Ubi jembut laris di Ayer Hitam

Fauziah Johan menunjukkan ubi jembut yang dijual di gerainya di Ayer Hitam, baru-baru ini.


BATU PAHAT 19 Sept. – Ubi kemili yang popular di kalangan masyarakat setempat dengan nama ‘ubi jembut’ kini menjadi tarikan baru di Pekan Ayer Hitam, di sini apabila makanan itu laris dijual setiap hari pada bulan Ramadan.

Ubi berkulit hitam dengan saiz seperti buah langsat itu terkenal dengan keenakannya apabila direbus sebagai juadah berbuka puasa dan ia kebanyakannya ditemui dijual di gerai-gerai Ayer Hitam dekat sini.

Seorang peniaga, Johan Sudin, 44, berkata, pelanggannya yang datang dari seluruh negeri rata-rata membeli ubi itu kerana di kawasan lain sukar ditemui.

“Bekalan ubi jembut ini dihantar oleh pembekal yang memungut hasil kampung di sekitar daerah ini dan saya tidak menyangka sambutannya amat menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Johan berkata, ubi yang juga dikenali dengan nama ubi tikus itu dijual dengan harga RM5 sekilogram dan dia mampu menjual antara lima hingga enam kilogram setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Peniaga lain, Fauziah Johan, 37, berkata, ubi jembut di gerainya juga laris dijual terutama pada cuti umum atau hujung minggu kerana jumlah pelanggan biasanya bertambah dua kali ganda pada hari berkenaan.

Katanya, dia bernasib baik kerana gerainya yang menjual ubi, keledek, pisang dan pelbagai jenis kerepek setakat ini tidak terputus bekalan kerana stok disediakan dengan baik daripada pembekal termasuk Jabatan Pertanian daerah.

“Ubi ini memang terkenal di kalangan masyarakat setempat dan pada waktu ini orang luar daerah ini pun menggemarinya untuk dimakan dengan kelapa parut, gula atau garam selepas direbus,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, rata-rata peniaga di kawasan itu menantikan jualan pada 10 hari terakhir sebelum Aidilfitri yang dijangka bakal mencatatkan jualan berlipat kali ganda.

Peniaga kerepek, Nurina Kasmuri, 35, pula berkata, kedatangan Syawal memang dinanti-nantikan oleh peniaga di kawasan tersebut kerana barangan di gerainya biasanya habis dijual.

“Inilah masanya pengunjung akan membeli dalam kuantiti yang banyak sebagai persediaan menyambut hari lebaran,” katanya.

Seorang penjual kerepek, Nur Azizah Kaliman, 37, pula berkata, dia berharap jualan pada sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini seperti tahun lalu yang berlipat kali ganda.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, pendapatan yang diperoleh sekali ganda, harapan saya, biarlah tahun ini begitu juga,” katanya yang mengakui kini perniagaan kurang menggalakkan kerana kesan daripada kenaikan harga minyak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s