IPOH 10 Okt. – Persatuan Siswazah Tani Negeri Perak yakin dapat menanam minat mendalam mengenai keusahawanan tani kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.
Pengerusinya, Nasir Ismail berkata, matlamat berkenaan boleh dicapai menerusi Karnival Agro 2008 yang bakal diadakan di Kampus B Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada 17 Oktober ini.
Beliau berkata, ini kerana program berkenaan bakal memberi pendedahan kepada golongan muda terutamanya pelajar IPT dan graduan mengenai pertanian serta potensinya termasuk bantuan modal.
”Ramai masih tidak mengetahui pertanian bukan sekadar menjadi petani dan berkebun kerana bidang ini turut meliputi pemakanan dan resort,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Karnival anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kerajaan Negeri Perak serta PUO itu akan berlangsung selama tiga hari sehingga 19 Oktober ini dan akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed pada 18 Oktober ini.
Karnival yang julung kali diadakan oleh persatuan itu diperhebatkan dengan pengisian pelbagai aktiviti berkaitan pertanian yang akan diadakan sepanjang tiga hari ia berlangsung.
Antara yang menarik ialah program seminar, ceramah keusahawanan yang menyediakan satu forum perbincangan antara graduan dan usahawan tani dan agensi berkaitan mengenai prospek kerjaya dalam bidang pertanian moden dan perniagaan tani.
Selain itu, ceramah kecantikan dan penampilan diri wanita, bicara tani dan bicara filem oleh pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, pertandingan karaoke dan perlumbaan agro akan turut diadakan.
Menurut Nasir, lebih 16 agensi kerajaan dan syarikat swasta akan membuka gerai pameran semasa karnival ini.
”Gerai-gerai pameran ini antaranya menyediakan pelbagai maklumat berhubung pertanian dan peluang francais kepada mereka yang berminat,” katanya.
Beliau berkata, masuk ke karnival itu adalah percuma tetapi mereka yang ingin menyertai seminar perlu membayar yuran sebanyak RM60.
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lebih lanjut boleh menghubungi Persatuan Siswazah Tani Negeri Perak di talian 05-3114200, 05-3115075 atau 012-5224240.