Kupang jadi tarikan Tanjung Batu Laut


JUHISIN dan Tina ramah melayan pelanggan, Ismail Mustapha (kiri) dan Lawrence P Saibon yang membeli kupang di Kampung Tanjung Batu Laut.

KOTA MARUDU: Tidak ramai mengetahui mengenai Kampung Tanjung Batu Laut, kira-kira 20 kilometer dari pekan ini.

Kampung di Teluk Marudu itu bukan setakat memiliki keistimewaan pantai yang bersih dan indah, malah penjualan kupang di sepanjang jalan dari kampung berkenaan ke pekan kecil Pinggan-Pinggan, dekat Pitas, turut menjadi tarikan.

Pengunjung yang pertama kali melalui jalan berkenaan pasti akan memberhentikan kenderaan kerana tertarik dengan kupang segar di pangkin peniaga.

Longgokan kupang pasti membuatkan pengunjung membeli, lebih-lebih lagi pada harga hanya RM2.50 sekilogram.

Kemanisan dan keenakan kupang segar yang diternak di Sungai Taritipan, tidak jauh dari Kampung Tanjung Batu Laut sememangnya dikenali penduduk daerah ini dan daerah sekitarnya seperti Pitas dan Kudat.

Seorang peniaga kupang yang ditemui Berita Harian di kampung itu, Juhisin Inud, 56, berkata perniagaan yang dimulakannya sejak kira-kira lima tahun lalu itu memberikan pulangan baik, terutama sepanjang Ramadan.

“Kami membeli kupang daripada penternak di Kampung Taritipan dan kampung ini sendiri. Dengan harga RM2.50 sekilo, pembeli mendapat kupang segar dan manis.

“Kebanyakan pelanggan gemar membeli lebih banyak dan kupang enak dimakan ketika masih panas, terutama kalau dicicah air asam,” katanya.

Setiap hari, Juhisin dan isterinya, Tina Jali, 50, bergilir-gilir menjual kupang di pangkin di tepi jalan berkenaan dan lazimnya tidak hampa dari segi kehadiran pelanggan.

Jalan berkenaan adalah laluan utama dari pekan ini ke Pitas dan Paitan serta Sandakan bagi mereka yang tidak mahu menggunakan jalan Kota Marudu-Ranau-Sandakan.

Kupang diternak melalui kaedah merendamkannya dalam air laut.

Dengan memasukkan antara 10 hingga 15 kupang dalam bungkusan kain yang diikat pada tali sebelum direndam dalam air masin, kupang boleh membiak dengan mudah.

Tempoh 10 hingga 12 bulan diperlukan untuk membolehkan kupang dikeluarkan dari petak ternakan sebelum dipasarkan.

Kek lapis Mashitah dapat sambutan pelanggan



MASHITAH bangga dengan Kek Lapis buatan sendiri.

JOHOR BAHRU: Minat mempelajari ilmu memasak serta bakeri kini bukan sekadar hobi buat Mashitah Khairuddin, 22, apabila menjadikan minatnya itu untuk menjana pendapatan.

Hobinya satu ketika dulu kini sudah menjadi sebahagian daripada perkara penting dalam hidupnya kerana mampu memiliki wang sendiri hasil daripada jualan kek lapis keju dan Sarawak buatan tangannya yang dijual mengikut pelbagai saiz.

Kek buatannya menerima sambutan menggalakkan dan beliau meletakkan harga yang berpatutan untuk pelanggan.

“Walaupun berlaku kenaikan harga barang tahun ini, harga kek lapis ini tetap dijual pada harga yang sama. Saya tidak terlalu memikirkan keuntungan yang berlipat kali ganda kerana kepuasan pelanggan menjadi keutamaan,” katanya.

Mashitah mula mempelajari bidang pengurusan bahagian katering di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Azizah, Jalan Datin Halimah 2002- 2003 dan melangkah ke Politeknik Johor Bahru 2005-2006 bagi mendalami ilmu pengurusan hotel sebelum menyertai kursus anjuran Jabatan Pertanian Malaysia.

Beliau mempelajari pelbagai ilmu mengenai selok-belok dapur di SMV dan kemudian meneruskan pengajiannya ke politeknik untuk mendalami ilmu pengurusan serta pentadbiran di bahagian perhotelan.

“Di SMV, saya mulai berminat membuat kek, kemudian ketika di politeknik, saya mendalami bahagian pentadbiran hotel dan katering, selain itu juga saya turut mempelajari pengurusan perniagaan.

“Saya kemudian mengambil peluang memasuki kursus anjuran Jabatan Pertanian Malaysia. Dalam kursus itu, saya belajar prosedur menjalankan perniagaan berasaskan masakan.

“Selain itu, saya turut belajar dari buku sebelum mempelajari lebih teknik membuat kek yang betul daripada pengusaha kedai bakeri, Azie Cake and Cookies,” katanya.

Mashitah bersyukur kerana ibu bapanya menyokong minatnya dengan membantu dan menyediakan modal perniagaan.

Penternak puyuh komersial kurang


NOHAN menunjukkan burung puyuh yang sedia dipasarkan.

KUANTAN: Keenakan rasa daging puyuh yang sesuai disediakan dengan pelbagai jenis masakan Melayu menyebabkan permintaan terhadap burung berkenaan semakin menggalakkan.

Bagaimanapun, kekurangan pihak yang mengusahakan ternakan burung puyuh daging secara komersial menyebabkan masalah bekalan daging puyuh berkurangan di pasaran tempatan.

Penternak puyuh, Nohan Mohd Nor, 33 berkata dia memasarkan kira-kira 2.5 tan sebulan iaitu antara 12,000 hingga 15,000 burung puyuh yang sudah diproses.

Menurutnya, jumlah berkenaan masih tidak mencukupi berikutan permintaan menggalakkan daripada pengguna pelbagai kaum yang berpendapat daging burung puyuh lebih sedap daripada ayam.

Katanya, aktiviti ternakan burung puyuh daging tidak banyak diusahakan terutama di negeri ini, sekali gus menyebabkan bekalan tidak mencukupi.

“Di Pahang, saya seorang saja yang mengusahakan ternakan burung puyuh daging secara komersial dengan purata pengeluaran melebihi 12,000 ekor sebulan.

“Sokongan yang diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Haiwan tidak berupaya menarik minat terutama golongan muda untuk menceburi bidang ternakan burung puyuh,” katanya yang mengusahakan projek berkenaan sejak 2004.

Beliau berkata, ternakan burung puyuh tidak terlalu sukar, pengawasan yang teliti hanya pada peringkat anak. Selepas berumur seminggu penternak hanya memberi tumpuan kepada makan dan kebersihan.

Burung puyuh daging matang boleh dijual pada umur 22 hingga 34 hari, sekiranya tempoh berkenaan dilanjutkan selain faktor kos, daging puyuh menjadi keras.

Nohan berkata, dia menjual puyuh yang sudah diproses pada harga antara RM15 hingga RM18 sekilogram dan boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu beku.

Dia yang mengusahakan ternak puyuh di Kampung Cendering, di sini, berkata masalah mendapat bekalan anak puyuh sedikit sebanyak menjejaskan usahanya menambah jumlah ternakan dan memperbesarkan projek berkenaan.

“Selain masalah bekalan anak burung puyuh, peningkatan kos makanan yang kini mencecah RM98 seguni (50kg) menyebabkan dia tertekan.

“Bantuan peralatan penetasan daripada Jabatan Haiwan diharap dapat mengurangkan masalah bekalan anak burung puyuh yang kini berharga sehingga 50 sen seekor,” katanya.