Goji buah kuno yang berharga

JIKA berbicara mengenai buah goji, ia mungkin asing kepada sesetengah golongan masyarakat di negara ini.

Namun, buah tersebut sebenarnya telah digunakan secara meluas oleh penduduk dunia terutama dari daerah Ningxia, China sejak beribu-ribu tahun dahulu untuk tujuan kesihatan.

Di Ningxia, lebih 90 peratus populasi penduduknya beragama Islam dan mereka telah mengamalkan goji sebagai makanan harian untuk kekal sihat dan menjalankan kehidupan yang aktif.

Goji atau nama saintifiknya Lycium barbarum merupakan sejenis tumbuhan herba yang berasal dari Banjaran Tibet dan Banjaran Himalaya.

Secara tradisionalnya, buah goji dipercayai mengandungi banyak khasiat untuk tubuh badan manusia serta mampu membantu merawat pelbagai jenis penyakit.

Ini kerana ia dikatakan mempunyai bahan antioksida yang tinggi berbanding buah-buahan atau sayur-sayuran lain seperti strawberi, oren, rasberi dan lobak.

Di Malaysia, sebuah syarikat tempatan, Health Builders telah menerajui industri penghasilan serta pemasaran produk-produk kesihatan berasaskan buah goji.

Menurut salah orang pengusaha, Zaini Basir, produk kesihatan keluaran syarikatnya itu telah mula dipasarkan sejak dua tahun lalu.

‘‘Sebenarnya, idea penghasilan produk goji ini telah diambil daripada penggunaan jus goji oleh penduduk di Amerika Syarikat

‘‘Kita mendapati jus tersebut memberi banyak khasiat kepada penggunanya. Jadi untuk mendapatkan ramuan yang terbaik, kita telah menghantar saintis ke China untuk menjalankan kajian dan mencari formula mengenai produk tersebut,’’ katanya.

Zaini berkata, selain antioksida, buah goji juga kaya dengan 18 jenis asid amino, 21 jenis bahan mineral seperti zink, germanium dan protein serta vitamin B1, B2, B6 malah vitamin E dalam sebiji buah goji adalah bersamaan dengan 500 biji buah oren.

Kesemua khasiat tersebut dipercayai mampu meningkatkan tahap kesihatan pengamalnya.

Antara produk minuman kesihatan yang dihasilkan adalah seperti Goji Soya, Goji ekstra, Teh Goji, Kopi Goji dan Goji Guarana.

Khasiat yang ditawarkan oleh produk-produk tersebut sangat sesuai untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak sehingga dewasa.

Goji Soya sangat sesuai untuk meningkatkan daya ingatan kanak-kanak, sementara Goji Guarana baik untuk meningkatkan tenaga dan stamina.

‘‘Buah guarana sangat terkenal dan digunakan secara meluas di Brazil sebagai makanan pemberi tenaga.

‘‘Jadi kita ambil kelebihan pada buah guarana ini untuk dicampurkan bersama buah goji bagi menambahkan lagi khasiatnya,’’ katanya.

Dari segi penggunaannya pula, pengguna dinasihatkan supaya mengambil minuman berkenaan ketika waktu rehat seperti sebelum tidur.

Ini kerana jika pengguna mengambilnya ketika waktu aktif, bahan pada buah goji tersebut sukar untuk bertindak balas.

Pengguna yang berminat untuk membeli atau menjadi pengedar produk tersebut boleh layari laman web www.goji.com atau hubungi talian 016-2371340.

Membuat putu kacang tidak semudah dilihat

Muhamad Sharif menekan tepung kacang hijau ke dalam acuan kayu cengal berusia 100 tahun.


KENANGAN menolong emak membuat kuih putu kacang semasa kanak-kanak dahulu kembali segar ketika berkunjung ke rumah Muhamad Sharif Othman, 40, di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Semasa sampai di rumahnya, Muhamad Sharif yang sedang bercuti, sedang duduk berehat di laman rumah. Di hadapannya, ada dua dulang besar kuih putu kacang yang sedang dijemur.

Sambil mempersilakan penulis masuk, Muhamad Sharif berkata, putu kacang lebih cantik warnanya jika dijemur selama satu atau dua hari, bergantung pada cuaca. Jika cukup panas, sehari sudah memadai tetapi jika hari hujan, ia perlu dijemur selama dua hari.

Kakitangan am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini sudah empat tahun membuat putu kacang untuk dijual bagi menyambut Hari Raya.

Namun sebenarnya mengikut kata Muhamad Sharif, beliau sudah mula menolong arwah neneknya membuat putu kacang sejak berumur 10 tahun lagi.

Waktu itu, mereka tinggal di Kampung Pasir, Setapak, Kuala Lumpur dan arwah neneknya yang 15 tahun berniaga putu kacang memang dikenali kerana keenakan kuih tradisional yang dihasilkannya. Setiap kali hendak menyambut raya, mereka akan sibuk menyiapkan tempahan putu kacang.

Tempoh itulah juga memahirkan Muhamad Sharif membuat putu kacang sambil berniaga pada guru-guru di sekolahnya dan di pejabat-pejabat kerajaan di Kuala Lumpur.

“Putu kacang ini merupakan sejenis kuih yang terkenal di Selangor. Jika di Melaka, orang memanggil kuih ini sebagai kuih koya,’’ kata bapa kepada empat orang anak yang berasal dari Asam Jawa, Kuala Selangor ini.

Muhamad Sharif yang tidak lokek berkongsi cara hendak membuat putu kacang mengakui untuk membuatnya tidak susah kerana resipinya ada dalam kepalanya.

Mendengar beliau menuturkan satu persatu bahan dan cara hendak membuat putu kacang, penulis lantas terfikir tidak ramai yang mungkin mahu membuat kuih tersebut.

“Bahan-bahannya tidak banyak, cuma kacang hijau dan gula halus sahaja.

“Mula-mula asingkan kacang hijau daripada bahan asing seperti batu, kulit luar dan sebagainya. Kemudian basuh bersih dan sangai (goreng tanpa minyak) hingga garing tapi jangan sampai hitam.

“Selepas itu giling semasa masih panas dengan batu giling yang di bawahnya dilapik dengan guni bersih bagi menanggalkan kulit hijau kacang itu.

“Kacang yang digiling tadi perlu ditampi bagi membuang kulitnya. Lepas itu baru dihantar ke kedai kisar bagi mengisar halus kacang hingga menjadi tepung,’’ jelas Muhamad Sharif.

Tambahnya, dua mangkuk tepung kacang hijau perlu dicampurkan dengan satu mangkuk gula halus dan diuli sambil direnjis-renjis dengan air suam. Kerja menguli ini pun mengambil masa selama dua jam supaya tepung dapat diuli rata.

Sebaik-baiknya embunkan tepung yang diuli itu semalaman tetapi jika tidak mahu diembunkan, lebihkan air renjisan. Tepung yang terlebih air renjisan pula perlu dijemur beberapa hari.

Menurut Muhamad Sharif, tepung tersebut hendaklah dipastikan boleh dikepal dan kemudian ditekan-tekan di dalam acuan hingga padat. Potong lebihan tepung menggunakan pisau dan sapu permukaan yang dipotong tadi dengan tepung kacang hijau yang tidak bercampur gula.

‘Pastikan tepung yang ditekan tadi betul-betul padat dan ketuk putu keluar. Susun dalam dulang hingga penuh dan jemur. Putu kacang ini walaupun tidak dibakar tetapi boleh tahan lama sehingga Hari Raya Haji,’’ katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Sapinah Halip, 40 tahun.

Beliau menggunakan dua batang acuan besar putu kacang yang dibuat daripada kayu cengal berusia lebih 100 tahun yang diwarisinya daripada moyang dan mentua.

Empat batang acuan kayu kecil yang mempunyai corak dan ukiran halus, iaitu corak limau mandarin, bunga sakura, mangga siam, strawberi, daun kelapa dan kipas turut digunakan.

Tambahnya, rasa putu kacang tradisional ini berbeza dengan putu kacang moden kerana putu kacang moden menggunakan tepung yang siap dikisar di kedai dan tidak disangai.

Muhamad Sharif menerima tempahan membuat putu kacang saiz kecil sehingga 3,000 keping sementara 500 keping bagi acuan besar yang terdiri daripada kepala bunga dan empat keping kelopak.

Bagi 100 keping putu kacang kecil dijualnya pada harga RM40, manakala putu kacang besar berharga RM4 bagi satu set lima keping.

Katanya, mungkin ramai yang tidak pernah melihat putu kacang besar. Sebenarnya putu kacang besar ini mempunyai cerita dan peranan tersendiri di dalam adat Melayu.

“Putu kacang besar ini dahulunya dijadikan kepala hidang di atas meja semasa Hari Raya. Orang bujang yang pergi beraya di rumah yang ada anak dara dan berkenan pula dengan gadis tersebut akan meletakkan duit sebanyak RM10 atau ikut kemampuan pada kepala hidang itu.

“Kemudian tuan rumah akan ambil kepala hidang dan bawa ke dapur. Tuan rumah akan ambil sebahagian kepala hidang dan beri semula kepada orang bujang itu, tandanya tuan rumah bersetuju menerimanya. Orang bujang tersebut akan pulang dan berbincang bersama keluarga dan menyusul pinangan secara rasmi,’’ jelas Muhamad Sharif.

Selain putu kacang, ada juga yang membuat baulu kepala ikan besar, halwa betik atau kek sebagai kepala hidang. Bagaimanapun pada hari ini kita tidak dapat lagi melihat kepala hidang seperti ini semasa berkunjung ke rumah orang.

Muhamad Sharif turut membuat kuih tradisional lain seperti kacau keledek, kacau labu, kacau kacang hijau dan kacau kacang tanah bagi pelanggan yang menempah untuk hantaran perkahwinan juga Hari Raya.

Jika ada yang hendak merasa putu kacang Muhamad Sharif, boleh menghubunginya di 017-6413369.

‘Coconut King’ takluk pasaran

KELAPA muda semakin sukar diperoleh bekalannya kerana mempunyai permintaan yang tinggi. – Gambar hiasan


SANTAN dihasilkan daripada buah kelapa tua bukan sahaja popular digunakan sebagai bahan utama dalam masakan lauk-pauk dan kuih-muih oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia tetapi boleh dipelbagaikan kegunaannya dalam industri makanan.

Isi kelapa tua selain mengeluarkan santan, boleh juga digunakan untuk membuat kerisik, sambal kelapa, inti kuih-muih, gula-gula dan manisan.

Bagi kelapa muda pula, isi dan airnya cukup digemari kerana keenakan rasa serta kesegarannya, malah air kelapa dipercayai boleh menyejukkan badan dan membantu merawat penyakit demam campak.

Menyedari buah kelapa mempunyai pelbagai kegunaan, seorang pemandu lori berasal dari Sitiawan, Perak mencuba nasib mengusahakan perniagaan memborong dan menjual produk berasaskan kelapa kira-kira 12 tahun lalu.

A. Mazivanan, 51, yang popular dengan gelaran ‘Coconut King’ di kalangan pelanggannya di Pulau Pinang memberitahu, beliau yang dilahirkan dalam keluarga susah pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk memandu lori sebelum mengusahakan perniagaan berasaskan kelapa.

Menurut Mazivanan, pembabitannya dalam perniagaan menjual produk berasaskan kelapa bermula apabila beliau bertemu seorang rakan di Seremban, Negeri Sembilan yang memintanya menjadi pembekal buah kelapa kepadanya.

“Semasa bekerja sebagai pemandu lori, saya telah didatangi oleh seorang rakan di Seremban yang meminta saya membantu membekalkan buah kelapa kepadanya memandangkan negeri Perak merupakan pengeluar buah kelapa utama negara.

“Saya bersetuju tetapi berhenti menjadi pembekal apabila sering ditipu. Oleh kerana sudah ‘jatuh cinta’ dengan buah kelapa, saya mengambil keputusan membuka kedai menjual buah kelapa dan segala produk berasaskan kelapa di Pulau Pinang,” katanya.

Bermula dengan kedai tersebut, dia sedikit demi sedikit mengumpul modal dan berjaya mengembangkan perniagaannya dengan membuka lima lagi kedai cawangan ketika ini iaitu empat di Perak dan sebuah di Klang, Selangor.

Lebih membanggakan, Mazivanan merupakan seorang yang kreatif berjaya mencipta satu produk makanan baru berasaskan kelapa yang cukup popular dan digemari ramai iaitu kelapa jeli menggunakan jenama ‘MAE Kelapa Jelly’ pada 2001.

Bagi yang pernah menikmati kelapa jeli keluaran Mazivanan, pasti terasa ingin mencuba lagi kerana keenakannya yang tiada tandingan.

Kelapa jeli yang dinikmati secara sejuk ini cukup enak rasanya kerana mengandungi campuran air kepala muda jenis pandan yang terkenal berbau harum dan mempunyai rasa manis.

“Sejak mengusahakan perniagaan memborong dan menjual buah kelapa, saya sering mencuba pelbagai teknik untuk mempelbagai produk keluaran untuk dikomersialkan.

“Semasa menjual santan kelapa, saya berjaya mencipta mesin yang mampu memerah santan dengan bersih, berkualiti dan tahan lama.

“Selepas itu, saya cuba menghasilkan kelapa jeli. Saya buat uji kaji selama tujuh bulan sehinggalah berjaya menghasilkan MAE Kelapa Jelly yang kini berjaya menambat hati orang ramai,” katanya.

Apabila MAE Kelapa Jelly semakin mendapat permintaan, Mazivanan mengambil keputusan membuka sebuah kilang khusus memproses kelapa jeli dan sebuah kafetaria menyajikan kelapa jeli di No. 45, Persiaran PM 2/3, Pusat Bandar Seksyen 2, Seri Manjung, Perak.

Selain menjual di warung-warung, kelapa jeli keluaran Mazivanan turut mendapat permintaan daripada pengusaha restoran di hotel dan padang golf serta pasar raya.

Kelapa jeli ini dijual dengan harga RM3 sebiji di kilang dan RM3.50 di pasaran biasa. Memandangkan ia tidak dicampur dengan bahan pengawet, maka buah kelapa jeli ini perlu disimpan dalam peti sejuk dan hanya mampu bertahan selama seminggu.

Meskipun MAE Kelapa Jelly mendapat permintaan menggalakkan, Mazivanan terpaksa mengehadkan pengeluaran antara 700 hingga 1,000 biji seminggu kerana masalah mendapatkan bekalan kelapa muda.

“Saya mendapatkan bekalan kelapa muda daripada penanam kelapa di Bagan Datoh dengan harga 60 sen sebiji.

“Penanam hanya mampu membekalkan 700 hingga 1,000 biji kelapa seminggu kerana keluaran yang terhad. Saya tidak mengimport kelapa dari luar negara seperti Indonesia kerana mahu menjaga kesegaran buah bagi menjamin kualiti kelapa jeli yang dihasilkan,”katanya.

Mazivanan yang mendapat pendidikan setakat sekolah rendah memberitahu, beliau bersyukur kerana perniagaan berasaskan buah kelapa yang diusahakan selama ini memberi pendapatan lumayan kepadanya.

Melalui produk kelapa jeli sahaja, beliau mampu meraih pendapatan bersih antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.

Menurut Mazivanan, selain diminati oleh penduduk tempatan, kelapa jeli keluaran syarikatnya turut diminati pelancong asing termasuk golongan kenamaan.

Beberapa pelancong asing dari Eropah yang pernah menikmati MAE Kelapa Jelly memuji keenakan rasanya dan mengakui tidak pernah merasai kelapa jeli sesedap itu.

“Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah antara kenamaan yang mengemari kelapa jeli keluaran saya dan kerap menempahnya untuk majlis tertentu,” katanya yang berhasrat mencipta dan memasarkan produk minuman coconut shake iaitu sejenis minuman diperbuat daripada air kelapa muda dan susu dalam tempoh terdekat ini.

PUGM pencetus graduan tani


Buah naga yang dihasilkan oleh PUGM ini dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negara.


AYER HITAM 10 Sept. – Melahirkan usahawan berkualiti dan mengetepikan gambaran buruk terhadap graduan dalam sektor pertanian, berbanding mereka yang makan gaji, menjadi objektif Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang pertanian secara komersial.

Presiden PUGM, Muzamir Mustafa, 39, berkata, kesemua graduan yang menyertai PUGM adalah mereka yang sememangnya meminati bidang pertanian tetapi tidak mempunyai modal untuk meneruskan minat masing-masing.

Menurut Muzamir, di PUGM, mereka dibiayai oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Mara dan Agro Bank yang mengiktiraf modul program PUGM dengan pinjaman permulaan RM50,000 seorang di bawah projek perintis usahawan tani Kementerian Belia dan Sukan.

Setiap graduan yang mendaftar sebagai ahli akan diberi kursus sebelum boleh memulakan projek pertanian dan sementara menunggu kelulusan dalam tempoh dua bulan, mereka akan ditempatkan di tapak projek PUGM di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK).

“Mereka akan diberi pendedahan mengenai teknik tanaman secara moden selain penjagaan dan bagaimana mahu menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan kerana pertanian mampu mendatangkan hasil lumayan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Ujarnya, selama dua bulan itu graduan akan diberi elaun RM500 seorang dan apabila pinjaman diluluskan, mereka akan diberi satu tapak dengan rumah lindungan hujan untuk memulakan projek pertanian moden.

Pada masa ini, Muzamir berkata, PUGM mempunyai tanaman buah naga dan rock melon di tapak seluas 20 hektar di PPMK yang telah mengeluarkan hasil sejak diusahakan dua tahun lalu.

Setakat ini katanya, PUGM telah melahirkan 10 usahawan tani yang berjaya dan boleh dicontohi di negara ini.

Bagi graduan yang telah berjaya katanya, pihak Mara dan Agro Bank tidak akan teragak-agak untuk memberi pembiayaan berterusan sekiranya rekod pembiayaan terdahulu mencatat pembayaran balik yang baik.

“Mereka boleh mendapat pembiayaan sehingga RM300,000 sekiranya rekod bagus dan berpotensi untuk berkembang maju,” katanya.

Menurut Muzamir, setakat ini terdapat 500 ahli PUGM di seluruh negara yang melibatkan diri dalam bidang penternakan dan tanaman pelbagai hasil pertanian secara moden.

Beliau yang juga baru setahun dilantik sebagai Pengerusi PPMK mempunyai wawasan tersendiri iaitu untuk mendirikan calet bagi memuatkan 50 peserta kursus pada satu-satu masa di kawasan seluas 0.2 hektar di tapak projek PUGM itu.

Tambahnya, ia akan dijadikan tempat kuliah serta kursus di ladang dan tempat pengumpulan hasil ladang yang diselenggarakan oleh PUGM Holding Sdn. Bhd., sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan dan luar negara termasuk Singapura.

Beliau memberitahu, PUGM juga akan memperkenalkan beberapa produk keluarannya sendiri seperti buah naga, teh dan kopi buah naga serta biskut yang telah diperkenalkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang baru-baru ini.

Katanya, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan dan pelancaran produk PUGM itu dijangka dibuat pada November nanti.

Bagi para graduan yang berminat untuk menyertai PUGM boleh melayari laman web www.pugm.net atau menghubungi 03-82101208. Yuran penyertaan adalah RM50 setahun.

Sanggup berkorban demi minat dalam pertanian

AYER HITAM 10 Sept. – Bermandi keringat di bawah pancaran sinar matahari dan bergelumang dengan tanah, sedikit pun tidak mematahkan semangat para graduan Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) untuk bergelar usahawan tani yang berjaya.

Bagi mereka, apa yang penting adalah mencari seberapa banyak ilmu dan pengalaman untuk melaksanakan projek pertanian moden kerana bidang itu mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Seorang graduan, Azman Ishak, 28, pemegang Diploma Elektronik Pengguna – Konsumer dari Institut Kemahiran Mara Johor Bahru, menganggap penglibatannya dalam PUGM adalah sesuatu yang menyeronokkan.

Berasal dari Felda Penggeli Timur, Kulai, Azman menambah, kepuasan dirasai apabila melihat benih yang disemai membesar di hadapan mata sehingga membuahkan hasil.

“Di sini pelbagai teknik pertanian moden kami pelajari dan lama-kelamaan menjadi lebih teruja untuk mendapatkan tapak projek sendiri apabila pinjaman diluluskan nanti,” katanya tersenyum.

Penggunaan sistem moden dalam pertanian bagi Azman, amat menarik dan kepakarannya dalam bidang elektronik turut membantu mengembangkan idea sedia ada.

Dahulu katanya, dia bekerja di sebuah kilang sebagai juruteknik tetapi pertanian lebih memberikan kepuasan tambahan pula di kampung dia juga suka bercucuk-tanam di sekeliling rumahnya.

Amri Zainal, 25, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UTM), Skudai, Johor dua tahun lalu, penglibatannya dalam bidang pertanian moden kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.

Meskipun tidak pernah mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian tetapi anak muda ini sentiasa ingin belajar dan menjadikan bidang baru itu sebagai hala tuju masa depannya.

Pernah bekerja sebagai jurulatih rekreasi selama setahun, Amri bertekad untuk menjadi usahawan tani glokal yang lebih berjaya pada masa hadapan.

“Di sini banyak ilmu yang saya peroleh dan semakin hari ia semakin menarik kerana saya boleh mempraktikkan apa yang dipelajari di universiti dulu dalam bidang pertanian ini,” jelasnya.

Mohd. Azri Hamili, 30, pula sanggup berhijrah ke sini semata-mata untuk mempelajari ilmu pertanian moden dan meninggalkan kampung halamannya di Kundasang, Sabah demi mencapai cita-cita sebagai usahawan tani berjaya.

Menariknya dia sanggup meninggalkan ladang kobis, tomato dan sawi di kawasan seluas 2.4 hektar di kampung kerana ingin menimba lebih banyak ilmu dalam bidang pertanian di sini.

Pemegang Diploma Automotif dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Sabah itu begitu teruja, apabila dapat menjadi sebahagian daripada ahli PUGM yang nyata mempunyai visi dan misi lebih cemerlang pada masa akan datang.

Anak muda yang baru dua bulan menyertai PUGM itu melahirkan rasa kagum dengan projek pertanian moden PUGM dan tidak akan melepaskan peluang untuk mempelajari serta mempraktikkan apa yang dipelajarinya.

Sawi, cili keutamaan Ladang Rakyat

SEREMBAN 10 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sayur jenis sawi dan cili adalah antara yang menjadi keutamaan untuk ditanam di Ladang Rakyat seluruh Negeri Sembilan.

Kata beliau, projek tanaman itu merupakan skim pintar yang diperkenalkan kerajaan negeri untuk menggalakkan orang ramai menceburi sektor pertanian sayur- sayuran.

Menurutnya, ia juga bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negeri dan menjualnya pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

”Kita dapati harga bagi dua jenis sayuran itu naik begitu mendadak dan ada yang dijual sehingga RM5 hingga RM8 sekilogram. Ini melampau dan terlalu tinggi,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Jelas Mohamad lagi, melalui skim pintar di Ladang Rakyat itu, penanaman sayur dilakukan secara meluas dan berupaya mengawal kadar harga yang terlalu tinggi.

”Harga sayur-sayuran dari Ladang Rakyat pula sekurang-kurangnya 15 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, konsep Ladang Rakyat mula menunjukkan kejayaan apabila Jabatan Pertanian menjual hasilnya di pejabat kerajaan pada harga 15 peratus lebih rendah berbanding pasaran sejak lebih tiga minggu lalu.

Mohamad bagaimanapun memberitahu, beliau masih kecewa kerana tidak ramai berminat menyertai Ladang Rakyat sedangkan kemudahan seperti tanah, pagar, bajak dan baja disediakan kerajaan untuk pusingan pertama.

”Individu berminat hanya perlu menanam sayur-sayuran dan membayar sewa pada kadar berpatutan.

”Malah, peserta juga mendapat nasihat dan bimbingan serta jentera daripada Jabatan Pertanian dan hasil tanaman mereka boleh dipasarkan sendiri atau diuruskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama),” kata beliau.

Setakat ini, tiga daerah sudah melaksanakan Ladang Rakyat membabitkan kawasan tanaman seluas kira-kira 60 hektar iaitu Air Baning, Jelebu; Selaru, Kuala Pilah dan Sungai Dua, Tampin yang sudah mula mengeluarkan hasil seperti kangkung, tomato, cili, bayam, bendi dan kacang panjang.

”Masih banyak lagi kawasan yang akan dibuka untuk tujuan Ladang Rakyat dan kita berharap sambutan di kalangan orang ramai akan diperoleh selepas segala kemudahan disediakan oleh kerajaan,” tegas beliau.

Kulit manggis sumber agen antioksida


Rizal Amir Rejab, menunjukkan produk kesihatan keluaran syarikatnya.


SETIAP kejadian tumbuh-tumbuhan di alam semula jadi ini tidak kira sama ada dari kategori daun, buah atau bunga sekali pun, kesemuanya pasti mempunyai keistimewaan tersendiri yang dapat memberi manfaat kepada manusia.

Dengan disokong oleh kemajuan bidang penyelidikan, keistimewaan tersebut sudah tentu dapat diaplikasikan secara menyeluruh dalam kehidupan seharian individu.

Mengambil manggis sebagai contoh, kebanyakan orang hanya menganggapnya sebagai buah-buahan tempatan yang mempunyai kulit berwarna ungu dan isinya yang lazat.

Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa buah tersebut mempunyai banyak khasiat yang boleh digunakan untuk tujuan kesihatan dan perubatan.

Bagi mendedahkan fungsinya kepada umum, sebuah syarikat perintis, Herbal Village telah mengambil inisiatif menghasilkan beberapa produk kesihatan dan kecantikan berasaskan kulit buah manggis.

Menurut Pegawai Eksekutifnya, Rizal Amir Rejab, idea menghasilkan produk menggunakan kulit buah manggis itu diambil daripada negara Jepun di mana rakyatnya sangat menggemari buah tersebut.

‘‘Melalui idea itu, kami telah menjalankan kajian dan penyelidikan lebih kurang dua tahun bagi mencari formula terbaik menghasilkan produk bermutu untuk faedah rakyat Malaysia.

‘‘Untuk tujuan itu, kami mempunyai pasukan penyelidik khas yang bertanggungjawab mempelbagaikan produk berasaskan buah manggis ini,’’ katanya.

Rizal memberitahu, untuk tujuan pengkomersialan pula, pihaknya berkerja sama dengan beberapa profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM) agar formula sedia ada dapat diperkembangkan.

Menurut Rizal, antara keistimewaan kulit manggis adalah ia kaya dengan vitamin E dan C serta mengandungi sejenis bahan aktif yang dikenali sebagai xanthon.

Xanthon mempunyai fungsi anti oksida yang dapat melindungi serta mengurangkan kerosakan pada sel terutamanya yang disebabkan oleh serangan radikal bebas.

Ini kerana bahan tersebut mempunyai struktur jejari tiga cincin yang menjadikannya sangat stabil ketika berada dalam badan tidak kira sama ada dalam keadaan panas atau sejuk.

‘‘Sebenarnya terdapat lebih daripada 200 jenis bahan xanthon pada sumber alam semula jadi yang lain, namun 40 daripadanya terkandung dalam manggis di mana ia merupakan yang terbanyak,’’ jelasnya.

Selain anti oksida, buah yang dikenali dengan nama saintifik Garcinia Mangostana itu juga berfaedah untuk fungsi lain seperti agen anti bakteria dan didakwa dapat membantu dalam mengurangkan masalah penyakit diabetis, migrain, buah pinggang, masalah penglihatan, lelah dan kesihatan kulit.

Produk-produk berasaskan kulit manggis yang dihasilkan oleh Herbal Village ialah Jus O’Steen, Kopi Stana dan Sabun Manggis.

Jus O’Steen merupakan minuman kesihatan yang dihasilkan dengan campuran kulit buah manggis bersama beberapa bahan seperti madu lebah, buah kurma, blueberry, blackcurrant, strawberi dan juga anggur.

Kopi Stana pula merupakan produk minuman kopi pracampuran yang dihasilkan melalui adunan kopi Arabica bersama kulit buah manggis, madu lebah, garam bukit, dan halia serta tidak mengandungi perasa tambahan.

Untuk sabun manggis, ia digunakan bagi tujuan penjagaan kesihatan kulit, membantu mengurangkan masalah resdung dan juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau badan.

‘‘Selain tiga produk ini, juga bercadang untuk mengeluarkan beberapa lagi produk berasaskan kulit manggis seperti teh manggis dan skrab badan,’’ jelasnya.

Setakat ini, kesemua produk tersebut telah pun berada di pasaran tempatan lebih kurang dua tahun dan menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

Selain itu, produk-produk ini turut mendapat permintaan dari negara- negara luar seperti Afrika, Dubai, China dan Australia.

Kejayaan itu sebenarnya didorong oleh sokongan pelbagai agensi kerajaan yang telah banyak memberi bantuan seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang memberi bantuan teknologi serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membantu dari segi pasaran.

Pengusaha ternakan diwajibkan guna teknologi EM

MELAKA 11 Sept. – Kerajaan negeri akan mewajibkan kesemua pengusaha ladang ternakan ayam, itik dan puyuh menggunakan teknologi mikro-organisme berkesan (EM) dalam tempoh setahun dari sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, penggunaan teknologi EM itu bagi mengatasi masalah pencemaran hasil kegiatan ternakan tersebut.

Menurut beliau, kira-kira 175 pengusaha berkenaan sama ada berskala besar atau kecil akan menggunakan teknologi tersebut secara berperingkat-peringkat mulai bulan depan.

”Teknologi ini telah pun digunakan sekarang tetapi tidak menyeluruh dan bermula setahun dari sekarang, kita akan mewajibkan penggunaannya dalam industri penternakan.

”Penggunaan teknologi mesra alam ini akan dijadikan salah satu syarat wajib untuk memperbaharui lesen bagi memastikan semua penternak menggunakannya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

NajisTambah beliau, jika ia berjalan lancar, Melaka akan menjadi negeri kedua yang mewajibkan penggunaan teknologi EM dalam usaha mengatasi pencemaran bau busuk serta pembiakan lalat disebabkan najis ternakan.

Sebelum ini, penggunaan teknologi EM telah diwajibkan oleh kerajaan Johor sejak tahun 2005.

Mohamad Hidhir berkata, keberkesanan teknologi EM telah terbukti dapat mengatasi pencemaran bau ternakan di Johor dan pada masa yang sama berjaya meningkatkan produktiviti ternakan.

”Respons yang diterima daripada penternak yang telah menggunakan teknologi ini, ladang ternakan mereka tidak lagi berbau busuk atau dicemari lalat.

”Hasil ternakan mereka juga semakin sihat dan selamat dikendalikan kerana tidak mengandungi bahan kimia,” jelas beliau.

Tambah beliau, penggunaannya cukup mudah iaitu mencampurkannya dengan makanan ternakan atau untuk mencuci kawasan kandang dengan skala satu liter cecair EM bagi setiap 100 liter air.

Katanya, penggunaan teknologi itu juga menjimatkan kos kerana harga bagi setiap botol cecair EM sebanyak lima liter dijual pada harga RM25 sahaja.