Berbudi Kepada Tanah Membuahkan Hasil Lumayan

TAMBUNAN, 20 Mac (Bernama) — Usaha Petrus Seing berbudi kepada tanah dengan mengusahakan kebun sayur-sayuran tanah tinggi di Kampung Sintuong-Tuong, kira-kira 40km dari sini ternyata membuahkan hasil lumayan.

Petani berusia 43 tahun, yang menanam sayur seperti lada besar atau lebih dikenali sebagai “capsicum” atau “lada buntat” di kalangan orang tempatan, tomato, kubis dan daun bawang, boleh tersenyum bangga kerana berjaya memperoleh pendapatan yang mencecah RM60,000 setahun.

Tanaman lada besar, yang ditanam di kawasan seluas setengah hektar di kebunnya mampu mengeluarkan hasil sehingga 15,000kg untuk setiap musim tuaian dan pulangan sehingga RM45,000, menjadi penyumbang utama pendapatannya.

“Lada besar mula mengeluarkan hasil ketika berumur antara tiga hingga empat bulan dan masih mampu mengeluarkan buah sehingga usianya lima bulan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui dikebunnya yang berada pada ketinggian 600 meter dari paras laut.

Tanaman tomato memberikan Petrus hasil jualan sehingga kira-kira RM6,000 untuk setiap musim tuaian dan kubis sehingga RM3,000 setiap tuaian.

Petrus menggunakan hasil jualan sayur-sayuran untuk membeli pelbagai aset termasuk 60 hektar tanah.

Petrus berharap pendapatannya akan bertambah lagi melalui bantuan baja subsidi dan khidmat nasihat yang diberikan kepadanya dan 10 keluarga penanam sayur di kampung itu.

Setiap dua minggu, katanya pegawai Pertanian Tambunan akan datang memberi ceramah dan nasihat berhubung penanaman sayur-sayuran dan panduan penggunaan baja dan racun serangga yang betul.

“Masalah yang saya hadapi sekarang ialah ketiadaan kenderaan sendiri untuk mengangkut keluar sayuran saya ke Kundasang atau Tambunan. Pada masa ini, saya terpaksa menyewa kenderaan dengan kadar RM300 untuk setiap perkhidmatan,” kata Petrus yang mengangkut sayurnya tiga kali seminggu ke Kundasang.

Mengimbas kembali bagaimana beliau bergiat dalam penanaman sayur-sayuran tanah tinggi, Petrus berkata ia bermula dengan membantu ibubapanya menanam sayur dan bekerja selama lima tahun dengan ibu saudaranya, yang juga penanam sayur-sayuran tanah tinggi.

“Dalam tempoh itulah, saya mempelajari kaedah menanam sayur jenis tanah tinggi,” kata Petrus, ayah kepada enam anak hasil perkongsian hidupnya bersama Halda Yokin. Lima anaknya masih bersekolah.

Petrus berkata beliau nekad berhenti sekolah semasa di Tingkatan Dua kerana enggan berpisah dengan ibubapanya untuk tinggal dengan saudara bagi membolehkannya bersekolah malah tidak peduli dengan nasihat ibubapanya.

Walaupun pernah menyesali tindakannya berhenti sekolah apabila melihat ramai rakan sekelasnya berjaya dalam pelajaran dan menjawat jawatan penting dalam kerajaan dan swasta, Petrus berusaha keras dan menanam sayur sendiri.

Usahanya kini berhasil malah Petrus turut mengukir kejayaan tersendiri sebagai pemimpin masyarakat kerana beliau juga Ketua Kampung Sintuong-Tuong.

Siswazah Peroleh Pendapatan RM40,000 Hasil Tanaman Cili

PASIR PUTEH, 26 April (Bernama) — Pengorbanan seorang siswazah yang sanggup berhenti kerja dengan gaji RM1,500 sebulan semata-mata ingin menceburi sektor pertanian tidak sia-sia apabila tanaman yang diusahakannya mula mengeluarkan hasil yang dijangka mencecah RM40,000.

Alimin Muhamed, 24, lepasan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta, berkata tanaman cilinya sebanyak 3,000 pokok yang diusahakan secara projek perintis Fertigasi bermula 18 Januari lepas kini mula memperoleh hasil peringkat pertama sebanyak RM3,000.

“Tidak mustahil dalam tempoh tiga bulan lagi saya akan mendapat hasil sebanyak RM40,000 sebaik sehaja kesemua cili habis dipetik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kuala Air Jernih, Bukit Awang di sini, Khamis.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang yang menaja tanaman itu telah membeli hasilnya dengan harga RM2.40 sen sekilogram bagi keperluan Syarikat Nestle Bhd untuk mengeluarkan sos cili dan tomato bagi memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Alimin berkata masalahnya sekarang beliau tidak mampu memungut tanaman berkenaan dua kali seminggu sebagaimana yang dikehendaki PPK secara bersendirian kerana pokoknya berbuah terlalu lebat dan di luar jangkaan.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau terpaksa mengupah penduduk kampung memetiknya dengan kadar upah 30 sen sekilogram.

Alimin berkata beliau juga terpaksa mengikat kebanyakan pokok itu pada batang anak kayu bagi mengelakkan tanaman itu tumbang akibat ditiup angin.

Dengan kejayaan tanaman itu, beliau bercadang menambah tanaman itu sehingga mencapai 10,000 pokok pada musim akan datang.

“Saya mahu melipatgandakan pendapatan dalam usaha saya ini bagi memberi galakan kepada penduduk kampung mengenai potensi sektor pertanian sekiranya diusahakan mengunakan teknologi moden,” katanya.

Beliau berkata melalui sistem fertigasi, pokok cili yang ditanam dalam polibeg ternyata memberi hasil yang cukup lumayan berbanding tanaman mengikut kaedah biasa.

Penyelidik Malaysia Lakukan Kajian Madu Tualang Di Mekah

MEKAH, 13 Dis (Bernama) — Mampukah madu lebah Tualang meningkatkan daya keimunan jemaah haji daripada serangan penyakit pernafasan? Sesuaikah jemaah haji berjalan kaki dari Mekah ke Arafah untuk berwukuf dengan mengikut tradisi sunnah Rasulullah SAW?

Atau, bolehkah pergerakan jemaah haji dipantau dengan menggunakan Peranti Beridentiti Frekuensi Radio? Dan bolehkah dijimatkan penggunaan tenaga di bangunan penginapan jemaah haji serta bolehkah tenaga solar digunakan untuk sistem penyejukan khemah jemaah haji di Mina?

Itulah antara beberapa persoalan yang akan cuba dianalisis oleh sekumpulan 22 penyelidik Malaysia dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang kini berada di Mekah untuk menjalankan penyelidikan itu.

Ketua pasukan penyelidik berkenaan, Dr Zainal Abidin Sanusi memberitahu Bernama di sini bahawa ini merupakan kali kedua USM menghantar penyelidiknya selepas kali pertama pada tahun lepas dan tahun ini juga merupakan kali pertama Universiti Malaya menghantar empat penyelidik untuk menyertai misi penyelidikan itu.

Dr Zainal Abidin, yang juga Penyelaras Pusat Pakar Serantau Mengenai Pendidikan untuk Pembangunan Mampan, USM, Pulau Pinang berkata kajian yang dilakukan oleh pasukan itu meliputi empat bidang iaitu Perubatan, Mobiliti, Tenaga dan Pemantauan.

Kesemua penyelidikan itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Ummul Qura’ Mekah (UQU) yang mempunyai Institut Penyelidikan Haji, katanya selepas kumpulan penyelidik itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abd Mubin di sini.

Sementara itu, Prof Nor Hayati Othman yang mengetuai kajian mengenai jangkitan saluran pernafasan seperti batuk, selesema, sakit tekak dan demam yang sering dihidapi jemaah haji ketika di Tanah Suci pula berkata pasukannya akan mengkaji keberkesanan madu lebah Tualang dalam meningkatkan tahap keimunan jemaah haji terhadap jangkitan penyakit pernafasan berbanding pengambilan suntikan vaksin influenza.

Dalam taklimatnya pada pertemuan itu, beliau berkata mereka telah memilih tiga kumpulan jemaah haji dengan satu kumpulan diberi makan madu lebah Tualang, satu lagi diberi suntikan vaksin influenza manakala satu kumpulan lain, yang tidak diberi madu lebah ataupun suntikan vaksin, bertindak sebagai kumpulan kawalan.

Prof Nor Hayati, yang juga Dekan Plantar Sains Klinikal, Kampus Kesihatan, USM, Kubang Kerian, Kelantan berkata setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 250 orang jemaah haji yang dipilih daripada kalangan jemaah haji yang telah menghadiri Kursus Perdana Haji di Kota Baharu, Kelantan, sebelum ini.

Beliau berkata pasukannya menggunakan 250kg madu lebah Tualang asli yang dibekalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Kedah untuk kajian itu.

Sekumpulan penyelidik lain pula bercadang untuk mengkaji satu sistem yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga antara 10 hingga 20 peratus di bangunan tempat penginapan jemaah haji.

Pasukan itu juga mahu mencuba menggunakan tenaga solar untuk sistem penyejukan di khemah-khemah jemaah haji dan prototaip alat penyejukan menggunakan tenaga solar itu telah dibina dan berfungsi dengan baik serta efisien dan senyap. Kumpulan itu juga bercadang mengkaji bidang tenaga yang diperbaharui di sini.

Satu kajian lain oleh kumpulan penyelidik Malaysia itu mengenai mobiliti melibatkan cadangan mewujudkan model simulasi sistem keluar masuk jemaah haji di Masjidil Haram serta melakukan tawaf dan sa’ie.

Empat penyelidik dari Universiti Malaya itu pula mahu mengkaji cara untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan wajar atau tidaknya kembali mengamalkan tradisi sunnah Rasulullah SAW iaitu berjalan kaki dari Mekah ke Arafah sejauh 21.9km untuk melakukan ibadat wukuf.

Kumpulan itu juga bercadang untuk berjalan kaki dari Mekah ke Arafah pada 8 Zulhijjah (17 Disember) ini dan akan mengedarkan 1,500 borang soal selidik dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Turki, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kepada jemaah haji dari seluruh dunia untuk mengkaji kesesuaian sistem laluan pejalan kaki Mekah-Arafah-Muzdalifah-Mina.

Fama Komersilkan Bubur Pedas Sebagai Jenama Unik Sarawak

KUCHING, 9 Sept (Bernama) — Sarawak mahu memperkenal dan mengkomersilkan makanan Melayu Sarawak, Bubur Pedas sebagai satu makanan istimewa negeri itu dalam masa terdekat, kata Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Sarawak Isa Hamzah hari ini.

Beliau berkata Bubur Pedas, juadah lazat yang menjadi kegemaran umat Islam semasa berbuka puasa di Sarawak mendapat sambutan menggalakkan semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, Selangor bulan lepas.

“Bubur Pedas mempunyai potensi untuk dikomersilkan sebagai makanan istimewa Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyampaian cek kepada Datuk Bandar Kuching Utara, Mohammad Atei Abang Medaan bagi projek Bubur Pedas oleh para penaja.

Beliau berkata Fama dan Pembangunan Ekonomi dan Pertanian Wanita (Weda), di bawah Jabatan Pertanian negeri sedang bekerjasama untuk membangun, mempromosi dan mengkomersilkan Bubur Pedas di dalam dan luar negara.

Pada peringkat awal Weda akan mempromosikan Bubur Pedas di pasaran Semenanjung sebelum menerokai pasaran di luar negara, katanya.
“Pada masa ini, Weda sedang mempelbagaikan bumbu Bubur Pedas manakala Fama akan menganjurkan strategi pemasaran dan mengadakan program inovatif bagi mempromosikan makanan ini menerusi aktiviti pemasarannya,” katanya.
Isa berkata menerusi ‘Program Kejiranan Mesra Projek Ramadan Bubur Pedas” yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuching Utara dan ditaja bersama Fama, Celcom dan Petronas akan membantu mengenal pasti Bubur Pedas terbaik untuk dijadikan jenama unik Sarawak.
“Bubur Pedas mempunyai rasa yang lebih kurang sama. Fama kini mencari Bubur Pedas yang terbaik dan paling ekonomi untuk dikomersilkan,” katanya.
Terdahulu, Mohammad Atei berkata sejumlah 18 kampung yang menjadi sebahagian “Kampung Kejiranan Mesra” akan menyertai projek komuniti manakala lebih 1,000 paket Bubur Pedas akan diedarkan secara percuma kepada orang ramai di Bazar Ramadan Satok Sabtu ini.
— BERNAMA

Kenaf Pengganti Ideal Tembakau

KOTA BAHARU, 3 Okt (Bernama) — Kenaf akan menjadi tanaman alternatif menggantikan tembakau memandangkan lebih 5,000 penanam tembakau di negara ini dijangka terjejas teruk apabila Kawalan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dikuatkuasa menjelang 2010.

Di bawah AFTA, akan berlaku penurunan harga dan pengurangan duti import tembakau.

Kenaf ialah sejenis pokok tropika yang menghasilkan fiber menyerupai jut dan kebiasaannya digunakan untuk menghasilkan tali dan tekstil.

Kenaf boleh dituai hasilnya selepas 120 hari dan kitaran penanamannya ialah tiga kali setahun.

ALTERNATIF TEMBAKAU

Pengerusi Lembaga Tembakau Negara, Datuk Mohd Zain Ismail berkata, petani yang mempelopori projek tanaman kenaf di Kelantan membuktikan bahawa tanaman tersebut efektif untuk menggantikan tembakau yang kurang kompetitif dalam industri perladangan.

Beliau berkata, Malaysia akan mengeksport 50,000 tan metrik kenaf setahun dengan nilai RM15 bilion mulai tahun depan.

Ini akan menjadikan kenaf sebagai komoditi utama negara menjelang 2010, katanya dan menambah bahawa Korea akan menjadi negara pengimport pertama dari Malaysia yang berjumlah 50,000 tan metrik setahun.

FIBER

Beliau berkata, peringkat pertama penanaman, sebanyak 1,000 hektar kenaf akan dilaksanakan termasuk 700 hektar di Kelantan.

Sementara itu, Ketua Unit Kenaf Lembaga Tembakau Negara (LTN) Kelantan, Aizwan Azmi berkata, dengan harga kenaf semasa RM500 setan metrik, penanam kenaf mampu memperoleh pendapatan lumayan dengan hasil 15 tan metrik sehektar yang mampu membebaskan petani dari belenggu kemiskinan.

Katanya, hasil peningkatan projek kenaf, dua kilang memproses dibina sebagai memenuhi keperluan iaitu di Air Tawar, Pasir Puteh dan di Beris Lalang, Bachok yang membabitkan peserta projek Diraja Kelantan.

“Kilang yang memuatkan mesin bernilai RM600,000 hasil kepakaran pegawai LTN menerusi teknik inovatif berjaya memproses sepuluh tan metrik kenaf sehari dalam masa lapan jam bekerja.

“Hasil kenaf yang diproses di Tok Bali dan Beris lalang ini dieksport ke Jerman dan Korea untuk keperluan pembuatan automotif, pembuatan perabot dan alat elektrik,” katanya.

Menurutnya, apa yang pasti penanam kenaf mula yakin dengan prospek tanaman tersebut dan peningkatan harga dari RM300 kepada RM500 setan metrik memberi jaminan bahawa pendapatan petani akan meningkat.

Tambahan lagi, katanya, Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang membabitkan pelaburan RM112 billion dalam tempoh 12 tahun, yang turut menjadikan tanaman kenaf sebagai satu daripada sektor pertanian yang akan dibangunkan, dilihat mampu membantu dalam menangani ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan.

Tapai Marzuki Sudah Sampai Ke Montreal

KULIM, 5 Okt (Bernama) — Tanpa beliau sendiri sedari, tapai pulutnya pernah di bawa hingga ke Montreal, Kanada.

“Itu pun saya dapat tahu dari cakap-cakap di kalangan anggota polis. Mereka beritahu saya, tapai buatan saya pernah dibawa bersama Kontinjen Sukan Polis Malaysia semasa menyertai Sukan Polis Komanwel di Kanada beberapa tahun lalu,”, kata Marzuki Abdul Rahman, 57.

Pesara kerajaan ini berpengalaman membuat tapai sejak lebih 20 tahun lepas melalui syarikatnya Warisma Jitu Enterprise di Kampung Terat, Padang Serai dekat sini.

Bermula dengan hanya dua kilogram beras pulut, Marzuki mengambil masa hampir tiga tahun untuk merekacipta pembikinan tapai moden dengan menggunakan bungkusan plastik.

“Berasakan idea daripada bungkusan daun pisang saya cuba menggunakan bungkusan plastik yang kelihatan lebih bersih dan kemas”, katanya kepada Bernama.

Sejak menggunakan bungkusan plastik, tapainya mula mendapat perhatian umum sehingga kini mencecah pengeluaran antara 8,000 hingga 10,000 bungkus sebulan berbanding 1,000 sebelum ini.

Tapainya dijual dengan harga 60 sen sebungkus seberat 60 gram.

Selain sedap, tapainya juga tahan disimpan dalam peti sejuk antara dua minggu hingga sebulan.

Mengenai pasaran, beliau yang mengusahakannya dengan dibantu isterinya Fuziyah Hashim, 56, dua anaknya serta seorang pembantu, berkata ia turut bergantung kepada permintaan semasa musim kenduri kahwin.

“Musim kenduri adalah waktu puncak kepada permintaan tapai saya,” katanya.

Bagi menghargai kegigihannya menghasilkan produk itu, Pejabat Pertanian Daerah Kulim memberi bantuan RM35,000 untuknya membina bengkel tahun lepas.

Envo-Cyper: Racun serangga berasas bahan sawit pertama di dunia

Bagi dapatkan kualiti produk pertanian lebih baik bahan agrokimia perlu bagi mengekalkan penghasilan bahan makanan dan serat bermutu tinggi

Bahagian Kemajuan Teknologi Oleokimia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia

KERAJAAN Malaysia menekankan perlunya revolusi dalam aktiviti pertanian negara dengan cara penggunaan teknologi baru dan ‘ICT’ bagi memperoleh hasil dan kualiti produk pertanian yang lebih baik. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahan agrokimia seperti racun serangga dapat meningkatkan hasil bahan pertanian dan perladangan antara 20 peratus hingga 50 peratus.

Oleh itu, bahan agrokimia adalah amat perlu bagi mengekalkan penghasilan bahan makanan dan serat yang bermutu tinggi.

Anggaran 20 peratus dari pasaran racun makhluk perosak di Malaysia adalah jenis racun serangga, di mana hampir 50 peratus daripada jumlah itu adalah racun serangga berasaskan bahan pelarut dari petroleum, juga dipanggil racun serangga pekat teremulsi (EC).

Bagaimanapun, pelarut terbitan petroleum menyebabkan masalah kesihatan seperti kegatalan dan radang kulit dan mata kepada pekerja di kilang pengeluaran bahan agrokimia dan di ladang pertanian (rajah 1).

Ramai pekerja di sektor pertanian pada masa kini lebih peka kepada keselamatan dan keselesaan mereka di dalam mengendalikan bahan kimia pertanian seperti penggunaan racun serangga berasaskan emulsi minyak dalam air (EW) berbanding jenis pekat teremulsi (EC). Kajian telah menunjukkan formulasi jenis EW mempunyai banyak kelebihan berbanding formulasi jenis EC seperti:

  • Formulasi berasaskan air, jadi kurang masalah kesihatan kepada pekerja.
  • Tiada masalah kelayuan (fitotoksik) kepada daun atau pokok tanaman.
  • Produk yang lebih murah atau setanding dengan produk EC.
  • Bahan oleokimia terbitan minyak sawit dalam produk EW pula mempunyai ciri-ciri mesra alam, mudah terurai, tidak mudah terbakar, dan kurang menyebabkan masalah kesihatan kepada pengguna.

Pada 2000, Dr Ismail Ab Raman, Pegawai Penyelidik Kanan dari Bahagian Kemajuan Teknologi Olekimia, MPOB mengambil inisiatif menjalankan kajian penggunaan bahan sawit dalam penghasilan racun serangga emulsi minyak dalam air (EW) (rajah 2). Projek ini mendapat sokongan penuh dari Syarikat Pengeluar Tempatan bahan oleokimia terbitan minyak sawit.

Ujian bioefikasi peringkat makmal ke atas serangga perosak tropika menunjukkan racun serangga EW menunjukkan prestasi setanding dengan racun serangga komersial EC bagi mengawal serangga perosak itu.

Kerjasama antara MPOB – Imaspro Resources Sdn Bhd

Teknologi penghasilan racun serangga EW dipamerkan di Pameran Pemindahan Teknologi, MPOB pada 2004 dan mendapat perhatian daripada beberapa syarikat pengeluar bahan agrokimia tempatan.

Pada 2005, Syarikat Imaspro Resources Sdn Bhd membuat beberapa perbincangan untuk proses pemindahan teknologi ini. Perjanjian ditandatangani di Seminar Pemindahan Teknologi MPOB, 27 Jun 2006 bagi Pemindahan Teknologi Produk `Palm EW-Cypermethrin 5.5 %’ (skala makmal) kepada Imaspro Resources Sdn Bhd dan di serahkan kepada anak Syarikatnya, Imaspro Biotech Sdn Bhd untuk tujuan pengkomersilan.

Daripada perjanjian itu, MPOB-Imaspro Biotech Sdn Bhd bersetuju menjalankan aktiviti penyelidikan lanjutan seperti:

  • Menjalankan kajian ladang penggunaan ‘Palm EW-Cypermethrin 5.5%’ bagi menentukan keberkesanan produk EW dalam mengawal serangga perosak seperti kumbang badak dan kesan fitotok-sisitinya ke atas pokok kelapa sawit muda (rajah 3).
  • Menjana perubahan proses teknologi produk hak milik MPOB (skala makmal) kepada skala ‘pilot plant’ dan mengoptimakan parameter-parameter proses pengeluaran dan kawalan mutu.
  • Mengumpul dan menyediakan data pendaftaran produk itu dengan Lembaga Makhluk Perosak Malaysia.
  • Mencipta atau mengadaptasi dan melabur bagi pembuatan reaktor pemprosesan untuk pengeluaran skala komersil, dan seterusnya proses memasarkan produk tersebut.

Kajian ladang selama lapan bulan mendapati racun serangga EW-cypermethrin berasaskan bahan oleokimia terbitan minyak sawit menunjukkan kesan setanding atau lebih baik berbanding racun serangga komersial di dalam mengawal kerosakan pokok kelapa sawit oleh kumbang badak dan serangga perosak lain.

Produk racun serangga EW-cypermethrin 5.5 %(w/w) didaftarkan di Lembaga Racun Makhluk Perosak Malaysia oleh Imaspro Biotech Sdn Bhd dan diberi nama komersial sebagai ‘ENVO-CYPER’

Produk ini dilancarkan secara rasmi sempena hari Seminar Pemindahan Teknologi MPOB pada 18 Jun 2007. Syarikat Imaspro Biotech Sdn Bhd mensasarkan sebanyak 20 peratus daripada pasaran racun serangga jenis cypermethrin di Malaysia bagi tahun pertama pengeluaran produk ENVO-CYPER (StarBiz, 20 Jun 2007).

Semangat kental graduan



Zawyah (kanan) bersama Zuraini yang menanam kacang bendi, nanas dan serai berhasrat mengembangkan kegiatan dengan menternak ikan air tawar.

Zawyah, Zuraini lali sindiran, yakin hasil pertanian mampu atasi gaji eksekutif

SEGULUNG ijazah kini bukanlah lesen mudah untuk mendapatkan pekerjaan. Pada zaman yang kian mencabar ini siswazah perlu bijak mencipta kerjayanya sendiri dan tidak harus mengharap kerja makan gaji dengan kerajaan atau swasta.

Sikap siswazah yang masih lagi mengharapkan kerja makan gaji menyebabkan ramai di antara mereka yang masih menganggur. Ketika itu keadaan lebih merumitkan, lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan graduan baru menamatkan pengajian.

Sehubungan itu, mereka perlu bijak merebut peluang mengambil inisiatif sendiri dengan menceburi bidang pertanian, perniagaan atau keusahawanan yang berpotensi luas untuk diteroka.

Negara kita yang subur dan iklimnya yang amat sesuai untuk pelbagai jenis tanaman menyediakan peluang yang baik kepada sesiapa saja, terutama siswazah jika mereka berminat dengan bidang pertanian.

Mungkin ada segelintir mereka yang kurang berminat dengan aktiviti pertanian kerana pekerjaan itu tidak glamor apabila terpaksa berjemur di bawah panas terik matahari, bergelumang dengan tanah dan berpeluh serta pakaian yang kotor.

Namun bagi dua graduan wanita di Pokok Sena, Kedah, mereka sanggup meninggalkan jawatan eksekutif di sebuah firma hartanah di Kuala Lumpur kerana minat yang tinggi dalam kegiatan pertanian.

Mereka juga tidak mahu terkongkong dengan kerja makan gaji, sebaliknya mahu berdikari dan mengusahakan tanah yang terbiar sekian lama di sekitar kampung mereka.

Zawyah Kameh, dari Kampung Mata Air dan rakannya, Zuraini Taib, dari Kampung Panchur percaya aktiviti pertanian secara komersial mampu memberi pulangan lumayan dan mereka memulakannya hampir setahun lalu.

Kedua-dua mereka yang berusia 30 tahun dan sudah berkawan sejak zaman persekolahan, memulakan kegiatan itu dengan tanaman nanas seluas 1.5 hektar membabitkan sebanyak 35,000 pokok di Kampung Mata Air, Pokok Sena.

Zawyah berkata, memang pada mulanya masyarakat memandang serong dengan keupayaan wanita sepertinya tetapi bagi beliau ia dilihat sebagai cabaran yang perlu dibuktikan dengan kejayaan.

“Sejak hari pertama kami memegang cangkul pelbagai sindiran diterima. Ada yang mengatakan ia tidak sesuai dengan kami kerana berkelulusan universiti dan ada pula yang mempertikaikan kemampuan wanita untuk mengusahakan kebun yang memerlukan tenaga dan tahan berpanas serta hujan.

“Semua itu kami anggap sebagai dugaan dan cabaran untuk berjaya apatah lagi tanaman nanas memerlukan kesabaran kerana daunnya yang berduri,” kata pemegang ijazah Pengajian Alam Sekitar dari Universiti Malaya, ketika ditemui baru-baru ini.

Mereka sama-sama mengumpul modal RM7,000 untuk memulakan usaha itu.

Beliau berkata, segala penat lelah yang ditaburkan selama ini hampir berbalas apabila nanas moris yang ditanam di atas tanah yang disewa daripada penduduk kampung sudah mula dituai dan amat berterima kasih kepada pihak berkuasa, termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang banyak membantu.

Zuraini pula berkata, disebabkan tanaman nanas itu lambat memberikan hasil, mereka terpaksa memajak kebun getah penduduk kampung untuk ditoreh pada sebelah pagi bagi menampung perbelanjaan harian.

“Kami memang berasal dari kampung dan tidak kekok menoreh getah.

“Wang hasil getah itu juga kami gunakan untuk membeli baja tambahan untuk memastikan pokok nanas subur dan buahnya berkualiti,” katanya yang berkelulusan ijazah Pentadbiran Perniagaan dan Universiti Utara Malaysia, Sintok.

Beliau berkata, mereka pernah mengikuti kursus Skim Usahawan Tani Komersial (SUTK) anjuran Agro Bank yang dijadikan syarat untuk mendapatkan pinjaman, tetapi permohonan pinjaman mereka ditolak.

“Ia tidak mematahkan semangat kami dan kami akan buktikan kepada pihak bank yang kami mampu mengusahakannya sendiri walaupun terpaksa meminjam daripada ahli keluarga.

“Mungkin kebanyakan petani lain juga berdepan masalah sama dan ia memerlukan perhatian pihak tertentu,” katanya yang dibantu dua pekerja.

Menyedari sektor itu menjanjikan potensi yang baik, mereka mempelbagaikan tanaman, termasuk kacang bendi seluas 0.5 hektar serta rozel dan serai masing-masing 2.5 hektar.

Kegigihan dan semangat kental graduan wanita itu membuka mata Jabatan Pertanian Daerah Pokok Sena yang memilih untuk menempatkan mereka di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan saiz tanah 5.83 hektar.

Mereka bercadang mengembangkan kegiatan itu dengan ternakan ikan air tawar tidak lama lagi.

Zuraini yakin, apabila semua tanaman dan ternakan ikannya mengeluarkan hasil nanti, pendapatan mereka mampu mengatasi gaji seorang eksekutif di pejabat berhawa dingin.

Mempelbagaikan produk nanas

PONTIAN 26 Sept. – Pengusaha nanas yang juga pengurus Syarikat Pine Food Enteprise, Sadikon Sadiman, 55, memulakan perniagaan nanas dengan mencambahkan benih nanas di tanah seluas 1.2 hektar untuk dijual kepada petani atau peladang.

Namun tidak lama kemudian, hatinya terdetik untuk meluaskan perniagaannya dengan menghasilkan produk berasaskan nanas keluaran syarikatnya sendiri.

Berbekalkan keazaman yang tinggi, Sadikon telah mengikuti kursus selama tiga hari di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor.

Beliau juga mengikuti kursus jangka pendek yang dianjurkan oleh Lembaga Nanas Malaysia untuk memantapkan ilmu yang ada.

“Mula buat benih sahaja tapi bila tengok boleh dikembangkan lagi tak salah saya mencuba. Boleh cari pendapatan lebih,” katanya yang ditemui di bengkelnya di Pekan Nanas di sini baru-baru ini.

Katanya, berbekalkan modal yang dikumpul secara sedikit demi sedikit dia kini mempunyai kira-kira 6.07 hektar ladang tanaman nanas yang digunakan untuk menghasilkan beberapa produk yang bernaung di bawah jenama, Josa.

Sadikon memulakan perniagaannya dengan menghasilkan sos cili nanas yang resipinya diambil daripada pihak MARDI.

Bagaimanapun demi mencari identiti sendiri, beliau dan isterinya Zarhani Daud, 55, berusaha mengadun segala resipi MARDI dengan resipinya sendiri.

“Percubaan pertama tidak berapa berjaya kerana saya mendapat pelbagai maklum balas daripada pelanggan yang menyatakan bahawa sos sedikit pedas.

“Setelah beberapa kali percubaan akhirnya sos keluaran syarikat saya mendapat tempat di hati pelanggan. Maklum balas yang saya terima, rata-rata suka dengan rasanya,” katanya.

Syarikatnya juga turut menghasilkan jus nanas dan jem nanas yang boleh di dapati di bazar sekitar Johor Bahru.

Serunding tradisi rai tetamu

Wan Samsiah Wan Mohd. Nor bersama suaminya, Nik Mohd. Zaid Ismail membungkus serunding daging di rumahnya di Kampung Bendeng Pulau Palekbang, Tumpat, baru- baru ini – Gambar ROSNI MASRI


KOTA BHARU 30 Sept. – Jika ketupat menjadi suatu kemestian dalam tradisi meraikan tetamu dalam sambutan hari raya, mencicahnya dengan serunding atau lebih dikenali sebagai sambal daging di negeri ini pastinya menambahkan keenakan rasa.

Ia juga membantu menambah selera makan nasi yang dihidangkan tanpa perlu banyak lauk pauk pada waktu bersahur sepanjang Ramadan dan boleh disimpan agak lama tanpa bahan pengawet, khusus sebagai bekalan jika berada di perantauan.

Serunding yang lazim mendapat perhatian ramai menjelang musim perayaan diperbuat daripada daging lembu, ayam atau ikan enak dimakan dengan nasi atau ketupat di pagi raya merupakan makanan tradisi masyarakat Melayu.

Namun, serunding kini bukan lagi makanan berasaskan selera kaum atau batas negara tertentu kerana ia mampu menjadi kegemaran semua dan sehubungan itu, potensinya cukup besar untuk dikomersialkan.

Berdasarkan potensi yang baik, Jabatan Pertanian dengan bantuan Kemajuan Lembaga Pertanian Kemubu (KADA) turut menggalakkan penduduk kampung di sekitar Tumpat melibatkan diri dalam pembuatan serunding.

Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa buah kampung di Tumpat seperti kampung Laut mendapati lebih 50 orang penduduk mengusahakan produk tersebut kerana mendapat permintaan tinggi dari luar negeri ini.

Kebanyakan mereka masih pada tahap perusahaan pinggir rumah dengan mendirikan bangsal untuk memasak serunding dengan bantuan tenaga ahli keluarga sendiri.

Warisan Kampung Laut Enterprise, syarikat yang diusahakan oleh Wan Samsiah Wan Mohd. Nor, 56, dan suami Nik Mohd. Zaid Mohd. Ismail, 63, antara pengusaha serunding.

Isteri kepada bekas tentera yang pulang ke kampung halaman selepas suami pencen lebih banyak menghabiskan masa sebelum ini di luar Kelantan termasuk Sarawak selama tujuh tahun.

Namun, resipi turun temurun membuat serunding mengikatnya untuk kembali ke daerah kelahiran dan mempraktikkan ilmu yang ada.

Aktif dalam Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) antara faktor yang mendorong Wan Shamsiah menceburi bidang membuat serunding.

Di bawah jenama Zaniz 3, singkatan nama tiga anak-anaknya, Wan Shamsiah mengaku kerja-kerja membuat serunding agak leceh dan memerlukan kemahiran untuk mengekalkan rasanya namun seperti bidalan, alah bisa tegal biasa.

‘‘Selepas tiga tahun Kak Wan lebih selesa dengan perniagaan ini, namun tetap meluangkan masa menyertai kursus-kursus berkaitan seperti penjenamaan dan pembungkusan di bawah bimbingan KADA,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat.

Katanya lagi, kedatangan bulan puasa dan hari raya melonjakkan pendapatan kerana mendapat permintaan berganda daripada para pelanggannya yang berada di seluruh negara.

‘‘Di hari-hari biasa, Kak Wan hanya memasak 15 kilogram serunding daging, tetapi menjelang musim perayaan ini, sehari Kak Wan memerlukan 60 kilogram daging mengikut permintaan pelanggan, daging lembu, ayam atau ikan,” katanya.

Serunding dagingnya dijual dengan harga borong RM30, ayam RM40 dan ikan RM24 bagi tiap sekilogram.

Katanya lagi, pendapatan bulanan mencecah RM10,000 sebulan, berbanding dengan hampir RM4,000 sebulan sebelum ini.

Dibantu tiga pekerja yang merupakan penduduk tempatan, serunding keluarannya agak berbeza dengan keluaran tempatan yang lain dengan mengurangkan rasa manis kerana memenuhi cita rasa pelanggan.

‘‘Serunding Kak Wan kurang manis dan kekal lembab supaya rasa rempah ratus yang menyerap ke dalam daging terasa bila dikunyah.

‘Jika dibungkus secara vakum, serunding boleh tahan sehingga setahun dan pelanggan Kak Wan rata-rata membelinya untuk dibekalkan kepada anak-anak dan saudara mara yang menuntut di luar negara,” ujarnya.

Ditanya apakah petua yang menyebabkan serundingnya berbau harum dan segar, beliau memberitahu, ketumbar digoreng dahulu supaya berbau wangi dan memilih daging segar tanpa lemak.

‘‘Pemilihan bahan mentah yang lain juga perlu dijaga seperti mendapatkan bekalan santan segar dan ditambah dengan daun limau purut untuk menghilangkan bau daging.

‘‘Kemahiran mengendalikan nyalaan api juga penting supaya serunding tidak hangus atau bertukar rasa,” ujar ibu kepada dua anak ini.

Pemasaran serunding turut dibantu oleh anak-anaknya yang menjadikan serunding sebagai hamper oleh syarikat-syarikat korporat dalam bekas yang moden dan menarik.

Beliau yang gemar bekerja berkata, rugi sekiranya kursus yang dianjurkan oleh jabatan tertentu diabaikan.

‘‘Peluang bumiputera untuk mempelajari pelbagai ilmu untuk tingkatkan mutu dan hasil pengeluaran melalui kursus wajar disertai kerana kepandaian yang diperoleh dapat dimanfaatkan,” katanya.

Wan Shamsiah turut mengeluarkan produk sos rojak dan keropok, garam dan kunyit segera, cuka, minyak dan sabun kelapa dara yang diusahakan dari rumah.