Sanggup berkorban demi minat dalam pertanian

AYER HITAM 10 Sept. – Bermandi keringat di bawah pancaran sinar matahari dan bergelumang dengan tanah, sedikit pun tidak mematahkan semangat para graduan Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) untuk bergelar usahawan tani yang berjaya.

Bagi mereka, apa yang penting adalah mencari seberapa banyak ilmu dan pengalaman untuk melaksanakan projek pertanian moden kerana bidang itu mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Seorang graduan, Azman Ishak, 28, pemegang Diploma Elektronik Pengguna – Konsumer dari Institut Kemahiran Mara Johor Bahru, menganggap penglibatannya dalam PUGM adalah sesuatu yang menyeronokkan.

Berasal dari Felda Penggeli Timur, Kulai, Azman menambah, kepuasan dirasai apabila melihat benih yang disemai membesar di hadapan mata sehingga membuahkan hasil.

“Di sini pelbagai teknik pertanian moden kami pelajari dan lama-kelamaan menjadi lebih teruja untuk mendapatkan tapak projek sendiri apabila pinjaman diluluskan nanti,” katanya tersenyum.

Penggunaan sistem moden dalam pertanian bagi Azman, amat menarik dan kepakarannya dalam bidang elektronik turut membantu mengembangkan idea sedia ada.

Dahulu katanya, dia bekerja di sebuah kilang sebagai juruteknik tetapi pertanian lebih memberikan kepuasan tambahan pula di kampung dia juga suka bercucuk-tanam di sekeliling rumahnya.

Amri Zainal, 25, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UTM), Skudai, Johor dua tahun lalu, penglibatannya dalam bidang pertanian moden kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.

Meskipun tidak pernah mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian tetapi anak muda ini sentiasa ingin belajar dan menjadikan bidang baru itu sebagai hala tuju masa depannya.

Pernah bekerja sebagai jurulatih rekreasi selama setahun, Amri bertekad untuk menjadi usahawan tani glokal yang lebih berjaya pada masa hadapan.

“Di sini banyak ilmu yang saya peroleh dan semakin hari ia semakin menarik kerana saya boleh mempraktikkan apa yang dipelajari di universiti dulu dalam bidang pertanian ini,” jelasnya.

Mohd. Azri Hamili, 30, pula sanggup berhijrah ke sini semata-mata untuk mempelajari ilmu pertanian moden dan meninggalkan kampung halamannya di Kundasang, Sabah demi mencapai cita-cita sebagai usahawan tani berjaya.

Menariknya dia sanggup meninggalkan ladang kobis, tomato dan sawi di kawasan seluas 2.4 hektar di kampung kerana ingin menimba lebih banyak ilmu dalam bidang pertanian di sini.

Pemegang Diploma Automotif dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Sabah itu begitu teruja, apabila dapat menjadi sebahagian daripada ahli PUGM yang nyata mempunyai visi dan misi lebih cemerlang pada masa akan datang.

Anak muda yang baru dua bulan menyertai PUGM itu melahirkan rasa kagum dengan projek pertanian moden PUGM dan tidak akan melepaskan peluang untuk mempelajari serta mempraktikkan apa yang dipelajarinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s