Penyelidik Malaysia Lakukan Kajian Madu Tualang Di Mekah

MEKAH, 13 Dis (Bernama) — Mampukah madu lebah Tualang meningkatkan daya keimunan jemaah haji daripada serangan penyakit pernafasan? Sesuaikah jemaah haji berjalan kaki dari Mekah ke Arafah untuk berwukuf dengan mengikut tradisi sunnah Rasulullah SAW?

Atau, bolehkah pergerakan jemaah haji dipantau dengan menggunakan Peranti Beridentiti Frekuensi Radio? Dan bolehkah dijimatkan penggunaan tenaga di bangunan penginapan jemaah haji serta bolehkah tenaga solar digunakan untuk sistem penyejukan khemah jemaah haji di Mina?

Itulah antara beberapa persoalan yang akan cuba dianalisis oleh sekumpulan 22 penyelidik Malaysia dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang kini berada di Mekah untuk menjalankan penyelidikan itu.

Ketua pasukan penyelidik berkenaan, Dr Zainal Abidin Sanusi memberitahu Bernama di sini bahawa ini merupakan kali kedua USM menghantar penyelidiknya selepas kali pertama pada tahun lepas dan tahun ini juga merupakan kali pertama Universiti Malaya menghantar empat penyelidik untuk menyertai misi penyelidikan itu.

Dr Zainal Abidin, yang juga Penyelaras Pusat Pakar Serantau Mengenai Pendidikan untuk Pembangunan Mampan, USM, Pulau Pinang berkata kajian yang dilakukan oleh pasukan itu meliputi empat bidang iaitu Perubatan, Mobiliti, Tenaga dan Pemantauan.

Kesemua penyelidikan itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Ummul Qura’ Mekah (UQU) yang mempunyai Institut Penyelidikan Haji, katanya selepas kumpulan penyelidik itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abd Mubin di sini.

Sementara itu, Prof Nor Hayati Othman yang mengetuai kajian mengenai jangkitan saluran pernafasan seperti batuk, selesema, sakit tekak dan demam yang sering dihidapi jemaah haji ketika di Tanah Suci pula berkata pasukannya akan mengkaji keberkesanan madu lebah Tualang dalam meningkatkan tahap keimunan jemaah haji terhadap jangkitan penyakit pernafasan berbanding pengambilan suntikan vaksin influenza.

Dalam taklimatnya pada pertemuan itu, beliau berkata mereka telah memilih tiga kumpulan jemaah haji dengan satu kumpulan diberi makan madu lebah Tualang, satu lagi diberi suntikan vaksin influenza manakala satu kumpulan lain, yang tidak diberi madu lebah ataupun suntikan vaksin, bertindak sebagai kumpulan kawalan.

Prof Nor Hayati, yang juga Dekan Plantar Sains Klinikal, Kampus Kesihatan, USM, Kubang Kerian, Kelantan berkata setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 250 orang jemaah haji yang dipilih daripada kalangan jemaah haji yang telah menghadiri Kursus Perdana Haji di Kota Baharu, Kelantan, sebelum ini.

Beliau berkata pasukannya menggunakan 250kg madu lebah Tualang asli yang dibekalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Kedah untuk kajian itu.

Sekumpulan penyelidik lain pula bercadang untuk mengkaji satu sistem yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga antara 10 hingga 20 peratus di bangunan tempat penginapan jemaah haji.

Pasukan itu juga mahu mencuba menggunakan tenaga solar untuk sistem penyejukan di khemah-khemah jemaah haji dan prototaip alat penyejukan menggunakan tenaga solar itu telah dibina dan berfungsi dengan baik serta efisien dan senyap. Kumpulan itu juga bercadang mengkaji bidang tenaga yang diperbaharui di sini.

Satu kajian lain oleh kumpulan penyelidik Malaysia itu mengenai mobiliti melibatkan cadangan mewujudkan model simulasi sistem keluar masuk jemaah haji di Masjidil Haram serta melakukan tawaf dan sa’ie.

Empat penyelidik dari Universiti Malaya itu pula mahu mengkaji cara untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan wajar atau tidaknya kembali mengamalkan tradisi sunnah Rasulullah SAW iaitu berjalan kaki dari Mekah ke Arafah sejauh 21.9km untuk melakukan ibadat wukuf.

Kumpulan itu juga bercadang untuk berjalan kaki dari Mekah ke Arafah pada 8 Zulhijjah (17 Disember) ini dan akan mengedarkan 1,500 borang soal selidik dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Turki, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kepada jemaah haji dari seluruh dunia untuk mengkaji kesesuaian sistem laluan pejalan kaki Mekah-Arafah-Muzdalifah-Mina.

4 thoughts on “Penyelidik Malaysia Lakukan Kajian Madu Tualang Di Mekah

  1. assalamulaikum.. saya telah melakukan ibadah haji pd tahun 1999 dengan berjalan kaki. saya dapat merasakan suatu keinsafan dan keni`matan dalam beribadah. saya sangat teruja dengan keadaan ketika itu. saya dan rombongan memang berazam untuk mengikut sunnah Rasulullah sedaya yang mungkin dan antara yang kami rancangkan ialah melakukan ibadah haji dengan berjalan kaki. Masya Allah, Tabarakallah.. Allah itu maha agong..ramainya manusia pada ketika itu.. saya rasakan seperti apa yang dikatakan perkumpulan di padang mahsyar.. lautan manusia berjalan menuju ketempat yang sama dengan berihram putih… masya allah… tiada langsung rasa letih… hilang keletihan dan digantikan dengan keni`matan yang tidak terhingga… Allah… bertalbiah.. berzikir.. ada pula yang mengulang hafazan al-Quran.. menambahkan lagi ni`mat ibadah… terasa diri ini terlalu kerdil di sisi Allah Rabb al-Jalil.. apa yang dapat saya perhatikan masyarakat dari luar terutamanya dari Turki, timur tengah, eropah dsb.. ramai di antara mereka berjalan kaki dan terdapat juga yang dalam lingkungan umur 60 thn ke atas… masya Allah… orang kita ada tapi boleh bilang bilangannya..
    apa yang saya nak katakan di sini rombongan kami sampai lebih awal berbanding dengan rombongan yang menaiki bas..
    saya rasa tidak dapat hendak ceritakan semuanya.. siapa yang tidak rasa dia pastinya tidak dapat menghayati keni`matannya.. rasailah ni`mat sunnah Rasulullah..

  2. salam,
    jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang madu, atau ingin membeli madu, sila lawati web saya.
    Saya menjual madu dengan harga yang murah. madu asli yang ori.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s