Sayur, buah kena ikut standard baru

Peraturan pastikan produk selamat dimakan

BANGKOK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mensyaratkan sayuran dan buah-buahan keluaran tempatan dan import untuk mematuhi peraturan penggredan, pembungkusan dan pelabelan baru yang akan dilaksanakan mulai April depan.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata peraturan dikenali dengan Peraturan Pemasaran Fama (Grading, Packaging and Labelling of Agriculture Produce) itu bertujuan memastikan semua produk menepati standard yang ditetapkan dan selamat dimakan sejajar usaha kerajaan meningkatkan keselamatan makanan di Malaysia.

“Produk pertanian itu akan diperiksa oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Malaysian Agriculture Quarantine Inspection Services (Maqis) yang meliputi kebersihan dan kebolehan mengesan (tracebility).

“Contohnya seperti longan, kita boleh kesan di ladang mana ia ditanam, atau ikan dan udang kolam mana diternak, kapal apa yang diguna untuk mengangkut dan sama ada ada antibiotik digunakan. Jika mereka gagal mematuhi peraturan itu, kita tidak akan terima produk berkenaan sehinggalah peraturan itu dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertanian dan Kerjasama Thailand, Somsak Prisanananthakul di kementeriannya sempena lawatan kerja selama empat hari, di sini, kelmarin.

Mustapa berkata, kementerian juga dalam proses memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengeksport dan pengimport mengenai peraturan berkenaan dengan memaklumkan kepada kerajaan di negara pengeksport buah-buahan dan sayuran ke Malaysia, termasuk Thailand.

Beliau berkata, kebanyakan masalah membabitkan kualiti sayuran dan buah-buahan membabitkan produk dari Thailand dan Indonesia.

Mengulas mengenai lawatan beliau, Mustapa berkata, Malaysia boleh mengambil inisiatif daripada syarikat terkemuka Thailand seperti Charoen Pokpan (CP) dan Saha Group yang mempunyai industri asas tani bertaraf dunia, dengan pusat penyelidikan dan pembangunannya sendiri.

“Misalnya, dalam tempoh empat tahun, CP mengurangkan tempoh pembesaran udang sehingga 45 peratus, iaitu daripada 120 hari kepada 80 hari manakala Saha Group pula mampu mengeluarkan satu juta ayam proses setiap hari,” katanya.

Thailand antara pengimport utama Malaysia, dengan sayur-sayuran sebanyak RM145 juta dan buah-buahan RM126 juta setahun.

, manakala China mengeksport sayur-sayuran bernilai RM750 juta setahun ke Malaysia.

Mustapa berkata, kementerian kini sedang dalam proses mengkaji semula Dasar Pertanian Negara supaya selaras dengan keperluan masa kini yang memberi penekanan kepada keselamatan makanan, menambah pendapatan petani, lebih berdaya saing dan properniagaan.

Bio Daun lancar francais tarik penanam serai

KOTA BHARU 8 Okt. – Bio Daun Plantation Sdn. Bhd., salah satu pengeluar serai terbesar di Pantai Timur, melancarkan satu sistem francais bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan mempercepatkan pengembangan industri berasaskan pertanian.

Syarikat yang ditubuhkan pada Ogos tahun lepas kini menawarkan sistem francais kepada orang ramai melalui dua pendekatan termasuk penanaman secara ladang kontrak.

Pengarahnya, Mohd. Nizam Mohamed berkata, mereka boleh mengusahakan sendiri tanaman itu dan melalui perjanjian yang akan dimeterai, kesemua hasil tuaian dijual kepada syarikat.

”Satu lagi cara ialah melalui perkongsian di mana syarikat menyuntik modal termasuk kos benih, baja, racun, tenaga pekerja di mana hasilnya dibahagi dua,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setakat ini katanya sambutan golongan petani agak menggalakkan dan kini terdapat 24 hektar di Segamat, juga di Johor dan Pahang manakala 20 hektar lagi di Kelantan telah diusahakan dengan tanaman serai.

”Syarikat mensasarkan seluas 600 hektar tanah berjaya ditanam serai pada pertengahan tahun hadapan dengan sebahagian daripadanya milik Bio Daun Plantation manakala selebihnya difrancaiskan,” ujarnya.

Serai merupakan sejenis herba yang dikenal pasti untuk pembangunan pertanian dan merupakan satu sumber pendapatan penting di dalam negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Serai digunakan secara meluas dalam makanan Asia. Ia juga digunakan dalam industri penghasilan penyembur serangga, untuk aromaterapi, minyak wangi, kosmetik dan produk anti kanser.

Selaras dengan Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK-9) bagi menjadikan pertanian satu perniagaan, Bio Daun telah menanam, memproses dan memasarkan serai atau nama saintifiknya Cymbopogon Citratus sejak Disember 2007.

”Serai merupakan produk pertanian berhasil tinggi yang sedia dituai dalam tempoh enam bulan sahaja dan pasaran di peringkat antarbangsa cukup besar,” katanya.

Tambahnya, minyak pati dan ekstrak serbuknya bernilai tinggi kerana ia mempunyai potensi komersial yang besar untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Pasaran minyak pati serai yang bernilai RM1.618 bilion meningkat kepada 10 hingga 15 peratus setiap tahun. Permintaan yang tinggi datang dari Eropah terutama dari Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya.

Bermula dengan ladang seluas 3.7 hektar di atas tanah terbiar di Kuala Lipis, Bio Daun kini mengusahakan 121 hektar ladang di Pahang dan Kelantan.

“Dengan menanam di tanah terbiar, Bio Daun menyokong polisi ‘Bumi Hijau’ kerajaan bagi menggalakkan pertanian mampan dan mewujudkan alam sekitar yang selesa,” ujarnya.

Mohd Nizam berkata, sejumlah 9,125 rumpun serai boleh ditanam di atas tanah seluas satu hektar bagi menghasilkan pendapatan antara RM35,000 hingga RM42,500 apabila dituai selepas enam bulan.

“Kami baru sahaja menuai serai dari kawasan seluas lapan hektar. Melalui bantuan MARDI, serai tersebut diproses menjadi minyak pati dan ekstrak serbuk di sebuah kilang di Negeri Sembilan,” katanya.

RM560,000 jayakan projek keli dalam tangki

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang (JPP) menyediakan peruntukan RM560,000 menerusi program Bumi Hijau bagi menjayakan projek ternakan ikan keli dalam tangki secara sambilan di kawasan rumah.

Ketua Unit Akuakultur JPP, Halina Hashim, berkata sehingga kini sebanyak 342 permohonan menyertai projek berkenaan diluluskan di seluruh negeri yang membabitkan antara 25 hingga 35 peserta setiap daerah.

Beliau berkata, setiap peserta akan menerima bantuan permulaan termasuk dua tangki, 600 ekor anak ikan keli dan makanan bernilai antara RM1,000 hingga RM1,500.

Katanya, setiap peserta diwajibkan mengikuti kursus sehari anjuran Jabatan Perikanan daerah sebagai usaha menambah pengalaman sebelum memulakan projek.

“Projek ternakan ikan keli dalam tangki ini diberi keutamaan kepada kakitangan awam jawatan sokongan di negeri ini, bertujuan menambah pendapatan isi rumah.

“Projek berkenaan tidak memerlukan kawasan yang luas dan sebab itu mereka yang tinggal di kawasan taman perumahan boleh mengusahakannya,” katanya di sini, semalam.

Halina berkata, projek ternakan ikan keli dalam tangki yang akan bermula bulan ini diharap dapat menarik minat orang ramai di Pahang makan ikan air tawar.

Katanya, Jabatan Perikanan menjadikan tahun ini sebagai tahun kempen makan ikan keli dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM70,000 bagi program promosi di seluruh negeri.

Menurutnya, untuk memastikan ikan keli dapat diterima masyarakat, penternak kini digalakkan mendapatkan Skim Persijilan Akuakultur (SPLAN) dan Skim Amalan Akuakultur Baik (SAAB) yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia.

“Ikan keli yang dihasilkan penternak yang memiliki sijil SPLAN dan SAAB terjamin dari segi halal, kebersihan, kesucian, tidak hanyir dan berbau kerana diberi makan rumusan palet 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat dua penternak di Pahang memiliki sijil SPLAN, manakala 22 penternak lain memiliki sijil SAAB.

Baja Myagri guna medium pasir


Kajian MyAgri dalam penghasilan peptisid melibatkan penggunaan kulat tanah berfaedah untuk mengawal kumbang badak.PERKEMBANGAN bidang bioteknologi telah mendorong penghasilan pelbagai jenis formulasi baja yang bertujuan untuk memajukan industri pertanian.

Selain menyubur dan menambahkan hasil tanaman, penggunaan baja-baja tersebut juga adalah lebih efisien serta tidak mencemarkan alam sekitar.

Antara syarikat tempatan yang giat menjalankan usaha penghasilan baja-baja organik bermutu adalah Malaysian Agri Hi-Tech Sdn. Bhd. (Myagri).

Sejak 12 tahun penubuhannya, syarikat tersebut telah menghasilkan pelbagai jenis bahan penggalak produktiviti tanaman dan juga pengawalan perosak.

Baja yang dikenali sebagai MycoGold adalah antara bahan penyubur berkualiti yang semakin mendapat perhatian.

Dengan menggunakan pasir lombong sebagai medium pembajaan, produk premium tersebut mengandungi campuran beberapa spesies kulat tanah berfaedah yang dikenali sebagai Arbuskular mikoriza.

Selain itu, baja tersebut turut dicampurkan dengan akar dan spora kulat Mikoriza yang bernas untuk memastikan kandungannya efektif dan sesuai untuk semua jenis tanaman.

Menurut Pengurus Kanan Malaysian Agri Group of Campanies, Zubaidah Ilias, MycoGold sesuai digunakan untuk semua jenis tanaman seperti kelapa sawit, getah, koko dan juga buah-buahan.

“Setakat ini, produk MycoGold ini banyak digunakan dalam industri perladangan terutamanya kelapa sawit.

“Pemilihan pasir sebagai medium pembajaan untuk MycoGold adalah kerana kosnya yang lebih rendah dan mudah diperoleh,” katanya ketika ditemui pada Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2008 kelmarin.

Antara kelebihan baja berkenaan ialah, ia mampu membantu perkembangan akar dan tunas pokok selain meningkatkan kecekapan pengambilan air dan nutrien.

Ia juga berupaya meningkatkan ketahanan pokok terhadap masalah kekurangan air serta mengurangkan penggunaan baja dalam jangka masa panjang.

Selain MycoGold, Myagri turut mengeluarkan sejenis baja organik dari sisa kelapa sawit yang dikenali sebagai Agricare Bio-Organik.

Dihasilkan dengan menggunakan teknologi terkini, baja tersebut mengandungi mikro organisma berfaedah seperti mikoriza dan trichoderma.

Kedua-dua kulat tersebut mampu bertindak menyediakan lapisan pelindung di sekeliling akar bagi melindungi pokok daripada serangan patogen.

Apa yang menarik, melalui penggunaan sisa kelapa sawit tersebut, ia secara tidak langsung dapat menjaga alam sekitar kerana kesemua bahan buangan tersebut dapat digunakan semula.

Untuk bahan pengawal perosak pula, Myagri telah memperkenalkan dua jenis formulasi yang dikenali sebagai TrichoGold dan juga Metaxorb.

TrichoGold yang dihasilkan daripada bahan organik digunakan untuk mengawal penyakit bawaan tanah dan kulat.

Metaxorb pula adalah sejenis peptisid yang mengandungi fungus Metarhizium berfungsi untuk mengawal kumbang badak pada tanaman kelapa dan kelapa sawit.

Setakat ini, kesemua produk tersebut telah dipasarkan secara komersial di seluruh negara dan juga luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

Pantau industri burung walit

Langkah elak gangguan kesihatan, bising dan kegiatan haram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan digesa meningkatkan pemantauan terhadap industri burung walit di negeri ini berikutan kemunculan ramai pengusaha haram di seluruh negeri yang boleh menimbulkan masalah kesihatan dan tahap kebisingan yang mengganggu penduduk.

Penolong Setiausaha Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Ooi Siong Hwa, berkata tindakan terhadap pengusaha terbabit wajar bagi melindungi mereka yang menjalankan perusahaan itu mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“Ketika ini ramai pengusaha burung walit muncul di seluruh Kelantan, tetapi hanya 40 yang berdaftar dengan persatuan ini dan membayar yuran tahunan kepada pihak berkuasa tempatan di negeri ini, khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) pada kadar RM500 bagi keluasan bangunan 1,400 kaki persegi.

“Namun, ramai yang cenderung mengusahakan secara haram kerana mahu mendapat keuntungan berganda. Kegiatan mengusahakan secara haram ini semakin berleluasa kerana tiada pemantauan dan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kami berharap pihak berwajib mengambil tindakan tegas sekiranya mahu melihat keharmonian bandar negeri ini terpelihara dan tiada masalah kebisingan yang mengganggu orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Ooi berkata, Kelantan kini berada pada kedudukan kedua di negara ini dalam aspek kebersihan dan pengeluaran sarang burung walit serta produk berkaitannya.

“Persatuan gembira melihat semakin ramai yang membabitkan diri dalam industri yang lumayan ini tetapi ia wajar dibuat mengikut cara betul. Tahap kebersihan dan kebisingan yang tidak dibendung akan menjejaskan masyarakat sekeliling dan senang dijangkiti penyakit.

“Setiap ahli kami akan diberi kursus bulanan bagi mengekalkan kebersihan dalam usaha menghasilkan sarang burung yang berkualiti. Ketika ini, semua sarang burung yang dihasilkan ahli persatuan dieksport ke China kerana sambutan yang menggalakkan daripada negara terbabit,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, 99 peratus pengusaha sarang burung walit terdiri masyarakat Cina dan pihaknya berharap orang Melayu turut mengambil kesempatan menyertai usaha itu menerusi persatuan berkenaan.

“Kami mahu orang Melayu turut membabitkan diri kerana hasil yang diterima begitu lumayan. Setiap pengusaha boleh meraih hasil selepas tiga bulan beroperasi dengan setiap pengusaha mampu mengutip satu hingga tiga kilogram daripada keluasan 1,400 kaki persegi premis yang diusahakan. Harga sarang burung walit kini mencapai RM5,000 sekilogram,” katanya.

Pengusaha Melayu hasilkan yong tau fu

Beberapa pekerja Hikmah Food Speacialities Sdn Bhd sibuk menyediakan pelbagai bahan untuk hidangan yong tau foo di premis itu Kuala Lumpur , baru-baru ini.


Sabtu itu kedai Hikmah Food Specialities Sdn. Bhd. dibuka seperti biasa dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Beberapa pekerja sibuk membungkus pelbagai jenis bahan pramasak untuk hidangan yong tau foo, campuran makanan laut dan tauhu, dalam kuantiti yang banyak.

Pada setiap bungkusan besar bebola ikan, ketam dan sotong, bendi dan cili yang disumbat surimi, wantan dan fucuk, karipap ikan dan jejari ikan hinggalah kepada serbuk supnya, kuah kicap manis, kuah cili, dan bawang goreng, bijan dan kacang tumbuk, tertulis nama destinasi bungkusan itu akan dihantar – sebuah hotel ternama di Jalan Ampang.

Dalam masa yang sama beberapa pelanggan Melayu sibuk membeli bahan yong tau foo pilihan mereka.

Ini tidak menghairankan kerana makanan asal Cina ini sudah popular dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia. Cuma yang membuatkan yong tau foo Hikmah Food Specialities istimewa ialah kerana pengusahanya seorang Melayu, yang mempromosi yong tau foo halal.

Produk yong tau foo Hikmah ini semakin banyak didapati di pasar malam, pasar tani dan pasar raya di negeri- negeri.

Kenapa pilih yong tau foo? soal penulis kepada pengarah urusan syarikat ini Syed Abdullah Syed Hassani, 48, ketika beliau berbicara mengenai asal usul beliau menceburi perniagaan ini.

“Saya mahu mencari kelainan,” katanya mengakui yang bukan tidak ramai kawan-kawan mencadangkan perniagaan biasa seperti tom yam, tetapi baginya yong tau foo halal keluaran seorang Melayu, banyak potensinya.

“Susah untuk mencari yang halal pada mulanya dan masalah ini saya jadikan peluang untuk saya memajukan perniagaan,” katanya sambil menceritakan untuk sampai ke tahap yong tau foo keluaran syarikatnya dikenali, tidak semudah yang dijangka.

Bapa kepada empat orang anak dan tinggal di Seremban ini mengakui tidak ada ilmu asas membuat yong tau foo, oleh itu beliau mencari rakan kongsi – seorang peniaga pasar malam Zainon Hashim dan Low Pik Woon yang pernah bekerja di kilang tauhu semasa kecil.

Bahkan untuk mendapatkan pinjaman memulakan perniagaan ini juga Syed Abdullah terpaksa bersusah dahulu kerana pertama, 1999 (tahun beliau memulakan perniagaan) adalah waktu kemelesetan ekonomi mula menjenguk.

Kedua, beliau seorang Melayu yang mahu berniaga barang yang bukan tradisi orang Melayu dan ketiga, beliau tidak ada trek rekod berniaga sedangkan bank-bank begitu memilih ketika itu.

“Pernah pada mulanya saya ke sebuah cabang pelaburan kerajaan membawa kertas kerja, tapi belum pun sempat nak tunjuk, saya sudah dileteri lebih setengah jam… orang Melayu tidak tahu berniaga…,” katanya.

Perniagaan beliau bermula dengan sejumlah modal sendiri dan RM100,000 pinjaman daripada Bank Pertanian ketika itu untuk menyewa lot bangunan dan menyediakan bilik sejuk.

Pik Woon pada mulanya cuba mengajar pekerja, asas membuat bebola ikan sementara Syed Abdullah menjalankan pelbagai tugas – beliaulah bos, beliau jugalah pekerja yang membancuh bahan ikan dan menggoreng.

Dalam masa yang sama beliau berusaha mencuba pelbagai cara dan resipi sendiri untuk menghasilkan yong tau foo terbaik, lengkap dengan rempah sup, kuah manis dan kuah cilinya.

“Mula-mula mencuba, banyak bahan yang terbuang, kena marah dengan pelanggan pun ada, kerana pekerja saya tak pandai hendak kawal kualiti. Kuah hangus dan sebagainya.

“Saya bekerjasama dengan beberapa pengusaha Cina melalui cara membantu mereka mengamalkan proses yang betul untuk mendapatkan sijil halal dan dalam masa yang sama saya belajar daripada mereka. Tapi biasalah masing-masing ada resipi rahsia sendiri,” jelas beliau.

Selepas empat tahun, baru orang mula mengenali produk yong tau foo Hikmah dan Syed Abdullah sudah memberanikan diri membuat pemasaran sendiri, menyertai pameran, membeli mesin baru dan membesarkan premis pengeluaran dan jualan di Taman Industri Bolton, Batu Caves.

Syarikat ini mengilang dan mengedar bahan yong tau foo menggunakan kira-kira 500kg ikan sehari dan jualan mencecah RM250,000 hingga RM300,000 sebulan.

“Margin untung saya kecil sebab saya perlu ikut pemintaan dan pasaran dalam menetapkan harga dan sebagainya,” katanya.

Kini Hikmah Food Specialities mempunyai pekerja seramai 40 orang dan sebuah cawangan di Subang.

Syarikat ini akan berpindah ke premis baru yang lebih besar di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) di Kampung Batu Muda, Batu Caves, kemungkinan akhir tahun ini bersama 17 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana yang lain.

Syed Abdullah melabur RM3 juta untuk membeli mesin baru dan sebagainya untuk premis barunya.

Beliau memang menantikan peluang yang diberikan Mara ini untuk mengembangkan sayap perniagaannya termasuk ke luar negara, mengedarkan produknya ke pelbagai cabang – hotel, restoran, lebih banyak pasar raya dan sebagainya.

Dalam hal ini beliau berazam untuk maju dalam saingan dengan mendapatkan pensijilan HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) dan GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik) melalui Kementerian Kesihatan.

Syed Abdullah yang memiliki ijazah dan sarjana kewangan dan perniagaan, berharap pengiktirafan itu akan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk yong tau foonya dan membantu beliau meluaskan pasaran.

Syed Abdullah kini boleh berbangga produk yong tau foo halalnya sama standard dengan produk di pasaran.

Katanya dalam memastikan produk yong tau foonya 100 peratus halal, beliau tidak menggunakan bahan kimia yang tidak menentu atau plasma (protein darah haiwan) yang boleh melikatkan dan melembutkan tekstur bebola atau kek ikan.

“Saya sudah biasa menerima komen perbandingan seperti ini, kenapa bebola orang lain berkilat dan putih, rasa tidak sama dan sebagainya dan setiap kali itu saya akan menambah baik produk saya di mana yang boleh tetapi untuk mengabaikan proses halal, saya tidak buat,” katanya.

Ada sedikit kekecewaan ketika beliau menceritakan mengenai proses beliau belajar sampai boleh berdiri dan kini sudah bersedia untuk berlari dengan pengusaha yong tau foo yang lain.

Pertama, tunjuk ajar susah didapatkan baik daripada pesaing kaum lain, mahupun sokongan orang Melayu untuk membekalkan bahan dan produk halal, ejen penjual atau promoter.

“Saya menghadapi masalah pembekal tidak konsisten dan promoter Melayu tidak bersungguh,” katanya.

Syed Abdullah bercerita bagaimana pada satu ketika beliau mendapatkan bekalan telur puyuh daripada seorang Melayu (beliau memerlukan 30,000 hingga 40,000 biji telur puyuh sehari), masuk bulan ketiga, orang itu gagal membekalkan jumlah yang dijanjikan dan terpaksa bergantung kepada pembekal bukan Melayu.

Dan promoter yang digajinya di pasar raya pula adakalanya tidak datang membuka stesen mereka dan akibatnya beliau akan dimarahi pihak pasar raya yang sudah tentu tidak mahu mendengar masalah beliau.

Syed Abdullah juga pernah cuba menolong siswazah Melayu berniaga bahan yong tau foo yang beliau bekalkan, tetapi tidak kekal lama.

Untuk ejen pembekal di negeri-negeri pula, syarat beliau ialah mereka perlu keluar modal sediakan bilik sejuk dalam anggaran RM20,000 tetapi ramai yang tidak sanggup kerana mereka takut rugi.

Kenapa tidak menumpang saja stokis makanan beku jenama Melayu terkenal yang ada?. Syed Abdullah jelas menyimpan perancangan sendiri.

“Saya tidak mahu menjadi barisan kedua, kerana cita-cita saya mahu memastikan jenama yong tau foo saya teguh dan ada tempat sendiri,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau juga menghadapi pesaing Cina yang mempunyai modal besar yang mengawal pembelian bahan ikan kerana ada di antara mereka mempunyai jeti sendiri.

Oleh itu, kata Syed Abdullah, beliau berusaha keras mencari bekalan yang tetap dan terbaik umpamanya beliau kini berunding dengan nelayan di jeti Tok Bali Kelantan untuk mendapatkan bekalan ikan kecil seperti kelisi bagi bahan suriminya.

Syed Abdullah bagaimanapun tidak pernah lemas bergerak perlahan untuk berjaya kerana “saya anggap saya dalam larian maraton, perlahan tetapi tidak mengalah”.

Hasrat utama Syed Abdullah kini ialah memajukan perusahaan yong tau foo berasaskan ikannya di Batu Caves, produk berasaskan soya (tauhu) di Subang dan koay teow di Seremban.

Dalam proses itu beliau tidak lupa melatih beberapa pekerjanya dalam usaha membesarkan perniagaannya supaya satu hari nanti, katanya, mereka juga boleh menjadi pengusaha yong tau foo Melayu dan rakan kongsinya.

Karnival Agro bakal tarik minat siswazah tani

IPOH 10 Okt. – Persatuan Siswazah Tani Negeri Perak yakin dapat menanam minat mendalam mengenai keusahawanan tani kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Pengerusinya, Nasir Ismail berkata, matlamat berkenaan boleh dicapai menerusi Karnival Agro 2008 yang bakal diadakan di Kampus B Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada 17 Oktober ini.

Beliau berkata, ini kerana program berkenaan bakal memberi pendedahan kepada golongan muda terutamanya pelajar IPT dan graduan mengenai pertanian serta potensinya termasuk bantuan modal.

”Ramai masih tidak mengetahui pertanian bukan sekadar menjadi petani dan berkebun kerana bidang ini turut meliputi pemakanan dan resort,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Karnival anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kerajaan Negeri Perak serta PUO itu akan berlangsung selama tiga hari sehingga 19 Oktober ini dan akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed pada 18 Oktober ini.

Karnival yang julung kali diadakan oleh persatuan itu diperhebatkan dengan pengisian pelbagai aktiviti berkaitan pertanian yang akan diadakan sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Antara yang menarik ialah program seminar, ceramah keusahawanan yang menyediakan satu forum perbincangan antara graduan dan usahawan tani dan agensi berkaitan mengenai prospek kerjaya dalam bidang pertanian moden dan perniagaan tani.

Selain itu, ceramah kecantikan dan penampilan diri wanita, bicara tani dan bicara filem oleh pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, pertandingan karaoke dan perlumbaan agro akan turut diadakan.

Menurut Nasir, lebih 16 agensi kerajaan dan syarikat swasta akan membuka gerai pameran semasa karnival ini.

”Gerai-gerai pameran ini antaranya menyediakan pelbagai maklumat berhubung pertanian dan peluang francais kepada mereka yang berminat,” katanya.

Beliau berkata, masuk ke karnival itu adalah percuma tetapi mereka yang ingin menyertai seminar perlu membayar yuran sebanyak RM60.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lebih lanjut boleh menghubungi Persatuan Siswazah Tani Negeri Perak di talian 05-3114200, 05-3115075 atau 012-5224240.