Rumpai Laut

Malaysia terkenal dengan pelbagai kawasan dan pantai indah yang dilawati oleh ribuan pelancong saban tahun. Kejernihan airnya, keputihan pasirnya dan keindahan pemandangan sekelilingnya menjadi daya tarikan kepada pengunjung. Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas adalah antara beberapa buah pulau yang menjadi tumpuan kewujudan terumbu karang yang mempesonakan dan menarik minat pencinta alam. Oleh kerana hampir keseluruhan manusia menghabiskan hayatnya di daratan, maka kehadiran flora samudera terutamanya rumpai laut kurang dirasai kewujudannya yang penuh keunikan dan keanehan. Rumpai laut sebenarnya mempunyai peranan ekologi yang sama seperti yang dimainkan oleh tumbuhan darat. Melalui proses fotosintesis, tumbuhan ini dapat menukarkan bahan tak organik kepada bahan organik yang kemudiannya dapat digunakan oleh hidupan samudera yang lain. Oksigen yang dihasilkan boleh digunakan bukan sahaja oleh organisma samudera itu sendiri, malah juga oleh organisma yang hidup jauh di daratan.

Rumpai laut begitu berharga disebabkan kemampuannya memberi faedah dan kegunaan dalam kehidupan manusia. Masyarakat daripada pelbagai kebudayaan sejak berkurun-kurun telah menyedari bahawa beberapa jenis rumpai laut terutamanya alga perang dan alga merah boleh dimakan di samping beberapa jenis rumpai laut lain boleh dijadikan makanan haiwan dan baja. Justeru itu, kehadiran rumpai laut dalam kehidupan manusia terutamanya haruslah dihargai..

Kehadiran sebarang tumbuhan yang boleh menjejaskan penghasilan pertanian umumnya akan dikategorikan sebagai rumpai. Di ekosistem daratan misalnya, rumput dan lalang mempunyai peranan dalam ekosistem. Namun disebabkan tumbuhan ini mampu mengurangkan hasil pertanian manusia, maka ia ditakrifkan sebagai rumpai. Begitu juga di lautan, tumbuhan tak vaskular daripada kumpulan alga adalah rumpai. Kehadirannya di persisiran pantai telah menyebabkan manusia menggolongkannya sebagai rumpai laut, walaupun ia tidak menjejaskan sebarang aktiviti pertanian.

Sekali imbas tumbuhan ini tidak mempunyai sebarang fungsi. Malah kehadirannya menimbulkan masalah kepada manusia. Flora lautan ini akan dihanyutkan ombak dan berkumpul di pantai.Kehadirannya yang banyak di gigi air memburukkan pemandangan. Tumbuhan ini kemudiannya mereput dan meninggalkan kesan busuk di persekitaran dan sekaligus kawasan itu sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan kawasan rekreasi. Selain daripada itu, kegiatan penangkapan ikan dan pelayaran juga turut terjejas akibat daripada kelimpahannya yang tidak terkawal. Ekoran daripada masalah yang ditimbulkannya, maka tumbuhan ini sangat menepati pengertian rumpai yang diketahui umum.

Pengertian rumpai secara negatif timbul apabila sesuatu tumbuhan itu wujud dengan banyak dan seterusnya menjejaskan kesejahtaraan manusia samada secara langsung atau tidak langsung. Jika diteliti dengan lebih mendalam, rumpai ini bukan sahaja penting malah perlu untuk kemandirian sesuatu ekosistem. Melalui proses fotosintesis, tumbuhan ini membentuk asas kepada jaringan makanan. Hidupan laut pula sangat bergantung secara langsung atau tidak langsung pada bahan organik yang dihasilkan oleh tumbuhan ini.

Persekitaran samudera dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan alga. Alga membentuk hampir 94% daripada keseluruhan spesies tumbuhan yang ditemui di laut(lampiran 1). Tumbuhan tinggi, yang merupakan tumbuhan yang dominan di ekosistem daratan, hanya membentuk 0.5% daripada keseluruhan spesies tumbuhan samudera. Tumbuhan ini diwakili oleh lebih kurang 50 spesies tumbuhan monokot yang dikenali sebagai rumput laut. Briofit dan pteridofit tidak mempunyai wakil di persekitaran samudera. Kulat dan liken pula diwakili oleh lebih kurang 500 spesies dan 15 spesies masing-masing di persekitaran samudera.

Secara teknikal, rumpai laut boleh ditakrifkan sebagai alga samudera daripada divisi Chlorophyta, Phaeophyta dan Rhodophyta yang bersifat makroskopik. Jasadnya atau talus jelas dilihat dengan mata kasar. Pada amnya, kita tidaklah perlu manggunakan mikroskop untuk mengecam flora ini sekurang-kurangnya kepada peringkat genus. Di persekitaran samudera, alga merah (Rhodophyta) mempunyai ahli yang terbesar, dianggar terdapat lebih kurang 2500 spesies alga merah. Ini diikuti pula oleh alga perang (Phaeophyta) yang diwakili oleh lebih kurang 1000 spesies. Walaupun terdapat lebih daripada 7000 spesies alga hijau (Chlorophyta), namun sebahagian besarnya ditemui di persekitaran air tawar. Di laut hanya terdapat 900 spesies alga hijau.

Rumpai laut sangat pelbagai. Flora ini melihat kerencaman bukan sahaja dari segi saizdan bentuk malah dari segi warna. Satu perkara yang nyata ialah sebahagian besar rumpai laut bersifat melekap, mencengkam kuat pada substrat dengan bantuan organ pelekap. Tumbuhan ini boleh hidup di atas pelbagai substrat seperti pasir, lumpur, batu, serpihan batu karang atau kerikil. Kadangkala rumpai laut boleh hidup secara epifit pada tumbuhan vaskular atau rumpai laut lain. Ada juga yang menggunakan tubuh haiwan (epizoik) sebagai tempat untuk hidup. Walaupun sebahagian besar rumpai laut hidup secara bentik, namun terdapat juga tumbuhan ini yang menghabiskan sebahagian atau keseluruhan hidupnya terapung (pelagik). Beberapa spesies Sargassum tergolong dalam kumpulan ini. Di laut Sargasso, wujud kelompok Sargassum natan dan Sargassum fluitans pelagik yang banyak.

KEPENTINGAN RUMPAI LAUT

Memandangkan rumpai laut merupakan kumpulan tumbuhan yang banyak mendiami persekitaran laut, maka tumbuhan ini mempunyai peranan yang besar dalam kemandirian sistem ini. Memandangkan sumbangan besar yang dimainkan oleh tumbuhan tidak vaskular ini untuk kesejahteraan dan kebajikan manusia, maka dirasakan kurang adil istilah rumpai digunakan pada flora ini. Lebih tepat lagi kita istilahkannya sebagai sayur-sayuran memandangkan tumbuhan ini mempunyai potensi yang besar untuk digunakan secara meluas sebagai makanan.

Kepentingan ekonomi

a) Makanan pencuci mulut

Rumpai laut mempunyai beberapa kegunaan kepada manusia sehari-hari. Manusia telah menggunakan rumpai laut sebagai makanan sejak berkurun-kurun. Manusia telah menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Cara memakannya berbeza-beza bergantung pada kebudayaan masing-masing.

Rumpai laut boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Walaupun ia mempunyai karbohidrat yang tinggi, tetapi karbohidrat ini sukar dihadamkan. Sebagai contoh di Hawaii, rumpai laut yang dikenali sebagai ‘limu’ telah menjadi makanan kegemaran sejak turun temurun. Dua spesies yang digemari ialah Entermorha prolifera (alga hijau) dan Gracilaria coronopifolia (alga merah). Di beberapa tempat di kepulauan Britain, Porphyra (alga merah) yang dikenali sebagai ‘purple laver’ dimakan dengan beberapa cara. Alga merah dibasuh dan direbus untuk dijadikan kek leper yang dikeringkan dan digunakan untuk membuat ‘blancmange’ dan makanan pencuci mulut yang lain. Di negara-negara ini, Palmaria (alga merah) atau lebih dikenali sebagai ‘dulse’ masih digunakan untuk membuat roti dan makanan pencuci mulut.

b) Membuat teh dan kandi

Di Jepun, penyediaan makanan daripada rumpai laut merupakan satu seni. Beberapa spesies telah ditanam dan aktiviti ini merupakan tradisi yang telah lama diamalkan. Spesies Laminaria dan Alaria (atau ‘kombu’) dikeringkan dan dihancurkan sebelum dimakan. Tumbuhan ini turut digunakan untuk membuat the dan kandi. Undaria atau ‘wakame’ ialah satu lagi kelpa yang sedap dimakan secara mentah. Porphyra digunakan untuk membuat ‘nori’ (kulit nipis) yang digunakan secara meluas dalam sup dan sebagai pembungkus ‘sushi’ (nasi rebus yang disertakan dengan ikan mentah dan landak laut).

Di Malaysia, beberapa spesies Caulerpa dan Gracilaria dimakan mentah oleh masyarakat Melayu tempatan terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Di Sabah, Eucheuma merupakan rumpai laut yang sangat digemari oleh masyarakat tempatan.

c) Makanan haiwan dan baja

Rumpai laut juga digunakan sebagai makanan haiwan dan baja. Sebagai makanan haiwan, makroalga seperti Ascophyllum, Laminaria dan Fucus boleh diberikan kepada kembing, lembu, kuda, ayam dan babi. Pertumbuhan haiwan ternakan boleh meningkat dengan cepat memandangkan rumpai laut kaya dengan mineral dan vitamin. Lembu yang diberi makan rumpai laut juga didapati menghasilkan susu yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Sekiranya ayam diberi makan rumpai laut, telur yang dihasilkan didapati mempunyai kandungan iodin yang tinggi. Masyarakat di pinggir laut juga menggunakan rumpai laut sebagai baja. Rumpai laut yang biasa digunakan untuk tujuan ini termasuklah Fucus. Alga perang ini kaya dengan kalium, fosforus, unsur surih dan bahan pertumbuhan. Rumpai laut dibiarkan reput di ladang atau dicampurkan dengan bahan organik yang lain. Baja yang terhasil bukan sahaja memperkaya tanah dengan nutrien tetapi juga membantu dalam membaiki struktur tanah.

d) Bidang perubatan

Rumpai laut seperti Macrocystis, Laminaria, Fucus, Sargassum, Turbinaria, Hormophysa dan Hydroclathrus telah digunakan sejak berkurun-kurun untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, disenteri, diarea dan masalah usus kecil dan pundi. Beberapa spesies rumpai laut dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolestrol plasma.

e) Menghasilkan bahan kimia

Rumpai laut menghasilkan beberapa jenis bahan kimia bak kanji yang dikenali sebagai fikokoloid. Fikokoloid digunakan dengan meluas dalam industri pembuatan makanan. Kemampuannya membentuk gel walaupun pada suhu rendah menjadikan fikokoloid begitu berharga. Bahan-bahan komersil ini banyak mempunyai kegunaan dalam industri terutama sebagai bahan penebal, pengampai, penstabil dan pembentuk gel. Salah satu fikokoloid yang terpenting ialah algin (yang terdiri daripada asid alginik dan garamnya alginat). Algin digunakan sebagai bahan penstabil dan pengemulsi dalam pembuatan hasil tenusu seperti aiskrim dan keju. Selain daripada itu, ia juga digunakan sebagai agen pengampai dalam pembuatan bahan pengilat, farmasi, dadah dan antibiotik.

Fikokoloid kedua yang boleh diperoleh daripada rumpai laut ialah karagenan. Bahan ini diperoleh daripada alga merah seperti Chondrus (‘irish moss’) di Atlantik Utara dan Eucheuma di kawasan tropika. Karagenan menyerupai agar-agar tetapi mengandungi kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel. Bahan ini digunakan sebagai agen penstabil dalam aiskrim, ubat gigi, sirap, ubat batuk, minuman keras dan hasil tenusu di samping membaiki tekstur roti dan sup.

Kepentingan ekologi

a) Ekologi samudera

Rumpai laut memainkan peranan penting dalam ekologi samudera. Kewujudan rumpai laut terutama alga perang mempunyai kesan penenang terhadap laut. Tumbuhan ini kadangkala boleh hidup dengan begitu banyak hingga membentuk hutan di dasar laut dan bertindak sebagai benteng yang mampu membendung dan mengurangkan daya ombak yang merempuh pantai. Selain itu, rumpai laut bersama-sama rumput laut (tumbuhan berbunga) bertindak untuk menstabilkan pinggir pantai dan mengurangkan hakisan.

b) Menyediakan habitat

Rumpai laut menyediakan habitat yang sesuai untuk berbagai-bagai jenis hidupan laut seperti ketam, buran laut, tapak sulaiman, teritip, bunga karang dan alga kecil yang lain. Bentuknya yang rimbun mampu memberikan perlindungan daripada ombak dan juga pemangsa organisma-organisma ini. Organisma yang bersembunyi di celah-celah lamina rumpai laut ini kemudiannya menjadi makanan kepada fauna yang lebih besar. Rumpai laut itu sendiri menjadi makanan secara langsung kepada hidupan laut terutama makanan untuk moluska. Rumpai laut yang terdampar di pantai akan mengalami pereputan dan memungkinkan kunjungan pelbagai jenis serangga terutama lalat. Organisma yang makan dan berlindung pada rumpai yang reput ini kemudiannya akan menjadi makanan kepada hidupan lain.

Alga merah koralin mempunyai peranan yang tersendiri terutama di terumbu karang. Alga merah seperti Porolithon, Lithothamnion dan Lithopyllum menyumbangkan kalsium karbonat untuk pertumbuhan terumbu batu karang, malah kadangkala sumbangan kalsium karbonat ini lebih besar daripada yang diberikan oleh haiwan karang.

Sumbangan rumpai laut dalam kehidupan manusia ternyata amat memberangsangkan. Peranannya sama seperti yang dimainkan oleh tumbuhan daratan samada sumbangannya dalam sistem ekologi mahupun ekonomi. Keanehan dan keunikannya pula dapat menarik minat ribuan para pencinta alam dan keadaan ini akan memberi impak yang besar dalam industri pelancongan negara. Justeru itu, kehadiran rumpai laut dalam sistem ekologi sewajarnya dihargai.

4 thoughts on “Rumpai Laut

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s