun kajian pertanian organik di negara ini kurang memberikan perhatian terhadap kepelbagaian biologi.

Misalnya menggunakan pelbagai jenis tumbuhan herba sebagai sumber nitrogen dan tempat perlindungan pemangsa atau tanaman yang menolak makhluk perosak.

Menyentuh mengenai ternakan organik, Aini berkata, sehingga kini tidak terdapat piawaian mengenainya.

Tetapi jika penternak menggunakan piawaian dari luar negara, mungkin ia masih boleh diterima pakai.

Misalnya bagi penternakan ternakan organik, piawaian IFOAm menetapkan semua haiwan tidak boleh dikurung tetapi dibebaskan dalam keluasan kawasan tertentu.

Misalnya seekor ayam memerlukan kawasan seluas 1m hingga 1.5m persegi tetapi memerlukan kawasan reban yang sesuai.

Ternakan juga tidak boleh diberikan antibiotik dan vitamin tambahan tetapi banyak pihak bertelagah mengenai pemberian vaksin.

Makanan ternakan juga perlu dikenal pasti bagi menentukan benar-benar organik dan bersih.

Ternakan organik yang sakit pula tidak diberikan ubatan konvensional tetapi dirawat menggunakan kaedah tradisional menggunakan herba atau di Australia menggunakan ubatan homeopati.

SOM hanya diberikan kepada petani yang mematuhi piawaian organik MS 1524 untuk menjual barangan mereka dalam pasaran.

SOM perlu dipertingkatkan lagi agar ia mencapai taraf antarabangsa dan panduan dan piawaian baru perlu diformulasikan untuk melindungi pengguna dan pengusaha daripada penipuan.

Justeru MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Persidangan Kebangsaan Pertanian Organik yang di Sheraton Subang and Towers, Subang Jaya pada 4 hingga 6 November ini.

Antara pembentang kertas kerja adalah agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pertanian organik.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai persidangan berkenaan boleh menghubungi talian 03-8943 7041/6077 atau e-mel: organic@mardi.gov.my