Membuat putu kacang tidak semudah dilihat

Muhamad Sharif menekan tepung kacang hijau ke dalam acuan kayu cengal berusia 100 tahun.


KENANGAN menolong emak membuat kuih putu kacang semasa kanak-kanak dahulu kembali segar ketika berkunjung ke rumah Muhamad Sharif Othman, 40, di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Semasa sampai di rumahnya, Muhamad Sharif yang sedang bercuti, sedang duduk berehat di laman rumah. Di hadapannya, ada dua dulang besar kuih putu kacang yang sedang dijemur.

Sambil mempersilakan penulis masuk, Muhamad Sharif berkata, putu kacang lebih cantik warnanya jika dijemur selama satu atau dua hari, bergantung pada cuaca. Jika cukup panas, sehari sudah memadai tetapi jika hari hujan, ia perlu dijemur selama dua hari.

Kakitangan am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini sudah empat tahun membuat putu kacang untuk dijual bagi menyambut Hari Raya.

Namun sebenarnya mengikut kata Muhamad Sharif, beliau sudah mula menolong arwah neneknya membuat putu kacang sejak berumur 10 tahun lagi.

Waktu itu, mereka tinggal di Kampung Pasir, Setapak, Kuala Lumpur dan arwah neneknya yang 15 tahun berniaga putu kacang memang dikenali kerana keenakan kuih tradisional yang dihasilkannya. Setiap kali hendak menyambut raya, mereka akan sibuk menyiapkan tempahan putu kacang.

Tempoh itulah juga memahirkan Muhamad Sharif membuat putu kacang sambil berniaga pada guru-guru di sekolahnya dan di pejabat-pejabat kerajaan di Kuala Lumpur.

“Putu kacang ini merupakan sejenis kuih yang terkenal di Selangor. Jika di Melaka, orang memanggil kuih ini sebagai kuih koya,’’ kata bapa kepada empat orang anak yang berasal dari Asam Jawa, Kuala Selangor ini.

Muhamad Sharif yang tidak lokek berkongsi cara hendak membuat putu kacang mengakui untuk membuatnya tidak susah kerana resipinya ada dalam kepalanya.

Mendengar beliau menuturkan satu persatu bahan dan cara hendak membuat putu kacang, penulis lantas terfikir tidak ramai yang mungkin mahu membuat kuih tersebut.

“Bahan-bahannya tidak banyak, cuma kacang hijau dan gula halus sahaja.

“Mula-mula asingkan kacang hijau daripada bahan asing seperti batu, kulit luar dan sebagainya. Kemudian basuh bersih dan sangai (goreng tanpa minyak) hingga garing tapi jangan sampai hitam.

“Selepas itu giling semasa masih panas dengan batu giling yang di bawahnya dilapik dengan guni bersih bagi menanggalkan kulit hijau kacang itu.

“Kacang yang digiling tadi perlu ditampi bagi membuang kulitnya. Lepas itu baru dihantar ke kedai kisar bagi mengisar halus kacang hingga menjadi tepung,’’ jelas Muhamad Sharif.

Tambahnya, dua mangkuk tepung kacang hijau perlu dicampurkan dengan satu mangkuk gula halus dan diuli sambil direnjis-renjis dengan air suam. Kerja menguli ini pun mengambil masa selama dua jam supaya tepung dapat diuli rata.

Sebaik-baiknya embunkan tepung yang diuli itu semalaman tetapi jika tidak mahu diembunkan, lebihkan air renjisan. Tepung yang terlebih air renjisan pula perlu dijemur beberapa hari.

Menurut Muhamad Sharif, tepung tersebut hendaklah dipastikan boleh dikepal dan kemudian ditekan-tekan di dalam acuan hingga padat. Potong lebihan tepung menggunakan pisau dan sapu permukaan yang dipotong tadi dengan tepung kacang hijau yang tidak bercampur gula.

‘Pastikan tepung yang ditekan tadi betul-betul padat dan ketuk putu keluar. Susun dalam dulang hingga penuh dan jemur. Putu kacang ini walaupun tidak dibakar tetapi boleh tahan lama sehingga Hari Raya Haji,’’ katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Sapinah Halip, 40 tahun.

Beliau menggunakan dua batang acuan besar putu kacang yang dibuat daripada kayu cengal berusia lebih 100 tahun yang diwarisinya daripada moyang dan mentua.

Empat batang acuan kayu kecil yang mempunyai corak dan ukiran halus, iaitu corak limau mandarin, bunga sakura, mangga siam, strawberi, daun kelapa dan kipas turut digunakan.

Tambahnya, rasa putu kacang tradisional ini berbeza dengan putu kacang moden kerana putu kacang moden menggunakan tepung yang siap dikisar di kedai dan tidak disangai.

Muhamad Sharif menerima tempahan membuat putu kacang saiz kecil sehingga 3,000 keping sementara 500 keping bagi acuan besar yang terdiri daripada kepala bunga dan empat keping kelopak.

Bagi 100 keping putu kacang kecil dijualnya pada harga RM40, manakala putu kacang besar berharga RM4 bagi satu set lima keping.

Katanya, mungkin ramai yang tidak pernah melihat putu kacang besar. Sebenarnya putu kacang besar ini mempunyai cerita dan peranan tersendiri di dalam adat Melayu.

“Putu kacang besar ini dahulunya dijadikan kepala hidang di atas meja semasa Hari Raya. Orang bujang yang pergi beraya di rumah yang ada anak dara dan berkenan pula dengan gadis tersebut akan meletakkan duit sebanyak RM10 atau ikut kemampuan pada kepala hidang itu.

“Kemudian tuan rumah akan ambil kepala hidang dan bawa ke dapur. Tuan rumah akan ambil sebahagian kepala hidang dan beri semula kepada orang bujang itu, tandanya tuan rumah bersetuju menerimanya. Orang bujang tersebut akan pulang dan berbincang bersama keluarga dan menyusul pinangan secara rasmi,’’ jelas Muhamad Sharif.

Selain putu kacang, ada juga yang membuat baulu kepala ikan besar, halwa betik atau kek sebagai kepala hidang. Bagaimanapun pada hari ini kita tidak dapat lagi melihat kepala hidang seperti ini semasa berkunjung ke rumah orang.

Muhamad Sharif turut membuat kuih tradisional lain seperti kacau keledek, kacau labu, kacau kacang hijau dan kacau kacang tanah bagi pelanggan yang menempah untuk hantaran perkahwinan juga Hari Raya.

Jika ada yang hendak merasa putu kacang Muhamad Sharif, boleh menghubunginya di 017-6413369.

One thought on “Membuat putu kacang tidak semudah dilihat

  1. semalam puas saya buat putu kacang tapi tak menjadi.tapi saya buat tak sama ngan kedai jual.dia tak nampak kuning,nampak gelap skit.kalu tak keberatan tolong lah ye

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s