30 kawasan lagi terbabit laksana projek tampung bekalan negara
JELI: Jeli akan menjadi pusat ternakan dan pengeluaran ayam kampung utama negara ini apabila ternakan unggas itu dikomersilkan tahun depan, membabitkan lebih 30 kawasan di jajahan itu dalam usaha menampung keperluannya di seluruh negara.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed, berkata projek ternakan itu sudah dimulakan tetapi diusahakan secara tradisional menerusi pembabitan penduduk 10 kawasan di jajahan itu.
Katanya, bagi memastikan projek berkenaan dapat dikomersilkan, kawasan ternakan itu dikembangkan kepada lebih 30 kawasan sekali gus membolehkan jajahan itu menjadi pembekal utama bekalan berkenaan.
“Saya yakin mulai tahun depan, Jeli mampu menjadi pusat ternakan serta pengeluaran ayam kampung utama di negara ini apabila projek berkenaan dikomersilkan.
“Projek berkenaan sudah bermula membabitkan 10 kawasan saja dan akan dikembangkan ke lebih 30 kawasan menjelang tahun depan sekali gus menjadikan Jeli sebagai pusat bekalan ayam kampung untuk pengguna negeri ini, Pantai Timur dan seluruh negara,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli, di sini, semalam, Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Balah, Ab Aziz Derashid.
Mustapa yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata Jeli mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan projek pertanian berskala besar kini sedang diusahakan supaya ia boleh dikomersilkan berbanding kaedah tradisional sekarang.
Katanya, walaupun Jeli kini dikenal pasti sebagai pusat pengeluaran buah-buahan di negeri ini, namun projek ternakan diberikan keutamaan untuk dilaksanakan secara berskala besar memandangkan potensinya besar untuk memberi hasil lumayan kepada penduduknya.
“Selepas projek ayam kampung ini, ia akan diikuti dengan ternakan kambing serta lembu tahun depan sebelum dikembangkan kepada ternakan ikan air tawar dan buah-buahan,” katanya.
Beliau berkata, usaha sedang dilakukan ke arah menjadikan Jeli sebagai satu kawasan pertumbuhan baru bukan saja dalam konteks Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), malah sebagai pusat tumpuan penduduk di kawasan sempadan Thailand dan Perak.
Katanya, Jeli akan mempunyai sebuah kompleks Kuarantin Imigresen dan Kastam (CIQ) di Bukit Bunga dengan kos kira-kira RM45 juta serta jalan raya empat lorong yang dijangka membabitkan kos pembangunan hampir RM1 bilion.
“Kita akan jadikan Jeli sebagai model pembangunan serta model kerjasama membabitkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, yang mampu memberi banyak manfaat terutama kepada penduduknya sekali gus dipandang tinggi negeri lain,” katanya.