Ladang Herba Haruman Hayat, impian wujudkan pelancongan kesihatan

BALIK PULAU: Walaupun zaman kian berubah dan kehidupan semakin moden tetapi penggunaan herba khususnya dalam amalan perubatan tradisional tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan manusia.

Tumbuhan herba bukan sahaja popular di kalangan masyarakat Melayu yang lebih menggunakannya sebagai ulam-ulaman tetapi juga kaum Cina dan India.

Bagi masyarakat moden hari ini herba banyak digunakan ketika melakukan spa dan sauna, haruman asli yang terhasil daripada tumbuhan herba sememangnya mampu memberikan kelegaan.

Pendek kata sama ada sedar atau tidak, walau moden sekalipun kehidupan individu itu masih tidak dapat dipisahkan dengan herba sama ada dalam menu makanan seharian ataupun dalam perubatan.

Ladang Herba Haruman Hayat

Seharum namanya, sebaik menjejakkan kaki ke ladang ini haruman pokok herba khususnya dari jenis berbunga cukup menyegarkan walaupun dalam cuaca panas.

Kedatangan yang disambut mesra oleh pengusaha ladang Dino Sukarno atau lebih dikenali di kalangan pengamal perubatan tradisional dan pengunjung Ladang Herba Haruman Hayat sebagai Pak Su Dino.

Bercerita mengenai ladangnya, Pak Su Dino berkata, ladang herba yang baru berusia tiga tahun itu masih lagi di peringkat percubaan namun begitu dengan usaha berterusan tanpa mengenal lelah ia mula menampakkan hasil.

“Biasanya pengunjung yang datang merupakan orang yang telah biasa di kawasan ini tetapi setiap kali mereka datang mereka akan bawa orang baru.

“Jadi promosi dari mulut ke mulut inilah yang telah memberikan hasil kepada kami,” katanya.

Ladang seluas 2.5 hektar itu mempunyai 58 pokok herba yang diperolehi sama ada dari kawasan hutan dan gunung di seluruh Malaysia ataupun dari Jabatan Pertanian.

Menurut Pak Su, terdapat dua pekerja yang ditugaskan mengurus ladang dan dua lagi untuk menghasilkan produk, dan menambah kata, semua produk herba yang dihasilkan dibuat dengan ramuan sendiri.

“Kebanyakannya saya buat sendiri daripada ramuan hinggalah memasak ramuan itu, ini merupakan satu kepuasan kepada saya dan sekaligus menjamin tahap kebersihannya.

“Semua kerja-kerja ladang dan pembungkusan dilakukan secara manual, memang memakan masa dan tenaga tetapi inilah caranya untuk mendidik bagaimana menghargai penat lelah sendiri,” katanya.

Selain itu, kerja-kerja ladang seperti memastikan keseimbangan kandungan asid dan alkali tanah dilakukan sendiri oleh Pak Su dengan bantuan pekerjanya.

“Buat parit dan batas untuk tanam pokok juga dilakukan sendiri, ia secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan kerana keluar peluh,” katanya.

Hala tuju Ladang Herba Haruman Hayat

Ladang yang diusahakan bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pulau Betong Mohamad Farid Saad ini juga menghasilkan bahan untuk digunakan bagi rawatan spa dan sauna.

Sebanyak 63 produk berjaya dihasilkan menerusi kajian dan penyelidikan yang dijalankan sejak tiga tahun lepas, daripada jumlah itu terdapat 30 produk yang berjaya dipasarkan dan 11 produk mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Buat masa ini pasaran hanya terhad di kawasan Pulau Pinang sahaja memandangkan bekalan untuk herba ini belum mencukupi kerana kawasan ladang yang terhad,” Pak Su menjelaskan.

Pak Su, yang menyedari produk herba kian mendapat tempat di kalangan masyarakat dan mempunyai permintaan tinggi, berharap satu hari nanti ladang itu dapat dikomersilkan dengan menambah keluasan tanah, bilangan pokok serta jenis herba.

Setakat ini, Pak Su menjelaskan ladang herba itu sering dikunjungi oleh mereka dari dalam dan luar negara, malah dia sendiri pernah ditawarkan untuk membuat kajian perubatan herba di luar negara tetapi ditolak kerana cintanya masih di Ladang Herba Haruman Hayat.

“Ladang ini masih baru, jika ditinggalkan apa akan jadi nanti, biarlah saya usahakan ladang ini sekurang-kurangnya ia dapat membantu menambah pendapatan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, baru-baru ini kumpulan pengunjung dari 18 buah negara datang melawat untuk meninjau kerja-kerja penanaman pokok herba dan proses penghasilan produk herba.

Pekerjaan sampingan

Sementara itu, Mohamad Farid berpendapat bahawa pokok serai wangi boleh dikomersilkan memandangkan ia daripada jenis tumbuhan yang tahan lasak dan sesuai dengan tabiat menanam di kalangan petani di kawasan ini.

“Kebanyakan petani di sini mengamalkan konsep 3T iaitu ‘Tanam, Tinggal dan Tuai’, jadi serai wangi adalah tumbuhan yang sesuai untuk konsep penanaman seperti itu,” katanya.

Mohamad Farid berkata, fasa kedua untuk meluaskan ladang itu sedang giat dijalankan dengan mengumpulkan tanah orang kampung yang tidak diusahakan untuk ditanam dengan pelbagai pokok herba.

“Apabila usaha ini berjaya kelak Ladang Herba Haruman Hayat akan dikembangkan untuk membekalkan benih pokok herba kepada orang kampung yang berminat untuk membuat ladang secara berkelompok.

“Ia secara tidak langsung akan memberi pekerjaan sampingan kepada penduduk kampung, tiada lagi kawasan tanah terbiar dan herba boleh dikomersilkan,” katanya.

Usaha ke arah merealisasikan pelancongan perubatan

Pulau Pinang antara negeri yang popular dengan pelancongan perubatan, dan usaha memperkenalkan produk pelancongan itu juga semakin giat dijalankan.

“Dengan adanya pusat spa dan sauna juga diharap impian untuk merealisasikan Balik Pulau sebagai hub pelancongan kesihatan akan menjadi kenyataan.

“Untuk memenuhi permintaan orang ramai jugalah dua buah bangunan sedang disiapkan di bahagian hadapan ladang ini untuk dijadikan pusat spa dan sauna.

Oleh itu, tumbuhan herba yang pernah menjadi barang dagangan sejak zaman keagungan pelabuhan Melaka kini terus mendapat tempat istimewa daripada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Generasi muda hari ini juga semakin mengenali tumbuhan herba, mentelah lagi kini tumbuhan herba boleh ditanam di kawasan rumah dan dijadikan sebagai tumbuhan penghias taman dan landskap. BERNAMA

Anak muda baiki taraf hidup dengan menjadi pesawah

NIBONG TEBAL: Tidak seperti kebanyakan anak muda lain di Pulau Pinang yang lebih berminat bekerja dalam sektor perindustrian, Hamid Mat Desa, 27, memilih haluan sendiri dengan meneruskan pekerjaan turun temurun keluarganya sebagai pesawah.

Langkah Hamid menceburi bidang itu sejak tahun 1999 selaras dengan hasrat kerajaan melipatgandakan usaha meningkatkan pengeluaran padi negara lebih-lebih lagi ketika harga beras kini melonjak di pasaran dunia.

Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran meningkatkan pengeluaran padi negara, daripada 72 peratus kepada 80 hingga 90 peratus pada musim akan datang.

Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import. Malaysia mengimport 30 peratus keperluan beras iaitu kira-kira 700,000 metrik tan setahun, sebahagian besarnya dari Thailand dan Vietnam.

Justeru, Hamid yang mengusahakan kira-kira lima hektar sawah padi di Nibong Tebal boleh berbangga ketika ini kerana beliau merupakan antara penyumbang kepada bekalan beras negara.

Semangat bekerja

Hamid berkata, pada mulanya beliau hanya menganggap pekerjaan itu adalah pekerjaan biasa, bagaimanapun apabila berlaku masalah kekurangan beras, pekerjaan itu dirasa begitu penting sekaligus memberi semangat untuk beliau terus bekerja keras.

“Saya bangga menjadi pesawah kerana hasil yang diperolehi daripada kerja saya dapat membantu penduduk negara ini.

Krisis makanan dan masalah beras itu memberi semangat untuk saya terus mempertingkatkan hasil tanaman padi saya,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau, yang pernah mendapat anugerah Peladang Muda Jaya peringkat Pulau Pinang tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2004, berkata bidang pertanian mampu menjana pendapatan lumayan kerana terbukti bahawa dengan menceburi bidang itu, beliau dapat memperbaiki taraf hidupnya.

“Saya tidak setuju dengan pendapat orang bahawa kerja ini susah dan tidak memberi pulangan yang baik,” katanya yang memperolehi pendapatan purata sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil daripada tanaman padi.

Bapa kepada seorang anak itu berhasrat meluaskan tanaman padinya dan akan terus berusaha mencapai 10 metrik tan padi sehektar pada masa akan datang.

Harga murah

“Pada masa sekarang saya hanya boleh mencapai lapan metrik tan padi sehektar kerana beberapa masalah seperti padi angin, serangan makhluk perosak seperti tikus dan siput gondang emas dan saya akan berusaha lebih gigih untuk mencapai sasaran 10 metrik tan sehektar,” katanya.

Hamid yang dibantu empat pekerja mampu menghasilkan kira-kira 70 metrik tan padi setahun.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kecewa kerana harga padi yang didakwa terlalu murah sedangkan kos pengeluaran padi semakin meningkat sehingga mencapai RM1,600 sehektar.

“Pengilang membeli padi pada harga RM650 satu metrik tan. Pesawah tidak dapat pulangan yang banyak kerana kos pengeluaran meningkat berikutan harga barangan seperti baja dan racun turut meningkat dari semasa ke semasa,” katanya menjelaskan bahawa padi dibeli dengan harga yang berbeza oleh pengilang.

Pada tahun 2006, kerajaan menetapkan harga minimum terjamin bagi padi daripada RM559 kepada RM650 setan metrik.

Semalam, Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyebut bahawa harga minimum terjamin beras dinaikkan daripada RM650 satu tan metrik kepada RM750 satu tan metrik.

Langkah itu diambil selepas kerajaan menimbangkan kepentingan semua pihak dan bagi memelihara kebajikan pengguna dan pesawah dalam isu kenaikan harga padi dan beras.

Pendapatan tambahan

Hasil daripada usaha gigihnya, Hamid dapat membeli empat buah jentera pembajak yang digunakan untuk mengambil upah membajak sawah.

“Ini merupakan pendapatan tambahan saya. Bagi setiap musim padi, saya memperolehi pendapatan bersih sebanyak RM15,000 hasil daripada upah membajak,” katanya.

Selain mengusahakan sawah padi, Hamid turut mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan menternak lembu.

Hamid yang mempunyai 60 ekor lembu berkata setiap tahun beliau menjual kira-kira 20 ekor lembu dengan harga antara RM1,800 hingga RM2,500 seekor.

Beliau turut menternak sembilan ekor kambing dan membina kolam ikan bagi mempelbagaikan pendapatannya.

“Saya sarankan golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan menceburi bidang pertanian kerana jika kita berusaha bersungguh-sungguh, ia mampu memberi pulangan yang lumayan,” katanya. BERNAMA

Ubat perit jadi petani

JOHOR BAHRU: Pemenang Anugerah Usahawan Siswazah Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan tahun ini, Saipul Bahri Shuib, 46, gembira kerana pembabitannya dalam sektor pertanian dan ternakan mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.

Katanya, pengiktirafan itu sekurang-kurangnya dapat mengubat perit jerihnya yang berkecimpung dalam bidang itu selama lima tahun di ladang ternakannya seluas 120 hektar di Pagoh, Muar.

“Selain memberi pulangan baik, saya tidak sangka kejayaan saya dalam bidang pertanian dan ternakan turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan,” katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah berkenaan di sebuah hotel di sini, semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, menyampaikan anugerah itu sempena upacara perasmian mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan pelancaran Dana Peladang Negeri.

Selain menternak beratus ekor lembu, kambing, ikan air tawar dan menanam buah-buahan, Pengarah Urusan Syarikat Duta Kiara Sdn Bhd itu turut membabitkan diri dalam bidang pengilangan makanan ternakan bernilai jutaan ringgit di ladang berkenaan.

Syarikatnya juga adalah syarikat tunggal diberi kebenaran oleh kerajaan Indonesia untuk membawa masuk baka lembu jenis Barley yang mendapat permintaan tinggi di negara ini.

Di peringkat awal pembabitannya dalam bidang itu, Saipul tidak yakin dengan kebolehan dirinya mengurus ladang ternakan secara komersial.

“Namun hasilnya, memang benar bahawa bidang ternakan dan pertanian boleh memberi pulangan lumayan kepada mereka yang mahu membabitkan diri secara komersial dan sepenuh masa,” katanya sambil menyatakan, syarikatnya turut membawa masuk benih lembu dari Afrika Selatan dan Australia untuk pasaran tempatan.

Beliau berazam menjadikan anugerah yang dimenangi sebagai perangsang untuk meluaskan pembabitannya dalam bidang itu pada masa depan.

Saipul meminta rakan yang berkelulusan tinggi supaya tidak lagi memandang rendah bidang pertanian dan ternakan kerana perusahaan pengeluaran makanan sememangnya menjanjikan pulangan lebih baik jika mereka sanggup berusaha bersungguh-sungguh. — Bernama

1.3 juta usahawan peroleh manfaat

Agrobank salur RM17.917 bilion pinjaman pertanian sejak penubuhan pada 1969

AGROBANK, dulunya dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia (BPM) terus memainkan peranannya dalam perbankan pertanian apabila berjaya menyalurkan pinjaman berjumlah RM17.917 bilion kepada 1.3 juta usahawan tani sejak penubuhannya pada 1969.

Bermula dari modal berbayar RM42.5 juta, Agrobank terus menerima suntikan modal berjumlah RM1 bilion daripada kerajaan bagi memastikan usaha memartabatkan sektor pertanian sejak 39 tahun lalu terus terpelihara.

Sejak pengkorporatan bank itu April lalu, Agrobank mengekalkan peranannya sebagai penyalur pembiayaan kepada golongan sasar menerusi rangkaian produk dan perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggannya.

Presiden Agrobank, Martini Osman, berkata jumlah pinjaman yang disalurkan sejak awal penubuhan bank itu tidak termasuk pinjaman dan dana yang diperuntukkan kepada penanam padi.

Katanya, pinjaman yang dikeluarkan kepada golongan peminjam itu mengikut pusingan bergantung kepada musim penanaman padi.

“Walaupun Agrobank sebagai bank korporat sekarang, usaha memperkasakan sektor pertanian kekal bagi membantu dan meningkatkan bilangan usahawan tani di negara ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengimbas sejarah penubuhannya, Agrobank atau BPM dulu adalah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1969 di bawah Akta Parlimen 1969.

Ia ditubuhkan ekoran resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua yang mengesyorkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah institusi kewangan yang khusus memberi kemudahan pinjaman untuk sektor pertanian.

Dalam pada itu, Martini berkata, Agrobank turut bertanggungjawab menguruskan dana kerajaan untuk disalurkan kepada peminjam berkelayakan dalam pelbagai bidang sektor pertanian.

Bermula dari 2006 hingga 210 Agrobank diamanahkan untuk menyalurkan dana berjumlah RM2.45 bilion kepada pelbagai golongan peminjam dalam sektor pertanian.

Pada 2008, beliau berkata, berkata Agrobank diperuntukkan oleh kerajaan pinjaman berjumlah RM365 juta dan sehingga Julai lalu, sebanyak RM256 juta sudah diagihkan kepada golongan sasar.

“Dana kerajaan ini bertujuan membantu golongan sasaran bagi membangunkan mereka menjadi usahawan dan peserta industri pertanian yang berjaya,” katanya sambil menambah dana berkenaan adalah skim pinjaman mudah dengan kadar faedah yang rendah iaitu 3.75 peratus setahun.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan dana yang ditawarkan kerajaan sangat menarik dan membuka peluang kepada mana-mana pemohon yang gagal mendapatkan pinjaman itu untuk mendapatkan pinjaman komersial Agrobank.

Beliau berkata, banyak syarikat pertanian kecil yang mendapatkan bantuan pinjaman daripada Agrobank berjaya dan semakin membangun apabila ia mula menjadi syarikat senaraian awam.

Sehubungan itu, katanya, Agrobank akan terus memperkukuhkan peranannya dalam menyalurkan pakej perbankan menyeluruh kepada semua golongan termasuk petani dan nelayan.

Martini berkata, selepas pengkorporatannya April lalu, Agrobank dalam usaha memperluaskan perkhidmatan dan produk ditawarkannya bagi memastikan pelanggannya memperoleh perkhidmatan di bawah satu bumbung.

Katanya, pihaknya juga sedang dalam proses melancarkan kemudahan akaun semasa bagi memberi keselesaan kepada pelanggan yang menjalankan perniagaan berskala besar.

“Dengan adanya kemudahan akaun semasa, pelanggan boleh mengeluarkan cek daripada membawa wang tunai yang banyak. Dengan kemudahan ini, pelanggan boleh mendapat pengalaman yang menyeluruh daripada Agrobank,” katanya.

Pelajari teknik pembenihan keli pada 13 & 14 Sept.

Peserta berpeluang mendalami teknik pembenihan ikan keli secara aruhan pada kursus yang diadakan pada 13 dan 14 September ini.


AgroHUB 2008 – 2010 meneruskan agenda pertanian negara dengan menganjurkan satu Kursus Pembenihan Keli Aruhan bagi melahirkan lebih ramai usahawan benih keli berilmu.

Kursus ini dianjurkan selaras dengan konsep ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ yang memerlukan program pembangunan pertanian berterusan dan konsisten diteruskan oleh pelbagai pihak dalam usaha menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara.

Kursus Pembenihan Ikan Keli Aruhan tersebut akan diadakan pada 13 dan 14 September ini di Pusat Latihan Belia Bukit Lagong, Selayang, Selangor.

Menurut Ketua Pengarah Projek AgroHUB Norzana Rafie, kursus tersebut diteruskan memandangkan permintaan tinggi terhadap latihan seumpamanya daripada pelbagai pihak khususnya golongan belia yang ingin menceburi industri berpotensi itu.

‘‘Selain itu, permintaan terhadap benih keli meningkat berkali ganda dan pengeluaran benih keli pada masa ini tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi,’’ katanya.

Anak benih keli yang bermutu tinggi mendapat permintaan di luar jangkaan dengan harga seekor anak benih bersaiz tiga inci semakin meningkat daripada 0.08 sen kepada 0.15 sen seekor mengikut kuantiti yang diminta.

Dalam erti kata yang lain, masa depan terhadap ikan air tawar ini dilihat semakin cerah jika dilihat kepada trend permintaan ikan keli mentah dipasaran.

Kursus pembenihan ikan keli ini akan mendedahkan kepada peserta tentang kemahiran untuk menghasilkan benih ikan keli menggunakan teknik aruhan.

Teknik aruhan merujuk kepada suntikan hormon kepada induk-induk keli di mana telur yang diperah daripada induk betina dan sperma yang dibedah dari induk jantan akan disenyawakan untuk mendapatkan benih yang maksimum dan pensenyawaan yang lebih sekata.

Menurut Norzana, bagi meningkatkan kualiti dan tumbesaran rega dan anak benih, penggunaan Bio-Aqua akan digunakan bagi tujuan tersebut.

‘‘Bio-Aqua akan bertindak balas dengan oksigen dan sebatian air untuk meningkatkan tahap imunisasi dan sistem pencernaan dan pemakanan benih ikan.

‘‘Hasilnya, tempoh tumbesaran dapat dipercepatkan dan tahap penjagaan rega dan benih ikan dapat diminimumkan,’’ ujar beliau.

Peserta juga turut didedahkan cara ternakan benih sehingga usia matang iaitu bersaiz antara dua dan tiga inci yang sedia dijual dipasaran.

Makanan rega dan benih keli bermula hari keempat sehingga tempoh satu bulan setengah turut diajar kepada peserta.

Kursus kemahiran ini menarik kerana ramai peserta-peserta lepas telah memulakan industri ini, sama ada secara kecil-kecilan atau komersial dan telah mendapat pendapatan yang lumayan dari industri ini.

Ini membuktikan industri benih keli bertepatan dengan slogan Pertanian Adalah Masa Depan yang juga merupakan moto Projek AgroHUB.

Rangkaian usahawan benih ikan air tawar di bawah Projek Ketiga AgroHUB bakal dilancarkan November ini .

Di bawah projek itu , sebanyak 300 usahawan benih keli dan lain-lain ikan air tawar bakal dibentuk secara sistematik dan berkelompok dan dapat menyumbang ke arah pembangunan industri ikan air tawar negara yang masih kekurangan benih-benih ikan air tawar untuk menampung permintaan yang tinggi dalam negara.

Paling utama, usahawan-usahawan ini perlu menjalani proses latihan kemahiran dan menandatangani kontrak sebagai peserta Projek AgroHUB 2008-2010 agar kualiti ikan yang dihasilkan dapat dipantau dan diselaraskan.

Bagi mereka yang berminat mendalami kemahiran pembenihan keli aruhan boleh mendaftar diri sebagai peserta di talian 03-6187 3796.

Galah sambung untuk pemilik dusun


pelbagai jenis pisau yang dijual di syarikat ReachAll bagi memenuhi permintaan petani.


Ramai pekebun tidak kira sama ada yang menanam komoditi seperti kelapa sawit, kopi, koko atau dusun seperti rambutan, petai atau manggis memang menghadapi masalah mengait buah.

Mereka memerlukan galah yang panjang, biasanya diperbuat daripada buluh dan berbahaya semasa menggunakannya.

Justeru sebuah syarikat ReachAll ASDePro Enterprise telah berjaya menghasilkan galah yang bukan saja ringan tetapi juga boleh disambung sehingga mencecah 15 meter (45 kaki).

Pegawai ReachAll, Jefri Ishak berkata, galah itu mendapat permintaan yang amat menggalakkan daripada pekebun dan pemilik dusun.

“Galah sambung serbaguna ini sesuai digunakan oleh pekebun-pekebun kecil yang mempunyai kebun yang jauh dari rumah.

“Tentu saja mereka sukar membawa galah yang panjang di belakang motosikal dan juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya semasa ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2008 di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Setiap set galah sepanjang lima kali boleh disambung sehingga mencapai 15 meter mengikut keperluan pengguna.

Malah galah daripada campuran aluminium aloi yang berkualiti tinggi ini dapat dimuatkan dalam beg bagi memudahkannya dibawa dan disimpan.

Jefri menambah, set galah yang lengkap dengan getah pemegang dan beg bagi memudahkannya dibawa serta simpan malah mengelakkannya daripada kecurian.

“Set galah ini memudahkan kerja-kerja mengait bermula dengan ketinggian lima kaki dan boleh dipanjangkan dengan mudah dan cepat kerana lebih ringan.

“Galah sambung serbaguna ini boleh digunakan dalam pelbagai keadaan dengan menyambung di penghujungnya,” katanya.

Sekiranya salah satu daripada galah rosak, pengguna hanya perlu membukanya dan pasang dengan yang lain dan kerja-kerja boleh diteruskan.

Pemasangan galah berkenaan juga amat mudah iaitu anda hanya perlu sisip, pusing dan klik. Begitu juga untuk membukanya.

“Selain galah, ReachAll juga memasarkan pisau sawit, pisau bunga sawit, pisau pinang, penyapu sawang, kacip rambutan, pisau kelapa dan gergaji dahan,” katanya.

Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat mengenai galah serbaguna ini bolehlah menghubungi ReachAll di 05-8914134 atau e-mel: asdepro@spptsb.com atau laman web http://galahsambung.blogspot.com

Perladangan kontrak tanam vanila

Penglibatan masyarakat dalam bidang pertanian yang amat menggalakkan memberikan peluang kepada pengusaha untuk membuka lebih banyak peluang.

Ramai pengusaha yang menganjurkan pelbagai kursus bagi memberikan penerangan mengenai bidang pertanian tertentu bagi membantu bakal-bakal usahawan tani.

Dalam masa yang sama, bakal usahawan tani masih perlu meninjau pasaran bagi produk yang mereka hasilkan.

Sebuah syarikat yang mengusahakan tanaman vanila, Rentak Timur Sdn. Bhd. kini melalui anak syarikatnya, Vanilla Biomatrix Sdn. Bhd. menjalankan usaha perladangan kontrak bagi memudahkan usahawan memasarkan produk mereka.

Eksekutif Jualannya, Siti Salwa Salleh berkata, pihaknya memberikan perhatian khusus dalam perladangan kontrak bagi tanaman vanila.

“Vanila memang dikenal pasti mempunyai pasaran yang besar bukan saja dalam makanan tetapi juga kosmetik, perubatan dan minyak wangi,” katanya semasa ditemui di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang baru-baru ini.

Permintaan yang besar menyebabkan harganya melambung tinggi dan biasanya sebatang vanila basah boleh mencapai sehingga RM18 dan harga batang yang telah dikeringkan boleh mencapai harga lebih tinggi.

Siti Salwa berkata, vanila yang dikeringkan boleh diproses sehingga dalam bentuk gula, serbuk atau semula jadi (asli) dengan 100 peratus vanila.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Vanilla Biomatrik menawarkan perladangan kontrak tanaman vanila bagi mereka yang berminat.

Pengusaha yang berminat perlu mempunyai tanah sekurang-kurangnya setengah ekar dengan modal sebanyak RM20,000.

“Kedua-dua pihak pembeli dan pengusaha perlu menandatangani perjanjian belian balik,” katanya.

Sebelum itu, mereka yang berminat boleh juga menghadiri kursus yang diadakan mengikut permintaan.

Selepas itu, kata Siti Salwa, pihaknya akan memberikan penerangan mengenai penanaman di kawasan tanaman serta melakukan pemantauan berkala setiap tiga bulan.

“Memandangkan hasil akan keluar pada tahun ketiga, kontrak belian balik berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga lima kali tuaian,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perladangan kontrak bolehlah menghubungi Vanila Biomatrix di talian 03-2144014.

Durian ECER hangat di Singapura

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Durian dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mendapat sambutan hangat di Singapura, terutama pada musim puncaknya antara Jun dan September.

Sekretariat ECER dalam kenyataannya menyebut kira-kira 90 peratus durian yang dijual di Singapura di import dari Malaysia. Dari ECER, durian kebanyakannya dari Pahang dan sebahagian lagi dari Kelantan.

Kuala Lipis, Raub (Benta), Jerantut, Beserah dan Bentong merupakan daerah yang terkenal kerana duriannya yang manis.

Di Kelantan, dusun durian kebanyakannya terletak di Jeli, Kuala Krai, Gua Musang dan Bachok.

Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pahang merekodkan pengeluaran durian sebanyak 14,065 tan metrik tahun lepas manakala Kelantan sebanyak 3,612 tan metrik. Singapura mengimport 17,360 tan durian segar dari Malaysia.

Istimewa Durian baka baik yang menghasilkan pulangan tinggi dan mempunyai ciri-ciri istimewa daripada koleksi penanam, dipilih oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia dan didaftarkan sebagai gred D, katanya.

Sejak 1934, lebih daripada 190 jenis durian telah didaftarkan. Ia termasuk D24, D2, D18, D101 dan D13. Durian lain yang mendapat permintaan tinggi ialah Mao Shan Wang, XO, Red Prawn, Tanjung Sepat dan Kunyit.

Pahang terkenal kerana durian D145 yang berasal dari Beserah Kuantan, manakala Kelantan terkenal kerana D169 atau Tok Litok.

Jabatan Pertanian berkata, hasil durian sangat baik tahun ini berikutan cuaca yang baik semasa musim berbunga pada Mac dan April.

Berdasarkan kadar pengeluaran setakat ini, mereka yakin hasil akan lebih baik daripada tahun lepas.

– Bernama

Tanam tebu di tanah terbiar


Usaha gadis ini menukar tanah sawah terbiar dengan menanam tebu kini membuka mata banyak pihak di kampungnya di Baling, Kedah.


Deretan tanaman tebu yang menghiasi hampir satu hektar di kawasan bendang terbiar di Kampung Tiak, Kupang, Baling, Kedah telah melenyapkan sama sekali status kawasan itu yang selama ini ditumbuhi hutan liar.

Selama ini tiada siapa yang bersedia membanting tulang sekalipun kawasan bendang terbiar ini subur dan menerima apa jua benih yang ditabur atau ditanam.

Melihat akan potensi dan masa depan tanah yang terbentang luas berhampiran rumah, seorang gadis sanggup mengetepikan perasaan malu dengan menjadikan tebu sebagai tanaman pilihan.

Tindakannya itu akhirnya, membuka mata penduduk kampung yang selama ini tidak menyangka berbudi pada tanah sebenarnya mampu mendapat pulangan lumayan.

Wan Hamidahton Wan Ishak, 24, lulusan diploma Kejuruteraan Mekanikal Pertanian dari Politeknik Kota Bharu, Kelantan ini mengambil langkah berani dengan menyewa tanah dan menjadikan tanaman tebu jenis Morris sebagai tanaman pilihan.

Langkah gadis ini pada mulanya mungkin dianggap penduduk kampung sebagai satu angan-angan atau sekadar mencuba, namun anak keempat daripada tujuh beradik ini membuktikan segalanya boleh dilakukan.

Ternyata Wan Hamidahton tidak kekok ketika memegang cangkul, malah kebolehannya memandu sendiri jentera pembajak membuktikan dia begitu teruja untuk terjun ke bidang ini.

Tanah milik penduduk kampung yang selama ini terbiar membuka mata Wan Hamidahton untuk memajukannya secara komersial di Kampung Tiak, Kupang ini.

Menceritakan pengalaman awalnya, gadis ini berkata, apabila kembali ke kampung dua tahun lalu dia begitu sedih apabila melihat banyak tanah sawah terbiar yang menjadi semak samun kerana pemiliknya tidak lagi berminat untuk mengusahakan sawah.

Mungkin fikirnya anak muda sepertinya tidak lagi berminat dengan kerja kotor pada anggapan mereka sehingga timbul perasaan ingin menceburi secara bersungguh-sungguh.

Hasrat murni gadis ini untuk turun ke tanah membanting tulang bagaikan seiring dengan cita-cita bapanya, Wan Ishak Wan Ibrahim, 56, yang lantas berjaya menghidu niat baik anak gadisnya ini.

Berbekalkan modal sendiri Wan Hamidahton dan bapanya menanam sebanyak 3,000 pokok tebu sebagai permulaan sehinggalah lapan bulan kemudian hasilnya menguja kedua-dua beranak ini.

Sekalipun usaha gadis ini berjaya, dia yang tidak dibantu oleh pihak tertentu tidak berasa kecewa kerana sedar mungkin pihak berkenaan mahu melihat sejauh mana kebolehan petani muda sepertinya bergerak sendiri.

“Setakat ini, belum ada mana-mana pihak membantu tetapi saya sedar sebagai orang baru kita kena hidup dan berikhtiar sendiri,’’ katanya.

Kesungguhannya turun ke ladang tebu seawal pagi untuk menjenguk pokok tebu terutama bagi mengelak tanaman ini diserang musuh jelas menunjukkan dirinya semakin meminati dunia pertanian yang diceburinya.

Rutin harian anak gadis ini ialah membersih kawasan tanaman tebunya dengan sesekali membuang daun-daun kering dan memeriksa batang pokok tebu kalau-kalau ia diserang penyakit.

Menurut Wan Halimahton, ketika mula-mula menanam tebu dia banyak belajar daripada bapanya termasuk dalam memilih tebu bermutu untuk dijadikan benih.

Katanya, pada mulanya dia menjangkakan agak sukar untuk menjaga tanaman ini kerana sebelum ini dia tidak pernah menjalani apa jua kursus atau latihan mengenai tanaman itu.

“Selepas menceburinya saya dapat rasakan pengalaman terlibat dalam bidang pertanian cukup puas,” katanya.

Tambahnya, tebu akan matang antara lapan hingga sembilan bulan bergantung kepada keperluan baja dan penjagaan.

Setiap kali tebu mencapai tahap matang Wan Halimahton berkata, antara satu hingga dua tan tebu dapat ditebang sebelum dijual kepada peraih.

Bagi semusim dia dapat menebang sehingga 18 tan tebu jenis Morris. Selain jenis Morris, terdapat juga tebu hitam yang ditanam di ladang tebu milik gadis ini.

Namun anak gadis yang bercita-cita menjadi jurutera pertanian ini yakin tebu kuning jenis Morris ini berpotensi besar sekiranya ditanam secara komersial.

“Tebu jenis ini agak besar dan airnya cukup manis dan tahan penyakit,” ujarnya.

Wan Hamidahton berkata, tebu yang ada di ladangnya itu bakal ditebang tidak lama lagi dan selepas itu tebu Morris akan mengambil tempat menghiasi ladangnya.

Bagi membuktikan bekalan dan permintaan yang tinggi terhadap tanaman ini, petani muda ini telah bersedia untuk menyewa lagi kawasan tanah sawah terbiar untuk ditanam dengan tebu.

Setakat ini, tebu yang dihasilkan oleh gadis ini hanya mampu menampung pasaran tempatan termasuk sehingga ke Pulau Pinang.

Pun begitu Wan Hamidahton dan bapanya, juga menanam tebu secara berperingkat-peringkat bagi mengelak kehabisan bekalan terutama menjelang bulan Ramadan ini.

Mengenai harga tebu, dia yakin harga tanaman ini akan meningkat dari semasa ke semasa. Ketika ini Wan Hamidah berkata, dia menjual tebu dengan harga RM0.50 sekilogram iaitu melebihi RM500 bagi setiap tan.

“Biarpun nampak murah namun tebu jenis Morris agak menarik kerana mutunya cukup baik,” ujarnya.

Gadis yang tidak lokek dengan senyuman ini ternyata puas dengan usahanya untuk memperluaskan lagi tanaman tebu jika mendapat kawasan tanah yang luas.

“Insya-Allah kami sedang bergerak ke arah itu dan akan menyewa tanah lagi bagi memajukan lagi bidang ini,” akuinya.

Bagi Wan Ishak kesungguhan anaknya terlibat dalam bidang ini sungguh melegakannya kerana dia yakin bidang ini cukup berpotensi besar, malah penyertaan Wan Halimahton boleh membuka era baru dalam tanaman tebu khususnya pertanian yang dianggap perniagaan yang menguntungkan.

Suami kepada Hindon Abdullah, 54, ini mahu menjadikan anak gadisnya contoh kepada anak-anak kampung terutama wanita kerana tanah terbiar yang luas masih menanti mereka.

Sekalipun digelar gadis tebu, Wan Halimahton sedar umur seusianya perlu menongkah masa untuk bangkit memajukan bidang pertanian kerana bidang ini semakin terserlah dan menjadi keutamaan kerajaan.

Tebu sebagai sumber bahan api

Tebu bukan sekadar sumber gula tetapi juga untuk bahan api kenderaan.


BERDASARKAN Wikipedia, terdapat 37 spesies tebu dengan genus Saccharum yang terdapat di seluruh dunia bergantung kepada huraian taksonominya.

Apa yang pasti tanaman yang berketinggian antara dua dan enam meter ini merupakan sumber gula terpenting, ditanam di 200 buah negara dengan Brazil merupakan negara pengeluar terbesar.

Apa yang menarik bagi negara tropika itu yang tidak mempunyai sumber minyak ialah kegigihannya menghasilkan bahan api dengan menggunakan tebu.

Tebu diproses untuk mengeluarkan etanol untuk bahan api, sejenis biofuel yang mula mendapat perhatian dunia selain berasaskan soya dan sebagainya.

Malah Brazil, bersaing dengan Amerika Syarikat untuk menghasilkan etanol terbesar dunia yang mana 90 peratus daripada produk alkohol tersebut tersebut untuk kegunaan biofuel.

Ketika dunia berhadapan dengan krisis tenaga, Brazil terus mendapat manfaat daripada penghasilan etanolnya sejak tiga dekad lepas sebagai biofuel meskipun timbul dilema yang mana lebih utama antara penggunaan tenaga bahan api dan makanan. Di Brazil, kenderaan ringan di negara tersebut tidak lagi menggunakan bahan api fosil (minyak biasa) sejak 1977, sebaliknya kerajaan mewajibkan penggunaan campuran etanol dan gasolin untuk bahan api.

Industri pembuatan kereta negara terbabit telah membangunkan kenderaan yang memanfaatkan penggunaan gasolin dan etanol pada 2003 bagi memanfaatkan industri bahan api semula jadi itu.

Negara berkenaan mempunyai strategi yang baik dalam menjana industri etanol untuk kenderaan apabila kerajaan memberi jaminan akan membeli produk yang dihasilkan, selain pinjaman yang mengenakan kadar faedah rendah.

Inisiatif Brazil itu mendorong syarikat kenderaan mengeluarkan kereta yang menggunakan etanol sebagai bahan api.

Di Malaysia, sudah ada usaha dilakukan untuk memperkenalkan tebu sebagai bahan api biofuel. Sebagai contoh, terdapat laporan sebelum ini menyatakan sebuah syarikat tempatan, PHL Trade (M) Sdn. Bhd., yang beribu pejabat di Kuala Perlis, menghasilkan kira-kira 7,000 liter biofuel daripada satu hektar ladang tebunya di Perlis.

Malah dikatakan, bahan api tersebut lebih selamat dan terbukti menjimatkan.

Persoalannya, adakah tebu menjadi satu daripada bahan mentah yang terkandung dalam Dasar Biofuel Negara yang telah diperkenalkan, kerana didapati hanya minyak sawit diberi keutamaan.

Banyak perkara perlu diambil kira dalam penggunaan bahan pertanian terutama makanan untuk ditukar kepada biodiesel.

Apatah lagi di Malaysia, tebu adalah sumber utama dalam penghasilan gula.

Tebu diproses untuk menghasilkan tenaga berdasarkan sukrosa yang terkandung di dalamnya menyimpan tenaga. Daripada jus tersebut, gula diperoleh dengan proses evaporasi membentuk kristal gula.

Teknologi pemerosesan itu dikatakan diperkenalkan berkurun lamanya dan orang Arab memperkenalkan lepada negara-negara Mediterranean, Afrika Utara dan Sepanyol.

Teknologi penanaman dan pemprosesan tebu itu kemudiannya dipindahkan ke China oleh India.

Berdasarkan sejarah, tebu dikatakan berasal dari negara Asia dan Asia Tenggara.