Melahirkan penternak kambing

BIDANG penternakan kambing kini semakin mendapat sambutan menggalakkan kerana berpotensi memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Sambutan yang diterima pula bukan setakat dari golongan penternak sahaja, malah golongan profesional seperti jurutera dan akauntan juga telah menunjukkan minat mereka untuk mengusahakan bidang ini.

Namun, bukan mudah bagi individu yang tiada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tersebut untuk menjalankan aktiviti itu secara komersial.

Usaha yang dijalankan oleh Jabatan Haiwan di setiap negeri untuk mendidik dan memberi pengetahuan kepada penternak harus dipuji kerana ia secara tidak langsung dapat meyakinkan orang ramai bahawa aktiviti penternakan ini adalah bidang yang menguntungkan.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan terhadap industri tersebut, sebuah syarikat swasta, Institut Pengetahuan Ar-Raudhah melalui Ladang Bioteknologi Ar-Raudhah mengambil inisiatif menganjurkan program usahawan penternakan kambing secara saintifik kepada mereka yang berminat.

Menurut Pengerusi Ladang Bioteknologi Ar-Raudhah Sdn. Bhd., Datuk Bistamam Ramli, ladang tersebut menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan terbaik kepada penternak- penternak baru dan lama yang berminat menceburkan diri dalam bidang itu.

‘‘Kami di sini percaya pembangunan setiap industri perlulah disokong oleh pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi memastikan matlamat yang dirancang tercapai.

‘‘Kami mempunyai matlamat untuk mempertingkat serta memperluaskan pengetahuan dalam bidang ini dan seterusnya menyampaikan pengetahuan tersebut kepada para penternak untuk diaplikasikan,’’ katanya.

Program yang pertama kali dianjurkan itu telah menarik minat 25 orang penternak yang ingin mendalami bidang tersebut.

Penternak-penternak ini telah menjalani latihan selama tujuh hari pada bulan lalu untuk diberi pendedahan tentang bidang penternakan kambing secara menyeluruh.

Melalui program itu, mereka diajar tentang aktiviti pembiakan menggunakan pendekatan bioteknologi dengan memberi fokus kepada beberapa perkhidmatan utama seperti pengumpulan dan penilaian semen, penyejuk bekuan semen, permanian beradas, pengumpulan dan pemindahan embrio serta diagnosis kebuntingan.

Selain itu, penternak-penternak juga dilengkapkan dengan ilmu penternakan asas yang merangkumi aspek pemakanan, penjagaan kesihatan, pembiakbakaan, produksi dan reproduksi serta pengurusan sisa dari ladang ternakan.

Program ini memberi penekanan khusus kepada pembiakan beberapa jenis kambing bergenetik tinggi seperti Boer dan Kalahari yang mana dagingnya yang berkualiti dan rendah kolestrol mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

Peserta program ini telah mendapat tunjuk ajar daripada pakar veterinar dan bioteknologi, Dr. Mohd Azam Khan dan Prof. Madya Dr. Abdul Wahid Harun.

Mereka turut didedahkan dengan teknik pengurusan kewangan yang betul melalui penerangan yang diberikan oleh wakil dari Agrobank dan Majlis Amanah Rakyat.

Menurut seorang peserta , Sharuddin Zainuddin, 55, minatnya untuk menyertai bidang penternakan timbul setelah merasakan aktiviti tersebut mampu berkembang jika dilaksanakan dengan baik.

‘‘Saya yakin dengan program latihan yang ditawarkan oleh Ladang Bioteknologi Ar-Raudhah ini kerana mereka menggunakan pendekatan teknologi moden dan baka-baka yang bergenetik tinggi,’’ katanya.

Beliau yang merupakan bekas jurutera marin bercadang untuk menjadikan bidang penternakan sebagai aktiviti sepenuh masa sebaik sahaja program tersebut tamat.

Seorang lagi peserta, John Ng, 30 yang telah menceburi bidang penternakan kambing sejak empat tahun lalu turut berminat menyertai program tersebut.

‘‘Saya tertarik untuk menyertainya kerana program ini menawarkan pendedahan menyeluruh mengenai penternakan kambing dari segi pembiakan, penjagaan, pengurusan kewangan dan sebagainya,’’ katanya.

Melalui program itu, beliau berminat untuk mempelajari teknik-teknik pembiakan permanian beradas dan pemindahan embrio supaya ia dapat diaplikasikan dalam pengurusan ladangnya.

Satu-satunya peserta wanita pada program tersebut, Shamshinar Yahaya, 24, pula menyifatkan industri penternakan mempunyai potensi besar untuk berkembang pada masa depan.

Ini kerana, beliau yakin usaha penternakan yang dijalankan oleh penternak- penternak tempatan mampu untuk memenuhi permintaan terhadap daging kambing.

‘‘Disebabkan minat yang mendalam dalam bidang ini, saya mengambil keputusan untuk menceburinya kerana kalau kita tak cuba kita tidak akan tahu manfaatnya,’’ katanya.

Akauntan yang berasal dari Perlis itu bercadang untuk membuka ladang ternakannya sendiri di Johor dengan bantuan rakan-rakannya.

Jabatan Perikanan sedia 400 benih ikan

KUALA LIPIS 2 Sept. – Jabatan Perikanan Pahang menyediakan 30 tangki dan 400 benih ikan keli secara percuma kepada orang ramai yang berminat menceburi bidang ternakan ikan air tawar di daerah ini.

Ketua Perikanan Daerah Kuala Lipis, Mat Rani Yunus berkata, bagi tujuan itu, pihaknya juga menyediakan empat beg makanan ikan, Effective Microorganism (EM) bagi mempercepatkan pembesaran haiwan ternakan itu.

Menurut beliau, kemudahan itu disediakan sejajar dengan program Bumi Hijau sempena Dasar Jaminan Makanan Nasional yang dilancarkan di peringkat daerah itu, baru-baru ini.

“Jabatan Perikanan negeri memberi fokus terhadap ternakan ikan keli bagi meningkatkan pengeluaran di daerah ini,” katanya pada majlis taklimat kepada pengusaha ternakan ikan keli di bilik gerakan Pejabat Pertanian Daerah di sini baru-baru ini.

Mat Rani memberitahu, sehingga kini, terdapat 150 pengusaha ikan keli dan 120 tangki disediakan di daerah itu.

Menurutnya, kebanyakan peserta terbabit terdiri daripada kakitangan awam berpendapatan rendah dan penternak yang berpengalaman.

“Bagi kakitangan awam yang berpendapatan rendah, penglibatan mereka dalam bidang ini dapat meningkatkan lagi pendapatan isi rumah selain mengurangkan bebanan perbelanjaan yang semakin meningkat pada masa ini.

“Kita juga menggalakkan golongan belia menceburi bidang ternakan ikan air tawar ini bagi menjana pendapatan mereka pada masa depan,” jelasnya.

Menurut beliau, menerusi teknologi terkini yang disediakan oleh Jabatan Perikanan, ia mampu meningkatkan pengeluaran ikan keli di daerah itu.

Orang ramai yang berminat untuk terlibat dalam projek ikan keli diminta menghubungi talian 09-3121900 atau datang terus ke Pejabat Perikanan daerah.

Cempedak Perlis ke China


Sabry Ahmad (tengah) meneliti buah cempedak sambil diperhatikan oleh Pengarah FAMA Negeri Perlis, Muslim Manja (kiri) di Pusat Pengumpulan Cempedak di Beseri, Padang Besar, semalam.


PADANG BESAR 2 Sept. – Masalah lambakan buah cempedak di negeri ini sejak beberapa tahun lalu selesai apabila buah tempatan itu kini mampu diproses oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi di eksport ke luar negara.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabri Ahmad berkata, masalah lambakan yang berlaku itu berjaya diatasi apabila buah cempedak kini mendapat sambutan menggalakkan dari beberapa buah negara terutamanya China.

Katanya, FAMA kini mampu membeli seberapa banyak buah cempedak dengan harga RM1 sekilogram (kg) daripada penduduk kampung di seluruh negeri ini.

”Buah cempedak itu dieksport ke China oleh FAMA dalam bentuk sejuk beku kerana masyarakat di sana menyukai aromanya yang wangi serta rasa uniknya.

”Sehingga kini FAMA negeri telah menghantar kira-kira tiga tan buah cempedak yang siap diproses ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur bagi dieksport ke China,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemprosesan Isi Cempedak di Pejabat FAMA Beseri dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengarah FAMA negeri, Muslim Manja.

Pada tahun lalu petani terutamanya penanam cempedak di negeri ini merungut apabila lebih 400 tan buah cempedak rosak kerana tidak dapat dipasarkan.

Sabri berkata, apabila cempedak di eksport ke China, pekebun akan mendapat jaminan buah itu dapat dibeli tanpa sebarang had.

”Malang sekali pada tahun ini buah cempedak di Perlis kurang menjadi iaitu dalam 100 metrik tan kerana mungkin berpunca daripada masalah cuaca sehingga FAMA terpaksa membelinya daripada pekebun-pekebun di Kedah.

”Cempedak dalam bentuk sejuk beku merupakan percubaan pertama dan disebabkan sambutan yang baik kita mungkin akan cuba memproses buah lain seperti buah mangga dan nangka,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Universiti Sains Malaysia (USM) juga sedang menjalankan kajian bagi menghasilkan tepung daripada biji buah cempedak.

”Melalui program pembangunan seperti ini, saya percaya petani dan pekebun akan terus mendapat faedah,”ujarnya.