Pasar tani kekal



PASAR tani kekal jadi pusat sehenti pelbagai produk pertanian.

Kemudahan lengkap buat peniaga, pengunjung selesa

PERUBAHAN demi perubahan dapat dilihat pada konsep pasar tani sejak ia mula beroperasi pada 31 Januari 1985 di Larkin, Johor Bahru dan ketika itu, ia berkonsepkan pertemuan ‘pengeluar-pengguna’, berteraskan kepada jualan hasil pertanian saja secara terus kepada pengguna.

Ketika itu, kita melihat peniaga duduk di bawah payung pelbagai warna memasarkan hasil pertanian di tepi jalan, tanah lapang, tempat letak kereta dan di tepi bangunan dalam suasana tidak teratur dan sering berpindah randah.

Bermula dengan hanya 12 pasar tani, kini jumlahnya berkembang kepada 227 di seluruh pekan dan bandar dan terus menjadi pemangkin kepada petani untuk memasarkan hasil usaha mereka.

Malah, kewujudan pasar tani memberi peluang kepada 12,850 petani membabitkan diri dalam perniagaan berasaskan pertanian dengan jualan sebanyak RM374 juta setahun di seluruh negara.

Bagi memastikan pasar tani terus mendapat sambutan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) terus mengorak langkah mengubah wajah pasar tani sedia ada daripada sistem payung kepada menggunakan kanopi termasuk mewujudkan 65 pasar tani mega, tiga pasar tani borong, tiga pasar tani kekal dan 16 pasar tani desaraya.

MUSTAPA menyauk ikan patin dalam kolam selepas perasmian pasar tani kekal, Jerantut.

Pengerusi Fama, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin, berkata pasar tani muncul sebagai ruang pasaran alternatif kepada pengguna, tetapi disebabkan operasinya satu atau dua kali seminggu, ia tidak dapat memenuhi keperluan pemasar dan pengguna.

“Fama terus berusaha mewujudkan suasana dan dimensi baru terhadap pasar tani dengan mewujudkan pasar tani kekal terutama di bandar dan pekan besar yang mempunyai bilangan petani dan penduduk yang ramai.

“Petani akan duduk di bangunan kekal, ruang niaga lebih luas, selesa, kemas dan peragaan barangan lebih teratur di bawah satu bumbung,” katanya.

Perasmian pasar tani kekal pertama di Jerantut baru-baru ini membuktikan perubahan yang berlaku dan usaha Fama untuk meningkatkan taraf hidup petani, sekali gus mengurangkan masalah pemasaran hasil pertanian.

Pasar tani kekal Jerantut adalah yang pertama di negara ini berharga RM2.17 juta dan mula beroperasi September tahun lalu membabitkan 105 peserta.

Badruddin berkata, dua lagi pasar tani kekal sedang dibina di Bukit Gambir, Johor dan Guar Chempedak, Kedah.

Sementara itu, Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata aktiviti pertanian tidak lagi boleh dilihat sebagai usaha sampingan.

Katanya, sistem pemasaran yang cekap, dinamik dan berkesan bukan saja dapat menyelesaikan sebahagian besar kemelut pengeluaran, malah dapat memberi satu motivasi kepada seluruh sektor pertanian.

“Infrastruktur pemasaran yang moden dan cekap dapat memastikan pengedaran bekalan dapat dilakukan dengan cepat, sekali gus menjamin petani mendapat pasaran hasil pertanian mereka.

“Membangunkan pasar tani sedia ada kepada pasar tani kekal melalui Fama boleh memberi faedah kepada industri pertanian dalam jangka panjang dan kementerian berhasrat mewujudkan lima lagi yang dijangka disiapkan sebelum berakhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Infrastruktur pemasaran dilengkapi sistem operasi bersesuaian dapat memastikan pengedaran bekalan makanan negara, dilakukan dengan cepat, adil dan telus bagi menjamin petani mendapat pasaran hasil pertanian mereka pada harga menguntungkan dan pengguna dijamin bahan makanan berterusan dengan mutu dan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, usaha Fama melalui pembangunan pasar tani kekal ini berupaya menyediakan ruang pemasaran yang memberi faedah kepada industri pertanian dalam jangka panjang.

“Saya percaya, projek ini akan berperanan sebagai ‘pusat sehenti’ bagi pelbagai produk di bawah satu bumbung.

“Selain itu, ia juga menyediakan kemudahan untuk aktiviti promosi yang berupaya menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong yang melalui kawasan ini dalam perjalanan ke Taman Negara,” katanya.

Beliau juga meminta petani tidak lagi membungkus sayuran dengan surat khabar, sebaliknya dibalut dengan pembungkusan plastik bersih, sekali gus imej pasar tani yang menyediakan hasil pertanian segar dapat dipertingkatkan.

Katanya, usahawan tani perlu memastikan produk dihasilkan berkualiti, lebih kompetitif, selamat dimakan dan dapat bersaing dengan pengeluar lain khususnya pasar raya besar.

Sementara itu, seorang peniaga sayuran, Zarina Kassim, 36, yang berniaga di pasar tani sejak lima tahun lalu, menyifatkan pasar tani kekal ini amat selesa dan teratur.

“Dulu, saya terpaksa berpanas dan berhujan berniaga di kawasan pasar tani ditetapkan tetapi kini, semua itu tidak menjadi masalah lagi kerana bangunan kekal ini amat selesa,” katanya.

Pengunjung, Jamaludin Samsudin, 38, menyifatkan reka bentuk pasar ini amat menarik selain memberi keselesaan kepada pembeli kerana suasananya tenang dan bersih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s