Lagun Pantai Sri Tujuh sesuai pusat akuakultur

TUMPAT: Lagun Pantai Sri Tujuh di sini, akan dibangunkan sebagai pusat pengeluaran ikan dalam sangkar terbesar di negeri ini bagi pasaran luar negara memandangkan kedudukannya strategik, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata sehingga kini 89 penternak mengusahakan ternakan akuakultur di kawasan itu membabitkan lebih 2,000 sangkar.

“Secara purata penternak di kawasan ini mengeluarkan kira-kira 30 tan ikan setiap bulan dengan hasil jualan ternakan terbabit dianggarkan melebihi RM4 juta setahun.

“Melihat kepada perkembangan ini, kita yakin Lagun Pantai Sri Tujuh mampu dijadikan pusat pengeluaran ternakan ikan dalam sangkar terbesar di Kelantan bagi memenuhi keperluan dan pasaran dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Benih Ikan Siakap dan Sijil Lesen Sampan Sistem Kultur Laut kepada 89 penternak, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Lagun Sri Tujuh, Yusoff Che Mamat.

Ahamad Sabki berkata, bagi merealisasikan hasrat menjadikan Lagun Pantai Sri Tujuh sebagai pusat pengeluaran akuakultur, banyak perubahan dan penambahbaikan perlu dilakukan.

Beliau berkata, bagi memastikan ikan yang diternak itu dapat menembusi pasaran luar negara, pihaknya akan memastikan pengusaha ikan dalam sangkar terbabit menggunakan benih ikan yang berkualiti.

“Sehubungan itu, Jabatan Perikanan menggalakkan penternak menghasilkan benih ikan sendiri bagi memastikan ia berkualiti, tanpa mengharapkan benih import daripada luar negara yang mungkin boleh mengundang penyakit.

“Pihak jabatan akan membantu penternak bagi memasarkan hasil ternakan mereka ke luar negara, sekiranya berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sehingga kini, katanya, Jabatan Perikanan negeri sudah menerima peruntukan RM1 juta dari kerajaan Pusat sepanjang tahun ini, selain peruntukan tambahan RM500,000 selepas kajian separuh penggal.

“Peruntukan itu akan disalurkan kepada penternak bagi menjayakan pelbagai program dirancang selain mengusahakan kembali sangkar ternakan ikan yang ditinggalkan penternak sebelum ini,” katanya.

Perlis sedia promosi tanaman kenaf secara meluas

KANGAR: Kerajaan Perlis bersedia membantu mempromosikan kenaf secara meluas sebagai alternatif kepada tembakau yang kini menghadapi kemerosotan pengeluarannya, selain pengurangan kuota tembakau.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Sabry Ahmad, berkata kenaf berpotensi untuk dikembangkan kerana pasarannya cukup meluas, selain harganya yang stabil.

“Justeru, kita meminta pengusaha mempelbagaikan tanaman mereka, termasuk mengusahakan kenaf bagi membantu menaikkan taraf hidup berikutan tindakan kerajaan mengurangkan kuota tanaman tembakau,” katanya berucap merasmikan Hari Ladang Tembakau di Kampung Gial dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, kuota pengeluaran tembakau di Perlis kini ditetapkan 860,000 kilogram iaitu berkurangan 260,000 kilogram, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan petani terbabit.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, penanam terbabit perlu beralih kepada tanaman sampingan lain seperti kenaf, tanaman herba, ternakan lembu dan ikan keli bagi menampung sumber pendapatan utama.

Katanya, pihaknya akan memastikan kuota pengeluaran tembakau yang sedia ada itu terus kekal memandang iklim di Perlis sesuai untuk tanaman terbabit.

“Kita mahu petani memanfaatkan sepenuhnya tanah mereka dengan tanaman menguntungkan seperti kenaf dan kerajaan menyalurkan bantuan dalam bentuk pinjaman mudah untuk petani yang aktif mengusahakannya,” katanya.

Sabry memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tetap membela nasib penanam tembakau di negeri ini dan mereka pula perlu berubah dengan mengikuti saranan dan kaedah ditetapkan bagi meningkat taraf hidup masing-masing.

Fama lancar tanaman pisang abu

BAGAN DATOH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Perak melancarkan projek ladang kontrak tanaman pisang abu seluas 121 hektar di mukim Rungkup yang disertai 25 pekebun kecil kelapa bagi memenuhi permintaan buah berkenaan yang semakin meningkat.

Pengarahnya, Basri Jasmo, berkata pisang jenis itu dari mukim Rungkup menerima permintaan tinggi di pasaran tempatan kerana dikatakan berkualiti tinggi.

Katanya, sehingga kini pihaknya banyak menerima permintaan terutama dari Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor yang ingin mendapatkan pisang abu dari mukim berkenaan dalam bilangan banyak untuk dijual di negeri berkenaan.

“Bagaimanapun, oleh kerana pengeluaran hasilnya yang kurang, Fama hanya mampu memenuhi permintaan itu dengan bekalan terhad.

“Pisang abu dapat hidup subur di mukim ini mungkin kerana keadaan tanahnya yang `berlumpur masam’ sehingga tanaman itu boleh mengeluarkan hasil yang banyak selepas 12 bulan ditanam,” katanya kepada Berita Harian selepas menemui 20 pengusaha produk kampung di sini, semalam.

Basri berkata, setakat ini seramai 600 pekebun kecil terbabit menanam pisang abu di kawasan kebun kelapa milik mereka seluas 3,000 hektar.

Beliau berkata, purata pekebun kecil memperoleh pendapatan tambahan RM1,000 sebulan sehektar hasil jualan pisang abu dengan harga jualan runcit, 75 sen sekilogram.

Katanya, kebanyakan pisang abu dijual secara mentah dan diproses menjadi kerepek yang permintaannya semakin bertambah terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Justeru, katanya, menerusi ladang kontrak yang diwujudkan itu, pihaknya berharap dapat membantu petani untuk menambah pendapatan kerana pasarannya yang terjamin.

“Pekebun kecil tidak perlu bimbang kerana Fama sedia membantu mereka bagi mendapatkan pasaran berikutan dengan permintaan pisang abu yang menggalakkan di seluruh negara.

“Fama akan memperluas projek ladang kontrak ini dari semasa ke semasa dan pada masa sama berusaha memenuhi permintaan pemborong yang membuat tempahan awal, ” katanya.

Pokok herba, ulaman hias laman



Gabungan tekstur,warna dan bentuk pokok akan menghasilkan taman yang harmoni.

Rumah bandar boleh mempunyai taman kebun jika pandai reka bentuk landskap

MENGHIAS taman bukan bermaksud hanya halaman hadapan rumah tetapi juga di belakang kediaman yang sering dilupakan.

Di kampung, laman belakang adalah taman ‘syurga’ buat wanita kerana di situlah mereka menanam pelbagai jenis rempah ratus dan ulam-ulaman untuk dijadikan hidangan keluarga.

Daun kunyit, kari, halia malah pegaga sering menghiasi taman dapur begitu juga pokok berbunga cantik kategori herba seperti misai kucing dan ulam raja yang turut menghiasi laman depan rumah.

Bolehkah rumah bandar terutama teres mempunyai laman dapur atau kebun herba seperti di kampung? Jawapannya, boleh jika kita bijak mereka bentuk laman mengikut ruang dan saiz keluasan kediaman dimiliki.

Pembantu Pertanian Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Abdul Rahim Rashid berkata, bagi memastikan aktiviti berkebun tidak mencemarkan pemandangan kawasan rumah maka perlu difahami panduan mereka bentuk pelan landskap rumah kediaman.

Tanaman seperti cili (gambar kiri) menambah seri laman. Pokok tomato (gambar kanan) sesuai ditanam di tepi pagar dan pegola.

Katanya, ia penting bagi memenuhi nilai ekonomi, kesejahteraan, keselesaan, keagamaan dan juga alam sekitar.

“Selain itu ia juga akan dapat dijadikan panduan kepada arkitek landskap dan pereka landskap untuk membina taman kebun di kawasan kediaman terutama rumah bandar termasuk teres,” katanya pada Bengkel Seni Hias Laman Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya, baru-baru ini.

Bengkel itu menggabungkan teori asas cara penanaman pokok selain kursus praktikal merangkumi topik media tanaman, asas pembiakan pokok, kaedah penanaman dan penyelenggaraan landskap, demonstrasi penanaman dan penyelenggaraan landskap.

Konsep asas mereka bentuk kebun dapur adalah penanaman tanaman yang memberi manfaat kepada keluarga untuk tujuan masakan dan ubatan melalui gabungan dan susunan tanaman perisa, sayuran, ulam dan tumbuhan ubatan dengan tanaman hiasan lain seperti Marigold.

Abdul Rahim membuat demonstrasi menanam sayur dalam beg plastik.

Matlamatnya adalah untuk memenuhi keperluan harian dapur terutama dari segi bekalan sayuran segar dan bermutu tinggi dan biasanya ia dari jenis yang mudah diselenggara dan disesuaikan dengan landskap keseluruhan rumah sedia ada.

Perkara utama selepas konsep kebun sayur dikenal pasti ialah pemilihan tanaman yang sesuai.

Seeloknya, tumbuhan ubatan, ulaman dan rempah ratus adalah dari jenis naungan, renek, herba, penutup bumi, jenis memanjat dan lendir. Setiap tumbuhan berkenaan memberikan khasiat tertentu untuk tujuan masakan dan perubatan.

Pemilihan tumbuhan di satu-satu kawasan penting dan perlulah mempunyai hasil serta mutu yang tinggi serta tahan kepada perosak dan penyakit. Seeloknya, pilihlah tanaman yang boleh dituai berpanjangan berbanding tanaman yang hanya boleh dituai sekali gus atau jangka pendek.

Penuaian berterusan boleh diperoleh menerusi penanaman berperingkat atau mengamalkan sistem tanaman ganti. Namun, kriteria utama pemilihan jenis tanaman kebun dapur atau taman dapur adalah bergantung kepada keupayaan kita menguruskannya, kesesuaian dengan kawasan sedia selain kesinambungannya dengan landskap keseluruhan kediaman.

Fakta Mengenai Tanaman Laman Dapur

  • Pokok jenis naungan adalah seperti tembusu (frarea fragrans), asam jawa, tanjung dan jambu batu.
  • Pokok jenis tumbuhan renek pula seperti bunga raya, siantan, melur, pandan dan bunga tahi ayam (lantana camara)
  • Pokok jenis herba ubatan adalah seperti kekwa (chrysanthemum indicum), ati-ati (coleus camara), misai kucing, kesum dan halia.
  • Pokok jenis penutup bumi pula adalah pudina dan kadok manakala jenis rumput biasanya seperti Serai dan pokok putarwali adalah contoh pohon memanjat.
  • Pohon jenis lendir pula adalah seperti setawar (bropphyllum pinnatum), sepulih (eriocaulis Sp) dan lidah buaya.
  • Pinjaman kecil Tekun tak perlu rujuk ibu pejabat

    KOTA KINABALU: Pengurus Kawasan Tekun Nasional dan Pegawai Mara Daerah dibenarkan meluluskan pinjaman kecil kepada usahawan Bumiputera tanpa merujuk kepada ibu pejabat masing-masing.

    Kebenaran itu khusus untuk pinjaman kurang RM10,000 bagi Tekun Nasional, manakala RM20,000 bagi Mara, bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi yang melambatkan proses kelulusan.

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata menerusi langkah itu, kelulusan berkenaan mampu diberikan serta merta.

    Katanya, langkah itu bukan saja menjimatkan masa, malah meningkatkan keyakinan usahawan kerana tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mengetahui keputusan permohonan pinjaman masing-masing.

    “Sebelum ini permohonan Tekun Nasional yang kurang RM10,000 perlu diproses di ibu pejabat Tekun Nasional di Kuala Lumpur dan ia mengambil masa berbulan-bulan.

    “Menyedari proses itu terlalu lama, saya meminta Tekun Nasional menurunkan kuasa meluluskan pinjaman kepada Pengurus Kawasan di setiap Parlimen di negeri ini.

    “Kalau layak, permohonan kurang RM10,000 boleh diluluskan dan kalau sebaliknya, dia kena berikan sebab kenapa tidak diluluskan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada perasmian Pusat Pembangunan Usahawan Tekun Cawangan Sabah oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, di Plaza Wawasan, di sini semalam.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan.

    Noh berkata, Mara turut lambat meluluskan permohonan pinjaman usahawan tetapi ia diatasi selepas Pegawai Mara Daerah diberikan kuasa meluluskan pinjaman kurang RM20,000.

    Bagaimanapun, katanya, pengurus dan pegawai yang diberikan kuasa memberi kelulusan perlu bersikap telus bagi mengelak penyalahgunaan kuasa.

    Bagi Tekun Nasional, RM41.3 juta pinjaman sudah diagihkan kepada hampir 10,000 usahawan Bumiputera di negeri ini sejak 1999.

    Belau juga berkata, kementerian itu akan menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan Parlimen (MPUP) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini untuk melaksanakan aktiviti keusahawanan.

    Syor pokok buah jadi landskap

    SEPANGGAR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah disaran menggantikan tanaman landskap di tepi jalan raya, pekan dan bandar dengan pokok buah-buahan tempatan.

    Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata pokok mangga, manggis dan rambutan lebih sesuai ditanam sebagai tumbuhan landskap berbanding pokok tidak berbuah.

    Ini kerana, katanya, pokok buah-buahan harus dipromosi sebagai tanaman landskap kerana selain memberikan kehijauan dan keindahan, buahnya boleh dijadikan sumber pendapatan PBT.

    “PBT membelanjakan wang yang banyak untuk mengindahkan landskap dengan pelbagai tanaman yang menarik tetapi tidak memberikan apa-apa pulangan kerana pokok yang ditanam bukan dari jenis yang boleh dimakan.

    “Kalau ditanam dengan pokok manggis, rambutan atau mangga, landskapnya tetap menarik dan yang baiknya, buahnya boleh dimakan.

    “Kalau buahnya banyak, PBT boleh menjualnya sebagai sumber pendapatan sampingan. Langkah ini sejajar pelaksanaan Program Bumi Hijau di seluruh negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Bumi Hijau Sub Sektor Perikanan peringkat negeri, di sini semalam.

    Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Rayner Stuel Galid dan Ketua Program Bumi Hijau Jabatan Perikanan Malaysia, Ahmad Hazizi.

    Program itu membabitkan projek penternakan ikan keli dan tilapia dalam tangki poly ethylene (PE) yang diberikan kepada penduduk kawasan perumahan di bandar dan pinggir bandar.

    Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, berkata banyak negara lain menanam pokok buah-buahan sebagai tanaman landskap di kawasan bandar untuk menambah keindahan dan mengutip hasilnya.

    Di Brazil, pokok mangga ditanam sebagai penghias jalan raya dan rakyatnya bebas mengambil buahnya, katanya.

    “Di Korea, PBT menanam pokok `gingko’ di sepanjang jalan dan kawasan bandar. Buah yang dikutip bukan saja dijual kepada penduduk tempatan, malah dieksport sebagai sumber pendapatan,” katanya.

    Katanya, penduduk di kawasan perumahan juga wajar menggantikan tanaman hiasan yang tidak memberikan hasil sampingan dengan tanaman yang bermanfaat seperti serai, kunyit, halia dan lengkuas.

    Tanaman itu boleh memberikan keindahan dan digunakan sebagai bahan masakan.

    “Saya hairan kenapa ramai orang sanggup membeli daun pisang di pasar sedangkan pisang mudah ditanam di belakang rumah. Lebih baik kita menanamnya sendiri supaya lebih jimat,” katanya.

    Pertanian terus kukuh

    Nilai tambah bagi sektor kecil merangkumi padi, nanas, tembakau, kelapa, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya akan dipertingkatkan.


    SEKTOR pertanian dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 3.6 peratus pada tahun ini dipacu oleh sektor kecil kelapa sawit, pertanian dan penternakan.

    Pelaksanaan pelbagai program pertanian diterajui oleh sektor swasta seperti Taman Kekal Pengeluaran Pertanian, Agro-Entrepreneur, Ladang Kontrak, Pusat Fidlot Kebangsaan dan Zon Industri Akuakultur dijangka meningkatkan peranan sektor pertanian dalam menjana sektor pertanian kepada KDNK dijangka kekal stabil 7.5 peratus pada 2008.

    Nilai ditambah sektor pertanian berkembang mapan sebanyak 6.1 peratus dalam tempoh separuh pertama 2008, sebahagian besar didorong oleh hasil minyak sawit lebih tinggi.

    Industri perikanan pulih dengan mencatatkan pertumbuhan 1.4 peratus disebabkan oleh pertambahan pengeluaran akuakultur yang merekodkan peningkatan 4.9 peratus kepada 134,234 tan metrik.

    Sektor kecil ternakan mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus disokong oleh pengeluaran ternakan ayam-itik dan lembu yang tinggi.

    Ia dianggar meningkat 5.9 peratus pada 2008 berikutan pelaksanaan beberapa program seperti projek fidlot dan kaedah ternakan moden ayam-itik.

    Nilai ditambah bagi sektor kecil pertanian lain merangkumi padi, nanas, tembakau, kelapa, sayur-sayuran, buah-buahan, bunga teh dan lada hitam terus meningkat 3.6 peratus, hasil pertambahan pengeluaran sayur-sayuran.

    Selaras dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi serta pemberian insentif baru kepada petani, pertumbuhan bagi sektor kecil pertanian lain diunjur meningkat 4.4 peratus pada 2008.

    Siswa berbakti pada tanah

    Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

    Pengurus tkpm Ara Kuda , Zamri Ahmad (tengah) memeriksa hasil tanaman Chu Wei Chong yang sedia untuk dipasarkan, semalam.


    TASEK GELUGOR 31 Ogos – Berbekalkan keazaman yang tinggi, tiga anak muda sanggup meninggalkan kerjaya di pejabat berhawa dingin, untuk memerah keringat di bawah terik matahari dengan mengusahakan tanah pertanian.

    Berpegang kepada keyakinan bahawa pertanian merupakan cabang perniagaan yang menguntungkan, mereka mengusahakan beberapa lot tanah di ladang Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini.

    Walaupun keazaman itu dipandang enteng termasuk oleh keluarga sendiri, tiga anak muda yang memegang ijazah dan sijil dari beberapa universiti tempatan itu, berjaya membuktikan mereka juga boleh meraih pendapatan lumayan.

    Ternyata, dengan pengorbanan dan kesetiaan berbudi pada tanah telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya meraih pendapatan lumayan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding rakan-rakan seusia yang lain.

    Graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Naziman Mohd. Nasir, 26, berkata, kerana minat mendalam dalam bidang perniagaan, dia meninggalkan kerjaya di sebuah syarikat swasta untuk menceburi bidang pertanian.

    Mohd. Naziman berkata, minat untuk mencuba nasib dalam bidang pertanian timbul ketika dia melalui sebuah kawasan tanaman sayur-sayuran di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, dekat sini.

    “Saya mendapatkan nasihat daripada pihak Jabatan Pertanian Pulau Pinang dan mereka meminta saya membuat permohonan untuk mengusahakan tanah pertanian di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

    Pemegang ijazah Kejuruteraan Mekanikal itu memberitahu, pengalaman pertama mengusahakan tanah pertanian memang memeritkan kerana terpaksa berhempas pulas di bawah terik matahari selain berdepan harga pasaran sayur yang tidak menentu.

    Anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu menambah, hasil dorongan dan nasihat pihak pengurusan TKPM Ara Kuda, dia bertungkus-lumus mencari peluang memasarkan tanamannya di sekitar Seberang Perai.

    “Mula-mula memang memeritkan, tapi saya kuatkan semangat kerana percaya kalau orang lain boleh buat, saya yang masih muda ini mesti boleh buat. Syukur, kesabaran saya berbaloi,” tambahnya.

    Graduan Institut Pertanian Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM), Rahezy Abdul Rahim, 23, pula menceritakan bagaimana percubaan pertama pada tahun lalu dengan menanam cili di TKPM mengalami kerugian ekoran kecetekan pengalaman.

    Katanya, dia kemudiannya mencuba tanaman sayur-sayuran dan selepas mendalami teknik penanaman lebih sistematik dan tersusun, tanah seluas dua hektar yang diusahakannya kini segar menghijau dengan tanaman sawi, kangkung dan bayam.

    “Pada mulanya, orang kata saya membazirkan masa muda jadi petani tapi saya percaya bidang ini (pertanian) boleh membuahkan kejayaan kalau diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya.

    Rahezy berkata, ketabahannya mula teruji apabila tanaman cili yang diusahakannya di TKPM pada tahun lalu mengalami kerugian ekoran ancaman penyakit dan ketidakstabilan harga di pasaran.

    Bagaimanapun, atas khidmat nasihat pengurusan TKPM, dia membuat percubaan kedua dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran.

    “Saya amat bersyukur apabila percubaan kedua saya mula membuahkan hasil dan sekarang saya yakin pertaruhan meninggalkan kerjaya asal amat berbaloi,” katanya.

    Seorang lagi petani muda, Chu Wei Chong, 29, berkata, sejurus menamatkan pengajian di sebuah kolej swasta, beliau mula mencongak peluang untuk menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

    Katanya, atas nasihat seorang rakan, Wei Chong mendalami selok-belok perusahaan pertanian yang dilihatnya sangat berpotensi dan mampu memberi pulangan lumayan.

    “Sebagai permulaan, saya mengusahakan tanah pertanian secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Permatang Pauh dan selepas hasilnya memuaskan, saya memohon untuk menyewa tanah di TKPM Ara Kuda,” katanya.

    Wei Chong berkata, beliau dan rakan-rakan amat beruntung kerana mendapat sokongan daripada pihak TKPM yang sering berusaha meningkatkan motivasi selain memberi tunjuk ajar dari semasa ke semasa.

    Sementara itu, Pengurus TKPM Ara Kuda, Zamri Ahmad berkata, penglibatan ramai anak muda mengusahakan tanah pertanian telah membuktikan usaha mempromosi bidang itu sebagai cabang perniagaan mula menampakkan hasil positif.

    “Apa yang penting, mereka perlu bersungguh-sungguh kerana memulakan langkah pertama bukan sesuatu yang mudah. Petani muda di TKPM Ara Kuda membuktikan hakikat ini,”