Inovasi baru bungkus buah


Nik Aizan Nik Abdullah menunjukkan rak yang boleh diletakkan bekas tanaman cendawan bertingkat-tingkat bagi meningkatkan pengudaraan dan mengelakkannya bertindih.


Perkembangan industri pertanian yang semakin rancak sekarang banyak didorong oleh penglibatan semakin ramai pihak dan memerlukan banyak input memandangkan permintaannya semakin tinggi.

Penggunaan tenaga buruh sebagai contoh juga bertambah menyebabkan kos pengeluaran meningkat terutama di ladang buah-buahan yang tidak menggunakan jentera atau mesin secara optimum.

Ladang buah-buahan seperti belimbing, jambu dan nangka memerlukan tenaga buruh yang banyak bagi kerja-kerja membungkus buah-buahan.

Pembungkusan buah-buahan perlu bagi mengelakkannya diserang serangga perosak lalat buah.

Serangan lalat buah akan menyebabkan buah-buahan tempatan sukar menembusi pasaran antarabangsa.

Justeru seorang pensyarah Jabatan Reka Bentuk Industri, Fakulti Reka Bentuk dan Arkitektur, Universiti Putra, Serdang, Selangor, Nik Aizan Nik Abdullah telah menjalankan kajian bagi membantu petani menyelesaikan masalah tenaga buruh.

“Menyediakan pembungkus bagi menghalang serangan serangga perosak lalat buah merupakan kerja yang remeh.

“Petani biasanya menggunakan kertas surat khabar lama sebagai pembalut buah,” katanya semasa pameran Ekspo Reka Bentuk, Penyelidikan dan Inovasi, UPM di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Kertas yang digunakan perlu dilipat menggunakan dawai kokot sebelum dibungkus pada buah dan diikat menggunakan dawai.

Kertas surat khabar lama ini biasanya akan koyak apabila terkena air hujan dan cahaya matahari pada masa satu hingga dua minggu.

Semua tugas yang remeh dan cerewet memerlukan tenaga buruh yang banyak dan meningkatkan kos pengeluaran.

“Kajian yang dijalankan mendapati kertas biodegredasi (reput secara semula jadi) lebih baik digunakan untuk membalut buah.

“Selain mesra alam, kertas berkenaan tidak menggunakan dakwat yang toksik kepada kesihatan manusia,” katanya.

Menggunakan kertas biodegredasi, Nik Aizan mengaplikasikan kaedah origami bagi melipat kertas.

Kertas yang dilipat sehingga kepada saiz tertentu akan mudah digunakan bagi membalut buah seperti belimbing dan jambu.

Kertas yang dapat menyerap kelembapan ini akan semakin membesar apabila saiz buah semakin membesar sehingga boleh dipetik.

Buat masa ini, Nik Aizan berkata, pihaknya boleh menghasilkan sehingga 10,000 keping pada satu-satu masa.

Belum dikomersialkan, produk ini masih dalam kajian bagi meningkatkan lagi mutu dan kualitinya.

Ditanya mengenai peningkatan produk pembungkusan buah-buahan ini, Nik Aizan berkata, selain untuk membungkus buah belimbing dan jambu, pihaknya akan menjalankan kajian bagi membungkus buah nangka.

Selain pembungkus belimbing, Aizan juga menghasilkan rak tempat meletakkan beg cendawan.

“Biasanya beg cendawan akan diletakkan bertimpa-timpa menyebabkan kurang pengudaraan.

“Ini akan menyebabkan beg cendawan tidak boleh digunakan dalam tempoh masa yang lama,” katanya.

Menggunakan teknik injection mold bagi menghasilkan rak tempat meletak cendawan daripada bahan high density polyetilene yang ringan dan tahan lasak.

Rak yang boleh diletakkan bertingkat-tingkat ini boleh tahan lama jika diselenggara dengan baik.

“Menggunakan sistem interlock, rak ini bukan saja ringan dan senang diangkut tetapi juga senang disusun.

“Kajian kami juga menunjukkan dengan pengudaraan yang baik, cendawan yang ditanam kurang tercemar,” katanya.

Rak tempat cendawan ini masih dalam kajian dan masih belum dikomersialkan.

Lepasan IPS guna kemahiran ceburi pertanian

KUCHING: Lepasan Institut Pertanian Sarawak (IPS) di sini, perlu berani menceburkan diri dalam dunia keusahawanan tani berskala besar, bukan menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata untuk lebih berjaya dalam bidang pertanian, mereka harus mengubah cara berfikir dan berani menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, berkata mereka akan terus ketinggalan sekiranya terus dan hanya berfikir menggunakan kemahiran serta pengetahuan yang diperoleh dari IPS untuk mencari pekerjaan, sama ada dengan kerajaan dan swasta.

Katanya, setiap lepasan IPS juga boleh merealisasikan pertanian sebagai perniagaan, kerana ramai petani di negara ini yang sudah bergelar usahawan tani berjaya dan contoh.

“Sebelum ini kita pernah mendengar cerita, ada kalangan mereka yang tidak pernah pergi ke sekolah, mampu menjadi usahawan tani yang berjaya, apatah lagi lepasan IPS yang sudah diberi latihan khas dalam bidang pertanian.

“Memang benar, untuk menjadi seorang usahawan tani yang berjaya bukanlah mudah, namun kunci kejayaan ialah tidak mudah putus asa dan sentiasa belajar dari kesilapan,” katanya di Majlis Penganugerahan Sijil Pertanian Malaysia IPS sesi 2006/2008 di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Muda Industri Makanan, Datuk David Teng Lung Chi; Menteri Muda Pertanian (Organisasi dan Koperasi) Datuk Peter Nyarok Entrie dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah.

Seramai 89 pelajar dari seluruh negeri ini berjaya menamatkan latihan pertanian selama dua tahun bermula 2006 lalu.

Dr Chan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, berkata dunia kini berhadapan dengan krisis kekurangan dan kenaikan harga makanan ekoran pertukaran cuaca, kemerosotan alam sekitar dan kenaikan harga minyak dunia.

“Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan impak cabaran itu dan berdasarkan kepada perkara itu, bidang pertanian kini menjadi lebih penting.

“Kerajaan menetapkan untuk menjadikan negeri ini dan negara sebagai pengeluar utama makanan dunia,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya mempunyai tugas besar di dalam membantu negara mengatasi defisit perdagangan.

Katanya, sasaran negara adalah untuk mencapai lebihan dagangan agro makanan sebanyak RM1.2 bilion pada 2010.