Kuih tradisional jadi tumpuan

Jurujual, Wan Suhaida Salleh melayani pelanggan yang datang membeli kuih-muih di syarikat MHP Interprise, Sungai Besar, semalam.


SUNGAI BESAR 22 Sept. – Memasuki 10 hari terakhir Ramadan menyerlahkan lagi kemeriahan suasana Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Jika sebelum ini umat Islam tertumpu ke pasar-pasar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, kini keadaannya mula berubah apabila mereka lebih mengunjungi gerai-gerai yang menjual kuih raya pula.

Dan sejajar dengan minat orang ramai terhadap kuih-muih tradisional, MHP Enterprise yang mengeluarkan kuih-muih tradisional serta makanan ringan mula meningkatkan pengeluarannya bagi memenuhi permintaan orang ramai.

Kilang syarikat itu yang terletak di Parit 7 Sungai Leman Sekinchan di sini mula dikunjungi orang ramai untuk membeli kuih-muih yang sudah siap dibungkus atau membuat tempahan mengikut keperluan masing-masing.

Pengurus Jualan syarikat berkenaan, Musliha Punari berkata, sehingga kini, pihaknya terus menerima tempahan di samping mengadakan jualan terus.

Selain di kilang tersebut, produk syarikat juga boleh diperoleh di Pasir Penambang, Kuala Selangor dan di Pusat Pengumpulan Pertanian di Sungai Leman, Sabak Bernam.

Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat itu termasuk pelbagai jenis baulu, kuih ros, kuih sepit, kuih bunga bangkit santan, biskut Mazola, dodol, batang buruk dan sebagainya.

Makanan ringan yang dihasilkan pula ialah pelbagai jenis kerepek termasuk kerepek bawang, ubi dan pisang, pelbagai rempeyek, jejari udang dan bilis serta meruku.

Menurut Musliha, untuk memenuhi permintaan, pihaknya menambah tenaga pekerja dengan mengupah suri rumah dan ibu tunggal selain operasi kilang dilanjutkan hingga larut malam.

Katanya, kedatangan Aidilfitri setiap tahun pasti menambah rezeki syarikat itu dan penduduk sekitar berikutan permintaan dan hasil jualan meningkat berlipat kali ganda.

“Kebanyakan pelanggan datang sendiri ke kilang atau ke pusat jualan untuk membeli kuih-muih dan makanan ringan selain membuat tempahan terutama bagi pelanggan dari luar kawasan,” katanya.

Hamzah cipta keropok pisang

HAMZAH Sariwon menunjukkan produk keropok pisang di rumahnya di Felda Layang-Layang, Kluang, Johor, semalam.


KLUANG 22 Sept. – Seorang peneroka di Felda Layang-Layang di sini kini boleh berasa bangga kerana keropok pisang yang dihasilkan berjaya memberi pulangan pendapatan sampingan yang menguntungkan hingga RM1,200 sebulan.

Lebih membanggakan, ciptaannya itu mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya mencipta keropok pisang. Sebelum ini pisang hanya dijadikan kerepek.

Hamzah Sariwon, 57, yang lebih mesra dengan panggilan Wak berkata, beliau berbangga kerana berjaya mempelbagaikan makanan berkhasiat untuk dinikmati penggemar pisang selain menambahkan pendapatan keluarganya.

“Kira-kira dua tahun lalu, datang ilham pada awal pagi bila terfikir di Pantai Timur ada keropok ikan tetapi di sini (Johor) banyak pisang, jadi kenapa tidak dibuat keropok pisang,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Layang-Layang Kluang di sini, semalam.

Menurutnya, selepas itu beliau mengadunkan ramuan pisang masak yang dikupas lalu diuli dengan tepung ubi, gula, garam serta air lalu dibentuk seperti silinder.

Bapa kepada sembilan anak itu berkata, bahan kemudian dipotong menjadi kepingan bersaiz bulat lalu dijemur dan selepas kering digoreng untuk menjadi keropok pisang yang enak.

Menurutnya, beliau telah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengkomersialkan makanan ringan tersebut. Dengan sokongan jabatan-jabatan tersebut, Hamzah kemudian mengikuti kursus keusahawanan dan pembungkusan makanan sebelum memulakan perusahaannya dengan modal RM1,000.

Beliau seterusnya menerima pinjaman kewangan berjumlah RM6,000 daripada Felda dan dengan peruntukan itu dia membeli empat mesin menguli dan pemotong untuk membolehkan pengeluaran dilakukan secara besar-besaran.

“Pengeluaran peringkat awal secara manual mampu menghasilkan 100 kilogram (kg) keropok sebulan manakala jumlah pengeluaran menggunakan mesin mencecah 300 kg sebulan,” jelasnya.

Katanya, kesemua operasinya dilakukan di rumahnya dengan dibantu oleh dua orang pekerja dan nilai aset perusahaan itu kini sebanyak RM12,000.

Menurut Hamzah, nilai jualan produk itu mencecah RM2,400 sebulan dan kebanyakannya dipasarkan di seluruh negeri Johor.

Katanya, keropok pisang mentah dijual pada harga RM8 sekilogram manakala keropok yang digoreng berharga RM12 sekilogram.

“Bagaimanapun, pengeluaran saya masih tidak dapat menampung permintaan yang terlalu tinggi kerana maklum balas mendapati ramai yang menggemari keropok pisang ini,” katanya.

Justeru, beliau bercadang untuk mengetengahkan lagi produk tersebut dan bersedia berkongsi ilmu pengetahuan dengan usahawan yang mahu menceburkan diri menjual keropok pisang.

“Walaupun saya yang pertama membuat keropok pisang tetapi saya berharap lebih ramai lagi yang membuat keropok pisang kerana permintaannya terlalu tinggi di pasaran,” katanya.

Hamzah berkata, walaupun permintaan makanan itu meningkat dua kali ganda pada musim perayaan namun beliau hanya mampu mengeluarkan keropok pada kuantiti biasa ekoran masalah kekurangan bahan mentah pisang.

Orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan membuat keropok pisang boleh menghubungi Hamzah di talian 019-7418568.