Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
![]() |
Pengurus tkpm Ara Kuda , Zamri Ahmad (tengah) memeriksa hasil tanaman Chu Wei Chong yang sedia untuk dipasarkan, semalam.
|
TASEK GELUGOR 31 Ogos – Berbekalkan keazaman yang tinggi, tiga anak muda sanggup meninggalkan kerjaya di pejabat berhawa dingin, untuk memerah keringat di bawah terik matahari dengan mengusahakan tanah pertanian.
Berpegang kepada keyakinan bahawa pertanian merupakan cabang perniagaan yang menguntungkan, mereka mengusahakan beberapa lot tanah di ladang Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini.
Walaupun keazaman itu dipandang enteng termasuk oleh keluarga sendiri, tiga anak muda yang memegang ijazah dan sijil dari beberapa universiti tempatan itu, berjaya membuktikan mereka juga boleh meraih pendapatan lumayan.
Ternyata, dengan pengorbanan dan kesetiaan berbudi pada tanah telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya meraih pendapatan lumayan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding rakan-rakan seusia yang lain.
Graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Naziman Mohd. Nasir, 26, berkata, kerana minat mendalam dalam bidang perniagaan, dia meninggalkan kerjaya di sebuah syarikat swasta untuk menceburi bidang pertanian.
Mohd. Naziman berkata, minat untuk mencuba nasib dalam bidang pertanian timbul ketika dia melalui sebuah kawasan tanaman sayur-sayuran di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, dekat sini.
“Saya mendapatkan nasihat daripada pihak Jabatan Pertanian Pulau Pinang dan mereka meminta saya membuat permohonan untuk mengusahakan tanah pertanian di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pemegang ijazah Kejuruteraan Mekanikal itu memberitahu, pengalaman pertama mengusahakan tanah pertanian memang memeritkan kerana terpaksa berhempas pulas di bawah terik matahari selain berdepan harga pasaran sayur yang tidak menentu.
Anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu menambah, hasil dorongan dan nasihat pihak pengurusan TKPM Ara Kuda, dia bertungkus-lumus mencari peluang memasarkan tanamannya di sekitar Seberang Perai.
“Mula-mula memang memeritkan, tapi saya kuatkan semangat kerana percaya kalau orang lain boleh buat, saya yang masih muda ini mesti boleh buat. Syukur, kesabaran saya berbaloi,” tambahnya.
Graduan Institut Pertanian Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM), Rahezy Abdul Rahim, 23, pula menceritakan bagaimana percubaan pertama pada tahun lalu dengan menanam cili di TKPM mengalami kerugian ekoran kecetekan pengalaman.
Katanya, dia kemudiannya mencuba tanaman sayur-sayuran dan selepas mendalami teknik penanaman lebih sistematik dan tersusun, tanah seluas dua hektar yang diusahakannya kini segar menghijau dengan tanaman sawi, kangkung dan bayam.
“Pada mulanya, orang kata saya membazirkan masa muda jadi petani tapi saya percaya bidang ini (pertanian) boleh membuahkan kejayaan kalau diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya.
Rahezy berkata, ketabahannya mula teruji apabila tanaman cili yang diusahakannya di TKPM pada tahun lalu mengalami kerugian ekoran ancaman penyakit dan ketidakstabilan harga di pasaran.
Bagaimanapun, atas khidmat nasihat pengurusan TKPM, dia membuat percubaan kedua dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran.
“Saya amat bersyukur apabila percubaan kedua saya mula membuahkan hasil dan sekarang saya yakin pertaruhan meninggalkan kerjaya asal amat berbaloi,” katanya.
Seorang lagi petani muda, Chu Wei Chong, 29, berkata, sejurus menamatkan pengajian di sebuah kolej swasta, beliau mula mencongak peluang untuk menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.
Katanya, atas nasihat seorang rakan, Wei Chong mendalami selok-belok perusahaan pertanian yang dilihatnya sangat berpotensi dan mampu memberi pulangan lumayan.
“Sebagai permulaan, saya mengusahakan tanah pertanian secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Permatang Pauh dan selepas hasilnya memuaskan, saya memohon untuk menyewa tanah di TKPM Ara Kuda,” katanya.
Wei Chong berkata, beliau dan rakan-rakan amat beruntung kerana mendapat sokongan daripada pihak TKPM yang sering berusaha meningkatkan motivasi selain memberi tunjuk ajar dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Pengurus TKPM Ara Kuda, Zamri Ahmad berkata, penglibatan ramai anak muda mengusahakan tanah pertanian telah membuktikan usaha mempromosi bidang itu sebagai cabang perniagaan mula menampakkan hasil positif.
“Apa yang penting, mereka perlu bersungguh-sungguh kerana memulakan langkah pertama bukan sesuatu yang mudah. Petani muda di TKPM Ara Kuda membuktikan hakikat ini,”