KUALA SELANGOR, 28 Mei (Bernama) — Seramai 90 peserta yang berdaftar di bawah Program Ladang Kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di tujuh daerah di Negeri Selangor bersyukur kerana tanaman yang diusahakan membuahkan hasil lumayan kepada mereka.
Tujuh daerah itu ialah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Ulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor yang melibatkan keluasan sebanyak 140.4 hektar yang ditanami dengan pelbagai jenis tanaman.
Salah seorang peserta, Abdul Jamal Sarip, 45, berkata beliau menyertai Projek Kelompok Tembikai Kampung Sungai Yu, di sini, di bawah program berkenaan pada 2005 setelah mengetahui FAMA Negeri Selangor menerima tempahan buah tembikai sebanyak 3 metrik tan/hari daripada PKPS Agro iaitu anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor untuk dijadikan salad buah-buahan dan jus bagi memenuhi pasaran Dubai.
“Berita sedemikian merangsang saya untuk mencuba. Sebelum ini saya cuma tanam sayur-sayuran. Saya kemudian jalani kursus penanaman tembikai dan ikuti lawatan ke ladang tembikai yang dianjurkan oleh FAMA ke Terengganu dan Kelantan. Setelah yakin dengan kemampuan untuk mengusahakannya, saya mengalih perhatian kepada tanaman tembikai,” katanya ketika ditemui di ladang tembikainya di Kampung Sungai Yu.
Dengan ladang seluas enam hektar, kini beliau bersama 10 orang di bawah kelompoknya mengusahakan tanaman tembikai jenis ‘Golden Champ’ yang membuahkan hasil dalam tempoh 65 hari dan tembikai jenis tidak berbiji dalam tempoh 70 hari.
FAMA TAWARKAN JAMINAN PASARAN DAN HARGA MENARIK
Abdul Jamal menjelaskan bagi 0.4 hektar, ia mampu mengeluarkan hasil sejumlah 4 atau 5 tan tembikai jenis ‘Golden Champ’ dengan meraih pulangan RM7,000 hingga RM10,000 setiap kali tanaman. (Sekilo tembikai jenis ‘Golden Champ” ialah RM1.80)
Menurut Pengarah FAMA Negeri Selangor, Che Ghani Che Wan, pemilihan kawasan Kampung Sungai Yu adalah kerana para peserta di situ sudah ada kemahiran menanam sayur-sayuran sebelum ini dan mereka berminat untuk mencuba tananan tembikai pula kerana jaminan pasaran dan harga yang menarik ditawarkan oleh FAMA.
Beliau yang turut meninjau Projek Kelompok Tembikai berkata seramai 18 peserta menyertai projek berkenaan dengan keluasan 20 hektar.
“Pencapaian bagi tahun 2006 untuk keluasan lapan hektar ialah 28,219 metrik tan dengan nilainya sebanyak RM42,568,” katanya lagi.
Che Ghani berkata sepanjang 3 Oktober 2005 hingga 16 September 2006, FAMA dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor menganjurkan enam sesi kursus penanaman tembikai dan dua sesi lawatan ke ladang tembikai selain beberapa siri taklimat dan mesyuarat mengenai ladang kontrak.
KEISTIMEWAAN LADANG KONTRAK
Beliau menyeru supaya lebih ramai petani tampil mendaftar dengan Ladang Kontrak FAMA kerana melalui konsep ini, FAMA akan terus meningkatkan usaha memberikan bentuk bantuan terutama membabitkan urusan pemasaran hasil pertanian.
Che Ghani menyifatkan buah-buahan seperti betik, belimbing, tembikai, jambu dan nanas berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Jepun, Hong Kong, Eropah dan Timur Tengah.
“FAMA menitikberatkan aspek kualiti seperti penggredan, pembungkusan dan pelabelan serta pensijilan dalam usaha meningkatkan mutu hasil setiap buah-buahan yang ingin dipasarkan ke luar negara,” katanya.
Menjelaskan kontrak pemasaran di bawah konsep Ladang Kontrak, beliau berkata ia merupakan satu ikatan persetujuan di antara pengeluar dan FAMA di mana pengeluar bersetuju untuk mengeluarkan hasil pertanian atau produk pada kualiti, kuantiti, jenis, varieti, pembungkusan, gred dan masa yang dipersetujui, FAMA pula bersetuju untuk menjamin pasaran pada harga yang dipersetujui bersama.
Che Ghani berkata tujuan diwujudkan kontrak pemasaran di bawah Program Ladang Kontrak ini adalah untuk mengadakan ruang pasaran yang terjamin kepada petani atau individu yang terlibat dalam pengeluaran pertanian.
FAEDAH-FAEDAH LAIN
Melalui program ini, beliau yakin ia mampu mempercepatkan proses pemindahan teknologi dan pelaksanaan peraturan hasil-hasil pertanian dari segi penggredan, pembungkusan dan pelabelan.
Dengan menyertainya, ia juga boleh membina usahawan tani dari kalangan petani yang berdaya maju, tambah beliau.
Che Ghani menjelaskan FAMA menawarkan pelbagai keistimewaan kepada para petani yang berdaftar dengan Ladang Kontrak, antaranya ialah infrastruktur pemasaran yang lengkap, ladang-ladang kontrak yang diasaskan berhampiran Kompleks Bilik Sejuk (KBS), Pusat Pemasaran Pertanian (AMC) dan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL).
Kemudahan-kemudahan lain yang turut disediakan ialah lori dan khidmat sokongan seperti kursus-kursus lepas tuai akan difokuskan.
Beliau berkata melalui program ini juga, pegawai FAMA akan mengadakan lawatan ke ladang kontrak untuk memastikan kualiti sayur-sayuran atau buah-buahan yang dikeluarkan oleh petani menepati seperti yang dikehendaki oleh FAMA.
Selain bertanggungjawab memaklumkan kepada petani dari segi pembungkusan yang sesuai bagi tujuan pemborongan, FAMA Negeri juga perlu melaporkan segera ke Ibu Pejabat jika berlaku kegagalan projek, katanya.
Che Ghani menjelaskan FAMA Negeri juga bertanggungjawab memberi khidmat nasihat pemasaran kepada peserta projek berhubung dengan amalan lepas tuai seperti maklumat harga, maklumat pasaran dan sebagainya.
Pendek kata, dengan adanya pendekatan sebegini, FAMA boleh memainkan peranan yang besar dalam mengatur bekalan yang berkualiti, berterusan dan dapat memenuhi kehendak pasaran sama ada domestik atau pasaran eksport.