MELAKA 2 Okt. – Penggunaan teknologi mikro-organisme berkesan (EM) di kalangan penternak di negeri ini masih belum meluas walaupun ia telah terbukti memberikan banyak kesan positif kepada penternak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, walaupun terdapat penternak yang telah menggunakannya tetapi ia masih dalam skala yang kecil.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk mewajibkan penggunaan teknologi EM di kalangan penternak di seluruh Melaka seperti yang dilaksanakan di negeri Johor sejak tiga tahun lalu.
”Kebanyakan pengusaha enggan menggunakan EM secara sukarela kerana beranggapan ia akan menambahkan kos operasi dan mengakibatkan kerugian sedangkan ia adalah sebaliknya.
”Sebab itulah kita akan wajibkan teknologi EM yang menjadi penyelesaian terbaik kepada masalah pencemaran bau ternakan yang memberi manfaat kepada penternak, alam sekitar dan masyarakat awam,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Hidhir, teknologi EM tidak mengandungi bahan kimia dan selain selamat serta mesra alam, ia juga berkesan digunakan dalam semua projek penternakan, pertanian dan perikanan.
”Ia selamat digunakan sama ada melalui pemberian makanan dan minuman ternakan, semburan pada kawasan pengeluaran termasuk longkang dan lantai reban atau kandang mahupun sekiranya terkena kepada manusia.
”EM juga boleh digunakan untuk memproses najis ternakan menjadi baja kompos atau merawat kolam kumbahan di ladang seperti yang pernah digunakan untuk mengurangkan pencemaran bau di Sungai Melaka,” katanya.
Mengulas agar pelaksanaannya memberi kesan, Mohd. Hidhir berkata, antara langkah yang dicadangkan ialah melantik Institut Bioteknologi Melaka (IBM) sebagai badan induk yang mengawal selia perjalanan program EM di setiap agensi di negeri Melaka.
”IBM juga akan diminta supaya dapat mengeluarkan produk EM dengan satu standard kualiti yang dapat diguna pakai oleh semua pengusaha ternakan dan pertanian selain mengadakan usaha sama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan universiti tempatan yang telah berupaya mengeluarkan EM.
”Jabatan Veterinar, Pertanian dan Perikanan negeri Melaka pula akan memantau dan menyelia penggunaan EM di kalangan penternak termasuk menyebarkan maklumat, memberi khidmat nasihat dan memberi latihan kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, sebagai permulaan keutamaan pelaksanaan EM akan dikuatkuasakan ke atas ladang-ladang ternakan yang menimbulkan gangguan kepada orang awam sebelum diperluas kepada semua ladang ternakan.