BALIK PULAU: Walaupun zaman kian berubah dan kehidupan semakin moden tetapi penggunaan herba khususnya dalam amalan perubatan tradisional tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan manusia.
Tumbuhan herba bukan sahaja popular di kalangan masyarakat Melayu yang lebih menggunakannya sebagai ulam-ulaman tetapi juga kaum Cina dan India.
Bagi masyarakat moden hari ini herba banyak digunakan ketika melakukan spa dan sauna, haruman asli yang terhasil daripada tumbuhan herba sememangnya mampu memberikan kelegaan.
Pendek kata sama ada sedar atau tidak, walau moden sekalipun kehidupan individu itu masih tidak dapat dipisahkan dengan herba sama ada dalam menu makanan seharian ataupun dalam perubatan.
Ladang Herba Haruman Hayat
Seharum namanya, sebaik menjejakkan kaki ke ladang ini haruman pokok herba khususnya dari jenis berbunga cukup menyegarkan walaupun dalam cuaca panas.
Kedatangan yang disambut mesra oleh pengusaha ladang Dino Sukarno atau lebih dikenali di kalangan pengamal perubatan tradisional dan pengunjung Ladang Herba Haruman Hayat sebagai Pak Su Dino.
Bercerita mengenai ladangnya, Pak Su Dino berkata, ladang herba yang baru berusia tiga tahun itu masih lagi di peringkat percubaan namun begitu dengan usaha berterusan tanpa mengenal lelah ia mula menampakkan hasil.
“Biasanya pengunjung yang datang merupakan orang yang telah biasa di kawasan ini tetapi setiap kali mereka datang mereka akan bawa orang baru.
“Jadi promosi dari mulut ke mulut inilah yang telah memberikan hasil kepada kami,” katanya.
Ladang seluas 2.5 hektar itu mempunyai 58 pokok herba yang diperolehi sama ada dari kawasan hutan dan gunung di seluruh Malaysia ataupun dari Jabatan Pertanian.
Menurut Pak Su, terdapat dua pekerja yang ditugaskan mengurus ladang dan dua lagi untuk menghasilkan produk, dan menambah kata, semua produk herba yang dihasilkan dibuat dengan ramuan sendiri.
“Kebanyakannya saya buat sendiri daripada ramuan hinggalah memasak ramuan itu, ini merupakan satu kepuasan kepada saya dan sekaligus menjamin tahap kebersihannya.
“Semua kerja-kerja ladang dan pembungkusan dilakukan secara manual, memang memakan masa dan tenaga tetapi inilah caranya untuk mendidik bagaimana menghargai penat lelah sendiri,” katanya.
Selain itu, kerja-kerja ladang seperti memastikan keseimbangan kandungan asid dan alkali tanah dilakukan sendiri oleh Pak Su dengan bantuan pekerjanya.
“Buat parit dan batas untuk tanam pokok juga dilakukan sendiri, ia secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan kerana keluar peluh,” katanya.
Hala tuju Ladang Herba Haruman Hayat
Ladang yang diusahakan bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pulau Betong Mohamad Farid Saad ini juga menghasilkan bahan untuk digunakan bagi rawatan spa dan sauna.
Sebanyak 63 produk berjaya dihasilkan menerusi kajian dan penyelidikan yang dijalankan sejak tiga tahun lepas, daripada jumlah itu terdapat 30 produk yang berjaya dipasarkan dan 11 produk mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Buat masa ini pasaran hanya terhad di kawasan Pulau Pinang sahaja memandangkan bekalan untuk herba ini belum mencukupi kerana kawasan ladang yang terhad,” Pak Su menjelaskan.
Pak Su, yang menyedari produk herba kian mendapat tempat di kalangan masyarakat dan mempunyai permintaan tinggi, berharap satu hari nanti ladang itu dapat dikomersilkan dengan menambah keluasan tanah, bilangan pokok serta jenis herba.
Setakat ini, Pak Su menjelaskan ladang herba itu sering dikunjungi oleh mereka dari dalam dan luar negara, malah dia sendiri pernah ditawarkan untuk membuat kajian perubatan herba di luar negara tetapi ditolak kerana cintanya masih di Ladang Herba Haruman Hayat.
“Ladang ini masih baru, jika ditinggalkan apa akan jadi nanti, biarlah saya usahakan ladang ini sekurang-kurangnya ia dapat membantu menambah pendapatan penduduk kampung,” katanya.
Katanya, baru-baru ini kumpulan pengunjung dari 18 buah negara datang melawat untuk meninjau kerja-kerja penanaman pokok herba dan proses penghasilan produk herba.
Pekerjaan sampingan
Sementara itu, Mohamad Farid berpendapat bahawa pokok serai wangi boleh dikomersilkan memandangkan ia daripada jenis tumbuhan yang tahan lasak dan sesuai dengan tabiat menanam di kalangan petani di kawasan ini.
“Kebanyakan petani di sini mengamalkan konsep 3T iaitu ‘Tanam, Tinggal dan Tuai’, jadi serai wangi adalah tumbuhan yang sesuai untuk konsep penanaman seperti itu,” katanya.
Mohamad Farid berkata, fasa kedua untuk meluaskan ladang itu sedang giat dijalankan dengan mengumpulkan tanah orang kampung yang tidak diusahakan untuk ditanam dengan pelbagai pokok herba.
“Apabila usaha ini berjaya kelak Ladang Herba Haruman Hayat akan dikembangkan untuk membekalkan benih pokok herba kepada orang kampung yang berminat untuk membuat ladang secara berkelompok.
“Ia secara tidak langsung akan memberi pekerjaan sampingan kepada penduduk kampung, tiada lagi kawasan tanah terbiar dan herba boleh dikomersilkan,” katanya.
Usaha ke arah merealisasikan pelancongan perubatan
Pulau Pinang antara negeri yang popular dengan pelancongan perubatan, dan usaha memperkenalkan produk pelancongan itu juga semakin giat dijalankan.
“Dengan adanya pusat spa dan sauna juga diharap impian untuk merealisasikan Balik Pulau sebagai hub pelancongan kesihatan akan menjadi kenyataan.
“Untuk memenuhi permintaan orang ramai jugalah dua buah bangunan sedang disiapkan di bahagian hadapan ladang ini untuk dijadikan pusat spa dan sauna.
Oleh itu, tumbuhan herba yang pernah menjadi barang dagangan sejak zaman keagungan pelabuhan Melaka kini terus mendapat tempat istimewa daripada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Generasi muda hari ini juga semakin mengenali tumbuhan herba, mentelah lagi kini tumbuhan herba boleh ditanam di kawasan rumah dan dijadikan sebagai tumbuhan penghias taman dan landskap. BERNAMA