TUMPAT: Lagun Pantai Sri Tujuh di sini, akan dibangunkan sebagai pusat pengeluaran ikan dalam sangkar terbesar di negeri ini bagi pasaran luar negara memandangkan kedudukannya strategik, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata sehingga kini 89 penternak mengusahakan ternakan akuakultur di kawasan itu membabitkan lebih 2,000 sangkar.
“Secara purata penternak di kawasan ini mengeluarkan kira-kira 30 tan ikan setiap bulan dengan hasil jualan ternakan terbabit dianggarkan melebihi RM4 juta setahun.
“Melihat kepada perkembangan ini, kita yakin Lagun Pantai Sri Tujuh mampu dijadikan pusat pengeluaran ternakan ikan dalam sangkar terbesar di Kelantan bagi memenuhi keperluan dan pasaran dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Benih Ikan Siakap dan Sijil Lesen Sampan Sistem Kultur Laut kepada 89 penternak, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Lagun Sri Tujuh, Yusoff Che Mamat.
Ahamad Sabki berkata, bagi merealisasikan hasrat menjadikan Lagun Pantai Sri Tujuh sebagai pusat pengeluaran akuakultur, banyak perubahan dan penambahbaikan perlu dilakukan.
Beliau berkata, bagi memastikan ikan yang diternak itu dapat menembusi pasaran luar negara, pihaknya akan memastikan pengusaha ikan dalam sangkar terbabit menggunakan benih ikan yang berkualiti.
“Sehubungan itu, Jabatan Perikanan menggalakkan penternak menghasilkan benih ikan sendiri bagi memastikan ia berkualiti, tanpa mengharapkan benih import daripada luar negara yang mungkin boleh mengundang penyakit.
“Pihak jabatan akan membantu penternak bagi memasarkan hasil ternakan mereka ke luar negara, sekiranya berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Sehingga kini, katanya, Jabatan Perikanan negeri sudah menerima peruntukan RM1 juta dari kerajaan Pusat sepanjang tahun ini, selain peruntukan tambahan RM500,000 selepas kajian separuh penggal.
“Peruntukan itu akan disalurkan kepada penternak bagi menjayakan pelbagai program dirancang selain mengusahakan kembali sangkar ternakan ikan yang ditinggalkan penternak sebelum ini,” katanya.
nak buat lawatan bawak pelajar tengok peternakan ikan di pantai seri tujuh, nak hubungi siapa?