KUCHING: Lepasan Institut Pertanian Sarawak (IPS) di sini, perlu berani menceburkan diri dalam dunia keusahawanan tani berskala besar, bukan menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata untuk lebih berjaya dalam bidang pertanian, mereka harus mengubah cara berfikir dan berani menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, berkata mereka akan terus ketinggalan sekiranya terus dan hanya berfikir menggunakan kemahiran serta pengetahuan yang diperoleh dari IPS untuk mencari pekerjaan, sama ada dengan kerajaan dan swasta.
Katanya, setiap lepasan IPS juga boleh merealisasikan pertanian sebagai perniagaan, kerana ramai petani di negara ini yang sudah bergelar usahawan tani berjaya dan contoh.
“Sebelum ini kita pernah mendengar cerita, ada kalangan mereka yang tidak pernah pergi ke sekolah, mampu menjadi usahawan tani yang berjaya, apatah lagi lepasan IPS yang sudah diberi latihan khas dalam bidang pertanian.
“Memang benar, untuk menjadi seorang usahawan tani yang berjaya bukanlah mudah, namun kunci kejayaan ialah tidak mudah putus asa dan sentiasa belajar dari kesilapan,” katanya di Majlis Penganugerahan Sijil Pertanian Malaysia IPS sesi 2006/2008 di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Muda Industri Makanan, Datuk David Teng Lung Chi; Menteri Muda Pertanian (Organisasi dan Koperasi) Datuk Peter Nyarok Entrie dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah.
Seramai 89 pelajar dari seluruh negeri ini berjaya menamatkan latihan pertanian selama dua tahun bermula 2006 lalu.
Dr Chan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, berkata dunia kini berhadapan dengan krisis kekurangan dan kenaikan harga makanan ekoran pertukaran cuaca, kemerosotan alam sekitar dan kenaikan harga minyak dunia.
“Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan impak cabaran itu dan berdasarkan kepada perkara itu, bidang pertanian kini menjadi lebih penting.
“Kerajaan menetapkan untuk menjadikan negeri ini dan negara sebagai pengeluar utama makanan dunia,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya mempunyai tugas besar di dalam membantu negara mengatasi defisit perdagangan.
Katanya, sasaran negara adalah untuk mencapai lebihan dagangan agro makanan sebanyak RM1.2 bilion pada 2010.