ZIA-LKIM sedia persekitaran yang kondusif

SETELAH sekian lama dilihat sebagai salah satu sektor terpinggir dan kurang memberangsangkan, sektor perikanan msewajarnya memerlukan satu anjakan bagi merubah paradigma tersebut. Justeru pengenalan projek berimpak tinggi (HIP) seperti Zon Industri Akuakultur (ZIA) dilihat tepat pada masanya dalam usaha mengukuhkan lagi sosio ekonomi masyarakat nelayan seterusnya memacu ekonomi negara yang disumbangkan oleh sektor berkenaan. Berkonsepkan taman industri, ZIA memerlukan penggemblengan tenaga kesemua agensi dan jabatan berkaitan akuakultur untuk sama-sama menjayakannya dan memastikannya berjalan dengan lancar dan sempurna.

Salah satu agensi yang terlibat ialah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan hal ehwal ekonomi masyarakat nelayan keseluruhannya. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Annas Khatib Jaafar, dalam pembangunan ZIA, LKIM secara umumnya menyediakan infrastruktur asas untuk pembangunan zon tersebut termasuk sempadan atau pagar, jalan masuk utama dan bekalan elektrik serta air.

SEORANG pekerja memeriksa ternakan kerang muara Sungai Mas Trong, Perak.

Infrastruktur asas ini penting memandangkan ia merupakan syarat utama bagi membolehkan sesebuah zon itu beroperasi dengan lancar dan sempurna seterusnya menarik kemasukan pelabur dengan mudah.

“Di samping itu, LKIM juga memberi sokongan dari sudut latihan teknikal kepada nelayan-nelayan bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran ZIA yang lebih kepada perniagaan dan pemasaran hasil akuakultur mereka,” ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya di ibu negara, baru-baru ini.

Sebagai pemudah cara kepada nelayan serta pembimbing dan penyedia insentif, LKIM juga b e r t a n g g u n g j aw a b menyediakan persekitaran ZIA yang kondusif bukan sahaja kepada nelayan malah kepada pihak swasta.

Ia termasuk kelengkapan berteknologi tinggi yang membolehkan semua aktiviti bermula daripada pendaratan ikan sehinggalah kepada pemasaran produk dijalankan secara berkelompok di bawah satu bumbung secara komersial.

Dengan peruntukan sebanyak RM300 juta yang diterima di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), LKIM dan menerusi peruntukan tambahan sebanyak RM118 juta yang dipohon, kesemua ZIA tersebut akan digerakkan dengan lebih cemerlang sesuai dengan matlamat menjadikan nelayan sebagai usahawan.

Peruntukan itu juga akan digunakan untuk menggerakkan pelbagai program dan aktiviti lain di bawah agensi itu dalam usaha untuk mencapai sasaran peningkatan hasil sepanjang RMK-9 seperti yang telah ditetapkan. Sasaran tersebut mengikut komoditi akuakultur utama iaitu bagi ternakan udang laut sebanyak RM42.56 juta, ternakan ikan dalam tangki (RM3,3363 juta), kerang-kerangan (RM2.52 juta), rumpai laut (RM3.42 juta) dan pembenihan ikan (13.5 juta).

“Walaupun masih terlalu awal untuk menetapkan sasaran ini, namun dengan sokongan program seperti ZIA serta kelengkapan dan teknologi tinggi yang digunakan, kita menjangkakan mampu menjana pulangan yang lebih baik,” ujar beliau.

Selain itu, bagi menggalakkan pertanian secara komersial dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga, LKIM telah mengemukakan sebanyak 11 buah projek yang berpotensi dengan kos berjumlah RM202 juta.

Projek-projek itu termasuk pemasaran ikan, pembesaran ternakan ikan laut dalam sangkar, pembangunan ladang kupang bertaraf komersial, penangkapan ikan tuna Lautan Hindi dan pengeluaran isi ikan dan keropok moden, kilang memproses hasil perikanan Chendering, Terengganu.

LKIM juga telah mengenalpasti empat projek yang akan dilaksanakan di bawah program Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan kos sebanyak RM1.4 bilion antaranya pembinaan pejabat dan kuaters LKIM di atas tanah seluas 40 hektar di Puchong, Selangor. Usaha memajukan lagi sektor perikanan juga ujar Annas meliputi pembangunan dan penyediaan kelengkapan asas termoden di 27 kompleks pendaratan ikan dan pusat-pusat pemeriksaan ikan di seluruh negara.

Kesemua kompleks pendaratan ikan ini termasuk sebuah lagi yang kini sedang giat dibangunkan iaitu Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Tanjung Manis (PPLDTM), Sarawak akan beroperasi sebagai satu pusat pertumbuhan untuk kegiatan ekonomi nelayan.

Dengan kemampuan menguruskan sehingga 200 kapal nelayan dalam satu-satu masa, PPLDTM misalnya akan memastikan lebih banyak aktiviti pendaratan ikan laut dalam berlangsung seterusnya memacu sektor itu untuk lebih berdaya saing.

KEPAH yang diternak di Sungai Mas Trong, Perak.

Ia juga sejajar dengan usaha LKIM dalam transformasi masyarakat nelayan sekali gus meningkatkan ekonomi menerusi medium perniagaan dengan menjadikan mereka sebagai seorang usahawan.

Pusat-pusat pendaratan ikan ini juga akan bertindak sebagai satu payung untuk mengumpulkan kesemua nelayan dalam satu kelompok yang besar seterusnya menjalankan aktiviti berasaskan perikanan secara komersial.

Ia termasuk suntikan modal dan teknologi-teknologi tinggi bagi membolehkan nelayan menangkap ikan di kawasan yang lebih jauh seterusnya memastikan hasil tangkapan yang lebih besar. Pada masa yang sama ujar beliau, nelayan dan persatuan nelayan akan dibimbing untuk menceburi industri pelancongan nelayan dan agro pelancongan menerusi aktiviti seperti perikanan rekreasi, medan ikan bakar, homestay, calet nelayan dan kraftangan.

Penglibatan persatuan nelayan yang ketika ini berjumlah sebanyak 92 persatuan bertujuan membantu meningkatkan ekonomi masyarakat nelayan dalam masa yang sama menggalakkan mereka menceburi sektor hiliran.

“Sebagai perbandingan pada tahun lalu, 64 projek pelancongan telah dilaksanakan oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dengan penglibatan seramai 120 orang nelayan. “Pastinya tahun ini kita mensasarkan untuk mengadakan lebih banyak projek seumpamanya dengan penglibatan lebih ramai keluarga nelayan,’’ tambah beliau.

PROJEK ternakan kepah LKIM di Sungai Mas Trong, Perak.

Ketika ini, terdapat 13 kawasan ZIA di bawah pengurusan dan kendalian LKIM iaitu:

● Projek Ternakan Udang Sebatu, Melaka
● Projek Ternakan Udang Pantai Merdeka, Kedah
● Projek Ternakan Udang Telaga Air, Sarawak
● Projek Ternakan Udang Fikri, Terengganu
● Taman Akuakultur LKIM Sebatu, Melaka
● Taman Akuakultur LKIM Telaga Air, Sarawak
● Taman Akuakultur LKIM Badong, Pahang
– Projek Ternakan Udang
– Projek Ternakan Ikan Dalam Tangki
● Projek Ternakan Ikan Dalam Tangki Fish Protech, Sepang, Selangor
● Projek Ternakan Kerang Jarum Mas, Perak
● Pusat Pembenihan Udang/Ikan Setiu, Terengganu
● Pusat Pembenihan Udang/Ikan Telaga Air, Sarawak
● Projek Pengkulturan Rumpai Laut Kudat, Sabah

2 thoughts on “ZIA-LKIM sedia persekitaran yang kondusif

  1. Saudara,

    Boleh ke saudara dapatkan zon-zon ZIA yang telah diluluskan oleh Kerajaan?

    Sekian terima kasih

  2. asalammualaikum…saya nak dapat maklumat dari pihak tuan,dimana saya boleh mendapatkan kursus untuk pembenihan ikan laut terutamanya ikan kerapu? ini kerana di perairan kampung saya ada mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar,namun terlalu sukar mendapatkan benih ikan terutamanya ikan kerapu…oleh yang demikian saya ingin mengambil inesitif untuk mempelajari teknik pembenihan ikan..untuk memudahkan orang2 kampung mendapatkan benih ikan dan mengembangkan perusahan tersebut dengan lebih mudah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s