Promosi Buah-buahan Tempatan FAMA Dengan Kerjasama Kimberly-Clark

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) — Sempena pelancaran pembungkusan baru bagi produk tisu Scott, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bekerjasama dengan Syarikat Kimberly-Clark untuk menjalankan program promosi buah-buahan tempatan.

Bertemakan “Jom Makan Buah-buahan Tempatan Bersama Scott”, program itu dijalankan pada 11-13 Mei dan 18-20 Mei ini.

Melalui program promosi ini, para pengguna boleh menikmati sebakul kecil buah-buahan dengan setiap pembelian satu pek tisu muka Scott dengan 170 helaian atau dua pek tisu muka Scott dengan 90 helaian.

Sebanyak 10 hipermarket Giant iaitu Shah Alam, Plentong, USJ, Tampoi, Senawang, Kelana Jaya, Batu Caves, Melaka, Klang dan Bayan Baru menyertai program promosi ini.

Pihak FAMA telah menaja sebanyak 6,500 unit buah-buahan terdiri daripada pisang, mangga, nenas dan tembikai susu, dengan anggaran nilai sebanyak RM10,000.

Menurut Penolong Pengarah Promosi Dalam Negeri FAMA, Aiada Abdul Rashid, penganjuran program tersebut merupakan salah satu agenda dan kaedah FAMA dalam usaha mempromosikan buah-buahan.

OBJEKTIF PROGRAM

Antara objektif program promosi tersebut ialah untuk menggalakkan pengguna memakan buah-buahan tempatan dan seterusnya mengurangkan import, menyokong Kempen Gaya Hidup Sihat dan sebagai medan promosi buah-buahan tempatan kepada pelancong asing dan pengguna tempatan khususnya untuk Tahun Melawat Malaysia 2007.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama yang erat dengan badan-badan swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menjayakan kempen makan buah-buahan tempatan bagi mencapai matlamat negara mengurangkan pergantungan buah-buahan import.

Aiada berkata program seumpama juga mampu meningkatkan lagi imej FAMA di kalangan orang ramai dan kerajaan amnya.

“Diharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang dalam memastikan semua pihak dapat menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan kempen-kempen makan buah-buahan tempatan,” katanya.

Beliau juga berkata program inisiatif dari Syarikat Kimberly-Clark itu telah meraih sambutan yang amat menggalakkan dari semua hipermarket Giant.

Aiada berkata FAMA akan menyokong jika ada mana-mana agensi yang ingin membuat program seumpama itu.

Ladang Kontrak FAMA Beri Hasil Lumayan Kepada Petani

KUALA SELANGOR, 28 Mei (Bernama) — Seramai 90 peserta yang berdaftar di bawah Program Ladang Kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di tujuh daerah di Negeri Selangor bersyukur kerana tanaman yang diusahakan membuahkan hasil lumayan kepada mereka.

Tujuh daerah itu ialah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Ulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor yang melibatkan keluasan sebanyak 140.4 hektar yang ditanami dengan pelbagai jenis tanaman.

Salah seorang peserta, Abdul Jamal Sarip, 45, berkata beliau menyertai Projek Kelompok Tembikai Kampung Sungai Yu, di sini, di bawah program berkenaan pada 2005 setelah mengetahui FAMA Negeri Selangor menerima tempahan buah tembikai sebanyak 3 metrik tan/hari daripada PKPS Agro iaitu anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor untuk dijadikan salad buah-buahan dan jus bagi memenuhi pasaran Dubai.

“Berita sedemikian merangsang saya untuk mencuba. Sebelum ini saya cuma tanam sayur-sayuran. Saya kemudian jalani kursus penanaman tembikai dan ikuti lawatan ke ladang tembikai yang dianjurkan oleh FAMA ke Terengganu dan Kelantan. Setelah yakin dengan kemampuan untuk mengusahakannya, saya mengalih perhatian kepada tanaman tembikai,” katanya ketika ditemui di ladang tembikainya di Kampung Sungai Yu.

Dengan ladang seluas enam hektar, kini beliau bersama 10 orang di bawah kelompoknya mengusahakan tanaman tembikai jenis ‘Golden Champ’ yang membuahkan hasil dalam tempoh 65 hari dan tembikai jenis tidak berbiji dalam tempoh 70 hari.

FAMA TAWARKAN JAMINAN PASARAN DAN HARGA MENARIK

Abdul Jamal menjelaskan bagi 0.4 hektar, ia mampu mengeluarkan hasil sejumlah 4 atau 5 tan tembikai jenis ‘Golden Champ’ dengan meraih pulangan RM7,000 hingga RM10,000 setiap kali tanaman. (Sekilo tembikai jenis ‘Golden Champ” ialah RM1.80)

Menurut Pengarah FAMA Negeri Selangor, Che Ghani Che Wan, pemilihan kawasan Kampung Sungai Yu adalah kerana para peserta di situ sudah ada kemahiran menanam sayur-sayuran sebelum ini dan mereka berminat untuk mencuba tananan tembikai pula kerana jaminan pasaran dan harga yang menarik ditawarkan oleh FAMA.

Beliau yang turut meninjau Projek Kelompok Tembikai berkata seramai 18 peserta menyertai projek berkenaan dengan keluasan 20 hektar.

“Pencapaian bagi tahun 2006 untuk keluasan lapan hektar ialah 28,219 metrik tan dengan nilainya sebanyak RM42,568,” katanya lagi.

Che Ghani berkata sepanjang 3 Oktober 2005 hingga 16 September 2006, FAMA dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor menganjurkan enam sesi kursus penanaman tembikai dan dua sesi lawatan ke ladang tembikai selain beberapa siri taklimat dan mesyuarat mengenai ladang kontrak.

KEISTIMEWAAN LADANG KONTRAK

Beliau menyeru supaya lebih ramai petani tampil mendaftar dengan Ladang Kontrak FAMA kerana melalui konsep ini, FAMA akan terus meningkatkan usaha memberikan bentuk bantuan terutama membabitkan urusan pemasaran hasil pertanian.

Che Ghani menyifatkan buah-buahan seperti betik, belimbing, tembikai, jambu dan nanas berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Jepun, Hong Kong, Eropah dan Timur Tengah.

“FAMA menitikberatkan aspek kualiti seperti penggredan, pembungkusan dan pelabelan serta pensijilan dalam usaha meningkatkan mutu hasil setiap buah-buahan yang ingin dipasarkan ke luar negara,” katanya.

Menjelaskan kontrak pemasaran di bawah konsep Ladang Kontrak, beliau berkata ia merupakan satu ikatan persetujuan di antara pengeluar dan FAMA di mana pengeluar bersetuju untuk mengeluarkan hasil pertanian atau produk pada kualiti, kuantiti, jenis, varieti, pembungkusan, gred dan masa yang dipersetujui, FAMA pula bersetuju untuk menjamin pasaran pada harga yang dipersetujui bersama.

Che Ghani berkata tujuan diwujudkan kontrak pemasaran di bawah Program Ladang Kontrak ini adalah untuk mengadakan ruang pasaran yang terjamin kepada petani atau individu yang terlibat dalam pengeluaran pertanian.

FAEDAH-FAEDAH LAIN

Melalui program ini, beliau yakin ia mampu mempercepatkan proses pemindahan teknologi dan pelaksanaan peraturan hasil-hasil pertanian dari segi penggredan, pembungkusan dan pelabelan.

Dengan menyertainya, ia juga boleh membina usahawan tani dari kalangan petani yang berdaya maju, tambah beliau.

Che Ghani menjelaskan FAMA menawarkan pelbagai keistimewaan kepada para petani yang berdaftar dengan Ladang Kontrak, antaranya ialah infrastruktur pemasaran yang lengkap, ladang-ladang kontrak yang diasaskan berhampiran Kompleks Bilik Sejuk (KBS), Pusat Pemasaran Pertanian (AMC) dan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL).

Kemudahan-kemudahan lain yang turut disediakan ialah lori dan khidmat sokongan seperti kursus-kursus lepas tuai akan difokuskan.

Beliau berkata melalui program ini juga, pegawai FAMA akan mengadakan lawatan ke ladang kontrak untuk memastikan kualiti sayur-sayuran atau buah-buahan yang dikeluarkan oleh petani menepati seperti yang dikehendaki oleh FAMA.

Selain bertanggungjawab memaklumkan kepada petani dari segi pembungkusan yang sesuai bagi tujuan pemborongan, FAMA Negeri juga perlu melaporkan segera ke Ibu Pejabat jika berlaku kegagalan projek, katanya.

Che Ghani menjelaskan FAMA Negeri juga bertanggungjawab memberi khidmat nasihat pemasaran kepada peserta projek berhubung dengan amalan lepas tuai seperti maklumat harga, maklumat pasaran dan sebagainya.

Pendek kata, dengan adanya pendekatan sebegini, FAMA boleh memainkan peranan yang besar dalam mengatur bekalan yang berkualiti, berterusan dan dapat memenuhi kehendak pasaran sama ada domestik atau pasaran eksport.

Agro Bazaar Restoran Jejantas Ayer Keroh Semakin Popular

MELAKA, 23 April (Bernama) — Agro Bazaar di Restoran Jejantas Ayer Keroh di sini semakin popular di kalangan pengguna Lebuh Raya Utara Selatan yang singgah untuk berehat dan menjamu selera.

Agro Bazaar pertama untuk beroperasi di restoran jejantas itu terletak di arah selatan lebuh raya itu. Ia buka pada 1999 dan kini ia menggamit pengguna lebuh raya itu dengan pelbagai produk, termasuk keenakan, kesegaran dan “kaw” KopieSatu, minuman kopi tempatan seratus peratus.

Agro Bazaar, milik penuh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu yang beroperasi 24 jam setiap hari sepanjang hari menjadi tumpuan pelancong domestik dan luar negara.

Lebih 34 produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dipasarkan di sini, seperti keropok ikan, keropok melinjau, opak ubi, kerepek pisang, kerepek tempe, dodol pelbagai rasa, bangkit bijan, inang-inang, kuih karas, belacan, cencaluk dan serbuk asam pedas.

Turut dipasarkan ialah pelbagai produk keluaran Fama seperti produk jenama OleMas.

RUANG PASARAN PENGUSAHA PKS

Setakat ini, seramai 23 orang pengusaha PKS iaitu 17 pengusaha di Melaka dan masing-masing dua pengusaha dari Negeri Sembilan, Selangor dan Johor, menjadi pembekal tetap produk PKS di Agro Bazaar itu.

Menurut Pengarah Fama Melaka Che Ghani Che Wan, Fama mewujudkan Agro Bazaar itu sebagai ruang untuk mempromosi dan memasarkan produk para usahawan PKS dari seluruh negara.

Beliau berkata Fama mensasarkan jualan di Agro Bazaar itu meningkat kepada RM2 juta pada tahun ini berbanding RM1.6 juta pada tahun lepas memandangkan semakin ramai orang yang singgah di restoran ini setiap tahun.

“Tambahan pula tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2007, Fama yakin dengan promosi menarik yang diadakan oleh kerajaan negeri, para pelancong terutama dari Singapura akan lebih ramai menggunakan lebuh raya itu ke Melaka,” katanya.

Dianggarkan 700 orang mengunjungi bazaar itu setiap hari dan bilangannya meningkat kepada lebih 1,000 orang pada hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan.

Berikutan sambutan dan keperluan usahawan PKS, Fama bercadang untuk menambah premis Agro Bazaar di restoran jejantas itu bagi perjalanan arah utara, katanya.

PRODUK SEGAR, BERKUALITI TINGGI

Sementara itu, Penyelia Agro Bazaar Nasir Kassim berkata kesemua produk PKS yang dipasarkan di Agro Bazaar itu adalah segar dan berkualiti tinggi.

Beliau berkata Fama dari semasa ke semasa memberi bimbingan kepada pengusaha PKS bagi meningkatkan kualiti produk, kaedah pembungkusan dan pelabelan. Susun atur produk-produk yang dipasarkan di sini adalah antara daya tarikan kepada pelanggan.

“Pengguna lebuh raya terutama pelancong yang pertama kali singgah membeli produk PKS di sini, akan datang lagi untuk membelinya kerana kualitinya yang baik,” katanya.

Beliau berkata produk yang dipasarkan di sini adalah pada harga fleksibel dan para pelanggan dilayan mesra oleh pekerja di sini.

“Sembilan orang kakitangan kami di sini, dari semasa ke semasa diberi latihan bagaimana cara untuk menguruskan perniagaan ini dengan baik,” katanya.

Bagi mempelbagaikan jualan produk keluaran PKS dari seluruh Malaysia, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Fama Sarawak dan Sabah untuk membekalkan produk PKS dari kedua-dua negeri ke Agro Bazaar itu.

“Kita akan cuba pasarkan produk PKS dari Sabah dan Sarawak seperti kuih cincin, kuih lidah, kerepek pisang ranggu, tabaloi, ikan terubok masin dan lain-lain lagi,” katanya.

KOPIESATU PIKAT PENGGUNA LEBUH RAYA

Nasir berkata semakin popular sekarang ialah “KopieSatu” yang berjaya menarik ramai pengguna lebuh raya untuk menikmati minuman kopi segar diperbuat daripada biji kopi tempatan.

Beliau berkata hidangan “KopieSatu” mula diperkenalkan pada 2005 dengan jualan sebanyak RM134,000 setahun dan meningkat kepada RM177,000 pada tahun lepas (2006).

“Adunan KopieSatu yang sering menjadi pilihan ialah Cappucino, Mocha Cappucino, Caramel Cappucino, Espresso, Kopie O Kaw, KopieSatu Honey. Pelancong Eropah dan Jepun, mereka kata kopi ini rasanya cukup sedap,” katanya dan menambah “KopieSatu” dikeluarkan oleh Kilang Kopi Fama di Banting, Selangor.

Seorang pengusaha PKS, Misman Minin dari Felda Bukit Senggeh, Jasin berkata Fama melalui Agro Bazaar banyak membantu memajukan pengusaha PKS terutama dalam meningkatkan kualiti produk, pembungkusan dan pelabelan.

“Dulu saya guna kereta Proton Saga untuk hantar barang tetapi kini saya pakai van untuk hantar barang,” katanya yang mengendalikan perusahaan membuat pelbagai kerepek, dodol, kuih deram, tempe dan cakar ayam.

Jika anda dalam perjalanan ke selatan, sila singgah sebentar di Agro Bazaar ini dan lihat sendiri apa yang menunggu anda.

Ekspo Keusahawanan Bantu Peniaga Kecil

SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) — Pameran dan ekspo keusahawanan merupakan salah satu pentas yang terbaik bagi para peniaga, terutama mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk mempromosikan produk-produk kepada orang ramai.

Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha makanan dari Selangor seperti Miskiah Ahmad, 45, dan Mohd Radzi Kamaruddin, 36. Kedua-dua mereka ini telah menyertai Pameran Hari Peladang peringkat negeri Selangor baru-baru ini.

Ternyata mereka mendapati pameran atau ekspo sedemikian dapat mendedahkan produk-produk kepada pengunjung dan sekaligus mendapat perhatian bakal-bakal pembeli.

Bagaimanapun, adanya platform yang baik tetapi tanpa berbekalkan ilmu, pengusaha tidak mungkin mampu melangkah lebih jauh.

Demi memajukan produk-produk, pengusaha seperti Miskiah dan Mohd Radzi tidak pernah jemu menimba ilmu menerusi kursus dan program khidmat nasihat dan bimbingan anjuran agensi-agensi kerajaan.

KHIDMAT NASIHAT

Miskiah, misalnya, memulakan kerjaya sebagai pekerja kilang dan melibatkan diri dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual gula-gula.

Oleh kerana minat mendalam pada dunia keusahawanan, Miskiah mula mengorak langkah secara serius. Beliau mula mempelajari teknik-teknik menghasilkan produk-produk makanan ringan seperti kerepek-kerepek pisang, ubi, sukun serta kuih baulu dan maruku daripada kawan-kawan.

Bermula dari sini, Miskiah telah mendaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Selangor di bawah program Usahawan Bimbingan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan mempromosikan produknya.

“Sebenarnya, saya baru tiga tahun menyertai program ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program yang dianjurkan Jabatan Pertanian Negeri Selangor untuk peserta Usahawan Bimbingan seperti Hari Peladang ini merupakan satu pentas yang baik untuk pengusaha-pengusaha makanan ringan mempromosikan produk mereka kepada orang ramai.

Menurut Miskiah program ini banyak membantu beliau, antaranya dalam memasarkan produk.

Kini setelah 13 tahun melibatkan diri dengan produk makanan ringan Miskiah mampu tersenyum bangga kerana usaha kerasnya selama ini berbaloi.

“Secara bersih setiap bulan untungnya ialah sekitar RM4,000 atau RM5,000 bergantung kepada jumlah pesanan,” katanya.

Produknya dipasarkan dengan menggunakan label “Miskiah” sempena nama beliau sendiri. Beliau membekalkan produknya ke kilang-kilang dan pasaraya tertentu.

Bagi Mohd Radzi Kamaruddin, 36, seorang lagi peserta program ini, meskipun baru menceburi bidang makanan sejuk beku seperti kebab, roti pita, aiskrim dan karipap, namun beliau tidak gentar kerana percaya bidang ini mampu memberi pulangan yang lumayan.

“Produk makanan ringan seperti ini tidak mempunyai masalah dalam pasaran kerana potensinya cukup baik,” katanya.

Beliau bersama isterinya Rozilah Ri, 37, menyertai program ini untuk mendapatkan pengalaman memandangkan mereka masih baru dalam bidang ini.

SAINGAN SEMAKIN SENGIT

Walaupun produknya belum memasuki pasaran secara besar-besaran, tetapi buat permulaan beliau memasarkannya di karnival-karnival jualan dan sekolah-sekolah.

Beliau melihat program seperti ini banyak membantunya dalam pemasaran dan pembungkusan produk.

“Bagi produk yang berpotensi, Jabatan Pertanian akan menyalurkan bantuan seperti penambahan mesin dan mengadakan bengkel-bengkel kemahiran,” katanya.

Selain itu, Mohd Radzi pernah mendapatkan bimbingan di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) sebelum mengikuti program Usahawan Bimbingan.

Seperti Miskiah, Mohd Radzi juga merasakan bahawa persaingan produk-produk makanan ringan semakin sengit memandangkan akan lebih ramai usahawan yang mencebur bidang ini.

Bagaimanapun, bagi memastikan produk-produk mereka terus berada dalam pasaran, usahawan-usahawan ini sentiasa memastikan produk yang dihasilkan berkualiti tinggi, konsisten, mempunyai ciri keselamatan tertentu dan mempunyai pembungkusan serta label yang menarik.

Sebagai contoh, Mohd Radzi mendaftarkan produknya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Langkah ini, katanya, adalah bagi memastikan produk yang dihasilkan tidak diragui status halal dan kualitinya.

Ikan Hiasan M'sia: Saingan Hebat Daripada Negara Lain

IPOH, 9 Feb (Bernama) — Jika suatu masa dahulu, Malaysia menjadi pengimport ikan hiasan terutamanya jenis ikan emas tetapi kini negara ini dikenali sebagai antara pembekal ikan hiasan tropika utama dunia.

Hidupan akuatik ini telah menjadi industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Jadi tidak hairanlah Malaysia mensasarkan untuk mengeksport satu bilion ekor ikan setiap tahun menjelang 2010.

Malaysia pada masa sekarang sudah mengeksport 550 juta ekor ikan hiasan dengan nilai eksport sebanyak RM300 juta setahun dan menguasai 10 peratus pasaran ikan hiasan dunia.

Negara berharap untuk menjadi pengeksport utama ikan hiasan kualiti tinggi seperti ikan emas, koi, gapi dan kelisa dalam pasaran dunia dengan jumlah nilai RM7.7 bilion.

SAINGAN HEBAT

Setakat ini Malaysia mengeksport 70 peratus daripada pengeluaran ikan hiasannya ke 30 buah negara tetapi saingan sengit mula diberikan oleh beberapa negara lain sejak kebelakangan ini.

Usaha kerajaan bagaimanapun telah memberi nafas baru kepada hasrat negara menjadi pengeksport utama ikan hiasan dunia apabila Kedah bakal dibangunkan sebagai pusat ternakan ikan hiasan tempatan.

Sebahagian besar daripada peruntukan RM92 juta di dalam Bajet 2007 akan dibelanjakan untuk mempromosikan serta mengembangkan sektor industri akuakultur tempatan.

Perak juga adalah antara negeri utama industri berkenaan yang sedang berkembang pesat di negara ini.

Industri itu aktif di Perak kerana ia mempunyai satu kelebihan — banyak bekas lombong yang terbiar. Daerah Kinta sahaja mempunyai lebih 100 penternak ikan hiasan terutama di sekitar Gopeng.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja Datuk Dr Ho Wai Cheong berkata industri ikan hiasan di Gopeng yang tertumpu di Lawan Kuda kini menyediakan pekerjaan kepada 5,000 orang penduduk setempat.

Katanya, setakat ini sahaja terdapat lebih 100 penternak ikan hiasan di kawasan Lawan Kuda yang mana sebilangan besar ikan-ikan hiasan yang diternak itu dieksport ke Singapura dan Eropah.

PASARAN DUNIA

Prospek industri berkenaan cerah kerana permintaan di pasaran dunia yang melonjak antara 10 hingga 15 peratus setahun, katanya.

Seorang pengusaha ikan hiasan, Boo Ah Yau, 55, bagaimanapun memberi amaran bahawa industri yang menjanjikan peluang ekonomi yang cerah itu kini mendapat saingan hebat daripada negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Vietnam.

“Persaingan itu bukan sahaja datang daripada segi kos pengeluaran ikan hiasan itu sendiri malah dari segi pengetahuan, kemudahan, pengalaman dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata syarikatnya, Soon Tong Trading, yang mengeksport ikan hiasan seperti koi dan ikan emas terpaksa menghentikan eksport ikan hiasan ke Singapura apabila mendapat saingan hebat harga pasaran daripada negara pengeksport lain yang menawarkan harga jauh lebih murah.

Boo, yang berkecimpung dalam kegiatan ini sejak 15 tahun lepas, kini terpaksa beralih kepada aktiviti mengeksport ikan Tilapia merah sahaja, yang mempunyai pasaran luas sebagai sumber protein.

“Sekarang ini sudah banyak negara menjadi pengeksport ikan hiasan kerana menyedari sektor ini mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

“Perbelanjaan untuk kos ternak juga meningkat, begitu juga pembayaran gaji pekerja,” katanya.

TENAGA KERJA MURAH

Katanya pengeksport tempatan semakin tidak mampu bersaing dengan harga yang ditawarkan oleh pengeksport daripada negara lain walaupun mempunyai kualiti ikan yang sama kerana harga mereka jauh lebih murah disebabkan beberapa faktor seperti kos tenaga kerja yang murah.

Boo berkata kenaikan harga barangan, bahan makanan ternakan dan kos pengangkutan berikutan kenaikan harga minyak juga merimaskan para pengusaha industri ikan hiasan tempatan.

Beliau berkata kemudahan bagi eksport ikan hiasan memainkan peranan penting bagi memastikan produk yang dipasarkan mempunyai jaminan kualiti dan selamat sampai kepada pengimport.

Sebahagian besar ikan hiasan keluaran tempatan kini dieksport melalui “orang tengah” yang beroperasi di Singapura.

Seorang lagi pengusaha ternakan ikan hiasan iaitu pengurus Soon Lee Bird and Fish Shop, Simon Tan yang turut mengeksport ikan hiasan seperti koi, ikan emas, gurami dan kap melalui Singapura turut merasai perkara yang sama.

“Pasaran ikan hiasan ada turun ada naik. Harga pasaran pada masa sekarang sangat kompetitif.

“Walaupun Malaysia sudah lama beroperasi dalam industri ini, tetapi kemampuan Thailand dan Indonesia untuk bersaing dengan kita juga perlu dilihat sebagai faktor untuk memajukan lagi sektor ini di Malaysia,” katanya.

KUALITI YANG SAMA

Soon Lee Bird and Fish Shop kini sudah menjalankan aktiviti eksport ikan hiasan selama lebih 10 tahun.

Ketika ditanya sama ada jenis dan kualiti ikan tempatan lebih rendah menyebabkan Malaysia tidak mampu bersaing dengan pengeksport dari Thailand dan Indonesia, beliau berkata ikan hiasan yang dihasilkan di rantau Asean biasanya daripada jenis dan kualiti yang sama.

Simon berkata Indonesia bakal bersaing dengan Malaysia dalam tempoh terdekat kerana negara itu sedar industri ini boleh membawa keuntungan dan sedang bergerak aktif memajukan industri tersebut.

Beliau berkata Malaysia perlu ada satu ‘master-plan’ dan berusaha ke arah mencapai matlamat yang digariskan supaya tidak ketinggalan dalam aktiviti eksport ikan hiasan yang memang menjanjikan satu pendapatan besar kepada negara.

“Sekarang kita memang ada perancangan dan fokus tetapi jika mahu maju kita perlu gandakan lebih usaha supaya sektor ikan hiasan ini menjadi lebih aktif dan agresif untuk menyaingi negara pengeksport lain,” katanya.

Tan berkata negara juga boleh meraih pendapatan sampingan iaitu melalui industri pelancongan dengan menjadikan kawasan-kawasan ternakan ikan hiasan sebagai destinasi untuk pelancong tempatan dan asing.

Kawasan-kawasan ini boleh dilengkapi dengan kedai pameran atau akuarium ikan hiasan, jalan yang baik dan kemudahan lain seperti kawasan perkhemahan, restoran, rumah rehat serta chalet untuk pelancong dan pusat penerangan hidupan akuakultur,” tambah beliau.

Ikan Hiasan M’sia: Saingan Hebat Daripada Negara Lain

IPOH, 9 Feb (Bernama) — Jika suatu masa dahulu, Malaysia menjadi pengimport ikan hiasan terutamanya jenis ikan emas tetapi kini negara ini dikenali sebagai antara pembekal ikan hiasan tropika utama dunia.

Hidupan akuatik ini telah menjadi industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Jadi tidak hairanlah Malaysia mensasarkan untuk mengeksport satu bilion ekor ikan setiap tahun menjelang 2010.

Malaysia pada masa sekarang sudah mengeksport 550 juta ekor ikan hiasan dengan nilai eksport sebanyak RM300 juta setahun dan menguasai 10 peratus pasaran ikan hiasan dunia.

Negara berharap untuk menjadi pengeksport utama ikan hiasan kualiti tinggi seperti ikan emas, koi, gapi dan kelisa dalam pasaran dunia dengan jumlah nilai RM7.7 bilion.

SAINGAN HEBAT

Setakat ini Malaysia mengeksport 70 peratus daripada pengeluaran ikan hiasannya ke 30 buah negara tetapi saingan sengit mula diberikan oleh beberapa negara lain sejak kebelakangan ini.

Usaha kerajaan bagaimanapun telah memberi nafas baru kepada hasrat negara menjadi pengeksport utama ikan hiasan dunia apabila Kedah bakal dibangunkan sebagai pusat ternakan ikan hiasan tempatan.

Sebahagian besar daripada peruntukan RM92 juta di dalam Bajet 2007 akan dibelanjakan untuk mempromosikan serta mengembangkan sektor industri akuakultur tempatan.

Perak juga adalah antara negeri utama industri berkenaan yang sedang berkembang pesat di negara ini.

Industri itu aktif di Perak kerana ia mempunyai satu kelebihan — banyak bekas lombong yang terbiar. Daerah Kinta sahaja mempunyai lebih 100 penternak ikan hiasan terutama di sekitar Gopeng.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja Datuk Dr Ho Wai Cheong berkata industri ikan hiasan di Gopeng yang tertumpu di Lawan Kuda kini menyediakan pekerjaan kepada 5,000 orang penduduk setempat.

Katanya, setakat ini sahaja terdapat lebih 100 penternak ikan hiasan di kawasan Lawan Kuda yang mana sebilangan besar ikan-ikan hiasan yang diternak itu dieksport ke Singapura dan Eropah.

PASARAN DUNIA

Prospek industri berkenaan cerah kerana permintaan di pasaran dunia yang melonjak antara 10 hingga 15 peratus setahun, katanya.

Seorang pengusaha ikan hiasan, Boo Ah Yau, 55, bagaimanapun memberi amaran bahawa industri yang menjanjikan peluang ekonomi yang cerah itu kini mendapat saingan hebat daripada negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Vietnam.

“Persaingan itu bukan sahaja datang daripada segi kos pengeluaran ikan hiasan itu sendiri malah dari segi pengetahuan, kemudahan, pengalaman dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata syarikatnya, Soon Tong Trading, yang mengeksport ikan hiasan seperti koi dan ikan emas terpaksa menghentikan eksport ikan hiasan ke Singapura apabila mendapat saingan hebat harga pasaran daripada negara pengeksport lain yang menawarkan harga jauh lebih murah.

Boo, yang berkecimpung dalam kegiatan ini sejak 15 tahun lepas, kini terpaksa beralih kepada aktiviti mengeksport ikan Tilapia merah sahaja, yang mempunyai pasaran luas sebagai sumber protein.

“Sekarang ini sudah banyak negara menjadi pengeksport ikan hiasan kerana menyedari sektor ini mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

“Perbelanjaan untuk kos ternak juga meningkat, begitu juga pembayaran gaji pekerja,” katanya.

TENAGA KERJA MURAH

Katanya pengeksport tempatan semakin tidak mampu bersaing dengan harga yang ditawarkan oleh pengeksport daripada negara lain walaupun mempunyai kualiti ikan yang sama kerana harga mereka jauh lebih murah disebabkan beberapa faktor seperti kos tenaga kerja yang murah.

Boo berkata kenaikan harga barangan, bahan makanan ternakan dan kos pengangkutan berikutan kenaikan harga minyak juga merimaskan para pengusaha industri ikan hiasan tempatan.

Beliau berkata kemudahan bagi eksport ikan hiasan memainkan peranan penting bagi memastikan produk yang dipasarkan mempunyai jaminan kualiti dan selamat sampai kepada pengimport.

Sebahagian besar ikan hiasan keluaran tempatan kini dieksport melalui “orang tengah” yang beroperasi di Singapura.

Seorang lagi pengusaha ternakan ikan hiasan iaitu pengurus Soon Lee Bird and Fish Shop, Simon Tan yang turut mengeksport ikan hiasan seperti koi, ikan emas, gurami dan kap melalui Singapura turut merasai perkara yang sama.

“Pasaran ikan hiasan ada turun ada naik. Harga pasaran pada masa sekarang sangat kompetitif.

“Walaupun Malaysia sudah lama beroperasi dalam industri ini, tetapi kemampuan Thailand dan Indonesia untuk bersaing dengan kita juga perlu dilihat sebagai faktor untuk memajukan lagi sektor ini di Malaysia,” katanya.

KUALITI YANG SAMA

Soon Lee Bird and Fish Shop kini sudah menjalankan aktiviti eksport ikan hiasan selama lebih 10 tahun.

Ketika ditanya sama ada jenis dan kualiti ikan tempatan lebih rendah menyebabkan Malaysia tidak mampu bersaing dengan pengeksport dari Thailand dan Indonesia, beliau berkata ikan hiasan yang dihasilkan di rantau Asean biasanya daripada jenis dan kualiti yang sama.

Simon berkata Indonesia bakal bersaing dengan Malaysia dalam tempoh terdekat kerana negara itu sedar industri ini boleh membawa keuntungan dan sedang bergerak aktif memajukan industri tersebut.

Beliau berkata Malaysia perlu ada satu ‘master-plan’ dan berusaha ke arah mencapai matlamat yang digariskan supaya tidak ketinggalan dalam aktiviti eksport ikan hiasan yang memang menjanjikan satu pendapatan besar kepada negara.

“Sekarang kita memang ada perancangan dan fokus tetapi jika mahu maju kita perlu gandakan lebih usaha supaya sektor ikan hiasan ini menjadi lebih aktif dan agresif untuk menyaingi negara pengeksport lain,” katanya.

Tan berkata negara juga boleh meraih pendapatan sampingan iaitu melalui industri pelancongan dengan menjadikan kawasan-kawasan ternakan ikan hiasan sebagai destinasi untuk pelancong tempatan dan asing.

Kawasan-kawasan ini boleh dilengkapi dengan kedai pameran atau akuarium ikan hiasan, jalan yang baik dan kemudahan lain seperti kawasan perkhemahan, restoran, rumah rehat serta chalet untuk pelancong dan pusat penerangan hidupan akuakultur,” tambah beliau.

Limau Sunkist Blanja Dapat Permintaan

PARIT, 15 Feb (Bernama) — Perak, yang selama ini terkenal dengan limau Tambun, kini sedang mengorak langkah memperkenalkan pula “Limau Sunkist Blanja” sebagai satu lagi produk limau dari negeri ini.

Sekumpulan petani kini menerokai kawasan ladang limau seluas 100 hektar bagi mewujudkan Lembah Pertanian Belanja yang akan ditanami pelbagai jenis pokok buah sitrus termasuk limau madu, limau manis dan produk terbaru — limau sunkist tempatan yang digelar “Limau Sunkist Blanja”.

Empat sahabat dari Kampung Bharu Atas di sini telah mewujudkan Kampung Baru Sunkist Farm dengan mengusahakan kawasan seluas kira-kira 10 hektar bagi mengeluarkan anak-anak pokok limau tersebut.

Kumpulan yang diketuai Harisal Kefli Harun, 38, memulakan projek berkenaan tahun lepas dan mendapat sokongan serta khidmat nasihat dan infrastruktur daripada Jabatan Pertanian dan beberapa agensi kerajaan lain.

Harisal Kefli berkata mereka pada mulanya hanya berhasrat menanam pokok limau madu dan limau manis tetapi tidak menyangka usaha untuk menghasilkan anak pokok limau sunkist benih tempatan pula yang mendapat sambutan.

RASA ENAK

Beliau berkata limau sunkist Blanja mempunyai potensi dalam pasaran buah sitrus kerana rasanya enak dan isinya pula lebih lembut.

Harisal Kefli berkata beliau mula tertarik dengan projek tanaman limau Sunkist itu selepas mencuba di kawasan rumahnya.

“Timbul idea apabila melihat pokok limau Sunkist yang ditanam berbuah dengan baik,” katanya sambil menambah bahawa selepas itu, dia memohon bantuan Jabatan Pertanian Perak Tengah untuk mencari pendekatan terbaik bagi menghasilkan anak pokok limau bermutu dan tahan penyakit.

“Kami kemudian mencuba teknik cantuman tunas bagi menghasilkan anak-anak pokok yang sesuai dan selepas beberapa percubaan, akhirnya kami berjaya apabila menggunakan batang pokok limau yecel (Limau Jepun),” katanya.

Harisal Kefli berkata pihaknya kini memerlukan lebih banyak anak pokok limau yecel untuk menghasilkan lebih banyak anak pokok limau Sunkist Blanja dan limau madu yang bermutu serta tahan penyakit.

TAPAK SEMAIAN

Beliau berkata mereka kini telah berjaya menghasilkan kira-kira 10,000 anak pokok limau Sunkist dan madu di kawasan seluas 0.4 hektar yang dijadikan tapak semaian.

“Kami sedang berusaha memperluaskan lagi tapak semaian itu kerana permintaan daripada petani dan peniaga anak pokok terhadap anak limau Sunkist begitu menggalakkan … boleh dikatakan semua anak pokok yang disemai telah mendapat tempahan,” katanya.

Harisal Kefli berkata selain mempunyai tapak semaian, pihaknya turut menanam anak pokok limau Sunkist Blanja dan limau madu di kawasan ladang seluas 6.5 hektar dengan keluasan tanaman 350 pokok sehektar atau 145 pokok seekar.

Mengenai ladang berkenaan, beliau berkata pokok yang dijaga dengan baik akan mengeluarkan hasil selepas tiga tahun. Tetapi, selepas matang selama empat tahun baru hasilnya akan mencecah sehingga 100 kg setiap tuaian.

Katanya, limau Sunkist Blanja mempunyai berat purata sekilogram bagi setiap empat biji dan buahnya boleh dikutip sepanjang tahun tetapi hanya dua kali dalam setahun ia mengeluarkan buah yang lebat.

PROJEK KELOMPOK

Beliau berkata seramai 20 orang lagi petani telah menyertai projek berkenaan yang dibangunkan secara berkelompok di ladang seluas kira-kira 100 hektar di Lembah Pertanian Belanja tersebut.

Pada masa ini, ladang berkelompok itu mendapat bantuan Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah yang memberi khidmat nasihat dan bantuan peralatan asas termasuk pembinaan sistem perparitan dan baja.

Ladang berkenaan kini dipenuhi dengan limau Sunkist, limau madu dan limau manis.

“Kami mahu menjadi pembekal anak pokok limau Sunkist, limau madu dan buah limau yang berjaya. Impian kami adalah untuk memperkenalkan limau Sunkist Blanja sebagai produk buah sitrus Perak yang terkenal seperti limau Tambun,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Perak Tengah Shariful Anuar Sulaiman berkata limau Sunkist Blanja kini sudah ditanam dengan meluas di daerah ini — di Talang, Changkat Seleboh, Tanjung Blanja selain Kampung Bharu.

“Kami harap kawasan ini akan menjadi kawasan pengeluar benih limau terkemuka menjelang 2015,” katanya ketika melawat ladang berkenaan baru-baru ini.

Maklumat lanjut mengenai anak pokok limau Sunkist Blanja boleh didapati daripada Harisal Kefli di talian 017-5947172 atau Abd Kadir Yeob Manap (012-4131123).

Global Hi-Q Mahu Jadi Pembekal Terbesar Benih Ikan

PULAU PANGKOR, 16 Feb (Bernama) — Global Hi-Q Bio Tech Sdn Bhd yang mengusahakan kolam ternakan ikan laut bakal menghasilkan kira-kira 6 juta benih ikan setahun untuk tujuan eksport dan domestik apabila projek berkenaan beroperasi sepenuhnya tahun ini.

Kolam ternakan ikan laut di darat itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini dan syarikat berhasrat menjadi pembekal utama anak ikan kerapu negara.

Ia akan membina sebanyak 78 buah kolam ikan yang mampu mengeluarkan kira-kira 1.4 juta anak ikan setiap pusingan pembiakan antara dua dan tiga bulan.

“Kita akan membekal benih anak-anak ikan itu setiap dua bulan sekali dan sebahagian besarnya adalah anak-anak ikan kerapu yang mendapat permintaan tinggi daripada penternak,” kata Pengarah Urusan Global Hi-Q, Mohd Nasir Mohd Rashid.

Beliau membawa pemberita melawat fasa pertama projek kolam akuakultur ikan laut milik syarikat itu di Teluk Dalam di sini, baru-baru ini.

MENGGUNAKAN BIOTEKNOLOGI

“Satu kelebihan ternakan ikan menggunakan kaedah bioteknologi ini ialah kita dapat mengeluarkan ikan mengikut saiz yang diminta oleh pelanggan,” katanya.

Projek yang berkonsepkan agro-pelancongan itu membabitkan kawasan seluas 20 hektar dan majlis pecah tanah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Mei tahun lepas.

Mohd Nasir berkata anak-anak ikan yang dilepaskan oleh Perdana Menteri semasa melancarkan projek itu kini sudah sedia untuk dipasarkan dan hasil sulung projek berkenaan dijangka dihantar ke Pulau Pinang bulan ini.

Beliau berkata buat masa ini kita telah melabur sebanyak RM7 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur termasuk pembinaan enam buah kolam pembenihan, kolam ikan, penternakan ikan serta sistem pembersihan dan penapisan air laut.

“Kami akan melabur sebanyak RM8 juta untuk membina 72 buah lagi kolam dan sistem penapisan air laut yang akan mula dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya.

TEKNOLOGI TAIWAN

Setiap kolam anak ikan mampu menempatkan kira-kira 20,000 ekor anak ikan.

“Teknologi yang diperkenalkan oleh pakar-pakar Taiwan ini sangat baik kerana kadar kematian anak-anak ikan yang diternak dalam kolam adalah hampir sifar berbanding yang diternak dalam sangkar di laut.

Proses penapisan air memainkan peranan besar…air laut yang dipam akan ditapis sebelum dialirkan ke dalam setiap kolam,” katanya.

Projek yang dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat Taiwan sebagai pembekal teknologi itu merupakan satu-satunya projek ternakan ikan laut di daratan yang terbesar di negara ini menggunakan kaedah bioteknologi mesra alam, kata beliau.

Mohd Nasir berkata syarikat Taiwan itu telah mengusahakan projek ternakan ikan laut di darat sejak 25 tahun lepas.

Syarikat Taiwan itu ialah Hi-Q Bio-Tech International Taiwan yang merupakan salah sebuah syarikat akuakultur terbesar negara itu yang menjalankan aktiviti ternakan ikan laut bagi tujuan eksport.

“Kita bersyukur kerana mereka mahu bekerjasama. Mereka yakin dengan potensi di negara ini kerana ternakan boleh dijalankan sepanjang tahun disebabkan faktor cuaca dan kita juga tidak diancam bencana alam seperti gempa bumi.

“Air laut di sekitar Pulau Pangkor pula bersih dan tidak tercemar,” katanya.

Teknologi ternakan ikan di darat yang dibawa dari Taiwan ini adalah yang terbaik kerana ia tidak memerlukan kawasan yang luas malah membawa pulangan dengan cepat, kos pengurusan yang minimum dan kadar keuntungan yang tinggi, katanya.

Mohd Nasir berkata selain mengeskport ikan, syarikatnya bercita-cita menjadikan Pulau Pangkor sebagai pusat pembekal utama anak-anak ikan kerapu negara dan ia sekali gus akan membantu pengusaha tempatan mendapatkan anak ikan lebih bermutu pada harga murah.

Bekalan anak ikan kerapu sekarang banyak dibawa dari Indonesia, Vietnam dan Taiwan tetapi dengan kos dan kadar kematian ikan yang lebih tinggi turut menimbulkan masalah kepada penternak-penternak ikan dalam sangkar, kata beliau.

Ternakan ikan dalam sangkar berkembang pesat di negara ini tetapi bekalan benih terpaksa diimport dari luar dengan harga yang lebih mahal dan kadar kematian benih yang agak tinggi iaitu antara 40 hingga 50 peratus.

Syarikatnya menawarkan harga sekitar RM1.50 dan RM2 bagi seekor anak ikan kerapu bersaiz antara 7 cm dan 12 cm berbanding sekitar RM2.50-RM3 bagi benih ikan lebih kurang sama yang diimport.

“Kita yakin projek ini pada jangka panjang mampu membekalkan anak ikan kepada semua penternak tempatan dan secara tidak langsung akan mengurangkan pengaliran keluar matawang.

KAEDAH MESRA ALAM

“Kita memastikan projek ini tidak menjejaskan alam sekitar kerana kita pun bimbang sekiranya ia menjejaskan alam sekitar, ia juga akan menjejaskan ternakan ikan ini, “katanya.

Menurutnya, air dari kolam-kolam ikannya juga akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum disalurkan semula ke laut.

Mohd Nasir berkata satu aspek unik pusat berkenaan ialah kawasan hutan sekitarnya akan dikekalkan dan pihaknya telah meminta kerjasama Jabatan Perhutanan Perak untuk membantu mengenalpasti dan menamakan spesies pokok bagi kemudahan pelawat.

Selepas siap pembinaan kolam-kolam itu tahun ini, fasa kedua yang melibatkan pembinaan chalet, resort, pusat memancing ikan dalam bangunan berhawa dingin, pusat penyelidikan dan tanaman buah-buahan dimulakan pula secara berperingkat-peringkat, kata Mohd Nasir.

Sementara itu, aktiviti ternakan ikan laut di darat yang dijalankan oleh Global Hi-Q mungkin diperluaskan ke seluruh negara melalui program kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

LKIM juga bercadang menjalin perkongsian bijak dengan syarikat berkenaan bagi menceburi bidang ternakan ikan berteknologi tinggi di negara ini, kata Ketua Pengarah LKIM Datuk Annas Khatib Jaafar semasa melawat projek itu baru-baru ini.

Annas berkata melalui perkongsian teknologi itu, Global Hi-Q akan membantu daripada segi kepakaran dan pemasaran.

— BERNAMA

KBioCorp Bantu Perkembang Industri Herba

KULIM, 6 Mac (Bernama) — Penggunaan herba untuk rawatan dan perubatan di kalangan masyarakat dunia telah lama diketahui dan caranya berbeza mengikut budaya dan kepercayaan.

Kajian oleh Malaysian Herbal Corporation pada 1999 mendapati jualan produk berasaskan herba di Malaysia mencecah RM4.55 bilion setahun.

Mengikut pecahan, RM2 bilion dibelanjakan bagi herba rawatan, RM1.6 bilion (wangian) dan RM0.95 bilion (farmaseutikal dan pemakanan nutrisi).

Angka itu cukup untuk menerangkan betapa besarnya prospek dan jumlah pengguna, namun masih banyak perlu dilakukan oleh pengeluar produk herba tempatan untuk menembusi pasaran global.

Baru-baru ini Taiwan mengharamkan kemasukan Kopi Tongkat Ali dari Malaysia atas alasan fakta saintifik tidak dinyatakan.

PERUBATAN HERBA BERI PILIHAN KEPADA PENGGUNA

Perubatan herba hari ini menjadi satu industri penting selain memberi pilihan kepada pengguna dan yang terbaru sebagai produk pelancongan.

Bagaimanapun, sedar atau tidak banyak produk herba tempatan yang berada di pasaran termasuk produk import masih menghadapi kekurangan daripada segi pelabelan fakta atau mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Pelabelan yang disertakan fakta saintifik adalah penting untuk memudahkan produk herba memasuki pasaran global dan membina keyakinan masyarakat pengguna,” kata Pengarah Urusan Kedah BioResources Corporation Sdn Bhd (KBiorCorp), Norsabrina Mohd Noor.

KBioCorp, anak syarikat Kulim Technology Park Corporation (KTPC) yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim bersebelahan KTPC.

SYARIKAT BANTU PENYERTAAN BUMIPUTERA

Ia ditubuhkan tiga tahun lepas setelah satu kajian mendapati industri herba tempatan khususnya yang diusahakan oleh Bumiputera perlu dibantu dan disokong dengan makmal yang dilengkapi teknologi moden supaya mereka tidak tersisih daripada persaingan selain bertindak sebagai pusat sehenti industri herba.

Makmal KBioCORP dilengkapi 11 peralatan termoden bernilai RM11 juta, menjalankan ujian dan kajian herba termasuk bahan kegunaan harian di rumah, disokong oleh lapan orang pakar sepenuh masa.

Menurut Norsabrina pakar-pakar itu termasuk ahli kimia, mikrobiologi, dan botani dan pusat itu juga mendapat sokongan kepakaran daripada Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.

PERALATAN CANGGIH

Peralatan moden, antaranya GC-TOFMS (Gas Chromatography-Time Of Flight Mass Spectrometer) berharga lebih RM1 juta dan terdapat dua unit sahaja di Malaysia. Ia digunakan bagi menguji kandungan kimia dan ketulenan bahan yang diuji.

Fourier Transform Infra Red (FTIR) juga berharga lebih RM1 juta digunakan untuk membuat profiling pokok/tumbuhan dan mengesan bahan terlarang dalam produk.

Selain itu Atomic Absorption Spectroscopy (AAS) digunakan bagi ujian logam berat seperti plumbum, kadmium, raksa dan arsenik manakala Polymerase Chain Reaction (PCR) lebih kepada ujian DNA dan steroid.

HTPLC (High Performance Liquid Chromatography) untuk menguji bahan aktif manakala HPLC-MS (High Performance Liquid Chromatography Mass Spectrometer) bagi mengesan bahan aktif dalam pokok dan membuat profiling pokok.

“Peralatan-peralatan canggih ini yang diimport dari Amerika Syarikat, Jerman dan Switzerland mempunyai banyak kegunaan tetapi kita menggunakannya untuk tujuan khusus,” jelas beliau.

Menurut beliau kajian menunjukkan penghasilan produk herba secara ekstrak adalah lebih selamat, bermutu dan berkesan berbanding diproses secara serbuk.

“Teknologi ini belum mampu dikuasai sepenuhnya pengusaha Bumiputera dan di sinilah peranan kami dalam membantu mereka.

MERUMUS PRODUK YANG SELAMAT

Kami juga membantu mereka merumuskan produk yang selamat, bermutu dan disertakan label fakta saintifik selepas menguji bahan-bahan yang digunakan,” tambahnya.

Pada masa hadapan pengguna mungkin lebih prihatin untuk mengetahui secara jelas kandungan bahan dalam setiap kapsul atau sesuatu produk berasaskan herba sebagaimana ubat moden.

“Ramai pengeluar ubat tradisional menghasilkan produk mereka berpandukan pengalaman atau mempelajarinya secara turun-temurun tetapi tidak mendokumentasikannya secara jelas,” kata Norsabrina.

KBioCorp menerima apa sahaja herba atau produk daripada individu dan syarikat untuk dikaji termasuk oleh pengeluar dari Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat yang mendapatkan khidmat kepakarannya.

“Kami bagaimanapun tidak mengkaji kemujaraban herba atau produk, cuma menganalisisnya untuk menyatakan secara terperinci kandungan bahan-bahan aktif, tidak aktif atau merbahaya termasuk jenis logam yang terdapat dalamnya,” jelas beliau.

PENYELIDIKAN DAPAT MEMBANTU PENGUSAHA

Setiap ujian yang dijalankan dapat membantu pengeluar menghasilkan produk lebih bermutu dan selamat dengan menyertakan fakta kandungan bahan secara lengkap bagi menyakinkan pengguna.

Ujian mikrob yang wajib bagi semua produk herba untuk menentukan ia dicemari bakteria atau tidak juga dibuat di makmal KBioCorp.

KBioCorp menyediakan 14 perkhidmatan antaranya kawalan kualiti, ujian ketulinan, analisis logam berat, profil tumbuhan, ujian toksik, dan ujian bagi mikrob.

Ia juga menganjurkan latihan serta kursus jangka pendek.

Sejak ditubuhkan KBioCorp telah melatih seramai 160 orang usahawan dalam bidang pengeluaran dan pemprosesan produk berasaskan herba bagi kegunaan diri, rumah, pelabelan, formula, analisis makanan dan kawalan mutu, katanya.

“Kekuatan KBioCorp adalah dalam bidang analisis. Jadi kami menjalin perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pusat Penyelidikan Pemprosesan Technology Park Malaysia di Raub, Pahang sebagai tempat memproses,” kata Norsabrina.

Beliau berkata satu ujian pernah dijalankan terhadap satu produk herba keluaran Taiwan dan didapati kandungan raksa di dalamnya 100 kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan.

PRODUK HERBA TEMPATAN PERLU KEMUKAKAN MAKLUMAT

Pakar farmasi USM yang terlibat secara langsung dengan penubuhan KBioCorp, Prof. Zhari Ismail, 58, berkata banyak produk herba tempatan di pasaran boleh dipertikaian maklumat saintifik atau faktanya.

Contohnya, pengeluar mendakwa terdapat bahan Tongkat Ali dalam produk mereka tetapi tidak membuktikannya. Sebab itu maklumat saintifik penting supaya pengguna tidak tertipu, jelas beliau.

Produk herba tempatan lebih mudah memasuki pasaran global jika disertakan laporan monograf iaitu dokumen yang dihasilkan setelah sesuatu bahan itu melalui proses ujian ketulinan, keselamatan, mutu, kemujaraban, digunakan dan diuji di makmal.

Menurut Prof. Zhari, produk Tongkat Ali dari Malaysia berjaya memasuki pasaran Amerika dan Jepun yang diketahui mengenakan peraturan ketat kerana ia memenuhi piawaian dan ciri-ciri asas saintifik.

“Jadi tidak ada jalan mudah walaupun seseorang itu mendakwa produk herba mereka mujarab. Mungkin di Malaysia ia boleh dijual tetapi bukan untuk dieksport,” katanya.

— BERNAMA

Khairil Gibran Bukti Usahawan Tani Mampu Berdikari Tanpa Pasak Kerajaan

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Namanya Khairil Gibran, diinspirasi dari gabungan nama dua penyair tersohor kegemaran bapanya, iaitu Chairil Anwar dari Indonesia dan Kahlil Gibran dari Lubnan.

Anak kedua dari tiga orang adik-beradik, Gibran adalah antara usahawan tani generasi baru yang menyahut seruan kerajaan untuk memperkasa bidang pertanian yang diangkat menjadi komponen penting Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

Sekilas pandang, tiada yang luar biasa pada graduan teknologi maklumat dari La Trobe University, Melbourne, Australia. Ramai lagi graduan universiti meninggalkan jawatan profesional untuk berbudi pada tanah.

Tetapi nanti dulu. Bekas pegawai bank berusia 32 tahun ini mengusahakan projek tanaman sayur-sayurannya secara sendiri, tanpa bantuan kerajaan.

Ini sudah tentu bukan sesuatu yang biasa, khususnya bagi seorang anak Melayu.

TITIK TOLAK SEBAGAI USAHAWAN TANI

Gibran mula menjadi usahawan tani sepenuh masa empat tahun lepas dengan modal lebih kurang RM50,000.

Selepas setahun menjalankan penyelidikan, Gibran kemudiannya memperhalusi kajian tersebut dari cara penanaman hinggalah ke prospek bidang yang bakal diterjuninya itu.

Proses penyelidikan telah membawanya mengembara ke pelbagai projek pertanian serata Malaysia.

“Saya juga dapatkan maklumat seperti berapa hasil untuk sepokok, harga purata, pergi ke pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mendapatkan panduan senarai harga dan semua ini setelah diamati, menghasilkan anggaran pulangan yang sangat menggamit,” ujar Gibran.

Bila ditanya berapa pendapatannya setahun sebagai usahawan tani, Gibran hanya tersenyum: “Beberapa kali lebih banyak dari pendapatan saya sebelum ini”.

KENAPA SAYUR-SAYURAN?

Gibran memilih untuk menanam sayur-sayuran kerana ia tidak mengambil masa yang panjang sebelum hasilnya boleh dituai.

Walaupun harga sayuran sentiasa turun naik dan menghadapi persaingan hebat dari Indonesia dan Thailand, permintaan untuk sayur-sayuran sentiasa terjamin.

“Kalau dikerjakan dengan betul, dalam setahun sahaja boleh pulang modal. Kalau anda bertuah, mungkin dalam enam bulan sahaja,” jelasnya.

Di tanah tiga ekar yang disewa olehnya di Batang Kali, Selangor, kini ditanam dengan sayur terung. Sebelum ini, Gibran juga pernah mengusahakan tanaman kacang panjang, timun dan petola secara berselang-seli.

“Tetapi sebab tanah tidak cukup luas, tak boleh bertukar-tukar banyak sangat, jadi lebih praktikal buat tanaman jangka panjang,” ujarnya.

Menurut Gibran, terung sudah boleh dipetik selepas dua bulan ditanam. Ia akan terus berbuah selama empat bulan seterusnya.

Dengan purata tuaian sebanyak 300 kg sehari, baka terungnya lebih digemari oleh pemborong kerana ia tahan lebih lama berbanding terung yang diimport dari negara jiran.

Mengimbas kembali saat pertama kali menuai hasil di kebunnya pada tahun 2003, Gibran berkata tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaannya ketika itu.

“Waktu itu saya tanam timun. Kalau nak ikutkan standard sekarang, apa yang dihasilkan ketika itu tidaklah banyak sangat. Tapi ia adalah bidang baru untuk saya yang waktu masih belum pasti. Bila dah mengeluarkan hasil, perasaan dan kepuasannya berbeza,” katanya.

USAHAWAN TANI TIDAK PERLU BERGELUMANG TANAH

Untuk berjaya sebagai petani moden, pertama sekali persepsi terhadap profesion tersebut perlu ditukar serta jangan terlalu berharap kepada bantuan dan sokongan kerajaan.

Ini satu sikap yang tidak betul dan kita mesti buktikan kepada semua orang yang kita boleh buat, kata Gibran.

Menurutnya, perlu ada anjakan paradigma yang usahawan tani ini perlu bergelumang dengan tanah, dibakar terik mentari dan bermandi peluh perlu ditukar.

Berbeza dengan petani tradisional yang beroperasi secara kecil-kecilan, usahawan tani mengusahakan projek pertanian seperti menguruskan sebuah perniagaan dengan mengupah pekerja, membuat aktiviti pemasaran, merangka pelan perniagaan dan sebagainya.

Malah usahawan tani tidak perlu berada di ladang setiap masa, cukup tiga ke empat kali seminggu bagi memantau projek.

Bagi Gibran, tanah tiga ekar yang diusahakannya kini sebenarnya lebih berbentuk eksperimen kerana dengan tanah sebesar itu belum cukup untuknya menjadi seorang usahawan tani sebenar.

Kini setelah mempunyai pengalaman, pengetahuan, rangkaian perniagaan dan pasaran, Gibran berhasrat mencari tanah yang lebih luas.

“Tiga puluh ekar pun saya sanggup. Tapi itulah masalahnya, nak cari tanah susah. Kadang-kadang yang tak berminat bertani tu pula yang diberi tanah, orang yang betul minat dan ada bukti tak dapat,” jelasnya dengan nada kesal.

SUKARNYA BERHADAPAN BIROKRASI

Pelbagai usaha telah dilakukan Gibran untuk mendapatkan tanah. Dia mencari dari Johor hinggalah ke Terengganu tetapi gagal.

Ada tanah kosong yang didakwa telah diagihkan kepada petani tetapi bila ditinjau masih lagi belum diusahakan. Pernah juga ditawarkan tanah sehingga 100 ekar tetapi tidak sesuai untuk pertanian kerana tiada sumber air dan bawah tanahnya batu.

Pencariannya juga telah membawanya bersemuka dengan terlalu banyak permainan politik, peraturan pilih bulu dan sikap ‘double standard’.

Seterusnya ialah kesukaran untuk mendapatkan pekerja. Oleh kerana kebanyakan anak tempatan kurang berminat menjadi pekerja pertanian, Gibran beralih kepada pekerja asing.

Namun, ketiadaan koordinasi dari jabatan-jabatan yang berkenaan serta proses permohonan yang remeh serta berulang-ulang menyebabkan dia mengambil masa hampir sembilan bulan untuk mendapatkan pekerja.

“Dalam masa sembilan bulan, tanah yang telah dibersihkan untuk pertanian pun telah menjadi belukar kembali,” jelasnya yang kini mengupah lima orang pekerja.

Gibran menambah, apabila ingin menambah pekerja, dia harus mengulang proses yang serupa walaupun dokumen yang perlukan sama.

RUANG DAN PELUANG

Namakan apa yang tidak pernah dilalui Gibran? — Karenah birokrasi, pengurusan tidak efisyen, janji kosong serta pemikiran sempit yang kesemuanya melelahkan.

Namun itu semua tidak sedikit pun mematahkan cita-citanya malah Gibran sanggup membantu dan berkongsi idea dengan mereka yang berminat.

Usahawan tani seperti Gibran perlu diberikan ruang dan peluang untuk mereka buktikan apa yang mampu mereka lakukan.

Memupuk lebih ramai ‘Gibran’ mampu merealisasikan sasaran kerajaan melahirkan 10,000 usahawan tani dalam masa lima tahun akan datang, justeru memastikan dana RM250 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk tujuan itu digunakan sebaiknya dengan berkesan.