Sawi, cili keutamaan Ladang Rakyat

SEREMBAN 10 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sayur jenis sawi dan cili adalah antara yang menjadi keutamaan untuk ditanam di Ladang Rakyat seluruh Negeri Sembilan.

Kata beliau, projek tanaman itu merupakan skim pintar yang diperkenalkan kerajaan negeri untuk menggalakkan orang ramai menceburi sektor pertanian sayur- sayuran.

Menurutnya, ia juga bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negeri dan menjualnya pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

”Kita dapati harga bagi dua jenis sayuran itu naik begitu mendadak dan ada yang dijual sehingga RM5 hingga RM8 sekilogram. Ini melampau dan terlalu tinggi,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Jelas Mohamad lagi, melalui skim pintar di Ladang Rakyat itu, penanaman sayur dilakukan secara meluas dan berupaya mengawal kadar harga yang terlalu tinggi.

”Harga sayur-sayuran dari Ladang Rakyat pula sekurang-kurangnya 15 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, konsep Ladang Rakyat mula menunjukkan kejayaan apabila Jabatan Pertanian menjual hasilnya di pejabat kerajaan pada harga 15 peratus lebih rendah berbanding pasaran sejak lebih tiga minggu lalu.

Mohamad bagaimanapun memberitahu, beliau masih kecewa kerana tidak ramai berminat menyertai Ladang Rakyat sedangkan kemudahan seperti tanah, pagar, bajak dan baja disediakan kerajaan untuk pusingan pertama.

”Individu berminat hanya perlu menanam sayur-sayuran dan membayar sewa pada kadar berpatutan.

”Malah, peserta juga mendapat nasihat dan bimbingan serta jentera daripada Jabatan Pertanian dan hasil tanaman mereka boleh dipasarkan sendiri atau diuruskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama),” kata beliau.

Setakat ini, tiga daerah sudah melaksanakan Ladang Rakyat membabitkan kawasan tanaman seluas kira-kira 60 hektar iaitu Air Baning, Jelebu; Selaru, Kuala Pilah dan Sungai Dua, Tampin yang sudah mula mengeluarkan hasil seperti kangkung, tomato, cili, bayam, bendi dan kacang panjang.

”Masih banyak lagi kawasan yang akan dibuka untuk tujuan Ladang Rakyat dan kita berharap sambutan di kalangan orang ramai akan diperoleh selepas segala kemudahan disediakan oleh kerajaan,” tegas beliau.

One thought on “Sawi, cili keutamaan Ladang Rakyat

  1. Setelah membaca artikel terbabit, ianya menarik minat saya, Lebih-lebih lagi ianya di kawasan kamoung saya.

    Saya ingin mendapatkan maklumat lanjut. Bagaimana untuk memohon.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s