Bina bengkel cendawan dari bahan terbuang

ALOR STAR 14 Sept. – Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Itulah perumpamaan yang menjadi pegangan Nordin Ahmad yang kini muncul sebagai pengusaha cendawan tiram berjaya.

Nordin, 48, yang tidak pernah kenal erti patah semangat, gigih mengusahakan tanaman itu walaupun tidak mempunyai sebarang peralatan yang moden dan canggih.

Bapa kepada tiga orang anak itu cuma menggunakan kreativiti sendiri mencari barang-barang terpakai untuk membina sebuah bengkel bagi menempatkan tanaman yang semakin disukai ramai itu.

Nordin sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori nekad menjual lorinya dengan harga RM21,000 untuk dijadikan modal permulaan.

Pada awal tahun lalu, dia berjaya membina sebuah bengkel yang boleh memuatkan sehingga kira-kira 20,000 beg cendawan.

”Saya cari semua bahan-bahan terpakai seperti kayu, asbestos dan kanvas yang dibuang penduduk di sekitar kampung untuk membina bengkel ini.

”Malah, tempat untuk mengukus (wap) beg-beg yang telah diisi dengan benih juga saya gunakan tong-tong minyak yang tidak digunakan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hasilnya, dia kini mempunyai 15,000 beg cendawan yang sedia untuk dituai pada bila-bila masa.

”Walaupun saya buat secara kecil-kecilan tapi saya berpuas hati kerana kualiti cendawan saya setanding dengan cendawan lain yang penanamannya menggunakan peralatan yang lebih moden dan canggih.

”Malah, ada juga pelanggan datang terus membeli di rumah selain dijual di pasar sekitar daerah ini,” katanya yang membina bengkel ini bersebelahan rumahnya di Bukit Tinggi, Kepala Batas di sini.

Tambahnya, permintaan cendawan tiram yang mempunyai rasa seakan-akan ayam goreng itu amat menggalakkan sehingga melebihi penawaran dan dia sering kehabisan stok walaupun ia dituai antara lapan hingga 10 kali dalam sehari.

Menurutnya, dia yang berhasrat membesarkan perusahaannya sering kali terbatas disebabkan tenaga kerja yang terhad.

”Saya mengusahakan tanaman ini secara manual. Campuran habuk kayu, dedak dan kapur pertanian diisi dalam beg-beg plastik hanya mengguna tulang empat kerat ini.

”Saya hanya mampu menyiapkan 500 beg dalam sehari. Ternyata jumlah itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan permintaan yang semakin hari semakin meningkat,” jelasnya.

Dia pernah berusaha untuk mendapatkan dana dan peralatan yang lebih moden daripada beberapa jabatan kerajaan namun sehingga kini permohonan tersebut masih belum menampakkan hasil.

Dalam pada itu, dia tetap bersyukur kerana hasratnya untuk meneruskan perniagaan tersebut menarik minat anak gadisnya, Nur Hidayah, 21, yang mempunyai kelulusan Diploma Elektronik.

”Sedikit sebanyak, dapatlah meringankan tugas saya kerana Nur Hidayah juga cepat belajar dan boleh diharap untuk mengusahakan tanaman ini,” ujarnya yang menggunakan rak ciptaannya untuk penanaman cendawan tersebut.

Ternak lebah madu boleh bantu hapus kemiskinan

MATUNGGONG: Projek penternakan lebah madu berpotensi untuk meningkatkan pendapatan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) di Sabah, selain dikembangkan kepada masyarakat luar bandar dalam membantu usaha kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan, berkata program ternakan lebah madu yang dikendalikan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) di beberapa daerah di Sabah bukan saja mampu membebaskan KIRMT daripada garis kemiskinan, malah memberi pendapatan lumayan.

“Istimewanya menternak lebah madu ialah ia tidak perlu diusahakan sepenuh masa dan KPD turut memberi latihan kepada mereka yang berminat.

“Ia termasuk membekalkan peserta dengan peralatan menternak dan menuai selain diberi kursus berkaitan penternakan lebah madu,” katanya ketika melawat Kilang Pemprosesan Madu Lebah di pekan Sikuati, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong, Sarapin Magana; Adun Kiulu, Datuk Louis Rampas dan Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Yusof Osman.

Ketika ini, seramai 300 peserta mengikuti program KPD secara kontrak dalam program pembasmian kemiskinan di Matunggong.

Program pembasmian kemiskinan itu membabitkan peruntukan RM13.1 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek penternakan lebah madu 2007-2009.

Tahun ini, KPD mengenal pasti 250 peserta KIRMT dengan peruntukan RM4.1 juta juta manakala 250 peserta lagi akan terbabit tahun depan.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, ramai penternak lebah madu berjaya di daerah berkenaan termasuk Francis Magopal yang menjadi Penternak Contoh 2007 dengan pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan.

“Saya difahamkan ramai penternak berjaya mendapat pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

“Justeru, program ternakan lebah madu harus dimanfaatkan penduduk luar bandar kerana ia berpotensi besar selain mendapat permintaan tinggi,” katanya.