BERMUTU: Sabri (tengah) dan Muslim (kiri) ketika melawat pusat pemprosesan cempeak sejuk beju di Pejabat Fama negeri di Beseri, baru-baru ini. |
Fama mahu eksport dalam bentuk sejuk beku bagi atasi lambakan hasil
PADANG BESAR: Perlis melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memperluaskan lagi pasaran cempedak ke luar negara, terutama ke China sebagai strategi ‘serampang dua mata’ mengatasi lambakan buah terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Sabri Ahmad, berkata sehingga kini Fama negeri menghantar kira-kira tiga tan cempedak yang sudah diproses ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur untuk dieksport ke China.
“Berdasarkan maklum balas diterima, ia mendapat sambutan menggalakkan, terutama dalam bentuk sejuk beku kerana masyarakat di China menyukai aroma wangi serta rasanya yang unik.
“Malah, kita sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan proses sejuk beku membabitkan beberapa buah lain seperti mangga dan nangka untuk memaksimumkan pemasaran, termasuk ke luar negara,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Terdahulu, Sabri dibawa meninjau sekitar kawasan Pusat Pemprosesan Isi Cempedak di Pejabat Fama negeri di Beseri di sini. Hadir sama Pengarah Fama negeri, Muslim Manja.
Untuk rekod, pada tahun lalu petani terutama penanam cempedak di negeri ini merungut apabila lebih 400 tan buah rosak kerana gagal dipasarkan.
Sementara itu, Sabri berkata dengan peluang baru ini, pihaknya yakin masalah pemasaran terutama membabitkan lambakan cempedak yang dialami petani sejak beberapa tahun lalu mampu diselesaikan.
Beliau berkata, selain mengatasi masalah lambakan hasil, tindakan eksport turut bertujuan memperkenalkan tanaman berkenaan termasuk produk berasaskan cempedak ke negara luar.
Sehingga kini, katanya, Fama mampu membeli seberapa banyak cempedak dengan harga RM1 sekilogram daripada penduduk kampung di seluruh negeri Perlis.
“Bagaimanapun, pada tahun ini hasil cempedak Perlis kurang menjadi iaitu sekitar 100 tan saja, memaksa Fama mendapatkan buah daripada pekebun di Kedah.
“Apa pun, kita turut mendapat bantuan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini dalam proses kajian ke atas biji cempedak yang diasingkan daripada isinya, untuk menghasilkan tepung.
“Kita percaya jika kajian itu berhasil, ia mampu meningkatkan lagi potensi pemasaran buah tempatan terbabit,” katanya.