Perit Jerih Usahawan Tani Diiktiraf Kerajaan Johor

JOHOR BAHARU — Pemenang Anugerah Usahawan Siswazah Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan tahun ini, Saipul Bahri Shuib, 46, gembira kerana pembabitannya dalam sektor pertanian dan ternakan, mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.

Katanya, dengan pengiktirafan itu sekurang-kurangnya telah dapat mengubat perit jerihnya yang berkecimpung dalam bidang itu selama lima tahun di ladang ternakannya seluas 120 hektar di Pagoh, Muar.

“Saya tidak sangka kejayaan saya dalam bidang pertanian dan ternakan ini selain daripada memberi pulangan yang baik turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan,” katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah tersebut di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyampaikan anugerah itu sempena upacara perasmian mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan pelancaran Dana Peladang Negeri.

Selain menternak beratus ekor lembu, kambing, ikan air tawar dan menanam buah-buahan, Pengarah Urusan Syarikat Duta Kiara Sdn Bhd itu turut melibatkan diri dalam bidang pengilangan makanan ternakan bernilai jutaan ringgit di ladang berkenaan.

Syarikatnya juga merupakan syarikat tunggal yang diberi kebenaran oleh kerajaan Indonesia untuk membawa masuk baka lembu jenis Barley yang mendapat permintaan tinggi di negara ini.

Di peringkat awal penglibatannya dalam bidang itu, Saipul tidak yakin dengan kebolehan dirinya mengurus ladang ternakan secara komersial.

“Dan hasilnya, memanglah benar bahawa bidang ternakan dan pertanian boleh memberi pulangan lumayan kepada mereka yang mahu melibatkan diri secara komersial dan sepenuh masa,” katanya sambil menyatakan, syarikatnya turut membawa masuk benih lembu dari Afrika Selatan dan Australia untuk pasaran tempatan.

Beliau berazam menjadikan anugerah yang dimenanginya sebagai perangsang untuk meluaskan lagi penglibatannya dalam bidang tersebut pada masa depan.

Saipul meminta rakan-rakan yang berkelulusan tinggi supaya tidak lagi memandang rendah bidang pertanian dan ternakan kerana perusahaan pengeluaran makanan sememangnya menjanjikan pulangan lebih baik jika mereka sanggup berusaha bersungguh-sungguh.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s