Kenaf bakal komoditi penting

Malaysia berpotensi jadi pengeluar utama dunia

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPC) Kenaf di Bachok, Kelantan baru-baru ini, melahirkan keyakinan tanaman itu mampu menjadi komoditi terpenting negara seperti getah dan kelapa sawit.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia berpotensi menjadi pengeluar kenaf terkemuka dunia dalam jangka masa panjang berdasarkan kekuatan yang ada khususnya pengalaman dalam pengurusan ladang berskala besar, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta jalinan antarabangsa yang kukuh.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak berusaha menjadikan tanaman itu sebagai sumber penting negara menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), khususnya menggantikan tembakau yang kurang kompetitif sejajar pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).

Walaupun usaha membangunkan kenaf bermula lebih 10 tahun lalu menerusi perancangan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), secara umumnya masih ramai tidak tahu rupa bentuk tanaman itu dan kegunaannya yang banyak ditanam di tanah jenis bris di kawasan pesisir pantai.

Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus adalah sejenis tanaman jangka pendek berserat dan bukan berkayu yang berasal dari Afrika (barat Sudan) dengan sejarah tanaman ini melebihi 4,000 tahun.

Tanaman ini tergolong dalam keluarga Hibiscus yang mempunyai persamaan dengan tanaman kacang bendi dan kapas. Secara morfologinya, kenaf mempunyai kaitan rapat dengan tanaman roselle (Hibiscus sabdariffa).

Kenaf juga dikenali tanaman herba jangka pendek musim panas yang mampu menghasilkan serat panjang (25-30 peratus) pada bahagian kulit luar batang yang dinamakan ‘bast’ dan juga serat pendek yang lebih dikenali sebagai ‘core’ (70-75 peratus) dari bahagian dalam batang.

Ia mampu mencapai ketinggian lapan sehingga lima meter dan biasanya dituai dalam tempoh 120 hingga 150 hari selepas ditanam. Hasil berat batang kering bagi kenaf adalah antara 15 hingga 20 tan metrik bagi setiap hektar tanaman.

Kenaf juga boleh dituai dalam tempoh antara 45 hingga 60 hari untuk dijadikan makanan ternakan memandangkan dalam usia itu, kandungan protein kasar dalam daunnya melebihi 20 peratus dan kebiasaannya, selepas 80 hari kadar protein dalam kenaf akan menurun disebabkan penurunan kadar nisbah daun kepada batang dan juga pembentukan serat di dalam bahagian batang.

Pemilihan jenis kenaf bergantung kepada persekitaran dan agroiklim yang berbeza iaitu dari segi pertumbuhan pokok, keperluan fotokala, bentuk daun, bunga, biji benih dan lilitan batang, manakala penyaringan jenis bergantung kepada nisbah kulit luar per bahagian dalam dan jumlah berat hasil sehektar.

Di Malaysia, antara jenis kenaf yang sesuai ditanam ialah V36, G4, KB6, Tainung, Quiping dan Khon Kaen 60. Jenis V36 diusahakan secara meluas di Malaysia kerana mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan iklim negara ini, selain mempunyai serat bermutu tinggi.

Kini, kenaf ditanam secara skala komersial di China, Myammar, India, Bangladesh dan Thailand, namun di Malaysia, industri ini mula mendapat perhatian serius disebabkan keperluan sektor industri sebagai alternatif menggantikan bekalan bahan mentah tertentu terutama kayu yang semakin sukar diperoleh.

Kenaf mempunyai pelbagai kegunaan dan secara tradisinya, ia sering dijadikan tali atau beg guni. Namun dengan perkembangan industri serat dan gentian yang semakin meluas, kenaf mula mendapat perhatian untuk dijadikan bahan mentah bagi kegunaan lain.

Antara kegunaannya ialah dijadikan bahan mentah dalam industri bio komposit sebagai bahan pembuatan untuk dek, permukaan meja, atap gentian, tingkap, pintu dan lantai serta perkakasan bagi produk elektronik dan komponen automotif termasuk pelapik utama pintu.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan bahan pembungkusan, kertas tulis dan cetak serta kertas keselamatan selain makanan ternakan dalam bentuk silaj, foder, palet dan kiub serta kegunaan industri tekstil seperti kemeja T, baju dan tuala mandi.

Penanaman kenaf yang diusahakan secara perladangan berskala besar dalam pembangunan ECER dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 10,000 petani di Kelantan dan Terengganu dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan menerusi tuaian kenaf yang dihantar untuk diproses oleh CPPC, selain berpeluang menceburi bidang sampingan lain termasuk keusahawanan.

Buat permulaan kerjasama syarikat tempatan, Symphony Advance Sdn Bhd (SASB) dan syarikat Korea, Samsung Cheil Industries Inc bagi membangun dan mengeksport komposit polimer kenaf bagi penghasilan komponen elektronik serta automotif menyaksikan 1,000 tan serbuk kenaf dieksport ke negara itu sebelum ditingkatkan kepada lebih 2,000 tan setiap bulan.

Menerusi ECER, Majlis Pembangunan ECER dengan kerjasama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Tembakau Negara (LTN) membangunkan industri kenaf menggunakan model ladang secara estet dan penanaman secara kontrak untuk menyokong peladang kecil berkelompok.

Projek terbabit akan menggunakan kaedah pertanian ladang nukleus yang mana syarikat induk akan mewujudkan CPPC sebagai pusat bagi kegiatan hiliran kenaf, selain memproses gentian kenaf bagi pekebun kecil kerana kosnya tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis ECER, Datuk Jebasingam Issace John, berkata pembangunan ladang kenaf boleh diintegrasikan dengan kegiatan bersepadu pertanian lain seperti penternakan lembu fidlot dan ikan dalam sangkar, selain mewujudkan perladangan kontrak dan peluang keusahawanan.

“Disebabkan kenaf adalah tanaman mudah dan mesra alam serta tidak memerlukan tenaga buruh yang intensif, petani boleh menambah pendapatan dengan membabitkan diri dalam aktiviti bersepadu seperti penanaman jagung, penternakan ikan dan haiwan ternakan lain.

“Ladang kenaf tidak memerlukan penjagaan rapi seperti ladang jagung yang boleh digunakan sebagai makanan ternakan, manakala najis haiwan ternakan pula boleh dikitar semula menjadi baja untuk tanaman kenaf,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s