PUGM pencetus graduan tani


Buah naga yang dihasilkan oleh PUGM ini dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negara.


AYER HITAM 10 Sept. – Melahirkan usahawan berkualiti dan mengetepikan gambaran buruk terhadap graduan dalam sektor pertanian, berbanding mereka yang makan gaji, menjadi objektif Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang pertanian secara komersial.

Presiden PUGM, Muzamir Mustafa, 39, berkata, kesemua graduan yang menyertai PUGM adalah mereka yang sememangnya meminati bidang pertanian tetapi tidak mempunyai modal untuk meneruskan minat masing-masing.

Menurut Muzamir, di PUGM, mereka dibiayai oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Mara dan Agro Bank yang mengiktiraf modul program PUGM dengan pinjaman permulaan RM50,000 seorang di bawah projek perintis usahawan tani Kementerian Belia dan Sukan.

Setiap graduan yang mendaftar sebagai ahli akan diberi kursus sebelum boleh memulakan projek pertanian dan sementara menunggu kelulusan dalam tempoh dua bulan, mereka akan ditempatkan di tapak projek PUGM di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK).

“Mereka akan diberi pendedahan mengenai teknik tanaman secara moden selain penjagaan dan bagaimana mahu menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan kerana pertanian mampu mendatangkan hasil lumayan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Ujarnya, selama dua bulan itu graduan akan diberi elaun RM500 seorang dan apabila pinjaman diluluskan, mereka akan diberi satu tapak dengan rumah lindungan hujan untuk memulakan projek pertanian moden.

Pada masa ini, Muzamir berkata, PUGM mempunyai tanaman buah naga dan rock melon di tapak seluas 20 hektar di PPMK yang telah mengeluarkan hasil sejak diusahakan dua tahun lalu.

Setakat ini katanya, PUGM telah melahirkan 10 usahawan tani yang berjaya dan boleh dicontohi di negara ini.

Bagi graduan yang telah berjaya katanya, pihak Mara dan Agro Bank tidak akan teragak-agak untuk memberi pembiayaan berterusan sekiranya rekod pembiayaan terdahulu mencatat pembayaran balik yang baik.

“Mereka boleh mendapat pembiayaan sehingga RM300,000 sekiranya rekod bagus dan berpotensi untuk berkembang maju,” katanya.

Menurut Muzamir, setakat ini terdapat 500 ahli PUGM di seluruh negara yang melibatkan diri dalam bidang penternakan dan tanaman pelbagai hasil pertanian secara moden.

Beliau yang juga baru setahun dilantik sebagai Pengerusi PPMK mempunyai wawasan tersendiri iaitu untuk mendirikan calet bagi memuatkan 50 peserta kursus pada satu-satu masa di kawasan seluas 0.2 hektar di tapak projek PUGM itu.

Tambahnya, ia akan dijadikan tempat kuliah serta kursus di ladang dan tempat pengumpulan hasil ladang yang diselenggarakan oleh PUGM Holding Sdn. Bhd., sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan dan luar negara termasuk Singapura.

Beliau memberitahu, PUGM juga akan memperkenalkan beberapa produk keluarannya sendiri seperti buah naga, teh dan kopi buah naga serta biskut yang telah diperkenalkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang baru-baru ini.

Katanya, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan dan pelancaran produk PUGM itu dijangka dibuat pada November nanti.

Bagi para graduan yang berminat untuk menyertai PUGM boleh melayari laman web www.pugm.net atau menghubungi 03-82101208. Yuran penyertaan adalah RM50 setahun.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s